Monday, September 12, 2011

Episod-episod pembohongan Pas

(Petikan Utusan Online 12 September 2011)

DATUK DR. MASHITAH IBRAHIM ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

BAGI menutup malu Pas kerana terhimpit dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah gereja 3 Ogos lalu, Datuk Mustafa Ali cuba mengalih pandangan dan menuduh UMNO sebagai dalang di sebalik isu itu. Bagi UMNO Selangor, ini satu pembohongan, dan sudahpun memulakan proses menyaman Setiausaha Agung Pas itu.

Dalam pada itu, seorang pemimpin Pas, Dr. Che Rosli Che Mat menyelar Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh kerana banyak mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai projek pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng. Che Rosli, seorang pakar sains nuklear, mendapati Fuziah menggunakan fakta palsu. Che Rosli juga mengkritik Harakah kerana menyiarkan laporan tidak benar. Tapi Penerangan Pas Pusat dan kalangan pemimpin Pas tidak senang dengan tindakan Ahli Parlimen Pas Hulu Langat ini. Ini semua bermaksud apa? Pas lebih senang rakyat terus dibohongi dengan maklumat palsu daripada diberikan fakta sebenar.

Terbaru, Jamilah Abu Bakar, yang melihat ibu bapa dan adiknya ditembak komunis 61 tahun lalu, memberitahu bahawa Naib Yang Dipertua Pas Pulai, Zaaba Ibrahim, telah memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai kerajaan semasa melawat ke rumahnya Ahad lalu bagi pihak Mat Sabu. Jirannya, Mokhtar Jalok, 72, berkata pemimpin Pas itu berbohong kerana dia kenal Zaaba bukan kakitangan awam tapi peniaga besi buruk.

Jamilah dan keluarganya tidak mahu berjumpa Mat Sabu kerana sakit hati dengan pembohongan Timbalan Presiden Pas itu mengenai peranan dan jasa pahlawan Melayu yang menentang komunis. Mat Sabu berkeras mengatakan komunis adalah wira, seolah-olah polis dan tentera adalah tali barut British.

Sebelum ini, Mat Sabu terbabit dalam kontroversi pasca-Bersih. Dia mendakwa cedera dilanggar kereta polis. Rakaman polis yang ditonton jutaan penduduk Malaysia menerusi TV menunjukkan beliau tidak dilanggar kereta polis, malah jatuh longkang kerana motornya terbabas. Dia menafikan versi polis tapi ramai percaya dia berbohong.

UMNO tidak perlu berbuat apa sebenarnya. Sejak akhir-akhir ini, pemimpin Pas seperti Mat Sabu dan parti pembangkang lain bagaikan menggali kubur sendiri atas percakapan dan tindakan yang menyakiti hati rakyat. Episod terbaru ini pasti menyebabkan Pas kehilangan banyak sokongan dan undi orang Melayu.

Padahal Pas beria-ia benar mahu menggantikan UMNO sebagai parti tunggal orang Melayu dan pernah menguar-uarkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai bakal Perdana Menteri. Ini sekadar mimpi kerana Pas sudah menjadi parti terkecil dalam Pakatan Rakyat. Hakikatnya, populariti UMNO semakin melonjak dan Pas pula merudum.

Hari ini, UMNO mempunyai 79 kerusi di Parlimen, Pas hanya ada 24 sahaja. UMNO juga memenangi empat pilihan raya kecil berturut-turut, mengalahkan calon Pas di Galas (4 November 2010), Tenang (30 Jan. 2011), Merlimau (6 Mac 2011), dan Kerdau (6 Mac 2011). Undi yang Pas perolehi di DUN-DUN bermajoriti Melayu dalam Pilihan Raya Kecil 2010 dan 2011 semuanya semakin menguncup berbanding yang diperolehinya pada 2008.

Bilangan kerusi Pas di Parlimen adalah paling sedikit. Apabila bersekongkol dengan DAP dan PKR bermakna Pas tidak mungkin lagi dapat bertanding kerusi Parlimen yang mencukupi dalam pilihan raya untuk membolehkannya menjadi parti terbesar di Dewan Rakyat. Ini juga bermakna sampai bila-bila pun Pas tidak boleh menubuhkan negara berkebajikan. Inilah realiti yang harus disedari semua ahli dan penyokong Pas.

Ramai berkata, punca populariti Pas menjunam sekarang adalah kerana kerjasama politiknya dengan PKR dan DAP. Pemimpin Pas pernah menyatakan kesanggupan bekerjasama dengan sesiapa saja, waima syaitan, untuk menjatuhkan UMNO. Belum sempat berpakat dengan syaitan, baru dengan PKR dan DAP pun, Pas sudah longlai dan tidak konsisten dalam perjuangannya. Kerana mahu ambil hati kawan, Pas sanggup gadai prinsip perjuangan.

Kerana ingin mengecap sedikit kuasa, Pas tidak lagi mempertahankan konsep Negara Islam, tidak bercakap mengenai hukum hudud, malah bersekongkol dalam soal penjualan arak, judi dan rumah urut di Selangor. Untuk pilihan raya umum 2004 dan 2008, Pas tidak lagi mengangkat Dokumen Negara Islam seperti 1999, tapi menjunjung pula Buku Jingga, yang sarat dengan janji palsu yang tidak tertunai.

Janji palsu terbesarnya ialah hudud. Pas menentang UMNO di Kelantan pada 1990 dan Terengganu pada 1999 kerana tidak melaksanakan undang-undang Islam. Bila dapat memerintah, Pas memberi pelbagai alasan kenapa tidak melaksanakan hudud. Antaranya, sekatan Kerajaan Persekutuan, mahu memberi masa kepada rakyat terutama bukan Islam memahami konsepnya dan tidak cukup pelaksana seperti peguam dan hakim.

Sebagai Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi pernah berkata hudud tidak penting untuk dilaksanakan kerana ia cuma 0.00001 peratus daripada syariah Islam. Di muktamar Pas ke-57 lalu, dia baru sedar negara Islam tidak disebut dalam al-Quran. Dalam keadaan sekarang, kerana bersekongkol dengan PKR dan DAP yang sememangnya menolak undang-undang syariah, maka janji Pas ini tidak akan tertunai sampai bila-bila.

Dan dalam keadaan beginilah, bagaikan orang mabuk baru bangun tidur, Pas membuat kenyataan mahu kembali mempertahankan hak orang Melayu meskipun selama ini menolak perjuangan berasaskan bangsa. Dulu, Pas menolak hak keistimewaan orang Melayu. Pas juga menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang banyak menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi orang Melayu. Adakah Pas sudah berubah sikap dan pendirian mengenai kedua-dua perkara ini? Bolehkah orang Melayu mempercayai Pas lagi? Pemimpin Pas kutuk bangsa sendiri, malu jadi Melayu kononnya. Pas anggap orang Melayu yang tidak menyokong calonnya sebagai jahiliah. Sejak 1950an lagi orang Melayu dikafirkan, dan masyarakat Melayu berpecah-belah kerana fatwa yang songsang. Mat Sabu pula menghina pemimpin Melayu seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak serta anggota keselamatan, yang sebahagian besarnya Melayu, menentang komunis untuk mencapai kemerdekaan.

Kenapa tiba-tiba Pas mahu jadi jaguh perjuang orang Melayu? Jika benarlah Pas sungguh-sungguh hendak menjadi parti mewakili Melayu, kenapa Pas tidak memperjuangkan hak orang Melayu di Pulau Pinang, yang dilayan bagaikan orang Melayu di Singapura, dan di negeri-negeri lain? Kenapa pemimpin Pas sanggup 'bisu dan pekak' walaupun DAP sering mengganggu gugat urusan agama Islam?

Malah, dalam kertas kerjanya di Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa - Jaminan Pas pada 19 Februari lalu, Abdul Hadi sangat kabur dalam penjelasannya mengenai pengupayaan bangsa Melayu. Tiada saranan khusus bagaimana meningkatkan keupayaan dan penguasaan orang Melayu. Dia cuma berkata perjuangan Pas untuk memakmurkan "seluruh penghuni bumi termasuk binatang dan alam sekitar."

Pas jelas adalah sebuah parti oportunis, dan hanya gilakan kuasa. Dulu Pas mahu lelong Putrajaya, sekarang mahu menguasai Putrajaya pula. Tapi Pas tahu bahawa ia akan kehilangan kira-kira 34 kerusi Parlimen jika gagal mendapat semula sokongan pengundi Melayu dalam PRU-13 nanti. Kerana itulah ia mahu kembali menjadikan pengundi Melayu sebagai 'power base'nya.

Pada 2008, hampir semua kawasan yang Pas berjaya catat prestasi baik adalah di kawasan majoriti bukan Melayu. Oleh itu, bila nak undi orang Cina dan India, dia kata tidak bangga jadi Melayu.

Bila nak undi Melayu, dia sebut Ketuanan Islam pula. Kononnya pemimpin UMNO tidak Islamik, kepimpinan negara mewarisi pemikiran penjajah dan akan menerima nasib yang sama seperti pemimpin Mesir dan Tunisia.

Pemimpin Pas apabila bercakap, sering merujuk diri dan kerja mereka dengan apa yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW. Kelantan pula disebut sebagai Serambi Mekah, dan Kota Bharu pula sebagai Kota Islam. Ini adalah strategi melengkapkan gambaran Islamik kepada pemimpin Pas dan negeri yang mereka perintah.

Tapi di manakah Islamiknya pemimpin Pas jika suka berbohong dan cakap berbelit-belit? Apakah merit parti yang menggunakan nama 'Islam' tapi memberi janji palsu, memberi gelaran buruk dan hina Muslimin lain? Ingatlah, Nabi Muhammad menggunakan agama untuk mengislamkan orang-orang kafir. Tapi Nik Aziz dan Abdul Hadi menggunakan agama untuk mengkafirkan orang yang sudah Islam. Itu bezanya.

Saturday, September 10, 2011

Pas tidak tahu bezakan keadaan

Petikan Utusan Online

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

"Terima kasih Harakah... terima kasih Pas." Ungkapan kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang penuh tanda-tanya kepada penulis di Presint 15, Putrajaya semalam sebelum kami solat Jumaat di masjid berdekatan.

Paparan terbaharu lidah rasmi Pas keluaran 9-11 September 2011 itu menguat-uarkan bahawa UMNO 'berasmara' dengan Parti Komunis China (CPC) selain mendakwa kononnya UMNO berbohong kepada rakyat bencikan komunis.

Akhbar Pas yang dikenali lidah 'hentam keromo' dengan sering mengabaikan fakta sebenar itu memaklumkan berkaitan UMNO memeterai hubungan dengan negara kuasa besar ekonomi dunia, China melalui CPC di Beijing 5 Ogos lalu.

Tiada raut wajah kurang senang daripada Tengku Adnan dengan paparan Harakah itu. Sebaliknya beliau sekali lagi mengucapkan terima kasih tidak terhingga.

"Ia satu publisiti dan pengiktirafan yang diberikan oleh parti pembangkang itu kepada UMNO. Kita tak minta apa-apa tapi mereka sendiri berikan populariti kepada UMNO yang ternyata dikagumi oleh CPC sehinggakan kuasa besar di persada antarabangsa ini mahu melakukan kerjasama dan mempelajari bagaimana perjalanan dan struktur organisasi UMNO," kata beliau kepada Utusan Malaysia.

Paparan berita yang dikeluarkan oleh Harakah adalah antara bukti bagaimana Pas mahu memesongkan isu yang ada sekarang dengan memanipulasikan fakta sebenar.

"Inilah masalahnya Pas, tak tahu nak membezakan antara dua keadaan, suasana dan kedudukan yang berbeza. Bayangkanlah betapa dangkalnya mereka yang tak tahu membuat perbandingan antara komunis yang bertindak kejam dengan membunuh dan mendatangkan kekacauan sebelum kemerdekaan negara dengan sebuah kuasa besar dunia hari ini.

"Apa yang menjadi isu sekarang ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang mengagungkan komunis pada tahun 1950-an dulu dan menganggap bahawa pemimpin mereka iaitu Mat Indera sebagai hero sedangkan mereka ini menyerang balai polis dan sanggup membunuh," kata Tengku Adnan.

China yang terletak di Asia Timur merupakan negara paling ramai penduduknya di dunia dengan diduduki lebih 1.3 bilion orang. Ia menyamai satu perlima manusia di bumi dengan diperintah oleh CPC di bawah sistem satu parti dan berbidang kuasa di 22 wilayah (provinsi), lima kawasan berautonomi, empat perbandaran tadbiran langsung (Beijing, Tianjin, Shanghai, dan Chongqing) dan dua kawasan pentadbiran khas yang berautonomi tinggi.

UMNO dan CPC pada 5 Ogos lalu itu sebenarnya telah mempertingkatkan hubungan melalui memorandum persefahaman (MoU) pertukaran dan kerjasama antara kedua-dua parti yang berlangsung di Bangunan Perhubungan Antarabangsa CPC, Beijing.

Antara kandungan dalam memorandum persefahaman itu ialah mencapai kata sepakat konsensus bagi membangunkan pertukaran komprehensif dan kerjasama di antara kedua-dua pihak.

Ini termasuk saling bersedia untuk terus mengembangkan hubungan berdasarkan prinsip-prinsip kemerdekaan, hak kesamaan mutlak, saling menghormati dan bersetuju untuk tidak mencampuri hal ehwal dalaman masing-masing dengan tujuan untuk bekerjasama bagi menjuruskan perkongsian strategik Sino-Malaysian.

Dalam aspek ini, MoU tersebut terhasil ekoran pengamatan mereka yang amat kagum dengan pembangunan dan kesejahteraan negara dengan pelbagai bangsa sebagaimana negara China yang mempunyai etnik-etnik berbeza.

China ingin mempelajari bagaimana UMNO/BN menangani masalah berkaitan kaum tanpa mewujudkan pertumpahan darah.

Dalam pertemuan dengan CPC yang diwakili oleh Menteri Jabatan Antarabangsa dan Jawatankuasa Pusat, Mr. Wang Jiarui itu, Tengku Adnan menerangkan berkaitan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) di samping dasar-dasar yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuklah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan gagasan 1Malaysia.

Dalam pertemuan itu, Tengku Adnan menarik perhatian bahawa sudah menjadi kebiasaan kepada pembangkang yang akan memanipulasi dan memburuk-burukkan UMNO biarpun dalam masa yang sama mereka juga sebenarnya turut mendapat nikmat dan kesejahteraan atas apa yang berlaku termasuklah dalam hubungan akrab antara Malaysia dan negara-negara lain.

"Tahukah Pas siapa CPC dan bagaimana hubungan antara Malaysia dan negara China itu? Bukankah dalam artikel yang mereka ulas ada menerangkan bahawa melalui persefahaman ini juga akan dapat membantu dari segi meningkatkan persefahaman ekonomi kedua-dua negara kerana China merupakan kuasa ekonomi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa?

"Barangkali pemimpin Pas dan pembangkang tidak sedar bahawa China adalah antara pelabur yang merancakkan pembangunan negara kita selain memberikan peluang pekerjaan kepada jutaan rakyat dan dalam masa yang sama para pengusaha di Malaysia dapat mempelajari dan melakukan hubungan perdagangan dengan China. Itu yang perlu Pas pelajari," katanya.

Kata beliau: "Masalah dalaman anggota Pas semakin kritikal kerana bukan saja tidak memahami konsep jalinan perdagangan dan hubungan persefahaman yang dijalankan malahan mereka juga terlalu jumud sehinggakan menyamakan Parti Komunis Malaya (PKM) 50 tahun lalu dengan CPC adalah sama biarpun zaman sudah berubah.

"Nampaknya Pas dan pembangkang bukan saja perlu belajar kembali sejarah tetapi mereka juga perlu masuk sekolah semula supaya tahu selok-belok perdagangan, pembangunan dan ekonomi negara. Jika begini keadaannya, jangankan mahu menguasai Putrajaya, jadi pemimpin pun tak layak."

Justeru, yang semua pihak termasuk Pas perlu faham ialah kedudukan Malaysia dan kuasa-kuasa ekonomi dunia selain memahami rangkaian perdagangan dan pentingnya jalinan akrab antara parti-parti politik. Dan bukannya bersikap rigid mengagungkan kekacauan dan pertelingkahan sebagaimana yang mereka mahu contohi seperti di Mesir, Libya dan Syria.

Berpandu kepada semua inilah, Tengku Adnan selaku Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengingatkan Mat Sabu supaya menghentikan segera ungkapannya yang berkaitan dengan sejarah negara jika tidak tahu tentang fakta sebenar dan buta mengenainya.

"Kalau dah jadi buta sejarah, dah tak tahu apa yang nak dibuat untuk dapatkan kuasa maka inilah jadinya. Dulu mereka pergunakan agama dan sekarang ini putarbelitkan sejarah. Sebelum ini mereka sebut mahu negara Islam tapi kemudian hendakkan negara kebajikan dan sekarang mereka mendewa-dewakan pula bahawa komunis adalah pejuang kemerdekaan negara ini."

"Ini semua akan merosakkan, menghancurkan perpaduan dan menidakkan sejarah yang sebenarnya telah tertinta dalam negara," katanya.

Kesal dengan perlakuan pemimpin Pas itu, Tengku Adnan menegaskan bahawa sejarah tidak boleh diubah dan hakikatnya komunis ketika itu hendak mengambil kuasa daripada pihak British dan juga orang Melayu. Malahan rakyat patut berbangga ada pihak-pihak yang mengutamakan keselamatan negara kita.

"Nauzubillahi minzalik, kalau komunis memerintah negara kita barangkali kita bukan Islam malah tak taulah Parti Islam itu wujud atau tak.

"Mat Sabu pun lupa sejarah bagaimana Pas ditubuhkan iaitu apabila Tuan Haji Ahmad Fuad yang merupakan Pengerusi Biro Agama UMNO atau Pekembar bila kalah bertanding dengan Tunku Abdul Rahman; maka kecewa dan keluar dari UMNO. Beliau pergi ke Gunung Semanggol tubuhkan Hizbul Muslimin yang hari ini adalah Pas. Ini sejarah.

"Ini hakikat bahawa Pas juga adalah parti yang ditubuhkan atas rasa kekecewaan seperti juga Parti Keadilan yang ditubuhkan oleh Anwar Ibrahim kerana kecewa tak dapat kuasa," katanya.

Apa yang berlaku adalah sejarah yang mesti difahami dan janganlah cuba diputarbelitkan sehingga anak cucu-cicit dan generasi kemudian terpengaruh lantaran keadaan dan zaman yang berbeza.

Monday, September 5, 2011

Merapatkan jurang budaya akademia, pasaran teknologi

(Sumber : Brita harian Online 5 september 2011)
Oleh Dr Sharifah Hapsah
bhnews@bharian.com.my
2011/09/05
Ahli akademik perlu fikirkan kebolehpasaran P&P sejak awal projek penyelidikan

UNIVERSITI penyelidikan diharap membantu kerancakan ekonomi dipacu inovasi menerusi pemindahan ilmu dan teknologi yang mampu mentransformasi pengeluaran dan perkhidmatan sedia ada atau melancar syarikat baru berteraskan teknologi. Pemindahan ini melonjak pertumbuhan perniagaan dan dalam proses mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi dan kehidupan yang lebih berkualiti. Untuk mencapai matlamat berkenaan, universiti penyelidikan semestinya melaksanakan sekurang-kurangnya empat perkara secara berkesan. Yang pertama, kita mesti menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan sumber manusia berkeusahawanan dan berinovasi tinggi, terutama pada peringkat sarjana dan kedoktoran yang arif dalam penyelidikan dan pembangunan (P&P), inovasi, pengurusan teknologi dan memiliki pengalaman dalam keusahawanan.

Yang kedua, kita mesti mencipta laluan yang berjaya membawa P&P kepada inovasi dan pengkomersialan. Pelancaran syarikat terbitan universiti (university start-ups) atau STU sudah dibuktikan memberi pulangan yang lebih lumayan berbanding kaedah pelesenan, melainkan bagi beberapa produk perubatan yang menakjubkan. Ini memerlukan pembangunan usahawan berteknologi (technostarters) daripada kalangan ahli akademik dan penyelidik.

Yang ketiga, kita mesti terbabit sama dengan pihak kerajaan, badan korporat dan industri, institusi akademik lain serta masyarakat pada peringkat lokal dan global kerana inovasi tidak berlangsung dalam keadaan terasing.

Nilai kewangan dan manfaat sosial inovasi dinikmati oleh pelbagai pemegang taruh yang merangkai ikatan dalam suatu sistem inovasi yang berkesan. Melalui pembabitan dan kerjasama berkesan kita dapat mengenal pasti kekuatan rakan dan mengumpil segala sumber untuk menambah baik peluang ekonomi berasaskan inovasi.
Contohnya, pihak swasta dan yayasan memainkan peranan utama dalam kerjasama penyelidikan universiti-industri dari segi menaja kursi penyelidikan, membiayai P&P, malah terbabit secara langsung dalam aktiviti keusahawanan dan pembangunan inisiatif berasaskan teknologi.

Yang keempat, kita perlu menyediakan sistem pelaksanaan berkesan dari segi tadbir urus baik dan infrastruktur sokongan mencukupi, kepemimpinan berketrampilan dan pengurusan bakat yang adil dan telus.

Harapan terhadap kemampuan melancar STU dan menghasilkan siswazah berorientasi baru memerlukan perubahan minda dari segi penerimaan inovasi dan keusahawanan (I&E) sebagai nilai utama akademik atau budaya universiti. Ini bermakna kita menyepadukan I&E dalam P&P dan kurikulum pada peringkat pra dan pascasiswazah.

Dalam budaya I&E, ahli akademik sudah mula memikirkan kebolehpasaran teknologi yang bakal dihasilkan daripada awal penyelidikan lagi. Penyelidik dan pelajar dibantu dalam pembangunan prototaip dan model perniagaan yang boleh menarik pelabur. Kurikulum menghasilkan bukan saja siswazah inovatif, terutama jurutera, saintis dan pakar pembangunan produk, tetapi juga pengurus keusahawanan atau kumpulan bakat ketua pegawai eksekutif (CEO) yang mahir menjana nilai STU.

Syarikat terbitan milik universiti dan pelabur dilancarkan oleh CEO yang memberi pulangan kepada institusi, fakulti dan pelajar. Bagaimanapun, kita sedar bahawa dunia akademia dan pasaran sangat berbeza dari segi sekitaran, nilai dan budaya.

Contohnya, ada isu berkaitan penggunaan masa fakulti untuk mengejar matlamat pengkomersialan daripada hasil penyelidikan universiti. Begitu juga berlaku konflik ketara antara keperluan akademik untuk bebas menerbit dengan kehendak perniagaan bagi kerahsiaan perniagaan.

Untuk membina budaya I&E kita perlu merapatkan jurang budaya antara akademia dengan pasaran di samping mengukuhkan kekuatan masing-masing. Tapak pertemuan yang dibina subur untuk pelancaran STU demi perkembangan perniagaan dan industri – sama ada perniagaan kecil, sederhana atau besar-besaran. Kita boleh mewujudkan lebih banyak pekerjaan, kumpulan bakat baru dan menarik pelabur.

Setiap universiti mestilah mempunyai inisiatif membina keupayaan dalam inovasi teknologi dan keusahawanan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) contohnya, bekerjasama dengan rakan yang mempunyai pengalaman luas dalam I&E. Salah satu rakan ialah Stevens Institute of Technology, di New Jersey, institusi ketiga terbaik dalam kalangan universiti di Amerika Syarikat yang menjana pendapatan daripada penyelidikan.

Bengkel intensif diadakan bagi membimbing penyelidik UKM bagaimana menilai teknologi mereka dan mendapat bantuan berniaga menerusi khidmat nasihat, kejurulatihan, kajian pasaran dan pengenalan kepada pelabur berpotensi atau rakan industri. Peserta membangunkan pelan perniagaan yang berkemungkinan berjaya di samping membangunkan produk ke arah menubuhkan STU.

Dalam proses berkenaan, mereka mempelajari banyak kemahiran, seperti rundingan strategik dengan pelanggan, pembiaya, pelabur, rakan kongsi dan pesaing. Mereka juga mempelajari bagaimana merangka strategi melepaskan STU dari segi merancang peluang pelaburan yang dapat mengoptimumkan pendapatan daripada perniagaan menerusi kefahaman perspektif pelabur yang lebih baik.

Lebih penting lagi, mereka belajar bagaimana membuat keputusan yang lebih berkesan dalam menghadapi pelbagai cabaran sebagai usahawan.

Dengan memanfaatkan kekuatan yang dimiliki Stevens, UKM kini menggubal kurikulum yang memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar melalui paduan perniagaan dengan pengurusan teknologi.

Bermula dari tahun pertama, sehingga projek STU pada tahun akhir, pelajar akan menempuh pengalaman membawa konsep penyelidikan kepada tahap produk dan penjanaan hasil. Mereka juga berpeluang menyelesaikan masalah sebenar syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan mengenal pasti kehendak pasaran.

Pada peringkat pascasiswazah pula, pelajar MBA bekerjasama dengan penyelidik dan teknologi mereka bagi menghasilkan idea perniagaan. Pada akhirnya pelajar akan keluar dengan keupayaan membangun dan melancarkan syarikat. Jika mereka diambil sebagai pekerja, mereka memiliki keterampilan inovasi untuk meningkatkan produktiviti firma mereka.

Inisiatif membina keupayaan harus juga disasarkan kepada kepemimpinan universiti, seperti dekan dan pengarah yang menjadi elemen genting dalam transformasi menjadi universiti penyelidikan yang dipacu inovasi. Mereka perlu memahami kenapa dan bagaimana membina iklim I&E, contohnya melalui kejelasan mengenai kekuatan dan fokus asas penyelidikan, memberi kepemimpinan mantap, dan menyediakan insentif dan ganjaran yang bersesuaian.

Mereka mesti memahami perkara berkaitan pembiayaan tahap permulaan dan modal benih, kemudahan makmal dan inkubator, bantuan perundangan, pengurusan sumber pembinaan keupayaan dan peluang jaringan.

Universiti harus juga mengukuhkan keperluan prasarana dan dasar harta intelek serta insentif hak milik yang menyokong usaha pemindahan teknologi universiti.

Di UKM contohnya, Pusat Inovasi Kolaboratif menerusi Pejabat Pemindahan Teknologi dan UKM Technology Bhd menyediakan bantuan yang sangat diperlukan untuk meniti ‘Lembah Maut’ yang berada di antara hasil penyelidikan universiti dengan pasaran.

Pusat Keusahawanan dan Pembangunan PKS bersama-sama Graduate School of Business ialah tempat menyokong keusahawanan pelajar. Hingga kini, UKM sudah menguruskan 15 lesen dan melancarkan 33 STU, 20 diuruskan UKM Technology Bhd dan 10 di bawah perkongsian pintar UKM-MTDC Symbiosis Graduate Entrepreneurship Programme.

Bakinya diusahakan bersama Multimedia Development Corporation dan BiotechCorp. Kerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) mengenal pasti 15 teknologi yang berpotensi dikomersialkan bersama syarikat berkaitan kerajaan atau GLC dan PKS.

Pemindahan teknologi universiti ialah proses yang kompleks. Namun kita sudah memulakan perjalanan membentuk bakat muda menjadi saintis dan teknousahawan serta menubuh STU yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan menjamin kedudukan Malaysia dalam ekonomi berteraskan inovasi.

Pastinya kita akan menemui kegagalan tetapi kita beriltizam mempelajari darinya sebagai prinsip asas demi terus membawa inovasi dan keusahawanan melangkah ke hadapan.

Penulis ialah Naib Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia