Tuesday, May 25, 2010

Tiada ruang kesilapan urus loji jana kuasa elak malapetaka

2010/05/25
SETIAP kali hal tenaga nuklear dibangkitkan, yang terlintas di fikiran ialah kebimbangan berulangnya malapetaka nuklear di Chernobyl dan Three Mile Island. Namun adakah kebimbangan ini rasional? Dari sudut kemajuan, teknologi bertambah maju seiring perubahan zaman.

Manusia pula belajar melalui kesilapan, terutama jika ia membabitkan tenaga nuklear. Pada masa sama, tiada ruang untuk sebarang kesilapan menguruskan tenaga nuklear kerana risikonya terlalu tinggi. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi lampu hijau kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk merealisasikan matlamat Malaysia menggunakan tenaga nuklear menjelang 2021. Menterinya, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui menyokong pelaksanaan itu dengan mengatakan itulah satu-satunya pilihan yang tepat memandangkan keperluan tenaga negara yang makin meningkat. Tambahan pula, katanya, penggantungan Malaysia terhadap tenaga gas, arang dan hidro adalah ‘tidak sihat’

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), S Piarapakaran, berkata pelbagai aspek perlu ditelaah bagi mengukur kesediaan Malaysia dalam menggunakan tenaga nuklear.

“Kita perlu tahu berapa ramai pakar dari Malaysia yang bekerja dalam bidang ini dengan pengalaman sebenar,” katanya.

Memang benar Malaysia mempunyai sebuah loji nuklear yang beroperasi pada skala amat kecil dengan mengeluarkan tenaga satu MegaWatt (MW).
Namun, ia tidak sama seperti mengendalikan loji 200 MW atau 1000 MW yang memerlukan pengalaman berbeza sama sekali, terutama dari segi keselamatan dan pencegahan kebocoran.

“Kita juga perlu sedar, sungguhpun kerajaan pernah cuba memperkenalkan tenaga nuklear pada 1970-an, keputusan itu ditarik balik selepas penemuan beberapa lapangan minyak di Malaysia,” katanya.

Piarapakaran berkata, satu aspek yang perlu diberi perhatian serius ialah Malaysia tidak ada sumber tenaga kerja tempatan yang berkepakaran tinggi dalam mengawal dan menyelenggara sumber tenaga nuklear.

“Meminjam pakar dari luar negara bagi tujuan ini pula tidak dapat dipertimbangkan kerana risiko daripada aspek ‘keselamatan tenaga’,” kata Piarapakaran.

Selain itu, katanya, satu laporan Penilaian Impak Terperinci Alam Sekitar (DEIA) perlu dilaksanakan sebelum sebarang keputusan dibuat. Mana-mana negara berupaya membina loji tenaga nuklear, tetapi mengurus dan menyelenggaranya adalah tanggungjawab yang besar sekali,” katanya.

Kata Piarapakaran, ada tiga risiko utama yang perlu diteliti dan yang pertamanya, kebocoran sinar radioaktif.

“Sinaran ini boleh menyebabkan komplikasi kesihatan serius, bukan saja menerusi pendedahan langsung kepada manusia, malah juga secara tidak langsung menerusi air, flora dan fauna yang digunakan manusia,” katanya.

Namun mereka yang bakal mengalami akibat paling dahsyat daripada pendedahan sinaran radioaktif adalah pekerja reaktor nuklear kerana risiko pendedahan jarak dekat. Kebocoran sebegini kadangkala tidak dapat dikesan sehingga berdekad-dekad, seperti berlaku di loji nuklear Vermont Yankee di Amerika Syarikat, awal tahun ini.

“Risiko kedua mungkin paling banyak bermain di fikiran ramai, iaitu letupan. Ia disebabkan oleh ketidakstabilan dalam reaktor nuklear. Letupan akibat itu akan sentiasa membuatkan kita teringat tragedi Chernobyl,” kata Piarapakaran.

“Penelitian kami terhadap kemalangan nuklear menunjukkan kebanyakannya disebabkan oleh faktor kesilapan manusia. Ini memberikan tanggungjawab yang berat kepada pekerja reaktor,” katanya.

Ini bermaksud pekerja reaktor seharusnya mempunyai kepakaran tinggi, di samping mahir dan profesional dalam menjalankan tugas kerana tiada ruang untuk kesilapan. Kebolehan untuk mengawal keadaan juga harus diberi keutamaan.

Oleh kerana kejadian nuklear mempunyai kaitan langsung dengan kesilapan manusia, sesebuah negara juga harus memberi perhatian kepada langkah pencegahan. Jika tidak, kita akan berdepan dengan banyak isu kebocoran sinar radioaktif dan kemalangan nuklear.

Perkara ini bukanlah begitu mudah untuk ditangani. Negara seperti Perancis mengalami lebih 100 kebocoran kecil setahun, sedangkan negara itu berkepakaran dan berteknologi tinggi dalam mengendalikan tenaga nuklear.

Walaupun risiko pertama dan kedua itu jarang berlaku, kerajaan serta industri berkaitan perlu melihat langkah pencegahan sebagai satu aspek yang perlu dititikberatkan. Pengurusan sisa nuklear adalah risiko ketiga, namun ia tidak kurang serius seperti risiko yang lain.

“Kita hanya perlukan 15 kilogram sisa nuklear untuk menghasilkan senjata nuklear. Apabila kita hasilkan satu bahan mentah untuk penghasilan senjata, kita perlu memastikan negara mempunyai tahap keselamatan yang tinggi. Malaysia memerlukan lokasi selamat untuk penyimpanan dan pengendalian. Ini bermakna kita perlu tingkatkan tahap keselamatan negara,” katanya. – Bernama

Friday, May 21, 2010

Makan tengah hari termahal



ASET Abramovich sebagai manusia ke-50 terkaya di dunia termasuk beberapa buah kapal persiaran, jet peribadi dan 40 orang pengawal peribadi.

--------------------------------------------------------------------------------



BERAPAKAH harga yang sanggup dibelanjakan untuk satu hidangan makan tengah hari jika anda tergolong antara 50 manusia terkaya di dunia?

Pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich dalam pertemuan dengan rakan perniagaannya membelanjakan AS$52,000 (RM166,400) ketika menjamu selera di Restoran Nello, New York.

Itu jumlah yang dibayar lelaki ketiga terkaya Rusia itu termasuk hidangan untuk enam orang beserta bayaran tip kepada pelayan restoran yang berjumlah AS$5,000 (RM16,000).

Pemilik restoran mewah terkemuka di kota New York itu, Nello Balan berkata, Abramovich yang ditemani isteri, Dasha Zhukova dan anak lelakinya, Arkadi melangkah masuk ke restoran itu seperti pelanggan biasa.

"Mereka kelihatan sama seperti kebanyakan pelanggan harian di restoran ini.

"Tidak ada yang mencurigakan sehinggalah saya melihat senarai makanan yang ditempah,"jelasnya yang sering menerima kunjungan artis popular dan orang kenamaan.

Hidangan pertama Abramovich bermula dengan Carpaccio yang dihidangkan bersama truffle putih sebelum beliau menjamah daging kambing Milan, pasta dan parmesan.

Menurut Ballan, truffle putih atau Tuber Magnatum yang ditempah oleh Abramovich adalah antara makanan paling mahal di dunia.

"Makanan yang dihidangkan kepada mereka adalah menu daripada kualiti terbaik dan ia semestinya sangat mahal," katanya.

Sementara itu ketika Abramovich menikmati pencuci mulut iaitu Tiramisu bersama champagne dan wain terbaik, Zhukova meneguk air minuman yang dijual pada harga AS$16 (RM51).

Minuman yang diatur di meja makan mereka termasuk dua botol wain Chateau Petrus, tiga botol La Tache Romanee Conti dan dua botol besar champange Cristal Rose yang berharga AS$5,000 (RM16,000) setiap satu.

Menurut Ballan, kos yang dibelanja untuk minuman keras pada tengah hari itu sahaja sudah mencecah AS$35,000 (RM112,000).

Namun jutawan Rusia itu langsung tidak menunjukkan reaksi terkejut ketika melihat angka yang perlu dibayar.

"Sebagai kepastian dia bertanya adakah bayaran yang dikenakan itu termasuk caj servis.

"Gaya dan perwatakannya langsung tidak menampakkan dia manusia terkaya di dunia," ujarnya.

Sementara itu, beberapa tetamu yang sedang menikmati hidangan di meja berhampiran tidak mengenali Abramovich dan mungkin menyangka mereka baru sahaja menang loteri.

Sebelum melangkah keluar dari restoran Ballan sempat mencadangkan supaya jutawan itu membeli pasukan baseball New York Yenkee, tetapi dengan selamba Abramovich menjawab:"Saya sudah ada banyak masalah dengan Chelsea."

Wednesday, May 19, 2010

Ibu terkaya di dunia

Susunan NOOR FAZRINA KAMAL

PERCAYA dalam dunia ini terdapat 70 orang bergelar ibu yang mempunyai kekayaan bernilai berbilion dollar. Daripada jumlah tersebut lapan daripadanya membina kekayaan hasil usaha mereka sendiri.

Mendahului senarai ialah Margaret C. Whitman yang lebih dikenali sebagai Meg, dia mempunyai kisah yang boleh dijadikan inspirasi buat semua wanita.

Graduan dari Sekolah Perniagaan Princeton dan Harvard, Amerika Syarikat itu memulakan kerjayanya di syarikat terkenal, Procter & Gamble sebelum berpindah ke California bersama suami tercinta.

Suami Whitman adalah seorang pakar bedah neuro yang berkhidmat di Hospital Stanford, California. Selepas meraih pendapatan lumayan ketika berkhidmat di firma penasihat Bain & Co., Disney, Whitman kemudiannya menyertai eBay yang ketika itu sebuah firma teknologi kecil dengan hanya 30 orang pekerja sebagai ketua eksekutif.

Dalam tahun 2004, Whitman diisytihar dalam senarai billionare dunia oleh Forbes, majalah tersohor tentang dunia perniagaan.

Jadi siapakah di sebalik kejayaan wanita ini? Pastinya ibunya sendiri dan kisah tersebut dikongsi menerusi sebuah buku bertajuk The Power of Many, mendedahkan apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Dia kini berkempen untuk menggantikan tempat gabenor Republik California, Arnold Schwarzenegger.

Whitman adalah seorang daripada 70 ibu bergelar bilionair dan salah seorang daripada lapan ibu yang berjaya hasil usaha sendiri untuk mengumpul kekayaan bernilai berbilion dolar.

Bagaimanapun tiada seorang pun dari lapan ibu tersebut yang berjaya menduduki senarai 10 wanita terkaya dunia.

Senarai tersebut dimonopoli oleh wanita yang mewarisi kekayaan dari suami, bapa atau datuk masing-masing.

Kisah ibu terkaya

Ibu berjaya lain ialah Rosalia Mera, wanita beranak dua yang dahulunya bekerjasama dengan bekas suaminya, Amancio Ortega membina nama untuk jenama fesyen terkenal yang berasal dari Sepanyol, Zara.

Pasangan itu telah membina empayar fesyen dengan membangunkan beribu cawangan Zara di seluruh dunia.

Satu lagi nama ialah Joanne Rowling (JK). Siapa yang tidak kenal nama ini. Dia merupakan penulis buku imaginasi terkenal, Harry Potter dan pemilik francaisnya.

Kisah awal Rowling memang menyentuh perasaan kerana sejak bercerai dia terpaksa melalui hari-hari sukar bersama anaknya dan berpindah ke Edinburgh, Scotland semata-mata supaya berdekatan dengan kakaknya.

Rowling kini mempunyai dua lagi anak bersama suami baru. Duit pembayaran pendahuluan manuskrip pertama Harry Potter, digunakan untuk membayar sewa rumah flat yang diduduki bersama anak sulungnya.

Ibu terkaya di Asia

Nama Savitri Jindal, mungkin tidak sepopular ibu terkaya dunia yang lain. Tapi tahukah anda bahawa dia merupakan wanita Asia terkaya selepas bergelar balu kepada mendiang pemilik OP Jindal Group, sebuah syarikat konglomerat pembuat besi dan yang paling berpengaruh di India.

Savitri adalah ibu kepada sembilan anak dan merupakan ibu terkaya di dunia yang mempunyai paling ramai anak. Memandangkan Savitri merupakan pengerusi bukan eksekutif, empat anak lelaki dari sembilan anaknya telah mengagihkan perniagaan tersebut kepada empat bahagian dan menerajui bahagian masing-masing.

Beban di sebalik kemanisan kekayaan

Menjadi ibu terkaya dan sekali gus mempunyai anak-anak yang juga mewarisi kekayaan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.

Liliane Bettencourt, pewaris kekayaan dari jenama kosmetik terkemuka L'Oreal telah didakwa oleh anaknya perempuan tunggalnya sendiri, Francoise Bettencourt-Meyers, 56, di mahkamah apabila Meyers mendakwa ibunya memberikan sejumlah besar hartanya kepada orang lain