Sunday, December 30, 2007

Harga saham lebih tinggi minggu ini

KUALA LUMPUR 30 Dis. – Harga-harga saham di Bursa Malaysia berkemungkinan lebih teguh minggu ini dengan lebih banyak kegiatan membeli bagi menghias akaun, diiringi peningkatan sentimen terhadap bursa tempatan bagi tahun depan.

Dengan menjelangnya tahun baru, penyertaan cergas oleh pelabur runcit dan institusi dijangkakan, memandangkan kebanyakan mereka sudah kembali dari percutian hujung tahun.

Kegiatan membeli dan menjual berselang seli di kaunter-kaunter berkaitan indeks mungkin muncul dalam bursa tempatan bagi sekurang-kurangnya tiga bulan akan datang.

Aseambankers meramalkan Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) mengukuh menjelang akhir tahun kerana para pelabur menunggu pemangkin dalam 2008.

Antara pemangkin-pemangkin itu ialah kenaikan nilai ringgit, rangsangan fiskal yang didorong oleh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan pertumbuhan kukuh pendapatan korporat sebanyak 13 hingga 14 peratus.

Projek-projek yang sedang dilaksanakan dan pelaburan langsung asing (FDI) yang banyak mengalir masuk dalam projek-projek RMK-9 seharusnya dapat membenteng ekonomi negara daripada kemerosotan di luar negara, sekali gus memastikan pertumbuhan kukuh pendapatan korporat dan keupayaan IKKL mengatasi prestasi bursa-bursa serantau.

IKKL telah memecah banyak rekod bagi tahun ini dan berkembang sehingga 30 peratus.

Jika pengukuhannya berterusan, IKKL mungkin mencecah paras 1,500 mata menjelang separuh pertama tahun depan.

Pada minggu lalu, harga-harga saham terus mengukuh selama empat hari berturut-turut dan seterusnya mencipta rekod ketinggian pada 1,447.04 pada Jumaat lalu.

Minat tertumpu kepada kaunter-kaunter berwajaran tinggi, khususnya saham-saham perladangan, memandangkan harga minyak sawit mentah mencatat peningkatan dalam tiga hari berturut-turut selepas Selasa.

Bagaimanapun, jumlah dagangan sederhana sahaja kerana kebanyakan pelabur bercuti.

Pasaran ditutup pada Selasa sempena perayaan Hari Krismas.

Berbanding Jumaat lepas, penanda aras, IKKL meningkat 43.48 mata kepada 1,447.04 daripada 1,403.56 sebelumnya.

Indeks Perusahaan mengukuh 106.89 mata kepada 3,024.30 dan Indeks Kewangan melonjak 224.0 mata kepada 10,957.6.

Bagi siri Indeks FTSE-BM, FBMEmas naik 282.30 mata kepada 9,775.07, FBM30 melompat 263.15 mata kepada 9,322.24, FBM2BRD menokok 29.90 mata kepada 6,660.17 dan FBM-MDQ meningkat 182.89 mata kepada 6,062.71.

Jumlah dagangan minggu lalu mengecil kepada 2.664 bilion saham bernilai RM4.746 bilion daripada 2.778 bilion saham bernilai RM5.883 bilion minggu sebelumnya.

Di Papan Utama jumlah dagangan susut kepada 1.697 bilion saham bernilai RM4.399 bilion daripada 1.759 bilion saham bernilai RM5.478 bilion sebelumnya.

Bagaimanapun, jumlah dagangan di Papan Kedua bertambah kepada 182.442 juta saham bernilai RM99.851 juta daripada 179.205 juta saham bernilai RM110.810 juta minggu lalu.

Pasaran Mesdaq mencatatkan peningkatan jumlah dagangan kepada 282.868 juta saham bernilai RM157.547 juta daripada 268.197 juta saham bernilai RM156.465 juta sebelumnya.

Waran opsyen belian susut kepada 501.447 juta saham bernilai RM89.317 juta daripada 570.952 juta saham bernilai RM88.081 juta minggu sebelumnya.

Urus niaga langsung turun jumlahnya kepada 179.777 juta saham bernilai RM177.254 juta daripada 427.324 juta saham bernilai RM544.491 juta sebelumnya.

– Bernama

Saturday, December 29, 2007

Perjalanan politik Benazir penuh onak, duri

Oleh: DR. AZHARUDIN MOHAMED DALI

TANGGAL 27 Disember 2007 pastinya akan terpahat sebagai satu tarikh hitam dalam sejarah politik Pakistan. Pada hari itu Pakistan kehilangan anak watannya, srikandi yang bersuara lantang dan dihormati sama ada kawan mahupun lawan politiknya.

Kepulangan beliau dari buangan sekitar dua bulan lepas semata-mata untuk memastikan agar Pakistan kembali kepada demokrasi – menjadi kepulangan beliau yang terakhir.

Benazir Bhutto merupakan srikandi dan ‘wanita besi’ Pakistan. Dilahirkan pada 1953, perjuangan dan pembabitan Benazir Bhutto dalam politik negara itu penuh dengan onak dan duri-duri tajam. Pembabitan beliau dalam politik bermula sejak kematian bapanya, Zulfikar Ali Bhutto yang dijatuhi hukuman mati di tali gantung.

Merasakan bahawa bapanya tidak menerima keadilan sebagaimana sepatutnya, Benazir bertekad untuk meneruskan perjuangan Ali Bhutto. Pembabitan beliau dalam politik Pakistan merupakan kesan langsung dari peristiwa pembunuhan ayahnya. Malah pembabitan beliau dalam politik juga semata-mata untuk meneruskan tradisi keluarga Bhutto.

Selain ayahnya, terdapat juga ahli-ahli keluarga Bhutto yang sememangnya dikenali sebagai tokoh pemimpin. Datuknya, Sir Shah Nawaz Khan Bhutto merupakan perdana menteri negeri Junagadh yang telah diberikan penghormatan oleh pihak British dengan gelaran ‘Sir’ kerana jasa-jasanya dalam perkhidmatan kerajaan.

Bapa saudaranya, Sikandar Bhutto dan Imdad Ali Bhutto juga merupakan tokoh-tokoh masyarakat yang disegani. Malahan terdapat pandangan yang menyatakan bahawa kejayaan Benazir dalam politik di Pakistan kerana terdapat nama Bhutto di belakang namanya.

Kematian Ali Bhutto dilihat sebagai kegagalan demokrasi hingga menjadi alasan paling kuat untuk Benazir membabitkan dirinya dalam politik. Pendedahan beliau dalam pendidikan Barat dan sistem demokrasi telah menjadi asas penting dalam usaha politik Benazir.

Kegagalan beliau untuk membantu menyelamatkan ayahnya dari tali gantung terus tersemat kukuh dalam sanubari Benazir Bhutto dan merasakan bahawa sekiranya demokrasi diamalkan ketika itu, ayahnya tidak akan menerima hukuman gantung.

Bermula dari tarikh itu, Benazir tidak lagi menoleh ke belakang dan terus berjuang hingga kemudiannya, perjuangan beliau menyebabkan beliau dipenjara beberapa kali.

Tindakan-tindakan politik yang dilaksanakan oleh Presiden Zia Ul-Haq di Pakistan sejak referendum 1985 sedikit sebanyak memberi ruang kepada Benazir untuk mendapatkan sokongan.

Tindakan-tindakan inilah yang menyebabkan Benazir melihat bahawa rejim pemerintahan Zia sebagai pemerintahan yang tidak demokratik. Namun demikian, dengan pembatalan undang-undang darurat pada April 1986, Benazir yang berada dalam ‘buangan’ di London kembali menjejakkan kaki ke Pakistan.

Kepulangan Benazir telah memperlihatkan fasa kedua dalam perjuangan politiknya di Pakistan. Sebagai anak Ali Bhutto serta ditambah dengan kelebihannya yang pintar berpidato membolehkan Benazir secara pantas menerima sokongan masyarakat Pakistan.

Rakyat Pakistan yang rata-ratanya masih buta huruf secara mudah tertarik kepada ceramah Benazir dan secara langsung mendapatkan penyokong dari kalangan masyarakat luar bandar. Benazir kini dilihat sebagai tokoh yang paling sesuai dan layak untuk mengembalikan demokrasi ke Pakistan.

Bagaimanapun usaha Benazir untuk melihat pilihan raya lebih awal dijalankan tidak berlaku. Ini kerana pihak pemerintah telah berupaya untuk membendung kebangkitan dan demonstrasi yang terjadi hingga akhirnya penentangan terhadap pemerintah menjadi semakin kecil.

Benazir tidak putus asa, dan sewaktu memperingati lapan tahun kematian Ali Bhutto pada bulan Ogos 1987, beliau sekali lagi cuba menggerakkan rakyat Pakistan agar mendesak kerajaan mengadakan pilihan raya dan memulihkan demokrasi.

Kali ini pihak pemerintah melakukan tindakan yang lebih keras dan menyebabkan Benazir tidak mempunyai pilihan lain, sekali lagi terpaksa melarikan diri ke London. Beliau hanya kembali ke Pakistan pada Disember 1987 dan membentuk satu pakatan pembangkang yang kuat dan bersedia menghadapi Zia.


Perubahan politik Pakistan berlaku selepas kematian Zia yang terbunuh dalam letupan kapal terbang. Peristiwa sabotaj ini terus tidak diselesaikan hingga ke hari ini. Segala dasar yang diamalkan oleh Zia kini mula dilihat sebagai tidak lagi relevan dan kemuncaknya adalah pilihan raya 1988. Ia juga merupakan kesempatan terbaik untuk Benazir yang sememangnya sedang berada dalam kedudukan yang sangat berpengaruh bagi memenangi pilihan raya.

Dalam pilihan raya yang diadakan pada 16 November 1988, Benazir berjaya memenangi 93 dari 207 kerusi yang dipertandingkan dan parti yang diterajuinya Parti Rakyat Pakistan (PPP) mengetuai pakatan parti-parti politik bagi menubuhkan kerajaan di Pakistan. Benazir akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri Pakistan.

Bagaimanapun pembabitan Benazir dalam politik Pakistan masih terus menghadapi onak dan ranjau yang tajam. Beliau tewas dalam pilihan raya 1990 dan menyebabkan jawatannya sebagai Perdana Menteri dirampas oleh Nawaz Sharif. Namun beliau mengadakan come-back kemudiannya pada 1993 dan kekal sebagai Perdana Menteri Pakistan sehingga 1996.

Ini bermakna, Benazir Bhutto merupakan Perdana Menteri Pakistan yang memegang jawatan tersebut sebanyak dua kali. Ia sedikit sebanyak membuktikan ketokohan beliau sebagai seorang pemimpin politik yang unggul di Pakistan.

Pun begitu, suasana politik Pakistan terus tegang apabila tentangan daripada Nawaz terhadap kerajaan pimpinan Benazir semakin ketara hingga menimbulkan pergolakan politik. Kesan dari pergolakan politik itu, Presiden Ghulam Ishaq Khan membubarkan Dewan Kebangsaan dan Pentadbiran Wilayah dan selanjutnya menamatkan usia pemerintahan Benazir.

Satu pilihan raya baru diadakan. Kedudukan politik Benazir juga semakin sempit dengan penahanan suaminya dalam kes penculikan warganegara Britain kelahiran Pakistan, Murtaza Hussain Bukhari. Penangkapan Asif benar-benar mengecilkan peluang Benazir untuk tampil mempertahankan kedudukannya.

Selain itu, mahkamah tinggi Pakistan juga telah memanggil Benazir untuk tampil memberi keterangan terhadap beberapa pertuduhan rasuah terhadapnya. Dalam pilihan raya 1990, Benazir tewas dan Nawaz menjadi Perdana Menteri Pakistan yang baru.

Kejayaan Benazir dalam pilihan raya pada 1993 pula telah membolehkan beliau sekali lagi menguasai kerajaan. Namun demikian, politik Benazir terus bergolak kesan daripada peristiwa pembunuhan saudara lelakinya sendiri iaitu Murtaza.

Peristiwa pembunuhan ini dikaitkan dengan Benazir meskipun ia dinafikan oleh beliau. Benazir kemudiannya tewas dalam pilihan raya pada 1996 dan seterusnya menghadapi pelbagai kes mahkamah sehinggalah beliau terpaksa melarikan diri ke luar negara.

Jika disusuri secara mendalam, kepulangan beliau ke tanah air dalam usaha untuk memastikan demokrasi kembali ke Pakistan bukanlah yang pertama kali. Ini kerana Benazir pernah melalui zaman tersebut ketika Zia memerintah Pakistan.

Kepulangan beliau dari buangan di London ketika itu telah mencapai kejayaan apabila dilantik sebagai Perdana Menteri kemudiannya. Mungkin Benazir merasakan bahawa peristiwa kejayaan tersebut mampu diulanginya sekali lagi.

Bagaimanapun, kali ini Benazir dilihat salah perhitungan. Era 1988 tidak sama dengan 2007. Ketika itu, pembabitan pengganas dan pengeboman berani mati masih lagi asing di Pakistan.

Namun kepulangan beliau pada 2007 ketika era pengeboman berani mati menjadi satu perkara lumrah telah membawa kepada kematian beliau. Persoalan yang timbul kesan dari peristiwa ini, adakah kematian Benazir turut membawa bersamanya usaha-usaha memulihkan demokrasi ke Pakistan?

- DR. AZHARUDIN MOHAMED DALI, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.

TMM'07 lepasi sasaran RM44.5b

Oleh Shamshul Azree Samshir

PUTRAJAYA: Kempen Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM'07) mencatat kemasukan 20.7 juta pelancong yang menyumbangkan hasil bernilai RM45.7 bilion, melebihi sasaran yang ditetapkan kerajaan.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata kempen itu, yang berakhir Isnin ini, menetapkan sasaran menarik 20.1 juta pelancong dengan jangkaan hasil RM44.5 bilion.

Bagaimanapun, katanya, menjelang tiga hari terakhir tahun ini, sasaran itu sudah melebihi 600,000 pelancong dan RM1.2 bilion.



"Kejayaan ini adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan media yang bertungkus-lumus mempromosikan aktiviti dan program sepanjang TMM'07.

"Inisiatif Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia menambah kekerapan penerbangan juga mendorong peningkatan ketara kedatangan pelancong," katanya pada sidang media sempena penganjuran Karnival Gegar Jelajah TMM'07 di sini, semalam.

Karnival tiga hari yang berlangsung di Persiaran Perdana, Presint 2, mulai hari ini bertujuan mempromosikan pakej dan destinasi pelancongan domestik serta kraf tangan, kebudayaan dan juadah Malaysia.

Thursday, December 27, 2007

PPSMI tidak jejas prestasi PMR

PUTRAJAYA 27 Dis. _ Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan sejak 2005 tidak menjejaskan penguasaan pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran terbabit pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, peratusan murid yang menguasai kemahiran sains dan matematik pada PMR tahun ini menunjukkan peningkatan yang membanggakan.

``Bagi matematik, ia telah meningkat dengan ketara iaitu 87 peratus tahun ini berbanding 82.8 peratus (2006) dan 84.1 peratus (2005) manakala sains pula adalah stabil iaitu 89.1 peratus berbanding 90.2 peratus (2006) dan 90.1 peratus (2005).


``Bilangan murid yang cuba menjawab soalan dalam bahasa Inggeris bagi mata pelajaran sains semakin meningkat iaitu seramai 254,270 (55.5 peratus) berbanding 241,401 (55.1 peratus) tahun 2006 dan 144,789 (32.5 peratus) 2005,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan analisis keputusan PMR 2007 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Datuk Mohammed Zakaria Mohd. Nor.

Sehubungan itu, Alimuddin berkata, keadaan itu menandakan PPSMI bukan merupakan isu yang perlu dipertikaikan.

Sebaliknya, ujar beliau, langkah kerajaan mengemukakan soalan peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran itu dalam dwibahasa merupakan satu langkah yang bijak dan seharusnya disokong.

``Dasar yang sedia ada kita teruskan dan mantapkan lagi dengan memberi latihan kepada guru dan meneruskan kursus-kursus supaya penguasaan PPSMI itu berterusan dan mencapai tahap yang kita rancangkan sebelum ini,'' katanya.

Sebelum ini, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PPSMI akan diumumkan hujung tahun depan.


Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan penangguhan penggunaan sepenuhnya bahasa Inggeris bagi mata pelajaran matematik dan sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), PMR dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya dilaksanakan tahun depan.

Ini kerana kementerian memerlukan antara dua hingga tiga tahun lagi untuk mengkaji pelaksanaan dasar tersebut dan sehingga itu, pelajar boleh memilih menjawab soalan sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. - Utusan

Friday, November 23, 2007

Saintis UPM temui bahan ganti petrol, diesel

SERDANG: Seorang saintis Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menemui bahan api alternatif daripada biji buah `Egusi Melon’ yang berpotensi menghasilkan minyak petrol dan diesel.

Ketua Makmal Kajian Tenaga (AREL) dari Institut Tenaga Maju UPM Prof Madya Dr Nor Mariah Adam yang membuat penemuan itu berkata bahan tenaga berkenaan menggunakan minyak dihasilkan daripada biji buah egusi berasal dari Afrika.

Katanya penemuan kali pertama di dunia itu dijangka dapat mengurangkan kos petrol sebanyak 20 peratus dan diesel 10 peratus, malah jurangnya lebih ketara jika harga bahan api berkenaan meningkat.



“Minyak ini berpotensi untuk dijadikan minyak petrol dan diesel kerana sifatnya lebih ringan, proses penuaian minyak mudah dan ekonomik berbanding minyak sawit dan jathropa yang telah dijadikan bio-diesel,” katanya ketika menunjukkan hasil kajiannya.

Beliau berkata kajiannya mendapati lemak tepu dalam minyak egusi adalah rendah, selain bersifat mudah cair dan boleh meningkatkan pembakaran.

Katanya sebelum minyak itu dijadikan petrol dan diesel, ia perlu dicampur dengan beberapa pemangkin sesuai untuk mendapatkan stabilitinya.

Beliau berkata potensi kajiannya mempunyai masa depan cerah kerana spesies tanaman melon mudah ditanam di negara ini dan boleh mencapai tahap kematangan dalam tempoh tiga bulan.

Kajian yang dimulakannya bulan lalu melalui geran penyelidikan UPM didorong oleh inisiatif untuk mencari sumber tenaga alternatif bahan buangan setelah menyedari kos bahan api dunia semakin meningkat.

“Segalanya bermula apabila saya terbaca dalam Internet bagaimana penduduk Afrika menghasilkan minyak berkenaan untuk memasak. Dari situ timbul idea saya untuk kitar semula bagi kegunaan jentera,” kata Mariah yang banyak dibantu oleh Dr Lokman Chua dari Jabatan Kejuruteraan Kimia.

Beliau mengajukan proposal kajiannya kepada syarikat petroleum tempatan untuk kerjasama lanjutan tetapi pihak syarikat itu masih belum memberi jawapan sehingga kini.

“Bagaimanapun, jika minyak ini dijadikan petrol, saiz karburator kenderaan perlu diubahsuai terlebih dahulu manakala diesel tidak memerlukan transformasi enjin,” katanya.

Mariah berkata kajiannya adalah langkah awal dan akan memakan masa antara setahun dan dua tahun untuk disaring dalam beberapa ujian saintifik di makmal sebelum boleh dikomersialkan.

Saintis itu berkata kajiannya menjurus kepada diesel dahulu kerana tenaga itu digunakan dengan meluas dalam sektor pertanian, sementara penghasilan petrol akan dibuat kemudian kerana eksperimennya lebih rumit.

Egusi atau nama saintifiknya `Colocynthis Citrullus Lanatus’ adalah satu daripada 300 spesies keluarga Melon terdapat di kawasan tropika Afrika dan mempunyai fizikal biji sama seperti biji Labu. — Bernama

Tuesday, November 20, 2007




Pokok karas menghasilkan bahan untuk industri minyak wangi dijual antara RM15,000 hingga RM20,000 sekilogram
ANAK pokok karas atau gaharu setinggi 20 sentimeter (sm) yang dijual pada harga RM1.60 sepokok dua tahun lalu kini mencecah RM9, gara-gara minat orang ramai menanam pokok yang dikatakan boleh memberi pulangan RM18,000 sepokok.

Karas atau nama saintifiknya, Aqularia malaccensis yang boleh mencapai ketinggian lebih 36 meter, mengeluarkan damar atau rasin yang diperlukan dalam penghasilan minyak wangi, manakala kayu dan kulitnya diproses menghasilkan gaharu.



Damar yang dihasilkan oleh pokok karas kini digredkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dengan gred Super A, A, B, C serta D, dan harga Super A dijual antara RM15,000 dan RM20,000 sekilogram di pasaran antarabangsa.

Bukan setakat damar, batang dan kulit boleh menghasilkan wang, malah daun karas dikatakan boleh direbus dan diminum bagi mencegah penyakit kanser.

Menyedari pokok karas mempunyai nilai komersial, Jabatan Perhutanan Terengganu mempelopori tanaman secara ladang di kawasan 47 hektar di Hutan Simpan Merchang, Marang bagi menggantikan pokok Akasia.





Penolong Pengarah Silvikultur dan Perlindungan Hutan Terengganu, Mohd Radhi Chu Abdullah, berkata karas mempunyai potensi tinggi sekiranya diusahakan secara komersial.

"Sejak dua tahun lalu Pejabat Hutan mengumpul banyak maklumat mengenai kaedah penanaman, kesesuaian tanah, kawalan penyakit, taburan hutan dan cara mengatasi penyakit yang dilakukan dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Pejabat Pertanian.

"Maklumat ini boleh dikongsi jika orang ramai berminat mempelajari cara mengusahakan tanaman ini," katanya ketika menyampaikan taklimat kepada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Seri Azahar Muda, di sini baru-baru ini.

Mohd Radhi berkata, proses mengumpul damar karas boleh dilakukan secara semula jadi dengan mematikan pokok mati melalui kaedah melukakannya atau suntikan inokulen.


1 - Minyak gaharu yang sudah diasingkan perlu dijemur.
2 - Kerja menebuk batang pokok karas untuk menghasilkan gaharu.

Katanya, teknik inokulen boleh dilakukan apabila pokok mencapai usia lima tahun atau diameter pokok berukuran 20 sm.

"Kedalaman optimal perlu sesuai dengan diameter batang dan biasanya sekitar lima sm.

"Setiap batang pokok akan ditebuk lubang dan dimasukkan spora yang akan menghasilkan damar dan lubang itu akan ditutup menggunakan lilin dan hanya dikeluarkan selepas dua tahun," katanya.

Mohd Radhi berkata, minyak damar juga boleh diperolehi secara penyulingan dengan merebus kulit dan kayu damar yang diracit.

Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Petroleum, Pertanian dan Perikanan Terengganu, Datuk Mamat Ghazalee Abdul Rahman, 59, berkata pokok karas mudah dijaga dan tidak memerlukan kos penjagaan yang tinggi.

Beliau berkata, 1,000 pokok yang ditanamnya setahun lalu kini mencapai ketinggian 150 cm dan tidak diserang sebarang penyakit.

"Mereka yang ingin menanam pokok ini di Pantai Timur perlu memilih masa yang sesuai iaitu sekitar bulan Julai atau Ogos iaitu sebelum musim tengkujuh bagi membolehkan pokok ini tidak menghadapi masalah ketika musim kering.

"Selepas enam bulan yang ditanam, pokok perlu dipangkas dan dijaga secara agronomik bagi membolehkan pokok mencapai ketinggian maksimum," katanya yang menanam pokok karas di dusun seluas lapan hektar.

Mamat Ghazalee berkata, pokok karas yang ditanam dalam dusun yang sudah matang mudah dijaga dan membesar dengan cepat kerana tidak terdedah terus kepada terik matahari.

FAKTA



Berasal dari perkataan Sansekerit iaitu `agaru' yang bererti kayu berat (tenggelam) - menghasilkan produk damar atau resin dengan aroma harum apabila dibakar. Di negara Asia terdapat lebih 15 spesies gaharu tetapi yang dikenali di pasaran ialah agar wood, aloes wood dan eagle wood.


Analisis kimia mendapati gaharu mengandungi agarospiral, jinkohol-eremol yang menghasilkan aroma gaharu untuk kegunaan minyak wangi. Komponen methoxyphenylethyl chromone pula menghasilkan bauan yang harum apabila gaharu dibakar.

Kegunaan


Gaharu digunakan untuk keagamaan Cina, Unanai, Ayuravedik dan Tibet. Di Timur Tengah gaharu dibakar untuk mengharumkan rumah.


Daun, akar dan kulit gaharu digunakan sebagai ubat anti malaria sementara air sulingan penghasilan gaharu dimasukkan perubatan selepas bersalin, antibiotik, antikanser, penyakit kewanitaan, demam, sakit badan dan sakit perut.

FAKTA NOMBOR

40 sentimeter - Ukur lilit
20 tahun - Usia mengeluarkan hasil
36 meter - Ketinggian boleh dicapai

Public Mutual lancar dana Islam labur di China

KUALA LUMPUR 19 Nov. – Anak syarikat milik penuh Public Bank, Public Mutual Bhd. (Public Mutual) akan melancarkan dana Islam China pertamanya, Public Dana China Ittikal (PCIF) esok.

Pengerusi Public Mutual, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, dana tersebut akan dilaburkan di rantau China.

‘‘PCIF akan mengambil manfaat daripada prospek pertumbuhan yang kukuh di rantau tersebut,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

PCIF ialah sebuah dana ekuiti Islam yang bermatlamat untuk mencapai pertumbuhan modal dalam jangka sederhana hingga panjang dengan melabur dalam sebuah portfolio pelaburan yang memenuhi kehendak Syariah.

Menurut kenyataan itu, minimum 70 peratus nilai aset bersih (NAB) dana akan dilabur di rantau China iaitu di pasaran Hong Kong, China dan Taiwan.

Harga terbitan/NAB PCIF ialah sebanyak RM0.2500 seunit di sepanjang tempoh tawaran permulaan selama 21 hari dari 20 November hingga 10 Disember ini.

Di sepanjang tempoh tawaran permulaan PCIF, bayaran perkhidmatan promosi sebanyak 5.45 peratus NAB seunit akan dikenakan ke atas pembelian unit PCIF oleh para pelabur.

Para pelabur yang memilih untuk melabur dengan Arahan Debit Terus dengan PCIF semasa tempoh tawaran juga akan menikmati bayaran perkhidmatan promosi sebanyak 5.45 peratus NAB seunit selagi Debit Terus itu masih aktif.

Pelaburan permulaan minimum dana ini ialah RM1,000 dan pelaburan tambahan minimum ialah RM100.

Pelabur yang berminat boleh menghubungi mana-mana perunding unit amanah Public Mutual atau dail Talian Perkhidmatan Pelanggan 03-6279 5252 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dana ini.

Salah guna Cessna polis -- Ramli didakwa guna pesawat tinjau tanah milik syarikatnya


KOTA KINABALU 19 Nov. – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dengan menggunakan sebuah pesawat milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meninjau tanah milik syarikatnya di negeri ini.

Ramli, 55, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding itu mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Duncan Sikodol.

Mengikut pertuduhan, Ramli didakwa menggunakan jawatannya untuk satu suapan dengan mengeluarkan arahan untuk menggunakan kemudahan kapal terbang milik PDRM jenis Cessna Caravan CE 208-9M-PSQ pada 15 Jun 2007 kira-kira pukul 7.50 pagi.

Pesawat itu diarahkan membawa bersama dua orang awam iaitu Datuk Muhammad Yassin dan Khalid Mohammad bagi meninjau tanah Lot PT 2003110300 dan Lot 2003110332 di Ulu Tungku, Lahad Datu.

Tinjauan dari udara itu mempunyai kaitan dengan perniagaan syarikat Kinsajaya Sdn. Bhd. yang mana Ramli mempunyai kepentingan di dalamnya.

Ini merupakan dakwaan keempat dihadapi oleh Ramli dalam siri pertuduhan salah guna kuasa dan tidak mengisytiharkan harta.

Sebelum ini, pada 1 November lalu, Ramli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan gagal mengisytiharkan harta berupa dua petak ruang pejabat dan 154,000 unit saham serta satu tuduhan berasingan terbabit dalam perniagaan yang bertentangan dengan kedudukannya sebagai pegawai awam.

Dia didakwa tidak mendedahkan maklumat melalui pernyataan bertulis secara bersumpah bertarikh 17 September lalu berkenaan dua ruang pejabat iaitu Lot 144, Seksyen 44, petak 127 dan 128 yang bernilai RM1,032,840 di Tingkat 4, Bangunan M1-B, Megan Avenue II, Jalan Yap Kwan Seng di Kuala Lumpur.

Sementara itu, bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, Ramli didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh didakwa di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 hari dan denda sekurang-kurangnya RM10,000.

Timbalan Pendakwa Raya Badan Pencegah Rasuah (BPR) Putrajaya, Azlina Rasdi memohon agar mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin sebanyak RM10,000 ke atas pegawai kanan polis itu.

Azlina yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nazrul Nizam Mohd. Zameri turut memaklumkan kepada Hakim Duncan bahawa mereka akan memanggil 30 saksi bagi perbicaraan kes tersebut.

Mahkamah kemudian membenarkan Ramli dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 dan menetapkan perbicaraan selama lima hari iaitu dari 18 hingga 22 Februari 2008.

Ramli yang memakai kot berwarna kelabu dibawa masuk ke mahkamah pada pukul 10.05 pagi dengan ditemani isterinya, Datin Anita Harun dan peguamnya, Mau Kam Peng.

Tertuduh itu kemudian dibebaskan dengan ikat jamin setelah mengemukakan wang jaminan.

Sementara itu, sekumpulan 15 orang yang mendakwa mewakili 5,000 penduduk dari kawasan tanah terlibat di Lahad Datu berhimpun secara aman di hadapan bangunan mahkamah di sini.

Jurucakapnya yang juga Ketua UMNO cawangan Tanjung Labian, Kunsul Nahul berkata, beliau berharap kerajaan negeri prihatin terhadap nasib penduduk di kawasan itu.

‘‘Kami minta geran tanah dikeluarkan kepada kami yang telah menetap di sana sejak tahun 1950-an dan bukannya (kerajaan) memberikan tanah itu kepada syarikat dari luar (Sabah),” katanya.

Bagaimanapun, usaha mereka untuk berjumpa tertuduh tidak kesampaian kerana Ramli keluar melalui pintu belakang mahkamah dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Saturday, November 3, 2007

Di Luar Lingkaran: Pengajaran dari kejayaan Goh Tong

Hasil ketekunan, keyakinan dan visi jelas bina empayar sendiri dalam perniagaan

TAN SRI LIM GOH TONG bersekolah hingga usia 16 tahun. Dia harus membantu menyara adik beradiknya seramai tujuh orang akibat kematian bapanya. Beliau meninggalkan kampung asalnya di Anxi dalam Jajahan Fujian, China pada 1937 untuk kali pertamanya mencuba nasib di rantau orang. Tiga tahun kemudian beliau kembali ke Anxi. Pada Julai 1941 beliau datang semula ke Malaya.

Selasa lalu, Goh Tong, seorang daripada billonaire dunia dan antara orang yang terkaya di Malaysia meninggal dunia. Beliau mewariskan empayar perniagaan yang besar. Cerita kejayaan Goh Tong adalah cerita yang menarik dan penuh drama. Juga cerita mengenai keyakinan, keberanian, ketekunan dan visi seorang manusia. Beliau berjaya walaupun menghadapi suka duka, pahit maung dan jatuh bangun.



Terlalu banyak yang sebenarnya boleh dipelajari daripada kisah hidup beliau. Beliau sebenarnya mewakili generasi pertama ahli perniagaan Cina yang bermula daripada kosong. Tidak seperti anak ahli perniagaan Cina yang berjaya hari ini, Goh Tong memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan. Beliau mengambil masa yang panjang untuk menikmati kejayaan. Malah, beliau terbabit dalam perniagaan yang boleh dikatakan besar hanya pada usia 37 tahun. Itupun dalam sektor perlombongan besi. Dalam bidang pembinaan, syarikatnya Kee Huat mendapat kontrak pertama hanya pada 1954 untuk membina saluran kumbahan untuk Majlis Perbandaran Kuala Lumpur ketika itu. Projek itu bernilai RM4.1 juta.

Projek pembinaan terbesar bagi syarikat itu ialah membina Empangan Air Itam di Pulau Pinang pada 1957. Itu adalah empangan pertama dibina di negara ini dan yang pertama kontrak sebesar diberikan pada syarikat tempatan. Kos projek itu ialah RM12 juta, jumlah yang cukup besar pada waktu negara baru saja memperoleh kemerdekaan.

Sejarah pembabitannya dalam perniagaan bermula apabila beliau menjejakkan kaki kali pertama di Malaya. Dengan pengalaman bekerja dengan bapa saudaranya, beliau memberanikan diri menjadi kontraktor kecil-kecilan. Kontrak pertama membina sekolah dua tingkat di Cheras, Kuala Lumpur. Beliau membuat keuntungan sebanyak RM100 daripada usaha itu. Apabila beliau datang kali kedua, Goh Tong membabitkan diri dalam perniagaan barang terpakai. Beliau juga terbabit dalam perniagaan besi buruk. Kemudian beliau menceburkan diri dalam jual beli jentera terpakai mengambil kesempatan daripada begitu banyaknya jentera yang ditinggalkan tentera Jepun yang menyerah kalah pada 1945. Itupun jumlah yang terbabit masih kecil. Hanya pada 1951, barulah beliau secara berani terbabit menjual beli jentera melebihi RM50,000.

Kita mengenal Goh Tong sebagai orang bertanggungjawab membina pusat peranginan dan perjudian di Genting. Namun, kehidupannya seperti dirakamkan dalam buku Cerita Saya sebenarnya jauh lebih kompleks. Membina sebuah pusat peranginan di pergunungan yang belum dijejaki manusia hanyalah satu daripada contoh visi beliau.

Orang tidak tahu bahawa sebelum itu beliau hampir jatuh bankrap. Rancangan Pengairan Kemubu di Kelantan adalah projek pengairan yang kedua terbesar di Malaysia ketika itu selepas Perairan Muda di Kedah. Bank Dunia memberikan pinjaman RM30 juta pada kerajaan Persekutuan untuk tujuan itu. Syarikat Kien Huat mendapat kontrak bernilai RM54 juta, RM10 juta lebih rendah daripada pesaing terdekat. Projek ini membabitkan tali air sepanjang kira-kira 540 kilometer yang bersilang di dalam kawasan yang membabitkan projek itu dan lebih 2,000 laluan atau jambatan.

Kemubu nyaris-nyaris menjerumuskan beliau dalam kancah kemusnahan, tetapi Goh Tong tidak berputus asa. Kemubu siap mengikut jadual lalu memperkukuh nama Goh Tong sebagai orang yang bersedia menerima sebarang cabaran. Seperti juga kontrak kumbahan di Kuala Lumpur, Kemubu memberikan pelbagai masalah kepada beliau dan syarikatnya.

Projek Genting hanya datang dalam impiannya ketika beliau berusia 45 tahun. Pada masa itu syarikat-syarikat beliau sudah berjaya. Apa perlunya terbabit dalam usaha yang dianggap gila oleh banyak orang? Beliau digerakkan oleh satu motivasi – projek sedemikian tidak diinginkan oleh orang lain. Maksudnya tidak ada persaingan. Beliau membayangkan sebuah tempat peranginan di puncak Gunung Ulu Kali, 1,800 meter di atas paras laut. Pada 1963, beliau bersama 20 orang lain merentas hutan untuk mencari tapak paling strategik untuk pusat peranginan itu. Pada tahun itu juga beliau mengemukakan cadangan pada Kerajaan Selangor dan Pahang untuk membuka tanah seluas 6,050 hektar di kedua-dua negeri berkenaan.

Pada 1965, syarikat Genting Highlands Sdn Bhd menjadi kenyataan. Rakan kongsi beliau ialah Tan Sri Haji Mohd Noah. Pada 8 Mei 1971 Genting pertama kali membuka pintunya untuk pengunjung, lapan tahun selepas beliau membayangkan kemungkinan itu. Beliau berusia 53 tahun ketika itu.

Usia tidak pernah menjadi halangan pada sesiapa yang berkeyakinan untuk berjaya dalam perniagaan. Lebih penting lagi, daripada pengalaman Goh Tong, bukan sekolah terbaik yang menjanjikan kejayaan dalam berniaga. Malah, Goh Tong sendiri tidak fasih berbahasa Inggeris. Beliau bercakap dalam dialek Hokien, maka beliau menjalankan mesyuarat syarikatnya dalam bahasa Melayu. Namun, beliau mampu berurusan dengan hampir setiap bangsa di dunia dalam bidang perniagaan. Moral ceritanya bahasa bukan alasan untuk mengurangkan keupayaan perniagaan sesiapa.

Goh Tong tidak berhenti setakat Genting saja. Syarikat-syarikatnya terbabit dalam pelbagai perniagaan lain. Perniagaan beliau juga berkembang ke luar negara, tetapi Goh Tong tetap menjadi nakhoda empayar itu sehingga beliau membuat keputusan mengundurkan diri pada 27 November 2002 dan menyerahkan tampuk perniagaan kepada anak beliau yang keempat (anak lelaki kedua), Tan Sri Lim Kok Thay. Kok Thay menjadi Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Berhad dan Resort World Berhad. Waktu itu Goh Tong sudah berusia 84 tahun.

Goh Tong bukan manusia luar biasa. Malah, dalam autobiogafinya beliau mengakui pada mulanya beliau berasa kekok berinteraksi dengan orang lain. Beliau tidak diwariskan dengan kekayaan, malah kemiskinan yang menyebabkan beliau meninggalkan China. Bukan semua orang yang datang ke Malaya ketika itu mencipta kejayaan seperti beliau. Beliau menyedari hakikat bahawa beliau harus membuat banyak penyesuaian di negara barunya. Beliau sudah melalui empat orang Perdana Menteri dan menyaksikan pelbagai krisis yang melanda negara ini dan orang Melayu.

Hari ini, tidak banyak ahli perniagaan Cina dan Melayu yang mempunyai kesabaran sedemikian. Lebih-lebih lagi orang Melayu. Banyak yang berharap mereka mendapat kekayaan segera sama ada melalui ‘kaitan’ politik atau dengan mendapat kontrak yang lumayan. Sebahagian besar daripada mereka adalah ahli perniagaan pasang siap, yang mendapat laba tanpa perlu banyak berusaha.

Sesiapa saja yang mendapat kontrak besar, bukan saja tidak perlu banyak bersusah payah untuk menjalankannya kerana akan ada orang lain yang boleh mengambil risiko itu. Apa yang perlu, duduk rehat saja mengaut peratus keuntungan.

Falsafah perniagaan orang seperti Goh Tong berbeza. Malah, beliau mungkin generasi terakhir ahli perniagaan Cina yang terpaksa melalui proses yang sukar itu. Hari ini banyak ahli perniagaan Cina yang sebenarnya lahir ke dalam keluarga yang sudah berjaya. Mereka hanya meneruskan usaha perniagaan, menambah nilai atau memperluaskan empayar.

Legasi Goh Tong tidak berakhir dengan kematiannya. Sekolah perniagaan akan mempelajari kaedah perniagaannya. Banyak orang yang akan menelaah punca kejayaan beliau. Banyak daripada kita mungkin tidak bersetuju dengan aspek perjudian yang diceburinya, tetapi kita harus secara terbuka mengakui bahawa bidang perjudian hanya sebahagian daripada rangkaian perniagaannya yang kompleks dan luas itu.

Saya ingin mencadangkan semua ahli perniagaan Melayu dan mereka yang berminat untuk berniaga membaca buku Cerita Saya secara jujur dan terbuka.

Sembang Dapat Rangsang Otak

Percakapan 10 minit sehari tingkat daya ingatan

NEW YORK: Sekumpulan saintis Amerika Syarikat mendakwa bersembang atau bercakap dengan rakan atau jiran selama 10 minit sehari, mampu menajamkan minda - sama seperti kesannya apabila individu melakukan senaman mental seperti teka silang kata.

Ketua penyelidik Universiti Michigan, Oscar Ybarra berkata amalan bersembang tidak hanya menjadi satu kegiatan sosial, tetapi pada masa sama membantu individu meningkatkan daya ingatan.

"Kajian kami menunjukkan bersembang itu sama kesannya dengan manfaat senaman mental bagi tujuan menajamkan fikiran seperti teka silang kata," katanya yang dipetik edisi terbaru Science Daily, semalam.



Penyelidik membuat rumusan itu berdasarkan kajian, termasuk ujian ke atas pelajar universiti berusia 18 hingga 21 tahun.

Selepas mengambil kira faktor demografi termasuk usia, pendidikan, jantina, kaum, status perkahwinan dan pendapatan, penyelidik meneliti kaitan antara kekerapan sosial dengan tahap daya ingatan.

Mereka turut diperiksa tahap fizikal dan kesihatan serta kemungkinan mengalami masalah kemurungan atau tekanan.

Setiap pelajar dibahagikan kepada tiga kumpulan dan setiap kumpulan perlu terbabit dalam diskusi isu sosial selama 10 minit sebelum menduduki ujian khas.

Hasilnya, mereka yang terbabit dalam kumpulan kegiatan intelektual dapat menyempurnakan tiga cabaran sebelum ujian.

Cabaran itu termasuk membaca karangan dan menyelesaikan teka silang kata. Mereka di dalam kumpulan yang diawasi, menonton klip siri 'Seinfield'.

Responden diminta menjalani dua ujian berbeza bagi mengesan tahap intelektual, kelajuan daya ingatan dan kemampuan melakukan tugasan diberikan.

"Kami dapati mereka yang terbabit dalam interaksi sosial biarpun selama 10 minit, sudah cukup untuk merangsang keupayaan intelektual individu. Malah, lebih tinggi pembabitan seseorang dalam interaksi sosial, lebih banyak catatan positif keupayaan kognitif mereka."

Hasil kajian itu turut merumuskan, perbuatan mengasingkan diri terbukti meninggalkan kesan negatif kepada diri individu.

"Bukan setakat dirinya, tetapi boleh menjejaskan keupayaan intelektual serta perkembangan emosinya." – Agensi

Friday, September 21, 2007

Permodalan pasaran GLC meningkat RM103 bilion

Program transformasi turut sumbang tambah nilai kepada pemegang saham

PROGRAM transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dilancarkan tiga tahun lalu mencatat pencapaian menggalakkan dengan nilai permodalan pasaran syarikat berkenaan meningkat 71 peratus atau RM103 bilion kepada RM248 bilion.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata program yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu yang kini memasuki fasa ketiga pelaksanaannya turut menyumbang kepada menambah nilai kepada pemegang saham 20 GLC utama (G-20), di samping peningkatan prestasi kewangan masing-masing.

"Kita juga menyaksikan peningkatan pendapatan syarikat berkenaan yang meningkat sebanyak 60 peratus tahun lalu dan jangkaan 45 peratus tahun ini.

"Pencapaian GLC ini juga tidak boleh dilihat hanya dari segi kewangan semata-mata kerana ia juga menyumbang kepada kemajuan dalam industri strategik seperti perbankan, tenaga dan telekomunikasi yang disertai syarikat terbabit," katanya.

Beliau memberitahu demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Putrajaya Bagi Prestasi Tinggi GLC kali ke-15 (PCG15) di Kementerian Kewangan di Putrajaya, semalam.

Mesyuarat itu dihadiri Pengerusi dan Ketua Eksekutif G-20.

Nor Mohamed menegaskan, keputusan kewangan terbaru syarikat berkenaan, iaitu bagi suku tahunan berakhir 30 Jun lalu menunjukkan program transformasi GLC berada di landasan yang betul dengan beberapa syarikat menunjukkan peningkatan berterusan dalam prestasi dan operasi.

Beliau berkata, setakat 14 September 2007, keseluruhan pulangan pemegang saham bagi G-20 naik 90.77 peratus mengatasi prestasi penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 0.7 peratus.

"Ini adalah satu pencapaian yang cemerlang kerana pencapaian baik syarikat GLC itu turut meningkatkan daya saing negara," katanya.

Justeru, beliau berkata, program transformasi GLC yang akan dilaksanakan sehingga 2015 akan terus memberi penekanan kepada usaha dan langkah bagi memastikan GLC terus menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Langkah akan terus diambil bagi memaju dan memastikan GLC memainkan peranan dalam menjana pertumbuhan ekonomi," katanya.

Nor Mohamed juga berkata, semua GLC mestilah terus mempertahankan momentum yang dibina sejak beberapa tahun kebelakangan dan terus memastikan pembaharuan itu berjaya.

Bagi meningkatkan lagi program transformasi itu ke tahap lebih tinggi, beliau berkata, PCG akan mengemukakan laporan akhir tahun kepada Perdana Menteri, Disember ini.

Selain itu, kajian kemajuan prestasi tahunan GLC juga akan diumumkan pada Mac 2008 apabila keputusan kewangan bagi 2007 diumumkan dalam suku pertama 2008.

"Menjelang akhir 2010, program transformasi itu disasarkan akan memberi manfaat besar kepada pihak berkepentingan dalam GLC seperti kerajaan, masyarakat Bumiputra, pelanggan, pembekal dan kakitangan," katanya.

RM14b bangun kota Hadhari

IPOH 21 Sept. – Sebuah bandar raya Islam bertaraf antarabangsa yang akan dikenali sebagai Hadhari International City berharga RM14 bilion akan dibina di Sungai Behrang, Tanjong Malim dekat sini.

Pengerusi Eksekutif T.J Harmoni Sdn. Bhd., Datuk Othman Hassan berkata, jika diluluskan projek itu dijangka siap dalam tempoh 10 tahun.

Projek itu apabila siap akan mewujudkan komponen wilayah-wilayah seperti Arab, Asia, Afrika, Eropah dan antarabangsa.

Katanya, bandar raya Islam bertaraf antarabangsa itu dirancang dibina di atas tanah seluas 2,240 hektar.

‘‘Ia akan dimajukan dengan pelaburan bersama antara TJ Harmoni, China dan beberapa negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC),’’ katanya.

Othman kelmarin menemui Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali di pejabatnya untuk mengemukakan permohonan bagi projek tersebut.

Beliau berkata, bandar raya ini merangkumi pusat Hadhari antarabangsa, pusat bandar, pusat kecemerlangan modal insan dengan institusi latihan dan pendidikan, perumahan terancang, perniagaan, rekreasi, kemudahan infrastruktur dan utiliti.

‘‘Kita akan memulakan projek ini sebaik-baik sahaja mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri Perak,” katanya.

‘‘Apabila siap nanti, bandar ini akan mempunyai 20,000 buah rumah dengan penduduk berjumlah 200,000,” katanya.

Beliau berkata, antara komponen lain yang disediakan ialah pusat pentadbiran antarabangsa, pusat persidangan, pasar raya, premis jualan terus dari kilang, hotel dan rumah kelab.

Katanya, projek itu akan dibina di atas tanah peneroka Felda Sungai Behrang yang terletak 10 kilometer dari pekan Slim River dan 5 kilometer dari Bandar Behrang 2020.

Othman berkata, buat permulaan pihaknya akan mendirikan sebuah universiti Islam antarabangsa yang setaraf dengan kampus Universiti Al-Azhar di Mesir atau Universiti Al-Ulum di Madinah yang akan dikenali sebagai Universiti Islam Antarabangsa Hadhari.

Pembinaan universiti itu dijangka membabitkan pelaburan bernilai RM4 bilion, katanya.

Katanya, universiti itu dijangka mampu menampung lebih 10,000 pelajar antarabangsa dan tempatan apabila beroperasi nanti.

Di samping itu, katanya, bagi menarik pelancong terutama dari negara anggota OIC dan ASEAN, sebuah pusat pakar perubatan antarabangsa yang serba moden turut akan didirikan melibatkan kos sebanyak RM1 bilion.

‘‘Projek bandar raya ini apabila siap nanti akan menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri Perak,” katanya.

Air mata orang ramai iringi pemergian Nurin Jazlin

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Tangisan dan deraian air mata orang ramai, tanpa mengira kaum, umur dan keturunan, mengiringi pemergian Nurin Jazlin Jazimin, kanak-kanak mangsa culik yang mati dibunuh, ketika dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Gombak, di sini petang ini.

Jenazah itu dimasukkan ke liang lahad tepat pada pukul 2.45 petang ini selepas solat Jumaat, sambil disaksikan oleh ibu bapanya, Jazimin Abdul Jalil, 33, dan Norazian Bistaman, 35, dan kaum keluarga serta jiran.

Kesedihan pasangan suami isteri itu yang kehilangan “Kak Ngah”, panggilan mesra bagi Nurin Jazlin, amat ketara dan kerap kali Norazian, berjubah dan bertudung hitam, terpaksa ditenangkan oleh keluarganya.

Suasana bertambah pilu ketika hadirin sepi memberi perhatian kepada pembacaan talkin.

Selesai pengebumian, Jazimin yang sebelum ini tidak dapat menerima hakikat bahawa kanak-kanak yang dibunuh itu adalah anaknya, kelihatan gagal mengawal emosinya apabila menangis teresak-esak di hadapan pusara Nurin Jazlin hingga ditenangkan oleh keluarga terdekat, sambil diperhatikan tiga lagi anaknya.

Selepas kembali tenang, Jazimin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang prihatin apabila tidak putus-putus mengirim ucapan takziah kepadanya sekeluarga.

“Saya juga berterima kasih kepada mereka yang bersama-sama saya sekeluarga mencari tanpa putus asa sejak Nurin hilang 20 Ogos lalu,” katanya.

Terdahulu, jenazah Nurin Jazlin dikapan dan disembahyangkan di Madrasah Assa’adah Seksyen 1 Wangsa Maju, iaitu berhampiran kediaman keluarga kanak-kanak berkenaan, sebelum dibawa dengan van sejauh 3 km ke tanah perkuburan itu.

Imam madrasah itu, Mohd Aziz Elias Zahari turut sebak ketika mengimamkan solat jenazah yang disertai kira-kira 200 orang selepas menunaikan solat Jumaat.

Sementara itu, Jazimin, yang kelihatan sering menitiskan air mata sejak pagi ini terutama apabila bersendirian, ketika ditemui pemberita jelas tidak dapat membendung rasa marahnya terhadap pembunuh anak kesayangannya itu.

“Pembunuh itu perlu dihapus dari muka bumi dan dihukum.

“Perbuatan pembunuh itu lebih keji dari binatang. Ini bukan kesalahan ibu bapa tetapi pembunuh yang tidak berhati perut,” katanya.

Jazimin berkata, walaupun tidak dapat mengenal pasti mayat anaknya sendiri sebelum ini kerana terlalu banyak perubahan ketara pada fizikal mayat, beliau reda dengan keputusan DNA itu.

“Cukuplah, tak perlu lagi buat ujian DNA kali kedua,” katanya.

Sebelum itu, bagi menenangkan jiwanya, Jazimin sebaik tiba di madrasah tengah hari ini dari hospital bersama-sama jenazah anaknya, tiba-tiba berhasrat untuk membayar zakat fitrah berjumlah RM28.20 bagi mereka enam sekeluarga termasuk Nurin Jazlin, di kaunter zakat madrasah itu.

Norazian pula kelihatan tidak mampu untuk berkata-kata, dan setiap pertanyaan pemberita hanya disambut dengan esakan.

Rakan Norazian, Rin Abdul Talib, 25, berkata, keluarga Nurin Jazlin termasuk rakan-rakan keluarga malang itu sebenarnya kecewa kerana polis tidak menyerahkan terlebih dahulu kepada ibu bapanya keputusan DNA yang membuktikan mayat kanak-kanak itu adalah Nurin Jazlin sebelum mengumumkannya kepada media semalam.

“Malahan kami pula yang bersusah payah ke sana (Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya) bagi mengambilnya.

“Sepatutnya famili tahu dahulu, bukannya media,” katanya.

Rin berkata, mereka terkejut apabila menonton berita di televisyen petang semalam yang melaporkan polis mengesahkan mayat itu adalah Nurin Jazlin.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, dilaporkan hilang pada 20 Ogos setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Isnin lalu, mayat budak perempuan tidak berbaju dipercayai mangsa deraan seks, ditemui pemilik lot kedai di Jalan PJS 1, dan setelah ujian DNA dijalankan, ia mengesahkan mayat itu adalah Nurin Jazlin.

Bedah siasat mendapati pembunuh telah memasukkan timun dan terung ke dalam kemaluan mangsa, menyebabkan rektumnya pecah hingga dijangkiti bakteria.

Ia antara faktor yang menyumbang kepada kematian kanak-kanak itu.

Kanak-kanak itu yang ditemui mati berkeadaan kurus kering selain mempunyai pelbagai kesan lebam pada badannya, dan ini menyebabkan ibu bapa Nurin Jazlin tidak mengenalinya semasa membuat pengecaman pertama kali Isnin lepas. - Bernama

Dua pegawai polis dipecat

PUTRAJAYA 21 Sept. – Dua pegawai kanan polis dibuang kerja manakala seorang lagi diturunkan pangkat berkuat kuasa serta-merta setelah terlibat dengan kesalahan disiplin, kata Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Suruhanjaya Polis ke-71 dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pegawai polis yang dikenakan tindakan itu berpangkat asisten supritendan dan ke atas namun mereka tidak termasuk dua pegawai kanan polis yang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).

‘‘Seorang daripada mereka terlibat menyalahgunakan kuasa dan rasuah manakala dua lagi dikenakan tindakan disiplin kerana berkahwin dua tanpa memaklumkan kepada pegawai lebih tinggi atau komander mereka.

‘‘Ia adalah polisi dan untuk tujuan keselamatan. Pegawai terbabit berkahwin di luar negara dan mereka juga tidak memaklumkan kepada pegawai kanan mereka ketika berada di sana,” katanya.

Ditanya nama pegawai terbabit, Musa berkata, beliau akan mendedahkan dalam laman web polis supaya perkara itu menjadi pengajaran kepada semua anggota polis.

Beginikah manusia?




SELURUH rakyat Malaysia berkongsi kesedihan dengan ibu bapa Nurin Jazlin Jazimin - kanak-kanak malang yang hilang selama lebih sebulan akhirnya ditemui kaku dalam keadaan amat menyayat perasaan.

Sememangnya bukan itu bentuk pertemuan yang diharapkan oleh pasangan Jazimin dan Nurazian. Apa yang diharapkan ialah Nurin kembali ke pangkuan keluarga dalam suasana ceria. Tempat pertemuan bukan di bilik mayat jauh sekali dalam suasana hiba.

Kita amat bersimpati kerana ‘kemunculan’ Nurin membayangkan penderitaan yang ditanggung selama 30 hari dia disembunyikan.

Nurin tidak perlu berceloteh atau bercerita tentang kesengsaraan yang ditanggungnya. Dia juga tidak perlu menjelaskan kepada dunia betapa ‘binatang’nya manusia yang memperlakukan dia sedemikian rupa. Kemunculan sekujur tubuh kurus dengan kesan lebam di sana sini juga membuatkan kita tidak bertanya, kerana segala kekejaman jelas terbentang di depan mata.

Kemunculan Nurin biarpun dalam keadaan mata terpejam rapat dan mulut terkunci menceritakan segala-galanya - betapa dia diseksa oleh iblis bertopengkan manusia. Penjenayah itu bukan lagi haiwan jauh sekali manusia lantaran haiwan tidak sekejam itu, inikan pula manusia yang dianugerahkan akal dan fikiran.

Lebih memilukan, kita semua pasti, hakikat bahawa Nurin menghidap penyakit buah pinggang dan darah tinggi serta bergantung pada ubat semestinya dalam pengetahuan penjenayah itu.

Namun membaca laporan bedah siasat serta perincian mayat Nurin seperti yang dilaporkan oleh media cetak dan elektronik - kita tidak sanggup memikirkan betapa kejam, gila, sadis dan iblis penjenayah itu ketika melakukan penyeksaan ke atas anak malang yang tidak berdaya itu.

Di manakah rasa belas, kasihan, ihsan yang membezakan manusia dengan binatang sehingga menutup akal penjenayah itu dan terus ‘mengerjakan’ tubuh kecil yang tidak berdosa itu. Bukankah wajah comel serta ketidakupayaan Nurin sepatutnya meredakan kegilaan penjenayah itu sekurang-kurangnya untuk menghantarnya pulang dalam keadaan selamat.

Tidak tersentuhkah perasaan binatang itu apabila mendengar tangisan Nurin yang semestinya amat ketakutan dan kesakitan setiap kali diperlakukan sedemikian rupa. Atau semakin terangsangkah dia untuk menyakiti kanak-kanak itu sehingga memberi kepuasan yang kita tidak tahu di mana nikmatnya.

Apa sebenarnya dosa Nurin sehingga terpaksa melalui 30 hari terakhir hayatnya dengan penuh penyeksaan. Apa salah kanak-kanak comel ini sehingga dia tidak diizinkan untuk meninggalkan sepatah dua kata kepada ibu bapanya sebelum nyawanya diragut sekejam itu.

Sesungguhnya tidak tercapai akal kita untuk memikirkan apa sebenarnya yang diingini oleh penjenayah itu. Apa yang ingin dipuaskan sehingga sanggup melakukan penyeksaan demi penyeksaan.

Kita tidak perlu menjadi ibu bapa Nurin untuk menitiskan air mata simpati dan sedih terhadap apa yang terjadi. Kita tidak perlu malu untuk mengaku bahawa fikiran kita amat terganggu dengan kejadian ini. Ini kerana kita juga mempunyai anak-anak yang turut terdedah kepada jenayah-jenayah yang di luar batas akal dan fikiran ini.

Meninggalkan

Yang pasti tindakan penjenayah itu meninggalkan mayat Nurin di dalam sebuah beg sukan di tempat terbuka juga membawa mesej yang tersendiri.

Dia seolah-olah mencabar pihak polis. Dia ingin menunjukkan betapa kebuntuan mencari Nurin mesti diakhiri, tetapi dengan cara yang amat tragis.

Dia juga cuba membuktikan ketika semua orang bertungkus-lumus menjejaki Nurin di seluruh negara, kanak-kanak itu sebenarnya berada tidak jauh daripada keluarganya. Cuma jeritan dan raungannya tidak kedengaran oleh kita semua. Nurin bersendirian menanggung sengsara dalam suasana yang amat terasing baginya.

Penjenayah itu juga membuktikan kegilaan yang melampau sebab itu mayat kanak-kanak malang itu tidak disembunyikan. Kita tidak tahu apakah motif penjenayah itu meletakkan mayat yang sarat dengan bahan bukti penderaan seksual itu di situ. Semestinya ada juga bukti-bukti yang boleh mendedahkan dirinya yang sebenar. Mengapa anak malang itu tidak dihumban di dalam hutan atau dicampak ke laut. Alang-alang bertindak kejam biarlah Nurin `dipadamkan’ terus dari muka bumi tanpa sebarang kesan dan peninggalan. Bukankah begitu sepatutnya perlakuan penjenayah.

Apakah sebenarnya dan tahap manakah kegilaan penjenayah itu yang bukan sahaja kejam terhadap Nurin malah mendera psikologi kita semua.

Adakah supaya pencarian Nurin dihentikan atau supaya pemergian kanak-kanak itu ada kuburnya.

Kelak dia boleh berbangga menunjukkan tempat persemadian mangsanya yang entah ke berapa.

Hakikatnya, sama ada kanak-kanak malang itu Nurin atau orang lain, tiada alasan untuk sesiapa pun mewajarkan perilaku zalim ini. Nurin atau kanak-kanak itu bukan anak kita. Dia juga bukan adik kita, bukan juga saudara kita. Nurin cuma mengingatkan kita bahawa tidak mustahil satu hari nanti kita juga akan mengalami insiden yang serupa.

Di bulan yang mulia ini, seharusnya kita bermuhasabah, merenung dan melihat di sekeliling kita. Terkorbannya Nurin sedemikian rupa membawa banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar oleh pelbagai pihak. Kita tidak boleh menuding jari siapa yang bersalah sebaliknya bersama-sama membetulkan kegilaan dalam masyarakat kita.

Tuesday, September 11, 2007

Kaji projek gentian optik RM52b

KUALA LUMPUR 10 Sept. – Jawatankuasa Jalur Lebar Kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan bersidang Jumaat ini untuk mengkaji cadangan bagi membina satu infrastruktur gentian optik bernilai RM52 bilion seluruh negara, termasuk RM15 bilion untuk kawasan-kawasan bandar.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berkata, antara keputusan yang akan dilakukan ialah sama ada ia akan menjadi projek swasta atau projek sektor awam atau membabitkan kedua-duanya.

Bagaimanapun, katanya: “Telekom Malaysia Bhd. akan menjadi pilihan utama” daripada segi pilihan.

Bulan lepas, Keng Yaik berkata, kementeriannya telah mengadakan perundingan dengan Telekom Malaysia untuk menyediakan hubungan gentian ke rumah berkelajuan tinggi di kawasan bandar terpilih bagi meningkatkan penembusan jalur lebar di Malaysia, tetapi pelaksanaan jalur lebar terletak di bawah tanggung jawab jawatankuasa itu.

Tarikh akhir bagi pelaksanaan projek itu akan turut dibincangkan oleh jawatankuasa itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang membukanya kepada tender antarabangsa, beliau berkata: “Tidak perlu, kita boleh lakukannya sendiri.”

Keng Yaik juga berkata, firma telekomunikasi dari Norway, Telenor ASA, berjanji untuk mengurangkan ekuitinya dalam DiGi.Com Bhd. kepada 49 peratus menjelang akhir tahun ini.

Keputusan itu disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat telekomunikasi Norway itu, Jon Fredrik Baksaas, kepada Keng Yaik berikutan satu pertemuan antara mereka berdua hari ini.

“Hari ini, mereka memberikan komitmen (untuk mengurangkan ekuiti dalam DiGi),” kata Keng Yaik kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran My Broadband di sini.

Telenor sepatutnya mengurangkan kepentingannya dalam DiGi menjelang akhir tahun lepas tetapi telah diberikan lanjutan tempoh selama setahun oleh kerajaan Malaysia, iaitu hingga akhir tahun ini.

Baru-baru ini, Keng Yaik berkata, Telenor tidak lagi akan diberikan tarikh baru untuk mengurangkan kepentingannya daripada 61 peratus, kerana itu adalah syarat yang dikenakan semasa syarikat telekomunikasi itu dibenarkan menambah kepentingannya pada 2001.

– Bernama

Laporan Ketua Audit: Penjelasan KBS

MUKADIMAH
JABATAN Audit Negara semalam mengedarkan jawapan-jawapan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai teguran dan penemuan salah urus dana awam kementerian itu dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Berikut ialah sebahagian daripada penjelasan kementerian itu mengenai pendedahan Jabatan Audit Negara.

PENEMUAN AUDIT: TIDAK dapat mengesahkan sama ada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Beliau dan Sukan ketika itu diberi kuasa untuk menandatangani sebelas kontrak yang melebihi RM5 juta.

PENJELASAN: Semakan mendapati terdapat surat penurunan kuasa daripada Menteri Belia dan Sukan kepada KSU ketika itu bagi menandatangani lapan kontrak perolehan yang keseluruhannya bernilai RM449,421,436.80.

Didapati harga yang ditetapkan bagi 13 jenis peralatan adalah melebihi harga pasaran.

Perbezaan harga timbul disebabkan oleh keadaan tapak yang berbeza di tiap-tiap Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan harga yang dikemukakan oleh pembekal meliputi harga infrastruktur tetapi masih di bawah siling yang ditetapkan oleh Perbendaharaan.

Sebut harga daripada Syarikat Favelle Favco bagi kedua-dua kren yang dibeli oleh IKBN ialah RM1.45 juta (hammerhead) dan RM1.53 juta (luffing). Ini bermakna jumlah yang dibayar oleh kerajaan adalah RM2.74 juta lebih tinggi daripada harga pasaran.

Harga pasaran semasa jauh lebih rendah kerana harga pasaran tidak mengambil kira harga tujuan latihan yang sukar dianggarkan kerana ia bergantung kepada rupa bentuk tapak bagi pemasangan kren. Kerja-kerja pemasangan yang dimaksudkan merangkumi pemasangan limit switch, pagar keselamatan, penyaman udara, bekalan elektrik, laluan masuk dan pembersihan tapak serta ubahsuai kren untuk memuatkan empat orang.

Sebanyak 15 pakej kenderaan terpakai telah dibeli dengan harga RM4.24 juta untuk jurusan ketuk-mengetuk dan semburan cat. Hasil daripada perbandingan antara senarai harga kereta terpakai yang diperoleh daripada Ambank Malaysia didapati harga kereta model yang sama yang dibayar oleh kementerian adalah RM1.44 juta lebih tinggi daripada harga pasaran.

Perolehan dibuat berdasarkan spesifikasi untuk kegunaan latihan dan bukannya persendirian. Spesifikasi untuk latihan yang ditetapkan merangkumi operator manual, spare part, component list, complete wiring diagram, dan maintenance manual. Dokumen-dokumen tersebut tidak boleh dibekalkan oleh syarikat penjual kereta terpakai tempatan.

Pembayaran bagi pembelian 152 pakej desktop komputer yang dilengkapi perisian Computer Assisted Design Drafting (CADD) untuk jurusan Pelukis Seni Bina di empat IKBN telah dibeli dengan harga RM4.47 juta atau RM29,385 setiap pakej. Harga 152 pakej komputer yang dibekalkan kepada IKBN adalah RM3.06 juta lebih tinggi daripada harga pasaran.

Spesifikasi peralatan tersebut didatangkan secara pakej yang merangkumi desktop komputer, perisian CADD, kerusi dan meja komputer, kerja-kerja pendawaian dan networking dan pemasangan vinyl tile pada lantai.

Pembayaran bagi pembelian 430 set papan bancuh simen (mortar board) untuk jurusan Jurubina Bangunan dan Jurusan Jurulepa dan Penjubinan di empat IKBN telah dibeli dengan harga RM441,610 atau RM1,027 setiap satu. Harga pasaran satu set papan bancuh simen hanya RM150, dengan itu harga yang dibayar oleh kerajaan adalah RM377,110 lebih tinggi daripada harga pasaran.

Set papan bancuh simen tidak terdapat dalam pasaran dan perlu dibuat secara custom made dengan menggunakan bahan berkualiti tinggi iaitu kayu jenis resak atau kapur yang tahan kepada kesan cuaca.

Tiga unit kabin telah dibeli dengan harga RM425,700 atau RM141,900 setiap berbanding sebut harga daripada Excel Kabin Sdn. Bhd. sebanyak RM20,000. Ini bermakna harga yang dibayar oleh kementerian adalah RM365,700 lebih tinggi daripada harga pasaran.

Semakan mendapati kabin yang dibeli adalah mengikut spesifikasi. Kos bagi pembelian kabin ini termasuk bagi kerja-kerja pemasangan, pemasangan dan sewaan kren.

Sebanyak 17 set buku teknikal (technical books) dengan 10 tajuk telah dibeli dengan harga RM181,900 atau RM10,700 setiap set. Kesemua 10 tajuk buku tersebut boleh dibeli daripada koperasi DBP dengan harga RM417 sahaja dan harga yang dibayar oleh kementerian adalah RM174,811 lebih tinggi daripada harga pasaran.

Pembayaran tersebut merangkumi pembekalan 10 set buku setiap tajuk yang diperlukan.

Sebanyak lima peralatan lain iaitu Philips Screwdriver, digital kamera, pasu plastik, sette 6 seater PVC dan 2 tonne jack dibeli dengan harga yang tidak munasabah dan mengakibatkan perbelanjaan melebihi RM110,221.

Untuk peralatan digital kamera, ia telah dibekalkan bersama tripod, kabel USB, desktop, kabel video dan CD perisian.

Kementerian Belia dan Sukan perlu mengenal pasti pihak yang terlibat dalam perolehan yang tidak teratur yang mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dan seterusnya mengambil tindakan surcaj seperti mana yang ditetapkan di bawah Akta Acara Kewangan 1957.

Jumlah perolehan yang dibuat ini adalah besar melibatkan 11 pembekal peralatan yang dibuat dalam dua fasa. Fasa satu berjumlah RM267,885,819.87 menjadikan jumlah keseluruhan RM766,595,707.01.

Perolehan ini juga melibatkan jumlah item peralatan yang banyak dan rumit serta merupakan beban tugas yang berat kepada pegawai yang menguruskannya.

Pada masa itu hanya terdapat seorang Ketua Penolong Setiausaha dan seorang Penolong Setiausaha di Cawangan Pembangunan kementerian yang kurang berpengalaman dan berpengetahuan dalam mengendalikan perolehan yang besar dan secara rundingan terus.

Ini menyebabkan berlaku salah tafsir dan kurang perhatian dan tumpuan kepada item-item yang kecil dan adalah kurang wajar tindakan surcaj dikenakan ke atas pegawai-pegawai yang terlibat dalam perolehan tersebut.

Kementerian adalah komited dalam memastikan agar perkara seperti ini tidak berulang lagi ketika mengendalikan perolehan semasa yang akan dilaksanakan kelak.

Abdullah lancar projek PGCC bernilai RM25b esok

11 September 2007

GEORGETOWN: Penang Global City Centre (PGCC), satu daripada projek teras Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang bernilai RM25 bilion, akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, esok.

Pelancaran pelan induk projek PGCC yang dirancang di tapak Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang di kawasan seluas 104 hektar, akan diadakan di sebuah hotel di sini.

Projek yang bakal mengubah wajah bandar ini dan menjadi mercu tanda baru Pulau Pinang, dijalankan Equine Capital Berhad menerusi syarikat sekutunya, Abad Naluri Sdn Bhd.

PGCC yang akan dibangunkan dalam tempoh 15 tahun, mempunyai tiga komponen, iaitu pusat persidangan, seni persembahan dan taman bandar yang luas menggunakan teknologi canggih dengan konsep binaan futuristik.

Ia akan menempatkan Pusat Persidangan dan Pameran Antarabangsa (MICE). Pusat bandar baru itu akan menggunakan model Menara Berkembar Petronas (KLCC) dari segi teknologi dan komponen ekologi.

Pengerusi Eksekutif Equine Capital, Datuk Patrick Lim, berkata projek itu yang dibahagikan kepada beberapa fasa, akan dimulakan dalam 12 bulan dari sekarang.

Fasa pertama projek itu membabitkan pembinaan taman rekreasi awam, iaitu Taman Central seluas 10.4 hektar dengan kos RM40 juta dan penyediaan infrastrukturnya.

“Kami menitikberatkan impak alam sekitar di kawasan itu, dengan konsep bandar karbon sifar diterapkan pada setiap aspek projek ini. Ia akan menjadi bandar pertama di dunia menggunakan konsep sedemikian,” katanya di sini.

Beliau menjelaskan konsep bandar karbon sifar dan pembinaan taman rekreasi awam juga akan meningkatkan nilai hartanah di kawasan itu.

Selain itu, katanya, projek berkenaan membantu mengekalkan tahap pencemaran di kawasan itu berhampiran Bukit Bendera, Taman Belia Perbandaran dan juga Taman Kebun Bunga.

“Projek itu membabitkan penggunaan teknologi ‘Cogeneration’, iaitu proses kitar semula tenaga yang bukan saja menjimatkan kos penggunaan tenaga di bandar tetapi juga mengurangkan pembebasan karbon ke udara,” katanya.

Lim berkata, pihaknya komited untuk memastikan projek itu tidak menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Sehubungan itu, Equine Capital akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk menyambungkan Taman Central dengan Bukit Bendera, Taman Perbandaran dan Taman Kebun Bunga.

Gabungan kawasan berkenaan membentuk satu kumpulan kawasan hijau seluas 344 hektar dikenali sebagai Taman Metropolitan.

“Kami akan membina laluan pejalan kaki menghubungkan taman rekreasi itu untuk kemudahan orang ramai beriadah,” katanya.

Lim berkata, dua jejambat bertingkat setiap satu berharga RM70 juta juga akan dibina berhampiran laluan masuk ke PGCC, iaitu di Jalan Scotland.

“Jejambat itu akan membantu menyuraikan trafik dan mengelak kesesakan yang dijangka berlaku di kawasan itu,” katanya sambil menambah kerja pembinaan jejambat akan siap dalam tiga tahun.

Equine Capital juga berunding dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berhubung pembinaan laluan ke PGCC dari Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR).