Monday, December 15, 2008

Bekas pengurus pejabat pos Putrajaya dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana pecah amanah

15/12/2008 12:05pm


KUALA LUMPUR 15 Dis. — Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara selama tiga tahun terhadap bekas pengurus Pejabat Pos Putrajaya yang mengaku bersalah terhadap tuduhan pecah amanah wang pos RM95,500.

Hakim S.M. Komathy Suppiah memerintahkan Zaharah Jaafar, 45, menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Pada 20 Ogos lepas, Zaharah mengaku bersalah di mahkamah yang sama melakukan pecah amanah membabitkan wang kutipan harian berjumlah RM95,500 milik Pejabat Pos Putrajaya, di pejabat pos berkenaan di Aras 1 Blok B1, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, pada 18 Mei 2006.

Zaharah, 45, didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan boleh dikenakan sebatan.

Pada 24 Nov, mahkamah itu memerintahkan peguam yang mewakili Zaharah supaya mendapatkan laporan kesihatan berkaitan kanser servik anak guamnya terlebih dahulu, sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

Komathy menangguhkan hukuman ke hari ini selepas peguambela Hasnan Hamzah, yang mewakili Zaharah Jaafar, memohon anak guamnya itu dibebaskan dengan bon berkelakuan baik mengikut Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah agar dia dapat menghabiskan sisa hidup bersama keluarga berikutan penyakit kanser servik yang dihidapinya.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aqeeb Lizalman Nordin Zamery. - Bernama

Friday, December 12, 2008

Hartanah kerajaan di luar negara RM3.59b

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Nilai semasa hartanah dan aset milik Kerajaan Malaysia iaitu bangunan kedutaan dan kediaman rasmi perwakilan serta pegawai di luar negara kini dianggarkan berjumlah RM3.59 bilion.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, sehingga kini kerajaan memiliki 32 bangunan canseri, 33 kediaman rasmi ketua perwakilan, 139 apartmen dan kediaman pegawai kedutaan di 43 buah negara.

"Kesemua hartanah ini harus dimiliki secara langsung kerana Kedutaan Malaysia di luar negara akan dapat beroperasi di bangunan sendiri dan menjimatkan kos untuk jangka masa panjang," katanya yang mewakili Kementerian Luar menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Lip Eng ingin mengetahui jumlah aset, ekuiti dan hartanah yang dimiliki kerajaan di luar negara mengikut pasaran semasa.

Syed Hamid berkata, kerajaan mempunyai perancangan untuk membangunkan kompleks kedutaan di luar negara yang akan dapat meningkatkan pengurusan perwakilan dengan lebih baik serta mampu menonjolkan imej negara.

Katanya, kerajaan telah mula membeli aset dan hartanah di luar negara seawal selepas kemerdekaan melalui pasaran terbuka dan jumlah keseluruhan pembelian pada ketika itu adalah RM578.5 juta.

Tuesday, December 2, 2008

Fahami konsep 'tuan'

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
(WARTAWAN UTUSAN)

TANPA sebarang penjelasan yang konkrit, konsep ketuanan Melayu yang kabur boleh diinterpretasikan dengan maksud yang pelbagai oleh individu tertentu mengikut kepentingan peribadi masing-masing.

Hakikatnya, konsep ketuanan Melayu itu menjunjung apa yang dicapai dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan iaitu untuk melindungi kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan penduduk pribumi Sabah dan Sarawak dalam beberapa bidang.

Ia termasuk dalam hal-ehwal dan bidang seperti perkhidmatan awam, pendidikan, biasiswa, latihan, kemudahan dan perniagaan. Perlembagaan Perseketuan yang menjadi tiang seri negara ketika ini adalah hasil daripada kompromi dan persetujuan semua kaum di Malaysia sewaktu penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948. Ia juga merupakan semangat ke arah mendaulatkan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka seperti yang dicapai pada 31 Ogos 1957.

Sebagai salah seorang warganegara Malaysia yang berikrar dan bersumpah untuk taat setia kepada rukun negara, termasuk Keluhuran Perlembagaan, maka seharusnya perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan itu tidak dipertikaikan.

Seandainya isu ketuanan Melayu itu cuba dilihat di luar daripada konteks Perlembagaan sekali pun, tafsirannya tidak wajar hanya berlegar kepada aspek sumbangan sesuatu kaum 'bersama-sama membangunkan negara'.

Sebaliknya semangat ketuanan Melayu itu adalah untuk mengangkat kaum Melayu sebagai kaum bumiputera di negara ini bersama-sama dalam arus pembangunan itu. Bermaksud, ketuanan Melayu itu sendiri adalah satu konotasi untuk memperkasakan bangsa Melayu semata-mata, tanpa sedikit pun cuba menghalang, menjatuhkan, mencabar atau menafikan kaum lain di negara ini.

Hakikatnya dalam konteks pembangunan negara hari ini, apa yang dimiliki oleh orang Melayu tidak lebih daripada apa yang diperuntukkan kepada mereka di dalam Perlembagaan Persekutuan. Orang Melayu meskipun selepas 38 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan, masih jauh ketinggalan dalam pengagihan kekayaan negara termasuk penguasaan ekuiti.

Begitu juga dalam pelbagai lapangan sosio-ekonomi lain apabila kaum Melayu sangat terkebelakang berbanding kaum lain. Malah, kuasa politik orang Melayu juga hampir terlucut jika tidak kerana adanya kuasa raja-raja Melayu.

Orang Melayu juga seperti yang dijelaskan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk tidak mempunyai kuasa dalam mempengaruhi dasar-dasar awam kerajaan sehingga berkemampuan untuk mengetepikan kaum lain dalam arus pembangunan negara.

Sebaliknya, dasar-dasar awam itu banyak dibentuk oleh kaum bukan Melayu yang bersuara menerusi pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kebanyakannya dipimpin oleh kaum bukan Melayu. Apa yang ada pada orang Melayu terutamanya masyarakat di luar bandar hanyalah parti-parti politik seperti UMNO, Pas dan PKR untuk disandarkan harapan supaya dapat membela nasib mereka.

''Jika dalam keistimewaan seperti yang diberikan oleh Perlembagaan sekali pun tidak mampu digunakan oleh orang Melayu untuk mempengaruhi dasar-dasar awam, jadi di mana sebenarnya 'ketuanan Melayu' itu?," katanya.

Justeru adalah sesuatu yang jelas bahawa kebimbangan kaum bukan bumiputera terhadap konsep ketuanan Melayu sebenarnya langsung tidak mengancam mana-mana kepentingan mereka.

Konsep ketuanan Melayu menerusi apa-apa cara sekali pun tidak pernah menghalang kebebasan mereka untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik daripada mana-mana kaum di negara ini. Jauh sekali memberi ancaman kepada kelangsungan keturunan mereka pada masa depan di bumi Malaysia.

Lalu apakah sebenarnya yang menjadi kebimbangan kepada kaum bukan bumiputera terhadap konsep ketuanan Melayu itu? Di mana tuannya orang Melayu apabila hanya menjadi kuli kepada tauke-tauke yang kaya raya daripada kaum lain?

Sebagai pemimpin yang meneruskan semangat kerjasama asal antara UMNO dan MCA yang terjalin sejak Parti Perikatan lagi, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Datin Paduka Che Mei Fun seharusnya lebih memahami sejarah serta semangat yang membentuk kerjasama dan perpaduan antara kaum di negara ini.

Ancaman

Apatah lagi kedua-dua pemimpin itu juga mempunyai pengalaman yang luas dalam kerajaan, justeru seharusnya bijak menilai kesan sesuatu perkara sebelum memberi pandangan lebih-lebih lagi dalam konteks keharmonian kaum. Adalah sesuatu yang tidak logik untuk kedua-dua pemimpin tertinggi MCA itu menyalah tafsir maksud sebenar ketuanan Melayu melainkan kedua-duanya mempunyai agenda tersembunyi yang lain.

Lalu, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk menilai ancaman yang disuarakan terhadap konsep ketuanan Melayu itu tidak lebih daripada retorik politik untuk meraih populariti dan sokongan semata-mata. Soi Lek yang meskipun berjaya memenangi jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan MCA baru-baru ini hakikatnya berdepan dengan sokongan yang goyah dalam parti. Ditambah skandal video seksnya yang masih menjadi isu integriti di kalangan kebanyakan ahli, Soi Lek memerlukan satu keajaiban untuk mengangkat kembali maruahnya.

Begitu juga dengan Mei Fun yang tewas dalam pilihan raya umum ke-12 lalu kepada wakil DAP, Pua Kiam Wee bagi kerusi Parlimen kawasan Petaling Jaya Utara. Barangkali dalam percubaan untuk meningkatkan populariti seterusnya sokongan bagi survival politik mereka, pemimpin MCA ini mengambil jalan mudah memperjuangkan isu berbentuk perkauman.

Apakah sudah tidak ada perkara lain yang boleh diperjuangkan oleh pemimpin MCA dalam konteks perjuangan bangsa dan parti mereka? Barangkali pemimpin-pemimpin itu perlu menyemak kembali sumbangan mereka sebagai komponen parti BN dalam pilihan raya yang lalu.

MCA hakikatnya tidak banyak menyumbang kepada kemenangan BN apabila tewas di kebanyakan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Perkara ini yang seharusnya menjadi tumpuan pemimpin MCA, bukannya mengikut nada pembangkang mempersoalkan sesuatu perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan yang jelas boleh mengundang kekeruhan perpaduan kaum.

Konsep ketuanan rakyat seperti yang dicadangkan oleh Soi Lek itu sendiri bukanlah sesuatu yang baru sebaliknya ia mirip kepada perjuangan Malaysian Malaysia seperti yang diperjuangkan oleh pembangkang.

Hakikatnya dalam istilah demokrasi di negara ini, konsep ketuanan rakyat itu sudah dipraktikkan apabila setiap warganegara Malaysia diberikan hak masing-masing untuk mengundi. Malah istilah 'ketuanan' itu sendiri terlihat dalam perikatan BN ketika ini apabila setiap parti komponen memperjuangkan kepentingan kaum yang diwakili mereka.

Apakah sesuatu yang bakal menjadi kenyataan untuk melihat parti-parti berasaskan kaum dengan lantangnya memperjuangkan kaum yang lain pada masa depan?

Apa yang menghairankan serangan melangkaui sempadan perkauman itu agak kerap kedengaran selepas pilihan raya umum lalu, yang mana MCA sendiri mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah mereka. Sedangkan ketika BN berjaya mengekalkan majoriti 2/3 kerusi di Parlimen dalam pilihan raya sebelum ini, isu-isu sebegini tidak pernah kedengaran.

Barangkali kerana mahu membina kembali maruah yang tercalar, MCA cuba meraih sokongan dan populariti penyokong mereka dengan menggunakan kelemahan BN dan UMNO. Seharusnya sebagai parti yang sangat sedikit menyumbang kepada survival BN sebagai peneraju negara dalam pilihan raya lalu, pemimpin MCA ketika ini giat memperbaiki kelemahan parti.

Monday, December 1, 2008

Hentikan tindakan mengguris hati orang Melayu

SEKALI lagi orang Melayu terguris apabila Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mempertikaikan konsep ketuanan Melayu dengan membuat kenyataan bahawa konsep tersebut tidak relevan lagi. Malangnya kenyataan itu dibuat selepas beliau tidak lagi berada dalam Kabinet seolah-olah ada agenda lain di sebaliknya.

Tidak kita nafikan akhir-akhir ini pelbagai bentuk kritikan, tindakan dan juga ketidakpuasan hati diungkit berkaitan orang Melayu sama ada oleh parti pembangkang mahupun parti-parti komponen Barisan Nasional yang menyentuh isu bahasa, keistimewaan Melayu dan juga pendidikan.

Dua minggu lepas, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah memberi peringatan agar kaum-kaum lain di negara ini menghormati dan menerima adat, sejarah serta sistem pemerintahan di negara tempat mereka berhijrah dan bukannya mengkritik untuk tujuan menjatuhkan. Ternyata titah tersebut dipandang remeh kerana masih ada isu yang dibawa ke tengah seolah-olah sengaja mahu diperdebatkan.

'Serangan' paling jelas ialah mengenai isu ketuanan Melayu dan juga bahasa Melayu kerana tidak sampai dua minggu selepas sesuatu isu dibangkitkan ada pula isu baru yang diketengahkan yang sedikit-sebanyak menggugat kesabaran orang Melayu.

Kedegilan pihak-pihak tertentu yang tetap mahu mengungkit setiap isu mengenai Melayu seolah-olah melanggar Perlembagaan yang mana telah ditetapkan bahawa bahasa Melayu itu sebagai bahasa rasmi dan keistimewaan kaum Melayu sebenarnya merujuk kepada asal usul negara ini dan kaum pribuminya daripada keturunan Melayu.

Apa yang berlaku sebenarnya memperlihatkan adanya usaha untuk mengikis kuasa Melayu sedikit demi sedikit daripada negara ini.

Sejarah telah membuktikan bahawa kuasa-kuasa Melayu yang amat gah suatu masa dahulu terhakis sedikit demi sedikit angkara orang asing.

Punca utamanya ialah dari segi ekonomi dan perluasan kuasa dan pengaruh yang berpunca daripada ekonomi. Kita ambil contoh Melaka yang dahulunya amat terkenal sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan.

Kelicikan orang luar melebarkan perniagaan mereka telah menyebabkan negeri Melaka dikunjungi orang luar sebagai peniaga.

Kepintaran Ferenggi yang pada mulanya membeli tanah sebesar belulang lembu tidak pernah difikirkan langsung oleh pembesar tempatan bahawa dengan belulang itulah Ferenggi menghirisnya kecil-kecil kemudian disambung menjadi tali dan keluasan tanah sebesar tali yang diregang itulah menjadi milik mereka.

Orang Melayu yang bangun mempertahankan hak mereka dalam suasana sekarang terdiri daripada yang membaca dan memamahi sejarah lama sebagai satu pengajaran supaya sejarah hitam itu tidak berulang.

Kita juga menghormati orang bukan Melayu yang memahami sejarah dan keistimewaan Melayu dengan tidak mengusik langsung soal tersebut. Mereka yang memahaminya menjadikan negara kita sebagai tempat mencari rezeki, tempat berlindung dan tempat tinggal selama-lamanya.

Apa-apa pun kita harus ingat jika isu mengenai ketuanan Melayu dan soal bahasa Melayu diungkit oleh bukan Melayu, ini bermakna ada usaha-usaha untuk menghapus keistimewaan tersebut, dan landskap negara akan berubah sekelip mata.

Oleh itu, Melayu mestilah berusaha melindungi hak-hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Salah satu caranya ialah Melayu mesti memperkemas kedudukan ekonomi mereka kerana dengan kelemahan ekonomi, bermakna orang lain akan mengambil kesempatan atas kita.

Di samping itu, kementerian-kementerian tertentu mesti mencari kaedah- kaedah lain untuk memperkukuh perpaduan di kalangan kaum di negara ini supaya dengan mantapnya perpaduan, keharmonian akan dapat dipertahankan.

Dengan hanya menjadikan mata pelajaran sejarah sebagai bahan kajian wajib di sekolah-sekolah rendah tidak lama lagi belum tentu cukup untuk memastikan 'sejarah' kita tidak akan diusik kemudian hari.

Kita sebenarnya mesti mencari jalan bagaimana mahu mendidik sebahagian kecil warga negara yang sudah remaja, dewasa dan tua di negara ini untuk untuk memahami dan menghormati sejarah.

M. JASNI MAJED

Bukit Kapar, Selangor

Membaca semula pesanan silam

Generasi orang Melayu terdahulu atau lebih sinonim disebut "orang tua-tua" dalam konteks budaya orang Melayu mempunyai dan mewariskan kebijaksanaan yang tidak ternilai harganya. Kebijaksanaan silam "orang tua-tua" berkait rapat dengan perihal hidup, sarat dengan nasihat serta peringatan.

Sehingga kini kita sendiri pun tidak tahu siapakah individu yang menitipkan warisan kebijaksanaan silam kepada generasi hari ini. Tetapi yang pasti mereka tentunya bukanlah bertaraf sarjana atau cerdik pandai yang dikenali ramai. Bagaimanapun kecerdikan dan kebijaksanaan mereka tetap relevan dengan semua zaman, biarpun kita dengan agkuhnya berkata, "Kami hidup dalam dunia pasca-moden".

Dalam meredah kehidupan politik masa kini, kita janganlah angkuh menolak kebijaksanaan silam yang banyak memberi peringatan tentang sepak terajang manusia. Orang Melayu sudah lama diingatkan berfikirlah banyak kali untuk melepaskan anjing tersepit kerana anjing jarang mengenang budi orang berjasa kepadanya. Peringatan yang dititipkan oleh entah siapa tetapi sangat berguna supaya kita jangan menjadi mangsa anjing yang kita tolong. Orang Melayu memang terkenal dengan baik hati dan pemurah hingga membinasakan diri.

Barangkali ada baiknya kita menoleh, menghayat dan membaca kembali pesan-pesan yang bijaksana ditinggalkan oleh generasi terdahulu. Banyak perkara yang disentuh oleh generasi silam berlaku kepada kita pada hari ini dan tentunya peringatan tentang perilaku orang Melayu perlu diberi perhatian. Pesanan yang dikiaskan kepada alam budaya di sekitar orang Melayu mempunyai maksud yang sangat mendalam. Apabila mereka melihat perihal kaduk yang menyerupai sirih dan menjalar di junjung sirih, mereka pun berpesan, jangan jadi seperti kaduk naik junjung. Kaduk lupa diri dan perasan ia adalah sirih, satu yang penting dalam alam budaya orang Melayu. Tetapi kaduk tiada gunanya.

Kemudian kita pun temui pesanan berbunyi, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Kebaikan yang tidak bertempat atau melampau selalunya mengundang kesusahan kepada diri sendiri. Malah orang Melayu terdahulu juga menyindir perihal orang Melayu sendiri, dagang lalu ditanakkan nasi, anak di rumah kelaparan. Kisah orang dagang mahu memijak kepala orang Melayu tidak pernah selesai. Orang Melayu sudah melakukan pengorbanan "menanakkan nasi" atau memberi peluang untuk hidup kepada orang dagang biar pun anak-anak mereka tidak berpuas hati. Inilah kebaikan orang Melayu tetapi akhirnya sikap itu memakan diri apabila orang dagang terlupa sifat-sifat seharusnya sebagai pedagang atau perantau.

Orang Melayu mesti mengingati semua pesan-pesan silam generasi terdahulu supaya mereka tidak terkena untuk kali yang entah ke berapa. Ketika ada pihak yang memperleceh dan mempertikaikan kedudukan orang Melayu kononnya tidak berlaku adil kepada kaum lain, inilah padahnya, "Dagang lalu ditanakkan nasi, biar anak sendiri kelaparan." Maka benarlah kata orang tua-tua, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Orang Melayu kena mengingati pesanan supaya mereka jangan lagi memagar nyiur yang condong, buahnya jatuh ke halaman orang. Orang Melayu bersusah payah memberi baja dan menjaga supaya perdu pokok kelapa sentiasa selamat, tetapi orang lain yang mengutip buahnya. Yang buruknya mereka ini tidak mengenang budi. Ini sama seperti memberi susu dibalas tuba.

apa dosa melayu terhadap bukan melayu?

MENGAPA kaum bukan Melayu tidak henti-henti membangkitkan isu ketuanan Melayu dan apa sahaja perkara berkaitan Melayu?

Seolah-olah Melayu kini menjadi musuh bukan Melayu, lantaran apa sahaja yang menjadi milik Melayu termasuk yang termaktub di dalam Perlembagaan sentiasa dipersoalkan.

Apa dosa orang Melayu terhadap bukan Melayu? Apa kurangnya orang bukan Melayu jika dibandingkan dengan kedudukan orang Melayu yang merempat di tanah air sendiri.

Apa tuntutan bukan Melayu yang gagal dipenuhi kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan? Sengkek benarkah keadaan orang bukan Melayu di Malaysia sehingga tanpa henti mereka mempertikaikan hak orang Melayu.

Apa sebenarnya maksud tersirat di sebalik tersuratnya tuntutan demi tuntutan agar hak orang Melayu dihapuskan dan tuduhan bahawa ketuanan Melayu tidak lagi relevan.

Tentunya, orang bukan Melayu mahu orang Melayu bersaing dengan mereka tanpa sebarang keistimewaan kerana mereka tahu Melayu tidak akan mampu berbuat demikian.

Dalam keadaan dilimpahi pelbagai keistimewaan seperti yang didakwa oleh bukan Melayu, orang Melayu masih menguasai tangga teratas golongan paling miskin dengan tahap pendapatan di bawah RM1,000.

Malah pencapaian ekonomi orang Melayu pun masih lemah dan tidak dapat menandingi kekayaan orang bukan Melayu di negara ini. Begitu juga dengan kekuatan politik bangsa Melayu yang hakikatnya tidak sekuat mana menyebabkan ia menjadi mangsa ugutan serta hentaman oleh bukan Melayu.

Kelemahan Melayu yang amat ketara itulah hakikatnya yang mendorong bukan Melayu tidak henti-henti 'menyalak' dan menuntut supaya hak Melayu dihapuskan. Jelas matlamat mereka hanya satu - ingin melihat Melayu tersungkur di bumi sendiri sehingga akhirnya kuasa ekonomi menentukan masa depan politik.

Masalahnya orang Melayu hanya gemar bercakap, berhujah dan beretorik setiap kali bersuara untuk mempertahankan hak bangsa sendiri. Hanya laungan kata-kata berkumandang di sana sini namun tiada tindakan bersepadu dilaksanakan untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang kuat dan hebat. Segala keistimewaan yang termaktub di sisi Perlembagaan hanya dinikmati oleh segelintir Melayu yang 'bertuah' manakala Melayu serpihan terus dianaktirikan dan merempat di bumi sendiri.

Lebih menyedihkan ada kalangan Melayu yang turut menolak ketuanan Melayu dan tidak percaya kepada hak keistimewaan Melayu sedangkan manusia-manusia itulah yang mengaut keuntungan daripada dasar tersebut.

Hakikatnya, ini bukan masa untuk beretorik atau mempertahankan Melayu sekadar menggunakan 'air liur'. Ketuanan Melayu mesti dihidupkan semula untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang dihormati dan disegani sehingga tiada kaum berani memperlekehkan Melayu jauh sekali mempersoalkan hak Melayu untuk terus menerajui tampuk pemerintahan negara.

Kesemuanya itu hanya boleh dilaksanakan jika semua pihak bersatu dan bersungguh-sungguh menjayakan agenda membangunkan Melayu.

Saturday, November 29, 2008

Susur kekuatan politik Melayu

Oleh KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN

Sebagai anak muda Melayu pasca- merdeka, pandangan penulis mungkin salah tetapi enam bulan kebelakangan ini adalah period paling 'hidup' dalam membicarakan isu bangsa Melayu. Banyak pihak yang mewakili apa yang dikatakan sebagai 'suara Melayu' telah bangkit menyatakan pandangan dan juga asas keresahan.

Baik namanya Perkasa, Pewaris - dan banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersuara bagi pihak orang Melayu, semuanya dirasakan ikhlas dengan niat untuk melihat perubahan dan nasib orang Melayu diberikan perhatian oleh pihak berkepentingan. Mereka punya asas untuk bersuara atas pelbagai platform; sayangnya, jika kita gagal mewujudkan kesepakatan pemikiran dan tindakan, suara ini akan menjadi detik 'politikal' yang tidak diterjemah dalam bentuk pelaksanaan dasar dan polisi.

Hakikatnya, suara ini mesti diambil maklum oleh pihak berwajib. Kesemua kertas kerja, resolusi, pandangan, kesimpulan forum dan seminar yang rencam dan pelbagai mesti diperhalusi secara bersungguh dan ikhlas. Jangan biarkan suara orang Melayu menjadi suatu 'gendang politik' yang tidak kesampaian. Perjuangan zaman ini memerlukan komitmen kepada pelaksanaan kata-kata dan bukan sahaja demonstrasi yang tidak berpenghujung.

Apa yang penulis khuatir, rentak kita untuk gemar berdemonstrasi seakan- akan sudah terikut-ikut dengan budaya politik jalanan yang tidak mempunyai hemah dan hala tuju. Perjuangan mestilah bersifat strategik - dan tidak menjurus kepada membuka segala macam tuntutan di atas bahu jalan. Ini masanya untuk kita menjadikan isu Melayu sebagai 'isu teras' di dalam pembicaraan pembuat dasar.

Walaupun mendapat bantuan daripada pihak polis, suka diingatkan bahawa kadangkala kita tidak mampu mengurus emosi dan perasaan. Apa yang berlaku tempoh hari di Jalan Tun Razak menggambarkan segalanya. Untung wanita yang mempunyai pandangan berbeza tersebut tidak diapa-apakan. Jika tidak, ia menggambarkan 'kekerasan' kita yang tidak mampu dikawal.

Penulis juga menginginkan usaha pemerkasaan bangsa dilakukan secara bersungguh. Untuk ia berlaku, kita mesti diberikan keyakinan bahawa 'suara' ini didengari dan diperhalusi. Kita mungkin boleh berbuih mulut bercakap tentang kepentingan bangsa; tetapi yang lebih penting dalam zaman yang serba canggih ini adalah - agenda bertindak dan polisi yang berani.

Hakikatnya, apa yang berlaku dalam pilihan raya umum yang lalu bukanlah 'tsunami', tetapi 'terapi politik' (political theraphy) kepada orang Melayu. Mahu tidak mahu, kita terpaksa mengakui bahawa kita baru sahaja disedarkan daripada lena yang panjang. Kita perlu mengakui bahawa kita terlalu selesa dengan ungkapan hak istimewa dan ketuanan Melayu. Kita berasa cukup terpelihara dalam belenggu pemikiran politik zaman lampau.

Bukannya kita tidak diingatkan dalam babak tertentu sejarah Malaysia moden. Kertas litmus kesabaran orang Melayu sudah acap kali berubah warna. Hari ini, ia memerlukan langkah strategik dan keazaman politik luar biasa. Kelompok kecil Melayu mungkin juga akan menentangnya atas dasar 'keterbukaan' dan 'kesamarataan'.

Kepimpinan Melayu mesti dikaitkan dengan budaya kerja efisien, bersih, cekap, amanah, punya harga diri dan merit yang tinggi. Siapa mampu menafikan bahawa Singapura menegakkan 'Ketuanan Cina'. Ini perkara yang sangat teras dan penting. Tetapi mereka melonggarkan sedikit takrif 'ketuanan' - dengan menyuntik budaya kerja efisien, meninggikan 'aras prestasi kepimpinan', meletakkan merit sebagai asas, mewujudkan suasana pemilihan pemimpin yang ketat dan peka dengan perubahan.

Perkhidmatan awam yang secara kebetulannya didominasi oleh orang Melayu juga mesti menampakkan gelombang perubahan. Sektor awam yang cekap, efisien, amanah, nyah-korupsi, tegas dan bersungguh juga akan memberi wibawa moral kepada prestasi orang Melayu keseluruhannya. Orang Melayu sendiri perlu mengangkat 'integriti' kemelayuannya.

Kompetitif

Apakah mungkin seorang Melayu menjadi Perdana Menteri Singapura? Secara merit, matematikal, sistemik dan ego-budaya; jawapannya adalah tidak. Kayu ukur nilaian kepimpinan akan sentiasa dinaikkan dari masa ke semasa. Sistem politik tidak akan membenarkan ia berlaku. Melayu Singapura kena terima hakikat ini. Ini juga tidak bermakna Melayu Singapura lemah. Secara perbandingan, mereka mungkin Melayu yang lebih kompetitif dan berani.

Kita tidak akan selamanya mampu berselindung di sebalik ungkapan hak istimewa dan istilah lain yang berkaitan. Ketuanan Melayu - mesti diubah pengertian dan amalannya.

Selagi kita mengaitkan kepimpinan kita dengan istilah yang merosakkan - seperti korupsi, politik wang, tidak jujur, tidak amanah; kita secara tidak sedar telah merosakkan peluang mempertahan Ketuanan Melayu.

Politik Melayu jangan cepat 'rentan' (cepat jatuh sakit, mudah jatuh sakit, mudah dihinggapi penyakit - muka surat 1,528, Kamus Besar Bahasa Melayu UTUSAN). Ini termasuklah budaya politik jerit-jeritan dan budaya 'cium keris' yang sudah terlalu teatrikal dan melodramatik.

Politik wang juga mampu membawa rentan kepada politik Melayu. Kita sangat memerlukan gelombang pengukuhan politik Melayu yang jujur dan ikhlas.

Jalan politik sedia ada sudah betul. 'Suara' orang Melayu, baik di Perak, Selangor, Kedah sudah mula resah dan khuatir. Bagi pentadbir yang bijaksana dan responsif - bermain dengan suara dan perasaan orang Melayu adalah jalan yang mampu membawa luka politik yang dalam. Jangan terlalu bergantung dengan keputusan PRU-12 kerana gelombang rentas kaumnya adalah sementara.

Sampai saat ini, penulis percaya ramai orang Melayu masih menantikan pertemuan pimpinan UMNO-Pas. Sebahagian besarnya tidakpun mengharapkan wujudnya kerjasama strategik selepas daripada itu. Mesej pertemuan itulah yang lebih membawa makna, dan mampu mengubat resah umat Melayu. Suara Melayu mesti diberikan keyakinan bahawa wujud 'ruang muzakarah' yang terbuka untuk direalisasikan.

Ketidakselesaan UMNO didesak rakan muafakatnya mesti difahami oleh Pas. Kehilangan hormat rakan sealiran Pas kepada parti tersebut juga mesti mendapat 'empati' UMNO. Bayangkan sahaja murninya politik jika Mursyidul Am Pas menegur jujur kerisauan tentang politik wang; dan Pak Lah mengingatkan ketidakperluan meneruskan ladang babi di Bukit Selambau. Apakah prinsip politik kedua-duanya akan hancur menyembah bumi? Apakah mesej baik yang mampu disampaikan kepada umat Melayu?

Pertemuan UMNO-Pas bukanlah pendekatan politik yang rasis dan jumud. Ini bukan soal 'Erdogan' atau tidaknya fikrah dan pendekatan kita. Ini juga bukan soal UMNO memerlukan Pas. Fikrah dan pendekatan 'umatik' inilah yang perlu dilahirkan daripada keputusan PRU-12 yang 'terapeutikal' itu.

Sementara penulis juga sangat mendokong agenda kebangkitan Melayu pasca PRU-12 yang 'terapeutikal' - semangat jelajah dan membakar semangat Melayu mestilah juga disederhanakan. Memang benar, kita rentan hati dengan beberapa isu dan kedangkalan pemikiran individu tertentu; tetapi berjelajah dengan hati yang panas - boleh mendatangkan natijah yang berbeza.

Penulis hanya ingin menyampaikan pandangan kecil mengenai isu 'ketuanan Melayu'. Jika ia mendatangkan resah berterusan di kalangan orang bukan Melayu, khususnya dengan konotasi 'tuan-hamba'; apakah mungkin ia ditukar kepada 'Keabsahan Melayu' (Malay Legitimacy)?

Kalau kita benar-benar menerima hakikat hak keistimewaan dan kepentingan Melayu sudah terabsah molek dalam Perlembagaan - maka soal 'legitimasi' orang Melayu tidak wajar diungkit lagi. Soal kehadiran orang Melayu tidak seharusnya cuba ditulis dengan pemahaman sejarah yang semberono dan jumud.

Kalaulah agaknya pandangan Dr. Chua Soi Lek, Timbalan Presiden MCA dalam ucapan beliau di Anugerah Kancil 2008 boleh diangkat sebagai 'pandangan perdana' masyarakat Cina di Malaysia - 'Keabsahan Melayu' mampu tampil sebagai opsyen. Tegas Soi Lek, 'kami menerima Kepemimpinan Melayu, tetapi bukan Ketuanan Melayu'. Ujar beliau lagi, '...when we say we reject 'Ketuanan Melayu, we are not challenging the Malay special rights. It is enshrined in our constitution and nobody can take that away'. (rujuk: http://drchua9.blogspot. com)

Suhu politik Malaysia masih belum dingin. Ia tidak juga perlu dihangatkan dengan gendang keperwiraan yang ekstrem. Kita perlu pantas merenung kembali sejarah dan bergerak seiringan menuju masa depan yang menjanjikan buat semua. Kaedah membugar semangat tanpa kawalan emosi dan didikan iman - akan melahirkan generasi reaktif.

Untuk mengabsah kita sebagai 'bangsa wibawa' - ia memerlukan lebih daripada perenggan-perenggan penting dalam Perlembagaan Negara. Ia memerlukan polisi dan dasar berani, jiwa pesaing unggul, iktisad yang menjanjikan dan lasykar bangsa yang mampu menjadi modal insan gemilang.

Tidak ada sesiapa pun yang berani mengatakan perjalanan memperkasa bangsa akan menjadi mudah. Kefahaman tentang realiti baru dan keberanian untuk menyatukan amalan dan tindakan - akan menjanjikan hasil yang menyeluruh.

Wednesday, November 26, 2008

Sejarah tidak pernah berbohong

SEJARAH amat penting. Dalam lawatan saya ke Samarkand, kota berusia 2,750 tahun, yang menempatkan bandar raya kegemilangan Islam, tergambar kepada saya kekaguman yang teramat sangat. Di situlah cendekiawan Islam berkumpul, mencipta formula matematik algebra, melakar peta cakerawala alam semesta secara kiraan saintifik, membina balai cerap, mengumpul hadis-hadis sahih Rasulullah SAW untuk generasi sekarang, serta mencipta bangunan-bangunan ala Menara Berkembar Petronas - pada kurun ke-13!

Struktur-struktur itu dibina dengan salutan putih telur dan batu-bata disusun berselang seli dengan gentian sutera bagi menahan gegaran kuat aliran gempa di bawah muka buminya. Ternyata bangunan-bangunan itu kukuh sehingga ke hari ini. Itu semua adalah tinggalan sejarah yang boleh dilihat dengan mata kasar.

Sebagaimana yang saya tekankan sebelum ini, sejarah tidak pernah berbohong. Walaupun ia berlaku semalam atau kelmarin, ia adalah fakta yang tidak pernah menyeleweng, hatta beribu-ribu tahun jua usianya.

Begitu juga sejarah Kesultanan Melayu. Ia juga tidak pernah berbohong. Sejarah yang ditulis oleh sarjana dan pembesar istana zaman silam yang kemudiannya diturunkan dari satu generasi ke satu generasi sepatutnya dijadikan renungan, iktibar, pengajaran kepada kita semua. Persoalannya, berapa ramai generasi Melayu sekarang yang mahu mengambil iktibar daripadanya? Berapa ramai kaum lain Malaysia yang tahu mengenai Sejarah Melayu? Apakah benar Melayu mudah lupa, seperti kata-kata yang saban kali diucapkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad?

Seorang sahabat saya yang juga penulis dan pengkritik, Mansor Puteh menghantar kepada saya tulisannya mengenai sejarah asal usul (dan nasib malang) Sultan Singapura Pertama, Sultan Hussain Shah. Sultan itu disingkir oleh Inggeris apabila, tulisnya: ''Orang bukan Melayu bertambah banyak (di Singapura) dan menguasai bidang perniagaan dan politik di pulau itu."

Saya terpanggil untuk memetik ringkasan tulisan Mansor itu di dalam ruangan ini untuk renungan kita semua. (Rencana penuh Mansor itu akan disiarkan tidak lama lagi). Begini tulisan beliau.

Inilah nasib malang Sultan Singapura yang pertama.

Ia adalah sebuah kisah yang boleh dijadikan teladan, sebab ia adalah sebuah peristiwa penting untuk bangsa Melayu di Nusantara, bukan sahaja tentang bagaimana seorang sultan Melayu boleh disingkir apabila jumlah bukan Melayu bertambah dan kuasa ekonomi mereka meningkat.

Tetapi ia boleh dijadikan iktibar untuk orang Melayu di Malaysia dan di seluruh Nusantara Melayu supaya peristiwa yang sama tidak berulang lagi khususnya di masa sekarang.

Sultan Hussain Shah, atau dikenali sebelum ini sebagai Raja Hussain Muazzam Shah ibn Sultan Mahmud Riayat Shah III (1761-1812) dari Riau atau Tengku Long (Tengku Sulong) Raja Hussain Shah, atau Raja Long yang ditabalkan sebagai Sultan di Padang di Singapura pada 31 Januari 1819.

Jenazah baginda sekarang disemadi di sebuah makam sederhana di penjuru tanah perkuburan dalam kawasan Masjid Tengkera di Melaka, terbiar dan langsung tidak dikenali sesiapa. Cuma sebuah papan tanda sahaja yang menulis tentang riwayat hidupnya. Sedangkan dia adalah watak penting dalam sejarah awal Singapura.

Malah Istana Kampung Gelam di Singapura yang sekian lama didiami kerabatnya, kini sudah diambil alih oleh pihak berkuasa di Singapura dan dalam tahun 2002, ia telah diubah suai untuk dijadikan Pusat Warisan Melayu atau Malay Heritage Center.

Kisah riwayat hidup sultan Hussain Shah amat menyayatkan hati. Ia adalah kisah bagaimana Inggeris dan Cina 'mengusir' seorang sultan Melayu dengan begitu mudah.

Caranya ialah dengan memperbanyakkan jumlah orang Cina yang didatangkan dari selatan China sehingga jumlah penduduk asal Melayu di situ menjadi kecil dan dengan ini kuasa politik mereka hapus begitu sahaja.

Inggeris mendatangkan orang Cina dan India ke Singapura semata-mata untuk menambahkan jumlah penduduk asing. Mereka tidak membawa atau menggalakkan orang Melayu dari Riau dan pulau-pulau lain di selatan Singapura atau dari Pulau Jawa dan Sumatera mahupun dari Malaya, sebab tujuan mereka hanya untuk mengecilkan jumlah penduduk Melayu untuk akhirnya menyingkirkan hak dan kuasa Melayu di Singapura.

Kisah seperti ini bunyi seperti sebuah dongeng. Masakan sebuah Kesultanan Melayu boleh dihapuskan dengan begitu mudah?! Tetapi ia benar.

Sultan Hussain Shah menangis pada waktu malam apabila baginda sedar yang dia telah disalah guna oleh Inggeris dan orang bukan Melayu di situ yang tidak menyokong atau menyembahnya.

Jadi apa yang kita semua boleh pelajari daripada peristiwa perit yang dialami Sultan Hussain Shah ini? Banyak…

Itulah ringkasan catatan Mansor yang saya petik. Kesimpulannya ialah: Apabila orang lain bersatu, kita berpecah, maka kita akan hancur.

Namun, hakikatnya orang Melayu Malaysia kini sudah terbahagi kepada empat puak - UMNO, Pas, PKR dan Liberal.

Orang Melayu Liberal, satu generasi baru (tanpa semangat, jiwa dan roh Melayu Islam) kini semakin ramai. Mereka tidak mahu bercakap mengenai soal kebangsaan dan keagamaan kerana bagi mereka ia adalah kolot.

Akan bertahankah orang Melayu untuk generasi akan datang? Tepuk dada, tanya selera. Jika bersatu kita akan kekal, jika tidak, sejarah tidak pernah berbohong.

Tuesday, November 25, 2008

Nazri tidak perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini memutuskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berhubung status keenam-enam hakim yang menerima bayaran ex-gratia,tidak perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Keputusan itu dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mendapati kenyataan yang dbuat oleh ahli Parlimen Padang Rengas itu tidak berniat untuk mengelirukan Dewan.
"Saya putuskan sewaktu Yang Berhormat Menteri membuat kenyataan yang kononnya mengelirukan itu sebenarnya tidak tahu bahawa kenyataan yang dibuat itu tidak benar dan beliau tidak ada niat sama sekali untuk mengelirukan Dewan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 6 November lalu, Nazri ketika mengumumkan pembayaran exgratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan lima hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman 20 tahun lepas, beliau berkata bekas-bekas hakim itu bukannya dipecat tetapi telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti disarankan oleh satu panel.
Hal itu menyebabkan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) pada 10 November lalu meminta supaya Nazri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa kenyataan menteri itu adalah satu pembohongan besar.
Bagaimanapun pada 13 November lalu, Nazri membuat pengakuan terbuka melalui media dan mengakui kesilapannya berhubung kenyataannya sebelum ini dan mengakui bahawa sebenarnya kesemua hakim berkenaan dipecat namun tetap menerima bayaran pencen atas permintaan Yang di-Pertuan Agong ketika itu melalui satu surat kepada Ketua Setiausaha Negara tanpa didedahkan.
Wan Junaidi memaklumkan bahawa tiga syarat perlu dipenuhi jika ingin merujuk mana-mana ahli Dewan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12).
"Pertamanya kenyataan dibuat yang kononnya mengelirukan itu hendaklah sebenarnya mengelirukan, keduanya ahli yang buat kenyataan yang kononnya mengelirukan itu tahu atau sedar bahawa kenyataan yg sedang dihujahnya itu adalah tidak benar.
"Dan yang ketiganya sewaktu membuat kenyataan yang kononnya mengelirukan itu, Yang Berhormat berkenaan sebenarnya berniat untuk mengelirukan Majlis atau Dewan," katanya.
Oleh yang demikian, menurut Wan Junaidi apabila Nazri membuat kenyataan terbuka melalui media bagi memperbetulkan kenyataan awalnya, maka syarat yang kedua dan ketiga itu tidak dapat dipenuhi.

Mengangkat persembahan Makyung

Oleh ABD. AZIZ ITAR
(WARTAWAN UTUSAN)

SENI persembahan Makyung merupakan naskhah genre taridra popular di Kelantan yang mempunyai kombinasi unsur-unsur tarian, muzik, drama dan komedi yang sudah berakar umbi sejak kira-kira 400 tahun lalu.

Malah, seni dikatakan berasal dari istana Melayu Patani, Thailand yang sedikit sebanyak menyelitkan pengaruh budaya Siam itu kini terus berdiri sebagai melambangkan salah satu identiti persembahan klasik dari negeri di Pantai Timur.

Sungguhpun begitu, Makyung bolehlah dianggap kurang bernasib baik berbanding seni-seni tradisional lain kerana seni persembahan yang menggunakan peralatan muzik seperti serunai, rebab, canang, kesi dan gong itu seakan-akan semakin dipinggirkan sejak kebelakangan ini.

Ini kerana, tidak banyak kumpulan Makyung yang masih aktif terutamanya selepas kematian tokoh aktivis terkenalnya iaitu Khatijah Awang beberapa tahun lalu menyebabkan seni persembahan itu termasuklah di Kelantan ibarat 'hidup segan mati tidak mahu'.

Difahamkan di Kelantan ketika ini cuma ada tidak sampai lima kumpulan Makyung yang aktif mengadakan persembahan tertutup ataupun di luar Negeri Cik Siti Wan Kembang itu biarpun ia atas permintaan tertentu seperti para pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan badan kebudayaan.

Jika bukan kerana itu, Makyung tidak setakat semakin dilupai oleh masyarakat Melayu, tetapi besar kemungkinan generasi muda hari ini dan akan datang juga tidak akan tahu tentang kewujudan seni yang amat halus persembahannya itu.

Namun, mujurlah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengambil langkah proaktif dengan mengadakan pelbagai aktiviti bagi mempopularkan semula seni persembahan yang cukup terkenal dengan watak-watak bernama Peran dan Syaman itu.

Sebagai contohnya, mulai 27 hingga 30 November ini, suatu program yang diberi judul Makyung Ekstravaganza akan diadakan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Penerangan Pelancong, Kuala Lumpur, dengan tujuan menghidupkan semula aktiviti-aktiviti berkaitan seni tersebut.

Makyung Ekstravaganza bukan setakat mengadakan persembahanMakyung secara percuma, tetapi pelbagai aktiviti seperti bengkel, demonstrasi dan promosi tentang seni itu juga akan dianjurkan secara percuma kepada para pengunjung.

Inisiatif itu bukanlah terlalu lambat untuk diusahakan, sebaliknya JKKN yang terletak di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) itu sepatutnya melipat gandakan lagi usaha tersebut.

Seharusnya Makyung dapat digunakan dalam kempen promosi sektor pelancongan negara dan digunakan dalam seni-seni persembahan kebudayaan menerusi Kementerian Pelancongan Malaysia.

Dalam hal ini, JKKN dan KPKKW haruslah saling menjalin kerjasama lebih erat bagi mengangkat serta mengeksploitasi seni persembahan Makyung yang tentunya mendapat apresiasi lebih tinggi apabila ia dipentaskan kepada masyarakat di luar negara.

Kita berharap agar aktiviti-aktiviti mengangkat serta memperkasakan seni-seni tradisional turut diperluaskan ke seluruh negara termasuklah melalui sekolah-sekolah, IPTA, kolej-kolej swasta dan jabatan-jabatan kebudayaan setiap negeri supaya seni ini tidak pupus atau hanya wujud di Kelantan semata-mata.

Sunday, November 23, 2008

Apabila lubuk emas dijumpai di Malaysia

BARANGKALI, sebilangan daripada kita rakyat Malaysia sahaja yang merasakan negara ini tidak cukup selesa untuk didiami dan mencari makan. Orang asing tidak langsung berpandangan demikian. Pendatang melihat peluang pekerjaan yang terbuka luas di negara ini. Lantas tidak timbul masalah sedikitpun apabila mana-mana majikan memerlukan tenaga kerja asing. Malah ada pekerja asing yang dibawa masuk oleh ejen tertentu tersadai berlebihan. Semua itu berlaku sudah tentu kerana mereka yang mahu mencari makan di negara ini begitu yakin dengan apa yang kita ada, apa yang kita tawarkan.

Justeru ramai merantau ke negara ini, mengisi peluang-peluang kerja yang ada, yang sebahagiannya enggan diisi oleh kita orang tempatan. Malah ada orang asing yang memilih jalan pintas dengan menyelinap masuk secara haram dan berstatus pendatang tanpa izin (PATI). Operasi demi operasi gagal menghapuskan PATI. Mereka sanggup 'hidup bersembunyi' di ladang-ladang sawit, getah dan sebagainya demi mencari nafkah.

Selain itu, ada pula pemegang visa sewaktu ketibaan (VOA) menyalahgunakannya dengan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan. Motifnya sama, mencari nafkah walaupun sedar ia adalah menyalahi undang-undang.

Pendedahan di Dewan Rakyat minggu lepas menunjukkan 75,465 orang iaitu hampir 30 peratus daripada pemegang VOA sejak ia diperkenalkan September 2006 telah menyalahgunakannya. Sehingga September lepas, kerajaan telah mengeluarkan 251,908 VOA kepada pelawat dari 11 negara rantau ini - India, Pakistan, Bangladesh, China, Sri Lanka, Myanmar, Nepal, Afghanistan, Bhutan, Hong Kong dan Taiwan. Antara lain ia bertujuan untuk memudahkan kemasukan pelawat demi kemajuan sektor pelancongan negara.

Setakat Jun lalu sahaja, pecahan mengikut negara mereka yang menyalahgunakan VOA ialah 35,912 rakyat India, Pakistan (13,014), Bangladesh (6,688), China (5,452) dan Sri Lanka (5,093).

Cara kemasukan dan status kemasukan warga asing ke negara kita mungkin berbeza-beza tetapi matlamat mereka biasanya tidak dapat lari daripada dua tujuan - lawatan dan bekerja. Masakan tidak, peluang kerja ada di mana-mana sahaja di negara kita. Asalkan tidak terlalu memilih kerja, pasti murahlah rezeki seseorang.

Berbanding dengan sesetengah negara termasuklah negara yang ramai rakyatnya masuk ke negara ini bagi mencari kerja, tanda rakyatnya ramai menganggur mudah dilihat. Mereka yang menganggur boleh dilihat berkumpul di tempat-tempat strategi 'menunggu kerja'. Jika bernasib baik, adalah majikan atau ejen majikan yang datang ke tempat-tempat yang mereka berkumpul itu mencari pekerja, dalam kebanyakan kes bagi tugas jangka pendek, sehari dua. Namun, apa yang biasa kita lihat di negara-negara terbabit, mereka akan terus berkumpul di situ kerana tiada pihak yang menawarkan kerja sehingga ke petang.

Suasana sedemikian sukar dilihat di negara kita. Di mana-mana sahaja ada 'lubuk emas asalkan kita rajin menggalinya'.

Apapun, tawaran tenaga pekerja asing yang wujud di Malaysia, mungkin dalam kes-kes tertentu sudah bertukar menjadi satu bentuk ancaman. Ia boleh berlaku sebagai contoh apabila kemasukan mereka adalah secara haram dan tinggal melebihi masa. Masalah itu akan turut mengacau sosiobudaya masyarakat tempatan.

Oleh itu, ketika pihak berkuasa melancarkan operasi dari semasa ke semasa bagi menangani PATI, sudah tiba masanya kaedah kawalan yang lebih mudah dikuatkuasakan sebaik mungkin dan ia termasuklah kawalan ke atas pengeluaran VOA. Kaedahnya wajar diperketatkan.

Langkah kerajaan memberhentikan VOA kepada rakyat negara-negara seperti India, Pakistan dan Afghanistan sudah tentu langkah tepat. Tempoh sah laku VOA yang telah pun dikurangkan daripada 30 hari kepada 14 hari, wajar dipendekkan lagi kepada seminggu sahaja.

Syarat permohonan VOA juga perlu diperketatkan lagi termasuklah memastikan pemohon mengemukakan tiket sah untuk pulang.

Adalah tidak praktikal jika kita memudahkan mereka masuk sehingga pihak berkuasa sukar mengawal selia semasa mereka di negara kita, sehingga memerlukan operasi diadakan untuk mengesan mereka yang menyalahgunakan visa terbabit. Jangan dibebankan lagi tugas operasi kepada agensi-agensi penguatkuasa untuk membanteras PATI yang kelihatan sukar untuk disifarkan.

Guru mohon ujian akhir tahun awal

Oleh Amir Hamzah Nordin
bhnews@bharian.my.com
Permudah persediaan sesi persekolahan

JERANTUT: Kerajaan diminta membenarkan peperiksaan akhir tahun diadakan lebih awal kerana kelewatan mengadakan peperiksaan menjejaskan dan membebankan kerja guru terutama di sekolah menengah.

Ia juga memberi masa sesuai untuk sekolah membuat persediaan perancangan sesi persekolahan baru.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB), Mohd Sabri Arsad, pihaknya menerima rungutan daripada guru, terutama sekolah menengah yang turut dibebani tugas lain pada waktu peperiksaan akhir tahun diadakan.



"Ada guru perlu menghadiri mesyuarat berkaitan peperiksaan awam seperti penandaan kertas Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan bertugas sebagai pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Ada guru terbabit mesyuarat awal penandaan kertas SPM di merata tempat di seluruh negara. Justeru, perkara ini harap dipertimbangkan Kementerian Pelajaran," katanya semalam.

Mohd Sabri berkata, beban guru bertambah apabila pentadbir sekolah mahukan markah peperiksaan akhir tahun masing-masing dimasukkan dalam data pengumpulan markah peperiksaan.

"Ada guru gagal melakukannya kerana tidak sempat menanda kertas masing-masing, menyebabkan kelewatan mengeluarkan keputusan keseluruhan.

"Guru menanda kertas peperiksaan awam dan pengawasan peperiksaan perlu menumpukan perhatian khusus kepada tugasan itu bagi menjamin mutu kerja dan memerlukan keselamatan yang tinggi," katanya.

Beliau berkata, guru sekolah rendah juga mahukan peperiksaan akhir tidak terlalu lewat bagi memberi masa untuk menanda kertas dan dapat mengeluarkan keputusan dengan cepat.

"Keputusan akhir tahun digunakan untuk hari penyampaian hadiah kepada pelajar, kebiasaannya dilakukan di sekolah rendah bagi merangsang pelajar yang berjaya untuk terus maju.

"Disebabkan keputusan peperiksaan akhir tahun tidak dapat digunakan, ada sekolah terpaksa menggunakan kaedah lain memberi hadiah kepada pelajar," katanya.

Bagaimanapun Mohd Sabri mengakui kementerian mengadakan peperiksaan akhir tahun lebih lewat bertujuan menghindari masalah ponteng sekolah.

"Kesan lain turut timbul. Justeru, kajian dan penelitian harus dilakukan supaya wujud suasana kondusif bukan saja kepada pelajar, malah guru dan pentadbir pelbagai peringkat termasuk pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri," katanya.

Sunday, November 9, 2008

Tiga hakim dipecat - Dr. Mahathir

PUTRAJAYA 8 Nov. - Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan dua lagi bekas hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman 20 tahun lalu telah dipecat dan bukannya ditamatkan perkhidmatan lebih awal.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, bayaran pencen bagaimanapun masih diberikan kepada Salleh dan bekas hakim-hakim tersebut selepas mengambil kira perkhidmatan mereka kepada kerajaan.

''Tun Salleh sebagai contoh telah menerima tiga pencen. Apabila hakim mencapai umur 55, mereka mula menerima pencen dan satu lagi pencen diberikan apabila mereka sampai 65 tahun.

''Tun Salleh juga merupakan bekas ahli Exco kerajaan Terengganu dan dapat satu pencen lagi. Sekarang beliau dapat lagi ex-gratia RM5 juta, saya ucapkan tahniah," katanya selepas menghadiri forum mengenai nilai belia dan kepimpinan masa depan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Khamis lalu, pada sesi Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tribunal terbabit tidak pernah mengeluarkan perintah supaya memecat hakim-hakim itu, dan pada sidang akhbar selepas itu beliau sekali lagi menegaskan bahawa hakim-hakim itu telah diminta meletak jawatan.

Salleh, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh dan Datuk George Edward Seah dipecat dari jawatan selepas tribunal berkenaan mendapati mereka bersalah atas salah laku dalam krisis kehakiman 1988, sementara tiga hakim lain Tan Sri Datuk Mohd Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh digantung tugas tetapi kemudian dikembalikan ke jawatan mereka.

Ditanya sama ada RM5 juta yang dibayar kepada Salleh merupakan suatu jumlah yang sepatutnya, Dr. Mahathir bagaimanapun enggan memberi ulasan lanjut.

''Ia (jumlah ex-gratia) bergantung kepada kerajaan. Kerajaan dalam mood yang baik dan mereka mempunyai banyak duit dan mahu berikan kepada rakyat," katanya.

Thursday, November 6, 2008

Kerajaan bayar ex-gratia RM10.5 juta kepada bekas hakim

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Kerajaan membayar ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, bayaran tersebut adalah Tun Salleh berjumlah RM5 juta, Tan Sri Azmi Kamaruddin (RM2juta), Tan Sri George Edward Seah Kim Seng (RM2juta) dan yang lain iaitu Tan Sri Wan Hamzah Mohd. Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh berjumlah RM500,000 setiap seorang. - Utusan.

Wednesday, October 29, 2008

Biar Ketua Hakim Negara buktikan pelantikan tepat

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Orang ramai harus memberi peluang kepada Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi membuktikan pelantikannya adalah tepat berdasarkan pada penghakiman yang bakal beliau putuskan.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Wong Nai Chee berkata, masyarakat tidak seharusnya beranggapan bahawa seseorang peguam yang mempunyai hubungan akrab dengan UMNO tidak boleh menjadi seorang hakim yang baik.

''Kita tidak patut membuat keputusan sebelum melihat prestasi beliau. Sebaliknya kita perlu berfikiran terbuka dan objektif.

''Beliau harus diberi peluang untuk menghapuskan keraguan orang ramai terhadap pelantikannya itu,'' katanya yang juga seorang peguam dalam rancangan What You Say yang disiarkan di TV2 pagi ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan pengacara rancangan tersebut tentang pelantikan Zaki sebagai Ketua Hakim Negara yang telah menimbulkan keraguan pelbagai pihak.

Nai Chee merupakan salah seorang daripada tiga ahli panel rancangan tersebut yang membincangkan topik mengenai pembaharuan yang ingin dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam sistem kehakiman, membendung rasuah dan Suruhanjaya Bebas Terhadap Salah Laku dan Aduan Polis (IPCMC).

Menurut Nai Chee, pelantikan hakim kanan di kalangan mereka yang berjawatan dalam parti politik turut berlaku di negara lain seperti di Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu penganalisis politik, Wong Chin Huat tidak bersetuju dengan pendapat Nai Chee dan menyatakan sistem pelantikan kehakiman Malaysia dan AS adalah berbeza.

''Ia memang wujud di Amerika Syarikat. Tetapi negara kita mengamalkan sistem kehakiman British,'' katanya.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang turut mengambil bahagian dalam program itu turut mempertikaikan pelantikan Zaki sebagai Ketua Hakim Negara dalam masa yang terlalu singkat.

''Sekiranya Perdana Menteri kita bertekad untuk melakukan pembaharuan dalam badan kehakiman, maka beliau tidak patut melantik Zaki sebagai Ketua Hakim Negara.

''Kita tidak melihat penghakiman yang ketara selama ini. Beliau yang dianggap sebagai peguam bela UMNO, pasti akan menimbulkan keraguan orang ramai terhadap pelantikan itu,'' ujarnya.

Thursday, August 7, 2008

Majlis Peguam tetap adakan forum Memeluk Islam

Oleh ARSHAD KHAN

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Majlis Peguam tetap meneruskan forum Memeluk Islam pada 9 Ogos ini meskipun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah memberi amaran kepada majlis itu supaya tidak 'bermain api'.

Setiausahanya, Lim Chee Wee berkata, forum tersebut tidak sensitif kerana ia hanya bertujuan untuk mengkaji kesan yang dihadapi oleh pasangan dan anak mereka apabila salah seorang daripada mereka memeluk agama Islam.

Sambil meminta Syed Hamid tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang beliau sendiri tidak memahaminya, Chee Wee menegaskan, forum tersebut bertujuan membincangkan isu terkini yang melibatkan hak dan kepentingan orang Islam dan bukan Islam.

''Forum ini tidak sensitif kerana ia adalah isu undang-undang yang mana pihak peguam perlu berbicara.

''Pada saya tidak elok untuk menteri berkenaan mengatakan sesuatu berkaitan forum ini atas kefahaman yang salah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas amaran Syed Hamid kepada Majlis Peguam supaya tidak 'bermain api' dengan menganjurkan forum bertajuk Memeluk Islam pada hujung minggu ini yang disifatkan amat sensitif kepada umat Islam negara ini.

Menurut beliau, ini kerana forum yang dilaporkan akan turut menyentuh Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan itu, boleh menyebabkan wujud salah faham di kalangan umat Islam sendiri.

Forum tersebut dijangka menyentuh peruntukan perlembagaan mengenai Islam yang menetapkan Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat sebarang keputusan yang melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan umat Islam di negara ini.

Dalam hubungan ini, Chee Wee berkata, masyarakat Malaysia kini sudah matang dan tidak lagi mementingkan kaum atau bangsa sendiri.

Anwar didakwa hari ini * Hadapi tuduhan meliwat *Dijangka diwakili 9 peguam bela

Oleh TAN MING WAI dan WAN NORHAYATI WAN ALIAS



SERAH... DSP Jude Pariera (bertali leher) keluar dari rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menyerahkan sapina kepada beliau di Bukit Segambut, Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 6 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan didakwa atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta di sini pagi esok.

Notis bertulis ke atasnya supaya hadir ke mahkamah pada pukul 10 pagi esok telah diserahkan oleh polis kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu di rumahnya di Bukit Segambut di sini pukul 12.05 tengah hari ini.

Sapina itu diserahkan sendiri oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Deputi Supritendan Jude Parreira yang juga pegawai penyiasat kes tersebut.

Pereira menyerahkan sapina berkenaan dengan diiringi tiga anggota polis. Beliau berada di kediaman Anwar selama kira-kira 15 minit sebelum beredar.

Anwar, 61, dilihat menandatangani sendiri sapina yang diterimanya itu.

Pada sidang akhbarnya di ibu pejabat PKR di Damansara tiga jam kemudian, beliau mengesahkan akan hadir di mahkamah esok.

Anwar juga memberitahu, beliau akan diwakili pasukan sembilan peguam termasuk R. Sivarasa, Sankara Nair, Saiful Izham Ramli dan Sulaiman Abdullah.

Utusan Malaysia difahamkan, pasukan pendakwaan pula akan diketuai oleh Peguam Cara Negara, Datuk Idris Harun dan beberapa orang pendakwa raya termasuk Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam satu kenyataan hari ini berkata, sapina itu diserahkan kepada Anwar setelah Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk mendakwa beliau di mahkamah.

“Polis telah selesai menyiasat kes jenayah seksual melibatkan persetubuhan bertentangan aturan tabii membabitkan Anwar. Kertas siasatan telah dihantar (oleh polis) kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapat nasihat dan keputusan.

“Pejabat Peguam Negara telah memutuskan mendakwa Anwar. Oleh itu, notis bertulis kepada Anwar untuk hadir di Mahkamah Jalan Duta pada pukul 10 pagi 7 Ogos 2008 telah disampaikan kepada beliau,” katanya.

Ini merupakan kali kedua Anwar berdepan tuduhan liwat di mahkamah selepas pendakwaan pertama pada 1998 apabila bekas Timbalan Perdana Menteri itu dituduh meliwat bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar. Beliau juga dikaitkan dalam kes liwat melibatkan adik angkat beliau, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dan penulis ucapannya, Dr. Munawar Anees.

Anwar dipenjarakan ekoran dakwaan itu. Bagaimanapun, pada 2 September 2004, Anwar telah dibebaskan apabila Mahkamah Persekutuan menolak pensabitan tuduhan liwat terhadapnya.

Dalam kes terbaru ini, Anwar didakwa meliwat Mohd. Saiful, 23, di sebuah kondominium di Damansara di sini, dengan kali terakhir dua hari sebelum mangsa membuat laporan polis di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 5.45 petang 28 Jun lalu.

Menurut Ismail, siasatan polis terhadap laporan yang dibuat oleh Mohd. Saiful itu dikendalikan berlandaskan prinsip undang-undang.

“Siasatan polis terhadap kes ini adalah mengikut prosedur yang wujud dalam sistem perundangan negara,” katanya.

Anwar yang diklasifikasikan sebagai suspek dalam kes itu dijangka dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu meliwat tanpa kerelaan.

Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Seksyen 377C Kanun Keseksaan tidak membenarkan tertuduh dijamin. Bagaimanapun, mahkamah boleh menggunakan Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah untuk membenarkan ikat jamin.

Sejak beberapa hari lalu, khabar angin tersebar meluas mengatakan Anwar akan ditangkap oleh polis pada bila-bila masa untuk tujuan pendakwaan.

Bagaimanapun, mengikut Perlembagaan Persekutuan, seseorang yang telah dibebaskan dengan jaminan polis tidak boleh ditangkap kali kedua untuk kesalahan yang sama.

Sebaliknya, sekiranya suspek mahu didakwa, polis boleh menyerahkan sapina kepadanya untuk hadir ke mahkamah. Jika suspek ingkar atau enggan hadir, permohonan waran tangkap boleh dikemukakan kepada mahkamah.

Anwar yang bercadang bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh tidak lama lagi ditahan pada 16 Julai lalu untuk disoal siasat berhubung dakwaan liwat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebelum dibebaskan dengan jaminan polis keesokan harinya.

Kenyataan polis sebelum ini menyebut, Anwar terpaksa ditahan pada hari berkenaan tidak jauh dari rumahnya kerana kenderaan beliau yang sepatutnya ke IPK Kuala Lumpur mengubah haluan menuju ke rumahnya.

Dua hari sebelumnya iaitu pada 14 Julai, Anwar enggan datang ke IPK itu pada pukul 2 petang untuk memberi keterangan walaupun telah menyatakan pengakuan hadir kepada polis.

Dalam tempoh tahanan selama 21 jam itu, Anwar dibawa ke HKL untuk pemeriksaan tetapi beliau enggan memberi sampel darah untuk tujuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Friday, July 18, 2008

Anggota polis dituduh rogol, buat seks oral terhadap pelajar

18/07/2008 12:15pm


PETALING JAYA 18 Julai - Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua tuduhan, merogol dan memaksa seorang pelajar melakukan seks oral terhadapnya dalam bilik maklumat Balai Polis Putra Heights dekat sini.

Konstabel Jamil Abdul Sah, 27, didakwa melakukan dua perbuatan itu antara pukul 6 dan 7 pagi, 18 Jun lalu. Ketika kejadian mangsa berusia 17 tahun.

Hakim Balqis Aini Mohd. Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh akan dibicarakan mulai 22 Oktober ini. Dia kini ditahan kerja. - Utusan

Monday, July 14, 2008

Surat-menyurat Mahathir

Oleh ROOSFA HASHIM

SURAT sering saja dibukukan dan menjadi bahan yang menarik untuk dibaca. Di negara lain selalu terbit koleksi surat yang membongkar pelbagai rahsia di belakang tabir diri penulisnya. Di Indonesia kita per- nah membaca koleksi surat Kartini dan H.B. Jassin dan antara yang terbaru adalah Surat-surat Suharto. Buku yang memuat Surat-surat Maryam Jameelah - Al-Maududi juga agak terkenal.

Di negara kita, sesekali terbit koleksi surat misalnya Warkah Eropah oleh A. Samad Said, Surat-surat Tun Seri Lanang kepada Baha Zain atau kumpulan warkah sultan dan Raja Melayu yang pernah dibukukan oleh pustakawan British Library, Annabel Gallops.

Terbaru, kita dapat membaca surat-surat Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada pemimpin dunia selama lebih dua puluh tahun beliau menjadi Perdana Menteri. Surat yang dihimpunkan oleh Abdullah Ahmad ini mengandungi 71 pucuk surat kesemuanya, dalam buku berjudul Dr. Mahathir's Selected Letters to World Leaders.

Pada asalnya, menurut Dr. Mahathir, beliau menghimpunkan sejumlah 200 pucuk surat yang pada perkiraannya penting dan bermanfaat untuk dibaca oleh rakyat negara ini. Surat-surat ini, menurut Dr. Mahathir mungkin menarik minat orang awam, kerana dapat memberikan gambaran tentang pelbagai perubahan dasar luar negara ini serta daya usaha yang dilakukan oleh Malaysia bagi pihak mereka yang tidak bernasib baik sama ada di Asia mahu pun di Eropah.

Kerajaan nampaknya tidak bersetuju dengan kesemua 200 surat yang dipilih oleh Dr. Mahathir dan hanya meluluskan 84 pucuk untuk diterbitkan. Tiga belas pucuk surat pula ditolak oleh penerbit kerana menganggapnya kurang penting dan tidak berkaitan. Walau bagaimanapun, 71 surat dalam buku ini sedikit sebanyak dapat menggambarkan sepotong daripada sejarah diplomatik dan hubungan antarabangsa Malayia yang panjang itu.

Surat-surat ini tidaklah dapat meliputi bidang yang besar dan cuma menyentuh soal keganasan, globalisasi, perang dan konflik sempadan, ekonomi dan hubungan diplomatik. Antara pemimpin dunia yang surat mereka dimuatkan ke dalam buku ini ialah Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush dan Bill Clinton, Presiden Perancis Jacques Chirac, Perdana Menteri Britain Margaret Thatcher dan Tony Blair serta Putera Charles.

Meneliti surat menyurat yang dimuatkan, nyatalah Dr. Mahathir agak serius mengambil bahagian dalam soal peperangan dan penindasan yang berlaku di mana sahaja. Beliau ternyata berusaha menyuarakan pandangan masyarakat dunia ketiga dan negara Islam khususnya semasa peperangan yang melibatkan sengketa puak Bosnia dan Serbs sehinggalah masyarakat antarabangsa campur tangan dan terbentuknya Bosnia-Herzegovina.

Dr. Mahathir merakamkan penghargaannya terhadap peranan yang dimainkan oleh Bill Clinton yang mendesak NATO bertindak lebih agresif dalam menghadapi Rusia tentang soal ini.

Keganasan dan pengganas adalah satu lagi perkara yang nampaknya diambil berat oleh Dr. Mahathir sewaktu pentadbiran beliau. Bagi Dr Mahathir, keganasan sering menjadi penghalang kepada proses perdamaian. Kita dapat membendung keganasan kalau pun tidak dapat membanterasnya seratus peratus.

KeganasanPunca sebenar keganasan mestilah difahami jika kita mahu mengurangkan kegiatan keganasan. Pengeboman dan pembunuhan orang tidak berdosa oleh siapa juga mestilah dilihat sebagai keganasan. Pihak yang melakukannya mesti dianggap sebagai pengganas dan bukan cuma pengebom berani mati. Jika kita mahu pengebom berani mati menghentikan serangan mereka, kita juga mestilah berusaha memberhentikan pembunuhan orang yang tidak berdosa yang dilakukan secara terancang oleh sesebuah negara.

Satu lagi isu yang mendapat tempat dalam koleksi surat ini ialah soal globalisasi yang pada hemat Dr. Mahathir dilahirkan oleh golongan kaya demi manfaat mereka yang kaya juga. Golongan miskin mungkin mendapat sedikit manfaat tetapi harus pula membayar harga yang mahal bagi mengecapi nikmat globalisasi. Dr. Mahathir mengutarakan persoalan apakah mungkin diwujudkan suatu model globalisasi yang dapat dimanfaatkan oleh semua pihak sama ada yang kaya mahupun yang miskin atau setidak-tidaknya sebuah model yang dapat dimanfaatkan oleh semua golongan dengan lebih saksama.

Kepada Dr. Mahathir, perang berlaku dengan membunuh manusia demi mencapai kehendak negara yang melancarkan perang. Alasan palsu digunakan bagi menghalalkan perang.

Namun bagi Dr. Mahathir, perang bukan lagi sesuatu pilihan terbaik buat kuasa besar. Sebuah negara lemah mungkin dapat ditumbangkan, namun rakyat akan tetap bangkit dan meneruskan perjuangan bagi mendapatkan pembebasan daripada negara yang datang menjajah. Inilah yang sedang berlaku di Afghanistan dan Iraq dan mungkin juga di Iran.

Surat-surat ini sedikit sebanyak memperlihatkan sikap Dr. Mahathir terhadap pemimpin dunia. Beliau memuji Bill Clinton yang dianggapnya lebih bersikap diplomatik berbanding Naib Presiden Al Gore yang menghadiri persidangan APEC 1998 dan memalukan negara tuan rumah. Dr. Mahathir dalam prolog buku ini terus terang mengakui akan kegembiraannya dengan tewasnya Al Gore dalam pilihan raya 2000. Malangnya, calon yang menang, menurut Dr. Mahathir lebih buruk lagi!

Presiden Bush pula bersikap menolak ke- benaran meskipun terdapat bukti yang jelas dan kukuh khususnya dalam kes senjata pemusnah besar-besaran yang didakwanya dimiliki Iraq sewaktu pentadbiran Sadam Hussein.

Sungguhpun hubungan Malaysia - Britain semasa pentadbiran Margaret Thatcher diselubungi mendung hitam dengan Dasar Pandang ke Timur dan Buy British Last, namun Dr. Mahathir mengakui bahawa beliau mempunyai hubungan kerja yang rapat dan baik dengan pemimpin wanita Britain itu.

Rakyat Malaysia, menurut Dr. Mahathir, mesti ingat bahawa Margaret Thatcher terbang ke negara ini tiga kali semasa pentadbirannya. Tidak ada mana-mana Perdana Menteri Britain melakukan hal yang sama selain Thatcher. Tony Blair mendiami 10 Downing Street selama 10 tahun tetapi tidak pernah sekali pun beliau menjejakkan kakinya ke sini.

Hubungan Dr. Mahathir dengan Presiden Jacques Chirac juga agak rapat dan Dr. Mahathir mengimbau kenangan layanan baik pemimpin Perancis itu dalam kunjungannya ke Perancis dalam bulan Ramadhan dan disajikan juadah berbuka lengkap dengan buah kurma.

Kepada Dr. Mahathir, surat-menyurat ini memberi gambaran tentang kekecewaan hati seorang pemimpin bagi sebuah negara yang kecil. Beliau tidak peduli itu semua, kerana tidak ada orang lain yang nampaknya mahu menegur kuasa besar akan keburukan yang sedang mereka lakukan. Dengan kemungkinan dirinya dipencilkan atau dikecam, beliau menulis surat-surat ini agar suara manusia kerdil tidak terus-terusan dipekakkan. Apa yang orang lain fikirkan tentang apa yang diperkatakannya tidaklah penting sangat.

Sesungguhnya koleksi surat menyurat Dr. Mahathir ini menarik dibaca oleh kita semua. Seperti diakui oleh Dr. Mahathir, "Anda mungkin tidak bersetuju dengan setiap apa yang saya lakukan, tetapi saya lakukan apa yang saya fikir baik untuk negara ini. Sama ada saya seorang Perdana Menteri yang baik atau buruk, tentulah bukan saya yang boleh menyatakannya. Apabila saya mati dan tiada lagi, pertimbangan (terhadap saya) akan menjadi lebih tepat.

Wednesday, July 9, 2008

Syarikat AS teroka minyak Iraq

Oleh AZMI HASSAN

SUKAR untuk menafikan tindakan Amerika Syarikat (AS) sehingga ke hari ini yang masih menjajah Iraq ada kena mengena dengan sumber minyak yang dimiliki oleh negara tersebut. AS bukan sahaja menjajah melalui kekuatan ketenteraan tetapi juga turut mempengaruhi setiap dasar yang digubal oleh Baghdad supaya kepentingan Washington tetap terpelihara.

Walaupun mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk tentera asing terus berada di Iraq akan tamat pada penghujung tahun ini, AS sedaya upaya cuba memujuk Perdana Menteri Nuri al-Maliki membenarkan tentera AS beroperasi di bumi Iraq dan besar kemungkinan hasrat tersebut akan dicapai tidak lama lagi.

Tidak siapa yang mempercayai tujuan sebenar AS menceroboh Iraq adalah untuk menghapuskan senjata pemusnah besar (WMD) atau menegakkan demokrasi di Asia Barat seperti yang dihebohkan oleh Presiden George W. Bush. Tingkah laku Washington sejak kebelakangan ini telah mengesahkan bahawa minyak adalah faktor utama mengapa AS menghapuskan Saddam Hussein.

Antara faktor penting yang akan menentukan kestabilan Iraq ialah bagaimana ketiga-tiga puak utama yang terdiri daripada Syiah, Sunah dan Kurdish boleh bekerjasama antara satu sama lain. Sehingga ke hari ini perundangan bagaimana hasil minyak diurus masih tidak dapat dibentuk kerana ketiga-tiga puak mempunyai kepentingan yang berbeza.

Perundangan mengenai pembahagian hasil minyak adalah penting kerana 80 peratus sumber simpanan minyak terdapat di dua kawasan utama iaitu di utara Iraq yang dikuasai oleh puak Kurdish dan juga selatan Iraq yang dipengaruhi oleh Syiah.

Kegagalan membentuk perundangan pembahagian hasil minyak yang adil sudah pasti akan memporak-perandakan Iraq. Perlu diingat simpanan minyak Iraq adalah dipercayai ketiga terbesar selepas apa yang dimiliki oleh Arab Saudi dan Iran.

Tetapi tingkah laku Washington apabila berhadapan dengan isu minyak Iraq seolah-olah tidak mempedulikan kerajaan Nuri al-Maliki kerana apa yang penting bagi White House adalah keuntungan syarikat minyak AS.

Baghdad mahu berlaku adil kepada semua rakyat Iraq supaya hasil minyak dikecapi bersama melalui pengawalan perundangan oleh Kerajaan Pusat. Tetapi puak Kurdish yang mempunyai kerajaan separa autonomi melalui Kerajaan Wilayah Kurdish (KRG) mahu mengawal segala hasil minyak di wilayah mereka.

Sikap tidak peduli Washington terserlah apabila tidak membantah syarikat minyak AS iaitu Hunt Oil menjalin kerjasama meneroka minyak di wilayah utara Iraq dengan KRG pada tahun lepas. Perjanjian yang dibantah oleh kerajaan Baghdad sudah pasti akan menimbulkan ketegangan antara ketiga-tiga puak tersebut kerana ia tidak memberi manfaat kepada Syiah dan Sunah.

Tambah lagi perjanjian di antara Hunt Oil dan KRG membelakangi perundangan mengenai hasil minyak yang sedang digubal oleh Baghdad.

Memang benar perjanjian dengan Hunt Oil bukan kali pertama kerana KRG telah menjalin lebih daripada 20 kerjasama penerokaan minyak dengan syarikat minyak asing yang kesemuanya berasal dari AS dan Eropah.

KesangsianTetapi timbul kesangsian mengenai perjanjian Hunt Oil adalah kerana syarikat tersebut mempunyai hubungan yang rapat dengan pentadbiran Presiden Bush dan dipercayai syarikat tersebut mendapat dorongan dan sokongan daripada Jabatan Negara AS.

Walaupun Iraq mempunyai simpanan minyak ketiga terbesar tetapi pengeluaran sebanyak 2.5 juta tong sehari adalah jauh lebih rendah daripada keupayaan sebenar simpanan tersebut. Tidak dapat dinafikan Baghdad memerlukan sumber kewangan dan teknologi syarikat minyak asing untuk mempertingkatkan keupayaan tersebut.

Sikap tidak jujur White House terserlah apabila cuba mempengaruhi kerajaan Nuri al-Maliki mengenai pembahagian kontrak penerokaan enam telaga minyak utama di Rumaila, Kirkuk, Zubair, Qurna, Bai Hassan dan Maysan.

Strategi Washington nampaknya berjaya apabila kebanyakan daripada 35 syarikat minyak yang disenarai pendek adalah dari AS dan Eropah.

Syarikat minyak gergasi seperti Exxon Mobil, Shell, Total dan BP dipercayai bakal memperoleh sebahagian besar kontrak penerokaan dan amat menarik jika diperhatikan kesemua syarikat tersebut beroperasi di negara yang mempunyai kerajaan yang menyokong pencerobohan Iraq oleh AS.

Washington bukan sahaja menggunakan pengaruh mereka dalam pentadbiran kerajaan Nuri al-Maliki untuk menentukan syarikat minyak AS mendapat habuan tetapi juga memastikan negara yang tidak menyokong dasar Washington tidak diberi peluang meneroka minyak di Iraq. Syarikat minyak Rusia umpamanya seperti Lukoil yang telah lama meneroka minyak Iraq semasa era Saddam Hussein langsung diketepikan oleh Baghdad gara-gara angkara Washington.

Memang benar bahawa pemulihan pengeluaran dari telaga minyak Iraq jika mencapai sehingga 2.9 juta tong sehari mampu membantu mengurangkan beban harga minyak yang terlampau tinggi pada ketika ini.

Tetapi tingkah laku Washington dalam mempengaruhi Baghdad dalam hal ehwal pembahagian kontrak penerokaan minyak langsung tidak mempamerkan niat yang ikhlas untuk memakmurkan Iraq.

Apa yang penting bagi Washington adalah pengeluaran dan penerokaan hasil minyak Iraq mesti dikuasai oleh syarikat minyak AS atau sekutu mereka.

Sepatutnya rakyat Iraq sudah dapat menikmati hasil minyak yang lumayan pada ketika ini tetapi disebabkan oleh perbalahan antara ketiga-tiga puak Syiah, Sunah dan Kurdish dan ditambah pula dicemari oleh agenda Washington, pihak yang mengaut keuntungan daripada harga minyak yang tinggi adalah syarikat minyak AS.

Monday, July 7, 2008

Hak milik kekal semua kampung di Perak?

IPOH 6 Julai - Kerajaan Perak hari ini menjelaskan bahawa cadangan pemberian hak milik kekal untuk lot kediaman adalah untuk semua perkampungan dan bukan hanya ditawarkan kepada perkampungan baru sahaja.

Menteri Besarnya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata cadangan itu akan melibatkan semua perkampungan termasuk kampung baru, kampung tersusun dan juga kampung-kampung Orang Asli.

Beliau berkata pemilik tanah akan diberi pilihan sama ada memilih pajakan 30, 60, 99 tahun atau hak milik kekal kerana ia akan melibatkan kemampuan mereka dalam pembayaran premium.

Pemilik akan diberikan pilihan kerana ia akan membabitkan perbezaan dalam pembayaran premium atau cukai tanah dengan kadar paling tinggi perlu dibayar bagi tanah hak milik kekal, katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan guru-guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) Perak di sini hari ini.

Cadangan kerajaan negeri untuk menawarkan hak milik kekal kepada penduduk kampung-kampung baru yang masih belum mempunyai status hak milik selepas berpuluh tahun diwujudkan telah menimbulkan bantahan daripada pelbagai pihak sebelum ini.

Menteri Besar memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri bulan lepas bahawa kajian daripada aspek pentadbiran dan perundangan berhubung cadangan pemberian hak milik kekal itu masih dijalankan kerana ia tertakluk kepada apa yang dibenarkan oleh Kanun Tanah Negara.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri sedang mengkaji untuk menaikkan elaun guru agama seperti yang telah dilakukan oleh Pulau Pinang dan Kedah bagi membantu mereka menghadapi kenaikan kos hidup.

- Bernama

Membongkar kelebihan saintifik solat

HUBUNGAN ibadah solat secara rohaniah ditekankan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis serta buku-buku ilmiah. Betapa solat itu merupakan tiang agama dan diwajibkan ke atas umat Islam.

Bagaimanapun perkaitan ibadah solat secara saintifik seperti kesan pergerakan dalam setiap rakaat terhadap kesihatan tubuh badan masih terlalu sempit perbincangannya secara umum.

Hakikatnya, pada setiap pergerakan solat itu seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat awal serta tahiyat akhir, tersembunyi pelbagai misteri saintifik terhadap kesihatan.

Misteri itulah yang cuba dirungkaikan menerusi buku ini dengan memberi penekanan kepada komponen sains kesihatan seperti komposisi badan, denyutan jantung, pinggang, otak, otot dan disfungsi ereksi (mati pucuk).

Menariknya buku ini, ia terhasil daripada cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri yang mahu melihat sebuah kajian dijalankan bagi membongkar kelebihan solat dari sudut saintifik.

Kajian itu kemudiannya dijalankan oleh tiga orang saintis dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim, Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri.

Secara umumnya, badan manusia terdiri daripada empat komponen utama iaitu tisu aktif, tisu tulang, air dan lemak dengan setiap satunya mempunyai fungsi-fungsi tertentu di dalam badan.

Kajian mengenai kebaikan senaman terhadap komposisi badan telah banyak dilakukan dan pakar kesihatan juga sependapat bahawa senaman berat atau ringan tetapi dilakukan secara kerap dapat membakar lemak badan dan karbohidrat.

Kesan yang sama juga dibuktikan menerusi pergerakan solat yang diumpamakan seperti melakukan senaman ringan dan dibuktikan dapat meningkatkan tahap ketahanan badan serta menghindarkan risiko penyakit jantung, tekanan, kolestrol dan penyakit lain.

Pergerakan rukuk misalnya, iaitu kedudukan tulang belakang yang lurus melintang atau 90 darjah dibuktikan dapat mengelakkan risiko penyakit tulang belakang dan penyakit arthritis. Ia disebabkan oleh pertambahan bendalir dalam sel yang terdapat pada sendi-sendi badan sekali gus melembutkan pergerakan sendi tersebut.

Kedudukan rukuk juga dapat melambatkan proses penuaan yang berlaku apabila meningkatnya tisu aktif selain menambah baik proses imbangan air dalam badan dan melancarkan fungsi buah pinggang.

Begitu juga tabiat membengkokkan ibu jari dalam kedudukan sujud dan duduk semasa tahiyat yang dapat meningkatkan kadar pembakaran lemak dan membuang lemak dalam badan, sekali gus merendahkan risiko penyakit jantung.

Keadaan sujud sesuai dengan tarikan graviti yang akan menyebabkan lebih banyak darah mengalir ke otak.

Dinding dan urat-urat nadi otak dapat menerima lebih banyak darah berbanding keadaan biasa dan dengan bekalan oksigen mencukupi, otak akan menjadi lebih sihat dan cerdas.

Nilai kadar denyutan jantung nominal semasa sujud juga baik untuk kesihatan jantung khususnya dan kesihatan badan secara keseluruhannya. Posisi sujud dalam solat merangsang kadar denyutan jantung yang sihat dan tambahan kepada masa rehat.

Ia juga memanjangkan hayat jantung serta dapat menghindarkan pengecilan salur-salur darah yang membawa penyakit kepada arteriosklerosis.

Daripada sudut kesihatan seksual pula, solat telah dibuktikan mampu memberikan kesan positif kepada pesakit yang mengalami disfungsi ereksi.

Kajian yang dilakukan menunjukkan pesakit yang pada mulanya langsung tidak mendapat ereksi ketika tidur mula menunjukkan perubahan dengan satu ereksi selepas proses intervensi solat selama sebulan.

Malah, kajian berasingan dalam tempoh yang sama juga menunjukkan bilangan ereksi pesakit, isipadu darah serta tempoh ereksi turut meningkat secara mendadak.

Menariknya, solat turut memberi kelebihan kesihatan lain iaitu ia mampu meningkatkan bendalir dalam sel (ICW) serta menurunkan rintangan dan bendalir luar sel (ECW). Secara saintifiknya, bendalir dalam sel yang tinggi akan melancarkan pengaliran darah dalam badan terutamanya ke saraf otak yang akan mendapat bekalan oksigen yang tinggi seterusnya memberi ketenangan secara fizikal dan emosi kepada pendiri solat.

Lebih daripada itu, solat juga dibuktikan mampu meningkatkan penumpuan dan daya ingatan. Menerusi solat, otak diberikan satu keadaan untuk bersedia dalam menghadapi tugas pemikiran yang mencabar. Malah, selepas melakukan solat, seseorang itu akan menjadi lebih berwaspada untuk bertindak balas terhadap sebarang rangsangan.

Bagaimanapun perlu untuk diingatkan, kelebihan solat ke atas kesihatan seperti yang dibuktikan menerusi buku ini perlu menepati ciri-ciri tertentu dan sudah semestinya mengikut ajaran Islam yang sebenar. Ia termasuk mengerjakan solat lima waktu dalam sehari

Saturday, July 5, 2008

Najib penghalang Anwar jadi PM – Ezam

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

SUBANG 4 Julai – Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa memfitnah dan menyerang peribadi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana pemimpin nombor dua negara itu merupakan penghalang besar untuk Anwar mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri.

Bekas Setiausaha Politik Anwar, Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, Anwar menggunakan taktik tersebut dengan matlamat mencemarkan imej dan maruah Najib bagi mengelakkan Najib menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.

Menurut Ezam, semasa masih berkuasa dalam kerajaan dan UMNO, Anwar pernah mengakui bahawa Najib merupakan seorang pemimpin yang pintar, cerdik dan berwibawa.

“Anwar pernah menceritakan beberapa kali kepada saya mengenai kepintaran dan kecerdikan Najib sebagai seorang ahli politik.

“Bagi saya, inilah puncanya Anwar bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan Najib lebih-lebih lagi dalam keadaan Anwar semakin terdesak sekarang,” kata Ezam kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menambah: “Semasa Anwar menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada awal 1980-an, beliau mengakui tahap kebijaksanaan Najib yang ketika itu merupakan salah seorang Exco Pemuda yang jauh lebih bijak jika dibandingkan dengan exco-exco yang lain.”

Mengulas siri tindakan Anwar yang kini berhadapan dengan krisis peribadi ekoran laporan liwat yang dibuat oleh pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan baru-baru ini, Ezam berkata: “Anwar sememangnya mengakui kehebatan yang ada pada Najib.’’

Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda PKR memberitahu, serangan yang dilakukan oleh Anwar terhadap Najib terutama berkaitan isu Altantuya Shaariibuu telah lama bermula sejak sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu tetapi ia tidak seagresif sekarang.

“Kedudukan Najib pada masa ini cukup selesa iaitu hanya menunggu proses peralihan kuasa berlaku dan haluan perjalanan politik Najib berbeza dengan Anwar.

“Anwar sekarang berada dalam keadaan buntu dan terdesak. Dia kata sebanyak 30 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) akan lompat parti sedangkan dakwaan itu tidak berlaku.

“Bulan September semakin hampir dan peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri kini semakin samar kerana strateginya untuk menarik ahli Parlimen BN menyertai pembangkang tidak menjadi,’’ katanya.

Berdasarkan maklumat yang diterimanya, Ezam mendedahkan tidak sampai sepuluh orang ahli Parlimen BN ‘mungkin’ akan lompat parti.

Jumlah itu tidak cukup untuk membolehkan pakatan pembangkang yang diketuai oleh Anwar membentuk kerajaan kerana pada masa ini BN mempunyai 140 ahli Parlimen manakala pakatan pembangkang hanya memiliki 82 orang wakil rakyat.

“Saya guna istilah ‘mungkin’ kerana kemungkinan ia berlaku mungkin ya dan mungkin tidak. Pas sendiri menekan Anwar iaitu Pas mahu memastikan mereka yang lompat parti adalah orang Melayu. Masalah ini juga merunsingkan Anwar,’’ ujarnya.

Sehubungan itu, Ezam berkata, mahu tidak mahu Anwar terpaksa menggunakan taktik serangan peribadi terhadap Najib berhubung isu Altantuya walaupun faktanya terlalu longgar.


Beliau berkata, semua pihak dalam UMNO harus bersama-sama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Najib mempertahankan kewibawaan dan imej UMNO.

“Jangan biarkan UMNO terus diserang dengan tuduhan yang bukan-bukan.

“Yang diserang sekarang ialah pemimpin nombor dua negara dan parti. Jangan biarkan Anwar menyerang pemimpin dan parti kita dengan sewenang-wenangnya. Kita wajib mempertahankan maruah pemimpin dan parti kita,’’ tegasnya.

Beliau berkata, umum mengetahui Anwar seorang ahli politik yang licik

“Anwar bijak membentuk persepsi yang mana dengan persepsi ini beliau mampu mempengaruhi rakyat. Sebagai pemimpin parti, kita tidak boleh membiarkan persepsi itu berleluasa.

“Pemimpin UMNO wajib bangun berikan penjelasan bahawa persepsi itu tidak betul. Najib tiada kaitan langsung dengan Altantuya. Apa yang dibangkitkan oleh Anwar itu adalah satu rekaan semata-mata,’’ katanya.

Akuan Bala tidak boleh ditarik balik

KUALA LUMPUR 4 Julai - Akuan bersumpah penyiasat persendirian P. Balasubramaniam yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, tidak boleh ditarik balik, kata Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan.

Katanya, akuan bersumpah itu dibuat mengikut prosedur betul dan disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah.

"Akuan bersumpah adalah dokumen yang mengandungi keterangan yang diberi di bawah ikrar. Pengakuan bertulis di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Dalam kes ini semua keterangan diberi secara bersumpah tidak boleh ditarik balik," katanya.

Bagaimanapun, katanya, sesuatu akuan bersumpah boleh diselitkan tambahan atau pembetulan dan seperti dalam kes di mana seorang saksi memberi keterangan palsu di mahkamah dan sesiapa yang membuat akuan bersumpah palsu boleh melakukan satu kesalahan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

- Bernama

Muslihat Anwar terbongkar

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
dan NAZRUL AZIM SHARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Julai - Penarikan balik akuan bersumpah oleh penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam membuktikan satu lagi pembohongan besar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cenderung mengamalkan politik fitnah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Anwar tergamak melakukan apa sahaja tanpa memikirkan kepentingan negara dan keharmonian rakyat demi untuk menyelamatkan dirinya.

''Bermula daripada dakwaan diugut bunuh, mendapatkan sokongan kuasa asing dan membuat tuduhan palsu ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Balasubramaniam, yang semalam menuduh Najib mempunyai hubungan dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dalam akuan bersumpahnya bertarikh 1 Julai, hari ini menarik balik tuduhan itu.

Beliau berkata, semua tuduhan dalam akuan bersumpah itu adalah tidak tepat dan tidak benar.

Hishammuddin berkata, Anwar sering menimbulkan pelbagai helah dan muslihat untuk mengalih perhatian rakyat daripada tuduhan liwat ke atas dirinya.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO di setiap peringkat jelas beliau, sedang giat bergerak untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai muslihat Anwar itu.

Pemuda menurut beliau, sama sekali tidak akan berdiam diri sebaliknya terus membongkar muslihat Anwar.

Katanya, Pemuda tidak rela membiarkan Anwar sesuka hati menghancurkan imej negara dan mengelirukan rakyat.

Beliau berkata, Pemuda UMNO sentiasa berdiri teguh di bawah kepimpinan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO serta tidak akan membiarkan Anwar membuat tohmahan, pembohongan dan fitnah sesuka hati.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Razali Ibrahim mengingatkan generasi muda agar tidak mudah terpedaya dengan helah Anwar berhubung tuduhan liwat yang dihadapinya.

Menurutnya, penasihat PKR itu sememangnya terkenal dengan kelicikan menarik simpati rakyat apabila menghadapi tuduhan sedemikian.

Beliau berkata, ketika menghadapi tuduhan yang sama pada 1998, Anwar juga menggunakan pelbagai taktik untuk menyelamatkan dirinya.

''Dalam menghadapi kes liwatnya kali ini, Anwar menggunakan Balasubramaniam untuk membuat akuan bersumpah semalam tetapi ditarik balik hari ini.

''Ia membuktikan apa yang dilakukan Anwar ketika ini membuka kembali tembelangnya kerana ia sama seperti apa yang pernah dilakukannya dahulu,'' katanya.

Bala tarik balik akuan - Ini kerana tuduhannya ke atas Najib tidak benar, tidak tepat

Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN
dan S. ANAND



KUALA LUMPUR 4 Julai – Penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam hari ini menarik balik akuan bersumpahnya yang membuat pelbagai tuduhan dahsyat terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam yang mewakili Balasubramaniam, M. Arulampalam berkata, anak guamnya berada dalam keadaan tertekan ketika membuat akuan bersumpah awal bertarikh 1 Julai 2008 yang kemudian didedahkan pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), semalam.

“Balasubramaniam kecewa dengan kerajaan dan kini dia telah menyedari kesilapannya itu,’’ kata Arulampalam kepada pemberita selepas mengedarkan akuan bersumpah baru Balasubramaniam di lobi Hotel Prince di sini.

Arulampalam ialah peguam baru penyiasat persendirian itu. Ketika Balasubramaniam muncul di ibu pejabat PKR semalam, dia diwakili peguam Americk Singh Sidhu.

Akuan bersumpah baru bertarikh 4 Julai 2008 itu menafikan akuan bersumpah sebelumnya yang dieksploitasi oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyerang Najib berhubung kes membabitkan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Semua tuduhan dalam akuan bersumpah yang didedahkan semalam adalah tidak tepat dan tidak benar, kata Balasubramaniam menerusi Arulampalam, peguam yang menemaninya pada sidang akhbar pagi ini.

“Dengan ini, saya menarik balik seluruh isi kandungan akuan bersumpah saya yang bertarikh 1 Julai 2008. Saya membuat akuan bersumpah itu dalam keadaan tertekan,” katanya.


Akuan bersumpah baru Balasubramaniam tersebut menyatakan: “Saya ingin menyatakan bahawa tidak pernah pada bila-bila masa (Abdul) Razak (Abdullah) Baginda memberitahu saya yang beliau diperkenalkan kepada Altantuya oleh seorang VIP dan pada bila-bila masa Razak ada memberitahu saya bahawa Datuk Seri Najib telah mengadakan hubungan seks dengan Altantuya dan beliau (Altantuya) sanggup mengadakan hubungan seks luar tabii.”

Akuan bersumpah baru enam halaman itu yang diikrarkan di depan Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin Muhayat di Kuala Lumpur turut mengandungi penafian penyiasat tersebut berhubung beberapa dakwaan dalam dokumen akuan bersumpah sebelum ini yang diedarkan oleh Balasubramaniam pada sidang akhbar bersama Anwar di Petaling Jaya semalam.

Bagaimanapun, Balasubramaniam dan Arulampalam enggan mengulas lanjut berhubung akuan terbaru itu. Mereka kemudian meninggalkan Hotel Prince selepas memberi penerangan ringkas kepada pemberita.

Dalam akuan bersumpah terbaru itu yang dibuat secara sukarela dan penuh kesedaran, beliau berkata, akuan bersumpah awal yang difailkan pada 1 Julai 2008 dibuat dalam keadaan tertekan.

Akuan bersumpah awal Balasubramaniam yang didedahkan pada sidang akhbar di pejabat PKR semalam disifatkan oleh Timbalan Perdana Menteri sebagai satu pembohongan yang amat dahsyat yang merupakan “rekaan semata-mata, berniat jahat dan berunsur fitnah untuk mencemarkan imejnya.”

Antara tuduhan yang mengandungi fitnah termasuk dakwaan kononnya Najib telah memperkenalkan Altantuya kepada penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan Najib menjalinkan hubungan seks dengan wanita Mongolia itu.

Diupah

Balasubramaniam ialah penyiasat persendirian yang diupah oleh Razak untuk menghalang Altantuya bertemu Razak beberapa hari sebelum wanita Mongolia itu dibunuh pada 2006.

Balasubramaniam turut menarik balik kenyataan bahawa Najib mengarahkan Razak untuk menjaga Altantuya agar wanita itu tidak mengganggunya.

Antara kandungan akuan bersumpah terbaru itu adalah:

- “Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda dan atau Altantuya Shaariibuu ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak, bersama-sama dengan Razak Baginda dan Altantuya Shaaribu telah berjumpa dan bersama-sama makan malam di Paris.”

- “Tidak pernah pada bila-bila masa Altantuya Shaaribuu ada memberitahu saya yang beliau meminta wang sebanyak AS$500,000 sebagai komisen bagi bantuannya dalam urusan pembelian kapal selam di Paris.

- “Tidak pernah pada bila-bila masa pun Razak Baginda dan/atau Altantuya Shaariibuu memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak berjumpa dengan Altantuya Shaaribu di Singapura.”

- “Tidak pernah pada bila-bila masa pun Altantuya Shaariibuu ada memberitahu saya yang beliau mahu saya mengaturkan untuk beliau berjumpa dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.”

- “Tidak pernah pada bila-bila masa saya ada memberitahu polis semasa penyiasatan mereka mengenai sebarang perhubungan antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Altantuya Shaariibuu kerana perhubungan itu tidak pernah wujud, pada pengetahuan saya. Oleh yang demikian, kenyataan yang saya tandatangani di hadapan polis sudah selesai.”

- “Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang beliau telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Datuk Seri Najib pada malam beliau ditahan.”

- “Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghantar SMS kepadanya pada hari beliau ditahan yang menyatakan beliau (Najib) akan berjumpa dengan KPN (Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan) pada hari berkenaan dan masalah itu akan diselesaikan dan meminta Razak Baginda supaya terus tenang.”

Sunday, June 22, 2008

Melayu perlu kuat - Jangan sampai terima nasib terpaksa musafir di bumi sendiri – Raja Nazrin

Oleh ABDUL RAZAK DIN

KUALA KANGSAR 21 Jun – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah bangsa Melayu perlu kuat daripada segala aspek supaya terus gagah, berhati cekal, bersemangat waja dan berupaya mendaki gunung tinggi serta bertenaga menyeberangi lautan luas.

Titah baginda, adalah malang jika bangsa Melayu menerima nasib bagaikan dagang di kampung sendiri dan terpaksa bermusafir di bumi sendiri.

“Anak bangsa yang telah berjaya, janganlah berperangai seperti si Tenggang, terlalu cepat bersifat angkuh, terlalu mudah berlagak bongkak, hingga melupakan asal keturunan, hingga memisahkan diri dari akar bangsanya, menjadi rakus, menjadi gopoh, hingga tergamak menebang pohon tempat bernaung dan mencantas dahan tempat bergantung,’’ titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) 2008 di sini hari ini.

Raja Nazrin bertitah, kejayaan anak bangsa pada masa sekarang adalah atas pengorbanan, keringat, kesusahan dan usaha generasi terdahulu.

Titah baginda, bangsa yang dapat meneruskan kelangsungan dan mengekalkan tamadun agungnya adalah bangsa yang tidak memutuskan diri dengan akar sejarah, malah senantiasa menghargai pengorbanan generasi terdahulu.

Baginda bertitah, MCKK menjadi kampung cerdik pandai Melayu yang terpilih daripada kalangan yang paling cerdas berasaskan prestasi pencapaian akademik.

‘‘Di sinilah asuhan, di sinilah bimbingan dilakukan dalam usaha membina modal insan untuk meneruskan kelangsungan bangsa di bumi warisan turun temurun.

“Permata-permata bangsa ini diserahkan untuk digarap, dicanai oleh barisan para pendidik. Garap dan canailah permata-permata bangsa ini supaya dapat menyinar cahaya kepada bangsanya dan negara.

‘‘Bisikkan kepada mereka akan petua orang- orang tua bahawa kiambang adalah kiambang, biduk berlalu bertautlah ia.

‘‘Pesankan kepada mereka jangan terlalu cepat bermusuh dengan kawan dan jangan terlalu ghairah bersahabat dengan musuh kerana sejak zaman dahulu lagi, terlalu banyak musang yang berbulu ayam, terlalu banyak sokong yang membawa rebah.

‘‘Ingatkanlah mereka akan sejarah bangsanya yang bernegara berlandaskan adat rakyat bersultan, negeri beraja,’’ titahnya.

Raja Nazrin bertitah, untuk itu, negara perlu melihat kedudukan MCKK daripada kaca mata penilaian yang berbeza dan tidak wajar disamakan dengan mana-mana institusi pendidikan lain.

Titah baginda, berasaskan akar sejarah penubuhannya, identiti MCKK daripada segi bentuk, tenaga pengajar, kurikulum dan kokurikulum harus mempunyai keunikan.

‘‘MCKK perlu senantiasa disuntik dengan nafas baru agar kekal dihormati sebagai institusi pendidikan menengah yang terunggul di negara ini.

‘‘Beta insaf betapa pentingnya kualiti, betapa mustahaknya taraf pendidikan di kolej ini ditingkatkan bertaraf dunia agar tradisi melahirkan barisan pemimpin yang berwibawa dapat diteruskan.

‘‘Dan keupayaan menghasilkan wira bangsa yang hebat berpencak di gelanggang dunia dapat dilaksanakan,’’ titah baginda.

Friday, June 6, 2008

Pengaruh dominasi minyak

Oleh ROSLEE MARDAN



Sejurus selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak dan diesel yang berkuat kuasa 5 Jun 2008, stesen minyak di seluruh negara menjadi sesak apabila diserbu orang ramai untuk mengisi minyak pada harga lama.

Kemungkinan juga, selepas kenaikan harga minyak ini, harga barang keperluan juga turut mengalami kenaikan sebagai tindak balas kepada kos minyak terutama kepada sektor industri pengangkutan, pembinaan, peruncitan dan lain-lain.

Sebelum ini, rakyat Malaysia telah pun menghadapi dan merasai kesan kenaikan harga minyak dan harga barang keperluan. Secara realitinya, kita tidak boleh lari daripada masalah utama dunia ini. Oleh sebab bukan sahaja Malaysia, kebanyakan negara di Asia turut mengimport minyak dari luar, maka sebarang perubahan harga minyak di negara luar mengakibatkan kos import meningkat.

Untuk menghadapi permasalahan besar dalam masa terdekat ini, kita tidak mempunyai pilihan lain kecuali penjimatan dalam perbelanjaan harian.

Kenaikan harga minyak yang mendadak berkemungkinan besar boleh membantutkan proses pembangunan negara kita. Jika rakyat mengambil jalan untuk mengamalkan penjimatan, lambat laun, kitaran ekonomi akan menjadi sedikit perlahan.

Ini kerana, walaupun sektor industri masih berjalan seperti biasa iaitu dengan mengeluarkan produk, kos pengeluaran dan kos jualan yang tinggi tidak memungkinkan produk mendapat perhatian daripada rakyat. Akan berlaku lambakan barangan pada satu-satu masa.

Kita tidak boleh lagi selama-lamanya terus bergantung kepada keadaan pasaran minyak dunia. Walau apa pun persoalan mengenai minyak yang mendatangkan seribu satu masalah kini, kita harus menolak pengaruh dominasi minyak kepada pembangunan sesebuah negara khususnya kehidupan manusia.

Maka, setiap negara terutama negara Asia perlu memikirkan alternatif yang dapat mengurangkan pergantungan kepada harga minyak dunia. Benar bahawa negara kita juga mengeluarkan minyak tetapi keperluan melebihi had yang ada selain tujuan penggunaannya juga adalah pelbagai.

Pada saat kita bergelut dengan krisis minyak ini, antara alternatif yang boleh dilakukan dan sudah pun dimulakan oleh kerajaan pada hari ini ialah usaha pembangunan biodiesel negara.

Pembangunan biodiesel dalam negara perlu dipertingkatkan, diperkasakan dan mesti dibangunkan bukan saja di Malaysia tetapi perlu bersama dengan negara-negara komuniti ASEAN yang lain.

Ini disebabkan, setiap kali berlaku anjakan harga minyak, negara ASEAN terpaksa menanggung beban yang tinggi ekoran ciri-ciri negara ASEAN yang masih menanggung rakyat miskin di luar bandar.

Apabila setiap kerajaan meletakkan harga kepada kos minyak sedia ada, kerajaan terpaksa mengambil kira tanggungan golongan miskin. Di negara Eropah, walaupun kenaikan harga berlaku, taraf pendapatan mereka masih boleh menyaingi harga baru dan jurang kenaikan tidak terlalu dirasai.

Kita melihat krisis ini akan lebih menjarakkan kemajuan negara Eropah berbanding dengan negara-negara ASEAN atau negara-negara membangun yang lain. Boleh jadi negara-negara Eropah akan menggunakan minyak sebagai cara mereka melemahkan negara-negara kecil di Asia.

Malaysia dan ASEAN keseluruhannya masih kaya dengan tanah dan ini dapat membuka satu lembaran baru bagi projek-projek biodiesel serta gas secara bersepadu. Walaupun tidaklah sehebat seperti mana industri minyak yang ada, setidak-tidaknya projek-projek pembangunan biodiesel yang bakal dibangunkan itu dapat mengurangkan pergantungan kepada bekalan minyak dunia.

Pembangunan biodiesel, sekiranya diusahakan dengan melihat kepada prospek yang tinggi boleh menyelamatkan negara untuk jangka masa panjang. Selain itu, ia memberi kelebihan kepada golongan usahawan sekiranya proses pembangunan biodiesel melibatkan sumber-sumber semulajadi.

Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam industri biodiesel perlulah diperluaskan dan diberi keutamaan dalam setiap rancangan Malaysia.

Negara kita juga seharusnya meningkatkan eksplorisasi terhadap kemajuan penyelidikan sains dan teknologi. Kita percaya, kemajuan sains dan teknologi sahaja yang akan mampu mengeluarkan manusia daripada krisis pergantungan sekali gus menolak pengaruh dominasi minyak yang mencengkam kehidupan manusia.

Harapan kita bahawa inovasi yang terhasil daripada kemajuan sains dan teknologi negara akan mewujudkan bidang kejuruteraan berteknologi tinggi yang boleh membantu kelancaran urusan pembangunan negara walaupun tanpa kehadiran minyak.

Negara harus mengumpul segala teknologi dari seluruh dunia terutama teknologi kejuruteraan Jepun untuk digunakan sebagai asas penyelidikan dan pembangunan kejuruteraan. Syarikat-syarikat automotif terutama syarikat automotif negara perlu meningkatkan lagi inovasi dan transformasi dalam penghasilan kenderaan bermutu tinggi bukan sahaja dari segi penjimatan minyak tetapi juga boleh digunakan tanpa sebarang bahan bakar.

Jika ini dapat direalisasikan maka, masalah pergantungan kepada bahan bakar iaitu petroleum akan dapat dikurangkan. Malaysia mempunyai ramai saintis yang berkebolehan.

Oleh itu, tidak mustahil, jika peranan saintis dan jurutera-jurutera diambil kira dalam menyelesaikan masalah, sudah tentu akan ada bayang-bayang penyelesaiannya. Negara kita boleh bergabung dengan saintis-saintis dengan negara-negara ASEAN yang lain contohnya dalam satu konvensyen atau persidangan bagi membincangkan peranan sains dan teknologi menyelesaikan dominasi minyak dunia.

Setiap kerajaan perlu memperuntukkan perbelanjaan yang lebih kepada projek-projek penyelidikan dan pembangunan.

Ketika dalam krisis ini juga, sudah semestinya kita tidak boleh membiarkan kerajaan 'pening kepala' memikir dan mengurus segala-galanya. Ketika ini rakyat tidak dapat tidak harus menerima hakikat bahawa, kerajaan telah melakukan penyelesaian sehabis baik.

Pada masa dahulu kerajaan Indonesia hampir-hampir lumpuh dan jatuh disebabkan krisis minyak yang gagal ditangani oleh kerajaan. Ini ditambah pula dengan sikap rakyat yang terlalu emosional dan gagal mengawal perasaan lalu merusuh dan memberontak.

Keadaan yang sepatutnya ialah kerjasama antara kerajaan dan rakyat. Jika rakyat terlalu penting diri dan menganggap kenaikan minyak sebagai kesalahan seratus peratus kerajaan, ini tidak akan membantu menyelesaikan masalah.

Kita tidak mahu wujudnya pergolakan politik yang hanya menyebabkan kerugian dan kesusahan kepada rakyat keseluruhan. Pada masa inilah, golongan-golongan pemikir terutama pakar-pakar akademik dalam bidang ekonomi harus mengambil inisiatif untuk mengadakan muzakarah, mesyuarat, seminar atau persidangan di Institusi-Institusi Pengajian Tinggi bagi membincangkan kalau-kalau ada cara untuk membantu kerajaan mengatasi masalah.

Kenaikan harga minyak sedikit sebanyak mencetuskan keadaan panik dan kita bimbang boleh mencetuskan pemberontakan apabila rakyat tidak dapat mengetahui secara lebih mendalam cerita di sebalik kenaikan tersebut. Maka kerajaan juga harus melancarkan gerakan memberi penerangan kepada rakyat selain kepada pemimpin-pemimpin agar wujud kesefahaman yang positif.