Tuesday, January 29, 2008

Pasaran hartanah Malaysia dilindungi daripada kemelesetan AS

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Pasaran hartanah Malaysia secara relatifnya dilindungi daripada krisis subprima dan kesan kemelesetan yang dijangka melanda Amerika Syarikat (AS) memandangkan tidak ada bekalan lebihan, kata seorang tokoh industri hartanah hari ini.

Pengarah Urusan Regroup Associates Sdn. Bhd., Allan Soo, berkata pasaran hartanah dijangkakan kekal positif tahun ini walaupun wujud kebimbangan mengenai ekonomi serantau dan global.

"Kami belum mengumpul terlalu banyak bekalan. Bekalan kami tidak besar," katanya pada persidangan "Tinjauan Hartanah 2008, Trend Baru Muncul dalam Hartanah Malaysia."

Soo berkata, walaupun beberapa segmen seperti kediaman didapati agak tepu di beberapa kawasan, ia bukan pasaran seragam dan oleh itu ketepuan adalah dalam pasaran kediaman yang lemah.

"Apabila bekalan sepenuhnya diketahui, ia mungkin ada masalah," katanya.

Mengenai pasaran ruang pejabat, bekalan dijangkakan kecil dalam tempoh tiga hingga empat tahun berbanding permintaan, kata Soo.

"Pasaran berasaskan pejabat, secara umumnya baik untuk tempoh tiga tahun akan datang," katanya.

Mengenai pasaran runcit, Soo berkata situasinya masih baik kecuali berlaku banyak kecairan.

"Pusat sewaan perlu bekerja keras memandangkan jualan mungkin mencatatkan peningkatan besar," katanya.

Bagi harga bahan pembinaan yang tinggi, Soo berkata harganya telah meningkat pada purata 10 peratus.

"Apabila ia naik kepada 10 peratus, ia memberi kesan kepada margin.

Namun kediaman mewah, kesannya kecil memandangkan marginnya yang tinggi," katanya.

"Namun jika membabitkan pasar raya, ia bergantung kepada tempatnya.

Anda mungkin dapati pulangan ke atas pelaburan kurang daripada lapan peratus," katanya.

Pengarah Ho Chin Soon Research Sdn. Bhd., Ho Chin Soon berkata, Lembah Klang dijangka kekal sebagai kawasan pertumbuhan utama di negara ini selari dengan trend perbandaran.

"Kawasan Segi Tiga Emas dan Mont Kiara merupakan lokasi utama di Lembah Klang.

Pengecualian cukai ke atas keuntungan hartanah yang diumumkan April tahun lepas merupakan pemangkin dalam peningkatan ketara sektor kediaman bangunan tinggi," katanya.

- Bernama

Thursday, January 24, 2008

Stok penimbal ditubuh -- Langkah baru kawal kekurangan bekalan, harga barang keperluan

Oleh HAMDEN RAMLI dan HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA 23 Jan. – Kerajaan hari ini mengumumkan pewujudan Stok Penimbal Kebangsaan iaitu inisiatif baru untuk memperkukuh strategi bagi memastikan harga barangan keperluan terus stabil dan bekalannya sentiasa mencukupi di pasaran.

Dua lagi inisiatif yang diperkenalkan ialah penubuhan Pusat Panggilan Kebangsaan yang beroperasi selama 24 jam dan kumpulan pakar yang akan memberi nasihat berhubung segala isu berkaitan harga dan bekalan kepada pengguna.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ketiga-tiga inisiatif itu akan diwujudkan di bawah Majlis Harga Negara (MHN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Jelas beliau, Stok Penimbal Kebangsaan akan berfungsi menyimpan barangan komoditi tertentu yang boleh diagihkan untuk kegunaan rakyat sekiranya berlaku masalah kekurangan bekalan di pasaran.

‘‘Kerajaan sedar dalam konteks pasaran dunia masa kini dengan tekanan pada harga komoditi maka satu tindakan yang bersifat komprehensif dan berorientasikan tindakan perlu dilakukan dengan segera.

‘‘Usaha terhadap isu tersebut amat penting dan kerajaan sangat prihatin tentang tindakan yang perlu diambil bagi mengawal kepentingan rakyat,” katanya pada sidang akhbar mengenai penubuhan MHN di kediaman rasminya di Sri Satria di sini.

Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal.

Penubuhan MHN telah dipersetujui pada mesyuarat Kabinet 9 Januari lalu dan ia merupakan satu jawatankuasa tertinggi dengan segala keputusannya perlu dilaksanakan oleh semua agensi kerajaan dan diterima pakai oleh sektor swasta berasaskan peruntukan undang-undang.

Najib berkata, senarai barangan keperluan yang akan dijadikan stok simpanan itu akan ditentukan pada mesyuarat pertama MHN yang dijadual diadakan sebaik sahaja Perdana Menteri kembali daripada menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.

Mengenai Pusat Panggilan Kebangsaan, beliau berkata, ia akan menerima segala aduan pengguna mengenai sebarang masalah mengenai harga dan bekalan barangan keperluan di pasaran.

“Pusat panggilan itu akan dianggotai oleh para pegawai yang mencukupi supaya pengguna boleh membuat aduan pada bila-bila masa dan seterusnya mengambil tindakan melalui unit penguatkuasaan KPDNHEP atau kementerian berkaitan.

“Melalui aduan itu kita dapat membuat rumusan mengenai harga barangan, bekalan atau lain-lain untuk dijadikan input kepada perbincangan dalam MHN,” katanya.

Di samping itu, katanya, kumpulan pakar yang diwakili antaranya oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan dewan perniagaan pula akan memberi input- input penting kepada MHN.

Kumpulan itu akan diketuai oleh Penasihat Jawatankuasa Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF), Datuk Dr. Kamal Salleh.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penubuhan MHN bagaimanapun tidak semestinya memberi jaminan harga barang akan dikurangkan kerana tujuan utama majlis adalah bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga terus stabil.

“Objektif utama majlis ini adalah untuk meminimumkan kesan kenaikan harga barang terhadap kos sara hidup dan penurunan kuasa beli rakyat,” katanya.

Beliau menambah, inisiatif terbaru kerajaan itu merupakan kesinambungan usaha kerajaan selama ini dalam mengawal harga barang dan memastikan bekalan mencukupi yang telah menunjukkan kesan positif.

“Jika tidak, inflasi di negara kita tidak mungkin berada di paras yang rendah seperti pada November tahun lalu, ia hanya berada pada kadar dua peratus.

“Dari sudut antarabangsa, kadar inflasi di Malaysia adalah yang terendah di dunia, ini merupakan cerminan kepada usaha positif yang dilakukan oleh kerajaan selama ini,” katanya.

Justeru beliau menolak kaitan penubuhan MHN dengan pilihan raya yang semakin hampir.

Ditanya adakah kerajaan akan menambah senarai barangan kawalan, beliau menjelaskan, ia terpulang kepada MHN untuk menentukan tetapi yang penting ialah harga barangan stabil meskipun ia bukan barang kawalan.

Sementara itu, Najib menegaskan, penguatkuasaan perlu diperketatkan bagi memastikan barangan keperluan utama di negara ini tidak diseludup ke luar negara.

Bagaimanapun jelas beliau, warga asing termasuk dari Singapura tidak dihalang untuk membeli-belah di Malaysia.

“Kita alu-alukan mereka membeli-belah di negara ini dan kalau hendak membeli barangan keperluan, ia hanya untuk kegunaan dalam negara dan tidak boleh dibawa keluar,” katanya.

Tuesday, January 22, 2008

Rebut hartanah di bandar

Oleh ANUAR AHMAD

Pakar pelaburan hartanah selalu berkata, bila membeli hartanah sama ada tanah, kediaman atau ruang perniagaan, ada tiga perkara penting yang mesti difikirkan iaitu lokasi, lokasi dan lokasi. Sememang petua ini masih benar walaupun telah lama diucapkan.

Semenjak beberapa tahun lalu, para penganalisis hartanah telah pun meramalkan bahawa nilai hartanah untuk perumahan dan ruang perniagaan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru akan mengalami peningkatan harga berkali ganda.

Faktor kenaikan ini dikatakan bermula dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan dan juga pelan jangka panjang kerajaan melaksanakan pembangunan koridor wilayah di seluruh negara. Ramalan para penganalisis ini nampaknya benar-benar berlaku sejak akhir-akhir ini bermula dari penghujung tahun lalu.

Jelas sekali permintaan terhadap rumah kediaman pelbagai jenis dan bangunan kedai sangat menggalakkan. Sokongan pihak kerajaan melalui perancangan pembangunan fizikal seperti pembinaan lebuh raya dan persimpangan bertingkat, stesen LRT yang baru di dalam bandar dan sebagainya telah menyebabkan kadar pertumbuhan bangunan-bangunan di bandar besar semakin rancak dilaksanakan.

Ditambah lagi dengan kejayaan kerajaan membawa masuk pelaburan luar negara berbilion ringgit telah meningkatkan lagi kadar pembangunan di bandar besar. Memang sejak 50 tahun merdeka, Malaysia telah membangun dengan begitu pesat sekali. Di sana sini berbagai rupa bentuk kediaman dibina.

Jika dulu masyarakat hanya mengenali jenis rumah banglo, teres, berkembar dan kondominium, kini pelbagai bentuk baru telah dibina. Bentuk rumah bandar, service apartmen, kondotel, villa resort telah mula diperkenalkan oleh pihak pemaju hartanah kepada masyarakat.


Pelancaran

Di sana sini, di bandar besar khususnya Kuala Lumpur, Pulau Pinang serta Johor Bahru, pelancaran projek perumahan dan bangunan kedai begitu giat berlaku. Rakan-rakan penulis di kalangan ejen hartanah begitu bersungguh-sungguh mempromosi kawasan seperti Damansara, Puchong, Cheras dan Bangsar.

Bagi sektor perumahan di Petaling Jaya, kawasan lokasi yang mendapat sambutan hebat adalah seperti di Kota Damansara, Taman Tun Dr. Ismail, Damansara Perdana, Damansara Pelangi dan Ara Damansara. Kawasan ini dianggap sebagai kawasan ‘panas’ oleh para ejen hartanah.

Kata seorang rakan berbangsa Cina, “Tahun ini di dalam kepercayaan Cina ialah Tahun Tikus, feng shui yang paling baik bagi hartanah di sekitar Kuala Lumpur ialah di Damansara dan Puchong,” ujarnya.

Antara percaya dan tidak, penulis berkesempatan ke satu majlis pelancaran jualan kondominium mewah di Pelangi Damansara baru-baru ini selepas dijemput berkali-kali oleh rakan. “Tak beli pun tak apa, datang tengok-tengok saja,” pujuknya. Perjalanan dengan kereta melalui Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) melalui Kelana Jaya dan Bandar Utama hingga ke Pelangi Damansara, jelas sekali menampakkan seluruh kawasan ini akan menjadi kawasan segi tiga emas yang baru selepas Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

Pelbagai kedai dibuka dengan kemudahan seperti pasar raya, bank, kawasan untuk bersukan dan rekreasi disediakan oleh para pemaju di kawasan ini.

Sambutan di bilik pameran begitu meriah. Pengawal keselamatan terpaksa meminta para pengunjung bergilir-gilir kerana kesesakan berlaku di dalam bangunan. “Nampaknya ramai betul orang yang berminat untuk membeli,” sapa penulis kepada pengawal di pintu masuk. “Memang Encik, ada juga yang sudah mula tunggu dari jam empat pagi tadi,” balas pengawal dengan mesra.

Di dalam bilik pameran, para jurujual sibuk melayan soalan bakal pembeli. Tiba giliran penulis, jurujual pantas berkata, “Encik orang Melayu yang pertama saya jumpa hari ini.”

Penulis melihat jam di tangan, hampir jam 11 pagi. Sudah hampir dua jam bilik pameran dibuka, baru ada seorang bakal pembeli Melayu, fikir penulis. Melihat di sekeliling bilik pameran memang benar, hampir kesemua bakal pembeli adalah kalangan bukan Melayu yang sedang rancak untuk membeli hartanah tersebut.

Setelah urusan selesai, penulis sempat berbual dengan beberapa bakal pembeli dan rata-rata tujuan mereka membeli adalah untuk pelaburan jangka panjang. Ini bukan rumah pertama atau kedua mereka, malah ada yang sudah memiliki tujuh dan lapan buah hartanah rumah dan bangunan kedai yang disewakan.

Jelas senario ini menunjukkan satu klise masyarakat Melayu yang tidak begitu memandang serius soal pelaburan hartanah perumahan khususnya di kawasan strategik di bandar besar. Memang harganya lebih tinggi daripada kawasan lain yang kurang strategik tetapi dari segi nilai hartanah dan pulangan sewaan, hartanah seumpama ini adalah jauh lebih menguntungkan.

Jelas orang Melayu tidak bersedia untuk memiliki hartanah yang mahal dan berkualiti tinggi di bandar besar. Membeli hartanah yang mahal tentulah memerlukan modal tunai yang besar. Kerana tidak berkeupayaan, jalan keluar yang mudah ialah membeli hartanah yang bernilai lebih rendah di kawasan yang kurang strategik.

Itu pun jika masih ada yang berkemahuan untuk membuat pelaburan. Lebih ramai orang Melayu sekadar berpuas hati dengan memiliki sebuah rumah berkos rendah atau sederhana sahaja.

Semasa majlis pelancaran hartanah tersebut, penulis juga sempat bertemu dan berbual dengan sebuah keluarga Cina yang telah membeli kondominium mewah tersebut dengan wang yang dikongsi bersama-sama ahli keluarga. “Kalau seorang susahlah mau beli, tapi kalau kongsi ramai-ramai bolehlah beli lebih sikit,” ujar kakak sulung keluarga itu kepada penulis. Penulis dimaklumkan keluarga mereka sudah membeli enam kediaman untuk disewakan sejak tiga tahun yang lalu.

Melayari blog di Internet berkaitan hartanah di Kuala Lumpur, sekali lagi jelas kumpulan masyarakat Cina lebih ramai yang serius membincangkan tentang potensi hartanah di Kuala Lumpur.

Hampir kebanyakan blogger adalah di kalangan masyarakat Cina. Ada di antaranya merancang untuk membeli lebih daripada satu hartanah tujuan pelaburan walaupun baru mula bekerja. Rata-ratanya blogger adalah eksekutif muda yang baru berkerja, malah sejak awal lagi telah menyatakan sasaran dan berazam untuk membeli hartanah di lokasi berkualiti tinggi.

Persoalannya di mana orang Melayu dalam isu ini, khususnya generasi muda? Bagaimana masyarakat Melayu berinteraksi dan mendapat maklumat untuk meningkat pengetahuan berkaitan hartanah.

Tahniah dengan galakan kerajaan sehingga institusi kewangan Melayu dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat memiliki dan melabur dalam bidang hartanah tetapi itu adalah satu isu lain. Isunya, di mana orang Melayu secara individu atau dalam bilangan yang ramai berusaha untuk memiliki hartanah di lokasi yang berkualiti tinggi di bandar besar.

Jelas sekali keadaan semasa menunjukkan individu Melayu belum bersedia berjuang untuk memiliki hartanah di lokasi yang berkualiti tinggi.

Nampaknya perlu ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk menggalakkan masyarakat Melayu supaya lebih bersedia untuk membeli kediaman di kawasan yang ‘panas’ seperti Damansara, Puchong, Bangsar dan seumpamanya kerana prospek dan potensi yang tinggi untuk pelaburan.

Merebut

Oleh kerana kita hidup di zaman siapa kaya dia punya, siapa cepat dia dapat, orang Melayu seharusnya lebih bijak untuk merebut peluang yang ada. Para pemimpin Melayu sama ada dalam parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO) harus perlu lebih terbuka mindanya dalam menafsirkan erti perjuangan bangsa.

Apalah ertinya kuasa politik dalam parti jika kita terpaksa menyewa pejabat untuk aktiviti parti daripada bangsa lain. Pemimpin Melayu harus bersedia bangun untuk mencari jalan bagaimana orang Melayu dalam jumlah yang ramai boleh melabur dalam hartanah secara individu.

Sememangnya tidak dapat dinafikan DEB dan RMK-8 telah berjaya menyedarkan orang Melayu tentang pentingnya penguasaan ekonomi tetapi nampaknya itu tidak mencukupi. Jika para pemimpin Melayu terdahulu telah berjaya melaksanakan usaha penambahan ekuiti orang Melayu melalui skim saham amanah dan penguasaan dalam GLC, pemimpin hari ini perlu menggandakan usaha untuk mencari jalan bagaimana meningkat keupayaan orang Melayu secara individu.

Strategi supaya setiap individu Melayu boleh menikmati tahap ekonomi yang lebih baik harus dicari segera atau lebih banyak hartanah yang berkualiti tinggi di bandar besar dimiliki oleh orang lain. Janganlah bila sudah terhantuk baru kita tengadah, bila sudah tiada baru kita merayu, dan bila sudah hilang baru timbul rasa sayang.

Menurut beberapa ejen hartanah yang berpengalaman, orang Melayu biasanya lebih cenderung untuk membeli rumah di kawasan perumahan yang baru dibuka di pinggir dan luar bandar. Mereka tidak tertarik untuk membeli kediaman di tengah-tengah pusat bandar atau kawasan elit kerana harganya yang mahal.

Walaupun kebanyakan perumahan yang baru menawarkan bayaran pendahuluan serendah 10 peratus daripada harga rumah, rata-rata orang Melayu tidak bersedia untuk mengeluarkan wang membeli perumahan yang berada di lokasi berkualiti tinggi.

Salah satu punca utama ialah tiadanya budaya menyimpan yang tegar di kalangan orang Melayu. Budaya menyimpan bila ada lebihan atau menyimpan bila perlu ditinggalkan oleh orang Melayu. Tanpa tabungan yang kukuh, orang Melayu akan terus ketinggalan dalam persaingan ekonomi sama ada hartanah, pelaburan saham, dan juga perniagaan.

Menurut kawan penulis berbangsa Cina, juga seorang peniaga yang telah berjaya, orang Cina kuat menyimpan. “Tak simpan duit mana boleh kaya, kalau mau mula bisnes pun mesti mau pakai modal, modal kecil untung kecil, modal besar, untung lagi besar,” kata beliau kepada penulis.

Memang penulis bersetuju dengan cakap beliau. Pada peringkat kerajaan, agenda tabungan dan simpanan untuk orang Melayu memang telah dilaksanakan tetapi dalam bentuk ekuiti.

Persoalannya sekarang orang Melayu perlu juga menyimpan supaya boleh memiliki hartanah di lokasi berkualiti tinggi di bandar-bandar besar, tujuannya bukan untuk bersaing dengan bangsa bukan Melayu tetapi supaya Melayu boleh berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan kaum lain, demi kestabilan, kesejahteraan dan keharmonian kaum dan negara untuk jangka panjang.

* ANUAR AHMAD ialah pensyarah Sosiologi Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Thursday, January 17, 2008

Guru saman waris murid tuntut ganti rugi difitnah

17/01/2008 12:16pm


SUNGAI PETANI 17 Jan. – Seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kalaimagal, Matang Gedong di sini, hari ini memfailkan saman fitnah terhadap waris seorang murid bagi menuntut ganti rugi RM250,000.

Kolagiladevi Elengkovan, 27, menyaman Rukumani K. Tharumalingam yang merupakan ibu kepada bekas murid tahun 1, Shamni Kasiraja, 7, kerana didakwa membuat laporan polis tidak benar dan mengeluarkan kenyataan akhbar mengaitkan dirinya memukul murid berkenaan.

Writ saman difailkan melalui firma guaman yang dilantik Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Tan Heng & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen di sini, kira-kira pukul 9 pagi ini.

Difahamkan, tindakan guru sekolah menyaman waris murid tersebut merupakan kes pertama di Malaysia setakat ini.

Sunday, January 6, 2008

Uthayakumar saman KPN, Peguam Negara RM100j

KUALA LUMPUR 4 Jan. – Penasihat Undang-Undang Hindu Rights Action Force (Hindraf), P. Uthayakumar hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bagi menuntut ganti rugi RM100 juta.

Uthayakumar, 46, yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menyaman kedua-dua mereka kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan dirinya dengan pertubuhan pengganas antarabangsa.

Writ saman difailkan melalui firma guaman, Tetuan Manogar & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Uthayakumar selaku plaintif menamakan Musa sebagai defendan pertama dan Abdul Gani defendan kedua, manakala kerajaan Malaysia defendan ketiga.

Dalam pernyataan tuntutannya, Uthayakumar mendakwa, dia dan Hindraf menganjurkan perhimpunan secara aman yang disertai hampir 50,000 kaum India di ibu negara pada 25 November tahun lalu.

Sejajar pendirian defendan ketiga, defendan pertama dan defendan kedua didakwa secara salah dan dengan niat jahat telah mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan Hindraf dengan pertubuhan pengganas.

Dakwanya, kenyataan defendan pertama dan kedua itu kemudian telah diterbitkan oleh beberapa akhbar tempatan.

Uthayakumar seterusnya mendakwa, dakwaan yang mengaitkannya dengan pengganas adalah rekaan semata-mata dan bermotifkan politik.

‘‘Dakwaan itu dibuat pertama kali oleh defendan-defendan kira-kira 10 hari selepas perhimpunan 25 November tahun lalu dan adalah jelas ia satu usaha untuk menjejaskan kredibiliti dan reputasi saya dan Hindraf,’’ kata plaintif

Pendidikan awal ledakan teknologi cambah ilmu

Oleh Abdul Razak Idris

PENDIDIKAN awal amat penting bagi menjamin masa depan anak. Seperti biasa pada awal tahun, bagaikan satu pesta apabila anak berusia lima hingga tujuh dimasukkan ke kelas Tadika dan Tahun Satu di sekolah rendah. Ibu bapa turut mengiringi mereka pada hari pertama.

Pendidikan awal sebenarnya patut dimulakan seawal anak berusia tiga tahun lagi. Ledakan teknologi di era globalisasi ini memungkinkan perkara ini dilakukan kerajaan atau masyarakat sendiri.

TV satelit sudah tumbuh bercambah menyiarkan pelbagai rancangan seiring dengan kemajuan teknologi satelit kita iaitu Measat 1 & 11 dan RazakSat. Peranan rangkaian TV tidak berbayar seperti RTM 1 dan RTM 2, saluran milik Media Prima juga besar dalam mematangkan pemikiran anak kita.



Kita wajar menjadikan pendidikan awal milik semua. Dewasa ini hanya yang berada dan mampu dapat menghantar anak seawal usia tiga tahun belajar di sekolah swasta, manakala golongan kurang berkemampuan hanya memandang dengan putih mata.

Di bandar bukan semua mampu menghantar anak untuk menikmati pendidikan prasekolah di sekolah swasta. Ada ibu bapa sanggup melakukan dua atau tiga kerja sambilan untuk menjana pendapatan tambahan bagi memastikan anak mereka dapat bersaing dengan anak orang berada ini.

Jika golongan ini berasakan perkara ini penting mengapa tidak dilaksanakan sebagai projek nasional. Langkah untuk menjadikan pendidikan awal sebagai satu keperluan dalam menjana kekuatan dalaman rakyat dan pastinya akan dapat melahirkan atau mencungkil potensi insan yang dapat direalisasikan secara optimum menerusi perkembangan, bakat, minda, kreativiti pada peringkat awal.

Kita dapat lihat sendiri di hari pertama anak berusia tujuh tahun bersekolah, seakan-akan satu kejutan budaya apabila dibawa berkenalan dengan A B C dan 1 2 3. Sedangkan benda yang dianggap payah oleh mereka sudah mampu mereka belajar dan hafal daripada usia seawal tiga atau empat tahun. Mereka disatukan dalam kelas dengan pelajar yang sudah dari awal belajar dengan benda itu semua.

Sudah terang lagi bersuluh murid ini yang akan dapat nombor satu dan murid yang baru nak bermanja dengan A B C dan 1 2 3 akan tertinggal di belakang. Murid yang sedia pandai ini akan mula menunjuk lagak bahawa dialah paling pandai dan tidak perlu diajar lagi. Keadaan yang tidak seimbang akan mewujudkan jurang digital antara pelajar sekelas. Di bandar bukan semua daripada kita yang mampu menghantar anak ke prasekolah swasta, yurannya boleh dibuat belanja makan sebulan.

Di sini kita harus sedar bahawa dunia globalisasi atau dunia tanpa sempadan begitu mencabar sekali. Dapatkah kita melihat generasi kita menerusi persaingan yang sengit di masa depan. Kita membiarkan mereka dimanjakan dengan teknologi daripada saat kelahiran dibedah, dibesarkan dengan susu formula, dipujuk dengan KFC dan McDonald apabila meragam, disogok dengan VCD kartun apabila malas disuruh.

Inikah generasi yang ingin kita bentuk? Biar mereka diajar membaca dan mengira apabila usia mencecah empat tahun di sekolah dan apabila berusia tujuh tahun sudah pandai menekan suis komputer. Zaman anak bermain lastik dan mandi sungai sudah berlalu, apatah lagi hutan semakin kurang di tepi rumah dan pencemaran sungai sudah menjadi lumrah.

Pendidikan awal ada baik dan buruk, tapi kita harus memandang ke hadapan jika inginkan anak kita tidak menjadi mangsa seperti dialami anak miskin di dunia ke tiga. Teknologi komputer wajar digunakan ke tahap maksimum bukan sekadar menjadi bahan libur. Kita ada kanak-kanak pintar, Adi Putra yang membuktikan pendidikan awal akan melahirkan insan mahir dalam matematik.

Pendidikan awal wajar dilaksanakan, biarlah anak kita kehilangan zaman kanak-kanak daripada hilang punca menghadapi saingan bangsa lain yang lebih maju seperti Jepun dan Korea.

Sebagai kesimpulan teknologi era ini dapat membantu memangkinkan pemikiran anak untuk belajar seawal usia empat tahun. Usia tujuh bukanlah terlewat, tetapi memandangkan saingan global semakin pantas, pendidikan awal adalah wajar dijadikan sasaran percambahan ilmu sejak kecil. Era ini hanya yang mampu mendapat hak pendidikan awal dan ini tidak adil pada anak kita yang miskin.

Thursday, January 3, 2008

Keputusan Dr Chua selamatkan imej parti

TINDAKAN Datuk Seri Dr Chua Soi Lek meletak semua jawatan termasuk sebagai Menteri Kesihatan, Naib Presiden MCA dan Ahli Parlimen Labis, adalah satu langkah bijak bagi meleraikan kontroversi berikutan pengakuan beliau sendiri sebagai individu yang terbabit dalam rakaman cakera video digital (DVD) aksi seks dengan wanita yang tersebar luas di Johor sejak beberapa hari lalu. Tidak ramai ahli politik di dunia termasuk di negara kita sanggup membuat pengakuan terbuka dan seterusnya meletak jawatan. Malah bukan sesuatu yang mudah atau selesa bagi Dr Chua untuk membuat pengakuan itu, apatah lagi meletak jawatan. Ahli keluarganya terutama isteri dan anak-anak juga sukar menerima hakikat itu meskipun mereka sedia menerima permohonan maaf serta kekesalan Dr Chua. Inilah masa paling sukar buat keluarganya seperti diakui isterinya, Datin Seri Wong Sek Hin.

Sikap berterus terang Dr Chua seharusnya dipuji walaupun perbuatannya dari segi moral bagi seorang menteri Kabinet, tidak boleh diterima. Sesetengah ahli politik mungkin memilih untuk membuat penafian, mendakwa DVD seumpamanya diolah semula atau menuduh pihak ketiga sengaja berbuat demikian untuk tujuan tertentu bagi menyelamatkan diri. Pengakuan cepat Dr Chua sebenarnya menyelamatkan keadaan terutama MCA dan Barisan Nasional (BN) itu sendiri kerana jika beliau cuba mendiamkan diri, keadaan akan menjadi lebih buruk. Malah Dr Chua sendiri secara peribadi sudah menemui dan memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting, mengenai perkara itu.

Inilah harga yang terpaksa dibayar oleh Dr Chua, gara-gara perbuatan tidak bermoral itu. Memang benar, perkara itu urusan peribadi tetapi sebagai pemimpin kanan parti dan berjawatan menteri pula, seseorang itu mesti menjaga moral, disiplin dan tingkah laku. Jika beliau tidak meletak jawatan, sudah pasti ramai pihak akan mendesaknya berbuat demikian. Namun, tindakan segera Dr Chua meletak jawatan itu khususnya dalam Kabinet, sekali gus menutup peluang mana-mana pihak terutama pembangkang daripada terus memainkan isu ini. Kita berharap isu ini dimatikan di situ tanpa memanjangkannya lagi demi keadilan kepada keluarga Dr Chua. Untuk tindakan seterusnya, kita serah kepada polis yang sedang membuat siasatan dan dalam hal ini, Dr Chua perlu memberi kerjasama terutama berkaitan tarikh dan lokasi rakaman DVD itu dibuat serta identiti pasangannya dalam rakaman berkenaan. Buat masa ini, kita tidak boleh membuat andaian sama ada rakaman itu berniat jahat untuk menjatuhkan serta mencemar nama baik beliau dan MCA sehingga polis selesai membuat siasatan. Selepas ini, kita juga ingin tahu bagaimana CCTV dengan mudah dipasang di dalam bilik hotel, apartmen atau kondominium. Tindakan seperti itu harus dibendung, kerana ia boleh mencabuli hak asasi seseorang. Bayangkan jika aksi pasangan suami isteri dirakam seperti itu dan VCDnya diedarkan kepada orang ramai, dengan niat mengaut keuntungan segera. Kejadian seumpama ini pernah berlaku terhadap artis tertentu sehingga kes itu diheret ke mahkamah.



Apa pun, banyak pengajaran daripada kes Dr Chua yang boleh kita ambil iktibar. Kita juga berharap media asing tidak mensensasikan isu ini yang boleh memberi gambaran bahawa Kabinet di Malaysia dicemari skandal seks. Kepada pihak pembangkang, diharapkan isu ini tidak dijadikan modal baru dalam kempen mereka menjelang pilihan raya umum akan datang, kerana Dr Chua sudah membuat keputusan meninggalkan Kabinet, parti dan sebagai Ahli Parlimen.