Wednesday, January 14, 2009

Peluang cabut taring Pas, Pakatan Rakyat

Oleh Mohd Ayob Abd Razid

SABTU ini, seramai 80,325 pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu akan menentukan nasib tiga calon yang bertanding untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat iaitu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dari Umno mewakili Barisan Nasional (BN), Mohd Abdul Wahid Endut dari Pas mewakili Pakatan Rakyat dan Azharudin Mamat @ Adam (calon Bebas).

Walaupun pertandingan bersifat tiga penjuru, perhatian ramai tertumpu kepada calon Umno dan Pas yang menjanjikan pertembungan sengit bagi merebut kerusi Parlimen itu. Kini, plot yang sedang berkembang dalam proses pilihan raya kecil Kuala Terengganu ialah aktiviti berkempen di kalangan parti berkenaan.

Pastinya, momentum kempen akan menjadi semakin panas dan agresif dengan pelbagai isu diketengahkan merangkumi isu tempatan dan nasional. Yang menjadi persoalan ialah apabila ada isu yang dibawa tidak berpijak di bumi nyata dan berada di luar kotak logik.

Contoh terbaik ialah apabila konflik di Gaza, Palestin dijadikan modal oleh pembangkang seperti Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyamakan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat seperti perjuangan rakyat Palestin menentang kekejaman rejim Israel. Datuk Mustafa Ali (Pas) pula menyamakan Pas seperti Hamas, manakala Umno seperti Fatah-PLO.

Mereka yang kritikal dan waras melihat perbandingan yang dibuat itu sebagai keterlaluan. Rakyat Palestin ditindas, dibunuh secara kejam, diusir dan dizalimi dengan pelbagai bentuk kezaliman di luar batas kemanusiaan oleh Zionis Israel semata-mata untuk memenuhi agenda jahatnya merampas bumi Palestin.

Apakah ini yang dilakukan Umno terhadap rakyat di negara ini? Adakah Umno-BN menjalankan pembunuhan dan pengusiran secara beramai-ramai ke atas rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat (PKR, Pas dan DAP)?

Apa yang berlaku ialah rakyat di negara ini tanpa mengira kaum dan parti yang mereka sokong menikmati hak yang sama seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita ingin bertanya kepada parti pembangkang, adakah BN/Umno bertindak menggulingkan secara tidak demokratik kerajaan Pakatan Rakyat di negeri yang ditadbirnya seperti cubaan Fatah di Palestin bersekongkol dengan AS dan Israel untuk menggulingkan kerajaan Hamas di Gaza melalui pertumpahan berdarah pada Jun 2006.

Di Palestin, kumpulan Fatah yang membentuk kerajaan di Tebing Barat dan diakui sebagai kerajaan sah oleh AS bertindak menangkap, membunuh dan memenjarakan sesiapa saja yang disyaki penyokong Hamas. Malah, mereka memusnahkan segala bentuk institusi pendidikan dan kedai milik Hamas.

Fatah mengisytiharkan Gaza sebagai wilayah pengganas semata-mata kerana ia ditadbir oleh kerajaan Hamas yang dipilih oleh rakyat secara demokratik. Adakah perkara sama dibuat oleh kerajaan Umno-BN ke atas kerajaan Pas di Kelantan dan Kedah?

Tidakkah Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat bagaimana kerajaan Pas di Kelantan meraih kemenangan lima penggal berturut-turut (sejak 1990) melalui pilihan raya bersifat demokratik yang diamalkan di negara ini. Berapa ramai rakyat Kelantan yang diusir, dinafikan hak tanah (tempat tinggal), dibunuh, ditembak dan dibom oleh kerajaan Umno-BN? Sekadar mengambil contoh rasuah untuk menyamakan Umno seperti Israel adalah sesuatu yang tidak relevan dan keterlaluan.

Tidakkah kerajaan Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP yang menjalankan tender terbuka ke atas projek tanpa menghiraukan kemampuan kontraktor Melayu untuk bersaingan sama seperti perangai Israel yang suka menindas kaum lemah. Bukankah dasar yang diamalkan Lim Guan Eng itu sebagai satu perancangan halus DAP untuk terus melumpuhkan ekonomi orang Melayu di negeri itu.

Keputusan kerajaan Perak, pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Pas) menyerahkan hak milik tanah kekal kepada 11 penduduk kampung baru di Grik tanpa mendapat kelulusan Majlis Tanah Negara (MTN) juga menunjukkan Pas berada di bawah pengaruh dan telunjuk DAP.

Mengapa kerajaan Perak gopoh membuat keputusan? Jawabnya, DAP melihat isu tanah itu mempunyai kepentingan kaum tertentu dan Menteri Besar hanya dijadikan rubber stamp DAP. Sentimen adalah di antara elemen yang mempengaruhi pengundi. Isu dan sentimen agama memang dekat dengan masyarakat Terengganu.

Umno mesti mempunyai keupayaan untuk mematahkan hujah Pas yang licik memanipulasikan sesuatu isu dengan mengaitkannya dengan persoalan akidah, dosa dan pahala. Semuanya ini mempengaruhi sentimen pengundi, khususnya orang Melayu yang mewakili 88.2 peratus pengundi di Kuala Terengganu. Majoriti pengundi Melayu di situ akan menilai bentuk dan sentimen agama yang dibawa oleh kedua-dua parti Melayu terbabit. Kita mengharapkan mereka akan berfikiran rasional.

Kelicikan Pas selama ini ialah pandai 'berpencak silat' mengikut tanah yang dipijaknya. Di negeri majoriti Melayu, terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah, Pas akan menggunakan sentimen agama, sementara di negeri lain ia akan bersandiwara dengan DAP dan PKR melalui slogan berkonsep 'negeri berkebajikan' dan konsep 'ketuanan rakyat'.

Isu agama yang dibawa oleh Pas sering menimbulkan kekeliruan dan kebencian orang Melayu terhadap Umno. Justeru, Umno mesti mempunyai kemampuan untuk berhadapan dengan isu agama yang dibangkitkan Pas sepanjang kempen mereka di Kuala Terengganu.

Apapun senario, keputusan pilihan raya itu nanti akan menjadi pengukur sama ada kekuatan Umno semakin pudar atau sebaliknya. Ia penting buat Umno dan BN seperti kata Datuk Seri Najib Razak iaitu 'pilihan raya kecil Kuala Terengganu sangat besar ertinya dan signifikan kepada Umno dan BN, bukan saja dalam konteks Terengganu, malah dalam konteks negara. Ia juga besar ertinya kepada masa depan Umno dan BN.'

Kemenangan Umno juga membuktikan generasi muda masih menaruh harapan kepada perjuangan di samping ia turut memulihkan imej Umno yang tercalar selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 dan kekalahannya pada pilihan raya kecil Permatang Pauh. Umno perlu memastikan sentimen berpuak tidak berlaku di kalangan pemimpin Umno seperti terjadi dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Sikap 'peteh keting' sesama sendiri sehingga sanggup mengetepikan kepentingan parti mesti dijauhi. Seluruh pemimpin dan petugas Umno-BN di Kuala Terengganu harus sedar bahawa di mata rakyat Umno sedang mempertaruhkan maruahnya.

BN-Umno mungkin akan lebih tercabar dan tertekan sekiranya calon yang dipertaruhkan gagal mempertahankan kerusi Parlimen terbabit. Perlu diingat bahawa calon Umno, Wan Ahmad Farid Wan Salleh tidak pernah diuji untuk bertanding di Parlimen Kuala Terengganu dan ia dilantik Timbalan Menteri atas tiket senator.

Justeru, kemenangannya penting untuk membuktikan bahawa ia adalah calon yang disenangi dan diterima oleh pengundi di Kuala Terengganu bagi meneruskan legasi Allahyarham Datuk Razali Ismail.

Penulis ialah Ketua Unit Komunikasi Media, Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan