Friday, May 29, 2009

9 Melayu antara 40 terkaya di Malaysia

Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my

Syed Mokhtar, Azman kekal kedudukan

KUALA LUMPUR: Bilangan hartawan Melayu dalam senarai '40 Individu Paling Kaya di Malaysia Forbes Asia' bagi tahun ini meningkat kepada sembilan berbanding lapan tahun lalu dengan nilai aset terkumpul mereka mencecah AS$2.603 bilion (RM9.132 bilion).

Nilai aset terkumpul itu bagaimanapun 28.88 peratus lebih rendah berbanding AS$3.65 bilion (RM12.84 bilion) tahun lalu dan hanya mewakili 7.15 peratus kekayaan terkumpul semua individu dalam senarai 40 orang paling kaya Malaysia itu yang berjumlah AS$36.41 bilion (RM127.74 bilion).

Usahawan terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary dan Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim terus mengekalkan kedudukan masing-masing sebagai orang Melayu paling kaya dan kedua paling kaya tahun ini.

Turut mengekalkan kedudukan adalah Pengerusi Eksekutif Kencana Petroleum Bhd, Datuk Mokhzani Mahathir pada tempat ke-3 dan Timbalan Ketua Eksekutif AirAsia Bhd, Datuk Kamarudin Meranun tempat ke-4.

Syed Mokhtar mempunyai kekayaan AS$1.1 bilion (RM3.86 bilion), manakala Azman AS$470 juta (RM1.65 bilion).

Walaupun kekayaan Syed Mokhtar dan Azman masing-masing susut daripada AS$1.8 bilion (RM6.32 bilion) dan AS$700 juta (RM2.46 bilion) tahun lalu, mereka mengekalkan kedudukan di tempat ke-8 dan ke-11 dalam senarai '40 Individu Paling Kaya di Malaysia' tahun ini.

Mokhzani dan Kamarudin pula masing-masing memperbaiki kedudukan dari tempat ke-20 dan ke-21 tahun lalu kepada ke-16 dan ke-19 tahun ini.

Peningkatan itu di sebalik penurunan nilai kekayaan masing-masing daripada AS$290 juta (RM1.02 bilion) kepada AS$215 juta (RM754.29 juta) dan AS$280 juta (RM982.34 juta) kepada AS$205 juta (RM719.21 juta) tahun ini.

Tiga hartawan Melayu baru yang memasuki senarai tahun ini ialah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holding Bhd, Tan Sri Rozali Ismail pada tangga ke-31; Pengerusi Hard Rock Cafe Enterprise Malaysia, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir di tangga ke-37 dan Ketua Eksekutif Ranhill Bhd, Tan Sri Hamdan Mohamad di tangga ke-38.

Nilai aset ketiga-tiga individu itu masing-masing berjumlah AS$130 juta (RM456.08 juta), AS$100 juta (RM350.83 juta) dan AS$98 juta (RM343.82 juta).

Dua hartawan Melayu lain yang turut berada dalam senarai itu ialah Pengarah Eksekutif Westports, Ahmayuddin Ahmad di tempat ke-25 dengan nilai kekayaan AS$175 juta (RM613.96 juta) dan Pengarah Gamuda Bhd, Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah di tempat ke-35 dengan nilai kekayaan AS$110 juta (RM385.917 juta).

Bagaimanapun, Pengerusi Naim Cendera Holdings Bhd, Datuk Abdul Hamed Sepawi dan Ketua Eksekutif CIMB Group, Datuk Nazir Razak masing-masing berada di tempat ke-30 dan ke-40 tahun lalu terkeluar daripada senarai '40 Paling Kaya di Malaysia' tahun ini.

Sementara itu, peneraju Kumpulan Kuok, Tan Sri Robert Kuok dan ahli perniagaan Ananda Krishnan mengekalkan kedudukan sebagai rakyat Malaysia paling kaya.

Kekayaan Kuok adalah AS$9 bilion, turun daripada AS$10 bilion tahun lalu, manakala Ananda pula AS$7 bilion, turun daripada AS$7.2 bilion. Kuok dan Ananda juga adalah orang paling kaya di Asia Tenggara.

Rakyat Malaysia ketiga paling kaya pula ialah Pengerusi Kumpulan IOI, Tan Sri Lee Shin Cheng dengan kekayaan AS$3.2 bilion, turun daripada AS$5.5 bilion tahun lalu.

Forbes Asia dalam kenyataannya berkata, jumlah terkumpul kekayaan 40 individu paling kaya di Malaysia AS$36 bilion bagi tahun ini merosot 22 peratus berbanding AS$46 bilion tahun lalu sejajar kejatuhan 21 peratus pasaran saham tempatan dan penurunan 10 peratus nilai ringgit berbanding dolar AS.

Katanya, pengiraan nilai kekayaan individu dalam senarai itu dibuat berdasarkan harga saham syarikat yang dikuasai dan kadar pertukaran mata wang daripada 15 Mei lalu.

Bagi aset yang tidak disenaraikan pula, ia menggunakan maklumat daripada firma biro kredit BRIS Information Services Sdn Bhd (BRIS) dan sumber lain untuk membuat anggaran nilainya jika aset itu disenaraikan di Bursa Malaysia.

Saturday, May 16, 2009

Guru pendukung aspirasi membentuk modal insan holistik

Pendidik bukan sekadar lahirkan pelajar cemerlang tetapi lebi utama membimbing generasi bersahsiah mulia

SAMBUTAN Hari Guru 2009 amat dinantikan oleh kira-kira 350,000 pendidik di seluruh negara berikutan perubahan dalam kepemimpinan Kementerian Pelajaran baru-baru ini. Apakah akan berlaku sebarang perubahan dalam sistem pendidikan negara apabila kepemimpinannya bertukar tangan. Ikuti wawancara wartawan Pendidikan, ZAINOR SAID, TAMRIN ANUAR dan NORLIZA ABDULLAH bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Guru yang disambut hari ini.

Apa relevannya tema Hari Guru tahun ini iaitu 'Guru Pembina Negara Bangsa' dengan peranan pendidik dalam membina perpaduan dan meningkatkan kecemerlangan?

Tema Hari Guru tahun ini mengingatkan kita peri pentingnya peranan guru dalam membentuk negara bangsa. Mereka bukan hanya berperanan mendidik, malah membentuk bangsa yang bersatu padu dan bangsa yang mampu memahami aspirasi negara seterusnya membawa Malaysia ke mercu lebih gemilang pada masa depan. Kita melihat pentingnya guru dalam membentuk generasi lebih seimbang. Dalam hal ini, kerajaan menekankan aspek kualiti untuk meningkatkan mutu pendidikan dan aspirasi lebih cemerlang dalam kerjaya mereka. Masa depan negara bergantung kepada keupayaan guru melahirkan generasi berkemahiran dan memenuhi cita rasa bangsa dan negara. Sempena Hari Guru tahun ini, kami pada peringkat kementerian memberi perhatian khusus kepada usaha meningkatkan kemahiran guru agar lebih kreatif dan inovatif di samping memiliki ilmu dan pengetahuan lebih luas. Guru juga bertanggungjawab membimbing anak kita untuk terus menjadi manusia sempurna, insan kamil yang sekali gus dapat mewarisi usaha membangunkan negara.



Adakah tema itu bertepatan dengan hasrat mewujudkan 1Malaysia seperti diharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak?

Semestinya ia selari dengan hasrat itu dengan rakyat didahulukan dan prestasi diutamakan. Matlamat itu mahu melihat Malaysia memegang satu wadah walaupun berada dalam masyarakat berbilang kaum. Kepelbagaian kaum dan keturunan di negara ini membentuk keistimewaan tersendiri selain bersatu padu dan mempunyai impian sama dalam memajukan negara. Menerusi sistem pendidikan negara, antara matlamat utama ialah membentuk rumpun bangsa. Kepelbagaian bangsa dan bahasa itu bukan satu kekangan, sebaliknya kekuatan dan tambah nilai dalam membentuk satu bangsa yang kuat. Pembentukan perpaduan serta toleransi bermula pada peringkat sekolah. Ia menjadi tanggungjawab semua pihak terutama guru dalam membentuk keseimbangan di kalangan pelajar yang datang daripada pelbagai kaum dan keturunan dalam proses membentuk perpaduan. Saya berharap perpaduan yang dipupuk di sekolah akan terus kukuh dan berkekalan sehingga menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Apakah cabaran utama guru masa kini dalam melaksanakan tanggungjawab untuk melahirkan modal insan holistik?

Tidak dinafikan perkembangan semasa turut memberi kesan kepada proses pembentukan sahsiah terutama di kalangan anak muda. Namun, apa yang penting ialah perkembangan bidang pendidikan perlu diambil kira supaya seiring dengan apa yang berlaku di negara maju. Penekanan perlu diberikan kepada pembangunan secara menyeluruh (holistik). Dalam mencapai sasaran itu, kita harus melihat pelbagai aspek termasuk mengambil kira soal kebajikan guru, antaranya kekurangan guru. Kementerian sedang berusaha mengurangkan nisbah guru dan bilik darjah daripada 1:7 kepada 1:5. Selain itu, usaha meningkatkan pendidikan negara dengan memberi penekanan terhadap perkembangan aspek perisian iaitu meningkatkan kecemerlangan ilmu, inovasi dan kreativiti dalam proses pembelajaran dan pengajaran (P&P). Penambah-baikan akan dilaksanakan terhadap kurikulum dan kokurikulum di sekolah dalam melahirkan generasi seimbang dari segi perkembangan rohani dan jasmani. Mengupas isu meningkatkan infrastruktur pendidikan, ia tidak terhad kepada kemudahan luaran seperti membina lebih banyak sekolah tetapi kerajaan perlu melengkapkan guru dengan pelbagai kemahiran.

Dakwaan guru terpaksa melaksanakan tugas pengurusan dan pentadbiran memberi tekanan dan menjejas tumpuan mereka terhadap tanggungjawab hakiki sebagai pendidik. Apakah usaha kementerian untuk menanganinya?

Itu antara isu yang dikenal pasti kerana institusi pendidikan sendiri begitu kompleks. Guru bukan saja bertindak sebagai pendidik dan mengajar semata-mata malah pada masa sama, mereka juga bertugas sebagai pegawai disiplin, pegawai kebajikan dan penyelaras kokurikulum. Setiap kali kerajaan melaksanakan dasar baru, guru perlu melaksanakannya. Pelaksanaan itu termasuk menyediakan laporan dan proses penyediaan itu menambah tugas sedia ada. Kajian awal mengenai bebanan tugas guru menunjukkan pada 2005, lebih 16,000 guru dari 400 sekolah mendapati tugas dan tanggungjawab mereka meningkat berbanding 20 tahun lalu. Peningkatan itu adalah kesan penggubalan dasar, perubahan sistem dan bertambahnya jumlah mata pelajaran. Antara pendekatan yang dapat dilaksanakan kementerian dalam menangani masalah ini ialah mengambil lebih ramai guru dan kakitangan sokongan dalam memperkemaskan urusan sekolah.

Beberapa usaha dilaksanakan dengan mewujudkan jawatan kumpulan sokongan bagi membantu guru melaksanakan kerja pentadbiran, antaranya jawatan pembantu tadbir, pembantu makmal sains dan juruteknik di Pusat Kegiatan Guru. Selain itu juga, kementerian mewujudkan jawatan pembantu pengurus murid gred N17 di Kelas Pendidikan Khas dan murid prasekolah normal.

Sempena sambutan Hari Guru pertama sejak Tan Sri menerajui Kementerian Pelajaran, apakah insentif baru yang bakal diumumkan?

Setakat ini ia masih rahsia. Bagaimanapun ada beberapa perkara menarik bakal diumumkan sebagai usaha menyuntik semangat serta kesungguhan guru dalam mendidik anak bangsa, sekali gus meningkatkan martabat profesion keguruan agar terus disanjung. Ia juga mengambil kira pelbagai usaha lain, antaranya menyeimbangkan nisbah guru lelaki dan perempuan dalam kerjaya guru di negara ini. Setakat ini nisbah guru lelaki dan perempuan adalah sekitar 80:20 dan kita harus merapatkan jurang supaya tidak begitu ketara. Bagi menyeimbangkan peratusan itu, kementerian sedang mengenal pasti kaedah terbaik untuk menanganinya termasuk menyediakan insentif tambahan kepada golongan lelaki yang menyertai profesion ini. Langkah kerajaan bukan bertujuan memperkecilkan usaha wanita atas sumbangan mereka selama ini, namun perlu ada keseimbangan yang sesuai di antara guru lelaki dan perempuan.

Bagaimana Tan Sri melihat soal disiplin pelajar sekarang, apakah ia sudah sampai ke tahap membimbangkan?

Isu disiplin pelajar itu sendiri antara perkara besar yang harus ditangani segera. Setakat ini kita mempunyai hampir enam juta pelajar dan jika satu atau dua peratus daripada mereka terbabit dengan kegiatan tidak diingini pastinya ia memberi kesan kepada institusi pendidikan itu sendiri. Ia memerlukan perhatian serius. Dalam membentuk generasi ini, ia bukan tugas satu pihak semata-mata. Ibu bapa perlu bertindak pantas mengenal pasti kelemahan dan mengawasi anak masing-masing supaya pergerakan mereka dikawal. Begitu juga dengan peranan masyarakat yang harus memainkan peranan memastikan institusi masyarakat itu sempurna dan dilengkapi dengan pengisian rohani membentuk sahsiah. Usaha itu menuntut kepada kerjasama serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan semua pihak supaya setiap perlakuan sumbang dan salah laku anak-anak dapat ditegur dan diperbetulkan dari awal.

Apakah kementerian serius mahu melaksanakan kembali hukuman rotan terhadap pelajar?

Hal ini perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan tata cara betul mengikut prosedur. Jika diteliti, hal ini tidak sepatutnya menjadi isu besar, bagaimanapun pelaksanaan perlu berlandaskan kepada garis panduan khas. Ini perlu dibincangkan bagi mendapat persetujuan daripada banyak pihak antaranya persatuan ibu bapa dan guru (PIBG). Persetujuan itu penting kerana saya tidak mahu ada guru yang dihadapkan ke mahkamah gara-gara bertindak luar batas sedangkan pada awalnya niat mereka ikhlas untuk mengajar. Pendekatan mendisiplinkan pelajar kini lebih kepada kasih sayang dan berdiplomasi. Mungkin sesetengah ibu bapa tidak memberikan kasih sayang sewajarnya kepada anak masing-masing. Bagi menanganinya, semua pihak perlu melihat kepada falsafah pendidikan negara iaitu bukan hanya melahirkan pelajar yang cemerlang semata-mata kerana apa yang lebih penting ialah melahirkan generasi memiliki sahsiah mulia.

Apa komen Tan Sri terhadap dakwaan berleluasanya isu mat rempit mencerminkan sistem pendidikan kita gagal membentuk generasi berakhlak mulia?

Sebelum itu kita perlu lihat berapa ramai yang terbabit dengan gejala ini. Tidak dinafikan aktiviti negatif turut membabitkan masalah sosial lain seperti bohsia. Bagaimanapun ia perlu dilihat secara menyeluruh. Ia membabitkan pengawasan semua pihak termasuk faktor persekitaran yang menyebabkan berlaku kejadian sedemikian. Pendekatan menyeluruh diperlukan bagi menangani masalah ini kerana ia membabitkan banyak institusi iaitu keluarga, ibu bapa, pihak penguatkuasaan seperti polis serta pihak berkuasa tempatan selain anggota masyarakat seperti jiran dan pemimpin penduduk. Faktor persekitaran seperti kediaman tidak selesa dan sempit di bandar turut mendorong anak muda keluar selain kedangkalan minda mengenai kesan negatif tindakan mereka menyebabkan mereka mudah terpengaruh dalam gejala tidak sihat.

Bagaimana dengan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), adakah dasar ini akan diteruskan?

PPSMI masih dalam perbincangan. Sebelum sebarang keputusan dilaksanakan, ia akan diteliti dan diperhalusi kesannya kepada proses pembelajaran masa kini. Walaupun sudah tujuh perbincangan meja bulat dilaksanakan namun saya masih belum puas hati mengenai hasilnya. Walau apa pun keputusan yang bakal dibuat, sama ada diteruskan atau diganti dengan dasar lain, perkara yang lebih utama adalah mengenal pasti keupayaan kita mengenai penguasaan bahasa itu sendiri. Yang penting memperhalusi pelaksanaannya supaya tidak menjejaskan mana-mana pihak. Kepentingan anak bangsa harus diutamakan kerana masing-masing berdepan cabaran lebih besar bagi memenuhi pasaran kerja tempatan dan antarabangsa. Kementerian mengharapkan kajian menyeluruh dan berdasarkan fakta konkrit. Adakah ia benar-benar meningkatkan kefahaman murid dalam menguasai sesuatu mata pelajaran atau apakah penggunaan bahasa itu menyukarkan mereka menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik seperti yang didakwa. Adakah kita mempunyai pilihan lain untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris tetapi pada masa sama, memudahkan murid memahami mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa kebangsaan. Perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan sama ada mengekal atau meminda dasar sedia ada.

Setakat ini bagaimana perkembangan pengstrukturan semula dasar pendidikan negara daripada sistem berasaskan peperiksaan kepada penilaian berasaskan sekolah?

Sistem penilaian berasaskan sekolah akan dilaksanakan mulai tahun depan. Ia lebih kepada kaedah pendidikan seimbang dengan mengambil kira usaha membimbing secara menyeluruh. Kita tidak menyatakan kecemerlangan akademik itu tidak penting, sebaliknya apa yang ditekankan di sini ialah usaha melahirkan pelajar pintar, cerdik dan berkemahiran. Kami mengharapkan menerusi sistem ini, ibu bapa dan guru tidak hanya ghairah mengharapkan kecemerlangan akademik daripada pelajar, sebaliknya mereka perlu lebih rasional dalam menilai kecemerlangan setiap individu dalam pelbagai aspek. Mereka perlu cemerlang dalam akademik dan pada masa sama mempunyai kemahiran lain untuk meneruskan kelangsungan hidup yang membolehkan mereka membuat keputusan secara rasional berdasarkan kepada keadaan dan cabaran semasa.