Thursday, October 14, 2010

Kerana Mu Nurul Izzah

Oleh NOOR AZAM
KIRA-KIRA sepuluh tahun lalu berlaku gerakan "Reformasi" ala Indonesia. Bermula dan berpusat di kota Jakarta. Matlamat gerakan ini untuk menjatuhkan pemerintahan regim Suharto. Senjata yang digunakan ialah menuduh Suharto mengamalkan KKN (Korupsi, Kroni dan Nepotisme).
Pada waktu yang sama - saya kira memang sudah dirancang dan ada ketoloi dari Amerika - wujud gerakan menjatuhkan Dr. Mahathir Mohamad. Ia bermula secara terbuka apabila Datuk Ahmad Zahid Hamidi, yang waktu itu menjadi Ketua Pemuda UMNO, membuat ucapan menyerang Dr. Mahathir semasa pembukaan Mesyuarat Agung Pemuda.
Senjatanya sama dengan di Jakarta - Dr. Mahathir dituduh mengamalkan "Korupsi, Kroni dan Nepotisme." Esoknya, serentak dengan Perhimpunan Agung UMNO, Dr. Mahathir mengeluarkan satu senarai panjang kroni Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Satu serangan balas yang pantas dan tepat sasarannya. Saya kira, Dr. Mahathir memang sudah tahu, Anwar sedang melakukan gerakan untuk menjatuhkan beliau. Berikutnya bermulalah demonstrasi jalanan dengan laungan "Re-for-ma-si" yang diselang seli dengan pekikan "Allahuakbar".
Di Jakarta, Presiden Suharto jatuh. Di Kuala Lumpur, Anwar yang waktu itu jadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri yang hampir sah akan menggantikan Dr. Mahathir - yang jatuh - dan masuk penjara Sungai Buluh.
Tetapi Gerakan Reformasi, yang juga disertai pemimpin dan penyokong Pas, akhirnya melahirkan Parti Keadilan - sekarang jadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dan setelah mengikat kerjasama pilihan raya dengan Pas dan DAP - pakatan ini mencapai kemenangan besar dalam PRU Ke-12. Selepas ambil alih kerusi Parlimen Permatang pauh daripada isterinya, Anwar dilantik jadi Ketua Pembangkang dan sudah mengatur rancangan untuk menawan Putrajaya.
Gerakan Reformasi ini juga telah melahirkan Nurul Izzah sebagai "Putri Reformasi".
Sekarang Nurul Izzah dikhabarkan akan menawarkan diri merebut jawatan Timbalan Presiden PKR. Kalau nanti Nurul Izzah jadi Timbalan atau Naib Presiden, maka berlakulah nepotisme yang ditentang Gerakan Reformasi pimpinan Anwar - dalam partinya sendiri.
Dan nepotisme ini akan lebih lengkap dengan masuknya Azmin Ali - pembantu akrab Anuar selama 22 tahun - ke dalam barisan kepemimpinan tertinggi parti.
Datuk Zaid Ibrahim yang baru setahun menyertai barisan kepimpinan PKR juga sedang berusaha untuk merebut jawatan Timbalan Presiden atau Presiden.
Dalam kempennya, Zaid mengkritik keras cara Anwar mentadbirkan parti. Zaid sebenarnya cuba mencabar kekuatan Anwar.
Tiba-tiba pada 7 Oktober lalu, Zaid mengumumkan, "Kalau benarlah Nurul Izzah serius hendak merebut jawatan Timbalan Presiden, saya bersedia untuk menarik diri. Saya bersedia membantu beliau dalam pertandingan ini kerana saya melihat Nurul Izzah adalah nafas baru kepada PKR."
Zaid menegaskan, "Saya tidak menolak kemungkinan untuk bertanding Presiden, bergantung kepada keputusan Nurul Izzah. She has the right attributes. If she thinks that she needs me to contest in any other position, I will also go for it."
Dengan kata lain, Anwar dan Wan Azizah tidak perlu diberi pertimbangan. Ertinya "Kerana mu Nurul Izzah, aku akan berbuat apa saja." Begitulah hebatnya pengorbanan dan perjuangan Zaid dalam politik!
Apabila Zaid meletak jawatan menteri ketika sedang jadi tokoh yang hebat, beliau segera mengumumkan: "Tidak akan menyertai mana-mana parti. Lagi pun saya sudah tua."
Maka beberapa hari beliau jadi bintang berita nasional yang besar. Tetapi tidak lama. Rupanya politik masih tetap dihati beliau dan menaruh dendam pada UMNO. Lalu masuk PKR dan terus dilantik jadi Ketua Cabang Kuala Lumpur dan calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil di Hulu Selangor - melangkah ramai pengasas dan pemimpin yang lama.
Malangnya beliau kalah. Jika menang, pastilah dia jadi bintang baru yang dipuja dalam PKR.
Sama sekali tak diduga, malah tidaklah masuk akal, tokoh politik-peguam-korporat terkenal seperti Zaid, akhirnya meletakkan masa depan politiknya kepada Nurul Izzah.
Strategi politik yang aneh. Melagakan anak dengan ibu dan ayah! Sesungguhnya, apabila Zaid meninggalkan parti lamanya dan masuk PKR, UMNO dan orang Melayu tidak rugi apa-apa pun.
Meskipun kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang nampak lemah, setelah ramai anggota Parlimen PKR keluar, dan DAP sedang bersiap untuk mengambil alih pimpinan pakatan pembangkang, tidak mungkin Zaid akan menewaskan kombinasi Anwar-Wan Azizah-Azmin. Nampaknya masa depan Zaid dalam PKR pun semakin kabur.
NOOR AZAM ialah bekas Setiausaha Politik kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Monday, October 4, 2010

Minda Pengarang: Kuasa politik senjata ampuh orang Melayu tidak patut digadai

2010/10/04
SATU-SATUNYA bidang yang masih dikuasai orang Melayu ialah politik. Walaupun orang Melayu adalah kaum majoriti di negara ini, hakikatnya dalam kebanyakan bidang kita ketinggalan dan dikuasai bukan Melayu, kecuali politik. Menerusi politiklah nasib orang Melayu masih terbela dan hak keistimewaan mereka dapat dipertahankan sehingga sekarang. Bayangkan apa akan terjadi kepada orang Melayu pada masa depan, jika kuasa politik sudah berpindah tangan. Ramai generasi muda hari ini tidak pernah terfikir bahawa semua keadaan itu boleh berubah bila-bila masa, sekiranya kuasa politik sudah tidak lagi berada di tangan orang Melayu. Oleh itu, mempertahankan kuasa politik bukan lagi retorik atau momokan demi survival sesebuah parti politik untuk memperoleh sokongan semata-mata. Sebaliknya, kuasa politik menuntut kita memahami kepentingan dan kesan buruk jika ia terlepas ke tangan orang lain. Seperti yang diungkapkan Datuk Seri Najib Razak kelmarin, kuasa politik adalah senjata paling tajam yang perlu dipertahankan dalam usaha kita meneruskan perjuangan mengikut landasan agama, bangsa dan negara. Kita tidak boleh menafikan bahawa kuasa politik adalah asas kepada segala perjuangan. Justeru, kita akan menerima kesannya jika membiarkan kuasa politik terlepas ke tangan orang lain, gara-gara perbalahan sesama sendiri sehingga menjejaskan perjuangan bangsa. Kita mesti insaf bahawa kuasa politik yang ada dalam genggaman hari ini akan menentukan kedudukan bangsa Melayu pada masa depan. Tindakan sesetengah pemimpin Melayu parti pembangkang yang menggadaikan perjuangan dan maruah bangsa demi kepentingan politik mereka sebenarnya boleh menghakis kuasa politik orang Melayu. Kuasa politik dan maruah bangsa tidak ada galang ganti. Jika ia terlepas ke dalam genggaman tangan orang lain maka kita jadilah seperti Pak Kadok yang menang sorak tetapi kampung tergadai.

Kalangan penganalisis ekonomi pula lebih ekstrem menggambarkan bahawa kuasa politik esok adalah hasil pemikiran, ciptaan, penyertaan dan pengaruh kita pada hari ini. Jadi, senjata paling tajam orang Melayu bukan lagi pada lembing, panah atau keris tetapi kuasa politik yang membolehkan mereka menentukan dasar dan masa depan sendiri. Namun kuasa itu pula dipertahankan dengan beberapa tunjang lain termasuk kekuatan nilai dan minda serta kesediaan kita mempertahankan kedaulatan bangsa serta negara. Kita tidak perlu menerima falsafah Mao Zedong - kuasa politik tumbuh dari laras senjata, tetapi harus memikirkan rasional falsafah I C MacMillan bahawa - kuasa adalah keupayaan untuk menstruktur keadaan sebenar. Kuasa politik juga menuntut penyertaan kita dalam segenap bidang dan proses dalam sosioekonomi negara serta kesedaran untuk mempertahankan kuasa itu sehingga bila-bila. Kuasa politik yang dipegang oleh kepemimpinan Melayu menerusi UMNO sejak kemerdekaan membolehkan bangsa ini mengekalkan hak keistimewaannya termasuk dalam bidang ekonomi, agama dan pendidikan. Jadi, ramuan untuk mempertahankan kuasa politik Melayu hanya satu – kita mesti bersatu dan seperti kata Najib lagi, kita mesti ‘masuk dan merapatkan barisan’ bagi memastikan kuasa politik itu kekal dalam genggaman bagi meneruskan agenda perjuangan bangsa. Dalam orde baru yang menjadikan dunia kian mendatar, manakala kuasa politik menjadi faktor dominasi sesebuah negara selain ekonomi, teknologi dan maklumat, maka kuasa politik penting dalam memastikan orang Melayu tidak terpinggir di negara sendiri pada masa depan.