Sunday, February 17, 2008

OIC lemah kerana tiada persefahaman

GOMBAK 16 Feb. - Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menjadi lemah kerana tidak ada persefahaman di antara 56 negara anggotanya.

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, OIC tidak berupaya melaksanakan tindakan yang lebih berani untuk membantu umat Islam kerana bangkangan daripada kumpulan minoriti.

''Seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), beberapa negara mempunyai kuasa veto yang akan menghalang sebarang keputusan majoriti.

''Dalam konteks OIC pula, keengganan sebuah negara anggota akan menyebabkan satu keputusan yang baik tidak dapat dipersetujui atau dilaksanakan.

''OIC pada dasarnya bergerak atas keputusan kumpulan minoriti bukan atas kumpulan majoriti,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selepas menyampaikan ucaptama bertajuk Keamanan Global: Krisis di Dunia Islam sempena Seminar Minggu UMATIC di UIAM di sini hari ini.

Mengenai IDB, beliau memberitahu, bank itu kini dalam proses untuk melaksanakan segala program berdasarkan kepada kumpulan majoriti dan bukan lagi berdasarkan kehendak kumpulan minoriti.

''Saya juga merupakan anggota lembaga penasihat IDB dan telah menyatakan bahawa bank itu perlu bergerak bukan seperti bank yang mementingkan keuntungan.

''IDB perlu membantu negara dan umat Islam walaupun ia terpaksa berhadapan dengan kerugian,'' katanya.

Saturday, February 16, 2008

Robert Kuok kekal individu terkaya di Malaysia

Oleh: RODELIO JUNJUN TAUCAN

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Perkembangan positif pasaran saham tempatan pada tahun lalu telah membolehkan 40 lelaki terkaya di negara ini meningkatkan kekayaan terkumpul mereka sebanyak 39.2 peratus tahun ini kepada RM162.66 bilion berbanding RM116.86 bilion pada tahun lalu.

Majalah Malaysian Business dalam satu kaji selidik yang dijalankan mendapati, Pengerusi Hotel Shang-ri La, Robert Kuok Hock Nien kekal sebagai individu terkaya di Malaysia pada tahun ini dengan jumlah kekayaan berjumlah RM58.11 bilion iaitu bernilai hampir 36 peratus daripada kekayaan keseluruhan 40 individu terbabit.

Menurut kenyataan itu, jumlah aset Robert Kuok pada tahun ini bertambah sebanyak RM25.7 bilion berikutan kestabilan pasaran dan peningkatan harga ekuiti.

Ini diikuti oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Usaha Tegas Sdn. Bhd., T. Ananda Krishnan yang merupakan individu kedua terkaya dengan nilai aset berjumlah RM19.63 bilion.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan IOI, Tan Sri Lee Shin Cheng menjadi orang ketiga terkaya di Malaysia dengan kekayaan terkumpul berjumlah RM14.94 bilion.

Kaji selidik yang dibuat oleh Malaysian Business itu dimulakan sejak 2002 dan menjadi rujukan untuk menilai individu-individu terkaya di negara ini.

Menurut kenyataan itu, dua nama yang melonjak naik pada tahun ini dan tersenarai dalam 10 individu terkaya adalah Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Industrial Berhad, Tan Sri Vincent Tan dan Pengerusi Amcorp Group, Tan Sri Azman Hashim.

Nama yang tidak disenaraikan pada tahun ini adalah mendiang Tan Sri Lim Goh Tong yang juga pengasas kepada Kumpulan Genting.

Thursday, February 14, 2008

Tunjukkan budaya matang ketika berkempen

Rencana Pengarang
PARLIMEN dan Dewan-Dewan Undangan Negeri bagi penggal kesebelas yang kurang 20 hari mencapai usia empat tahun telah dibubarkan dengan rasminya apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin menandatangani Perisytiharan Pembubaran Parlimen, semalam.

Dengan pembubaran yang diumumkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tengah hari semalam, bermakna negara ini akan mengadakan pilihan raya umum ke-12 dijangka bulan depan setelah bermain teka-teki sejak akhir tahun lalu.

Kita percaya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang cukup bersedia menjalankan proses demokrasi ini tidak akan mengambil masa yang lama untuk tempoh berkempen dari tarikh penamaan calon hingga pembuangan undi.

Ini kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan, kerajaan baru yang dipilih melalui pilihan raya umum perlu dibentuk dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran.

Selepas mengharungi 11 pilihan raya umum, soal siapa yang sebenarnya memerintah negara ini sebelum kerajaan baru dibentuk tidak sepatutnya timbul.

Sudah semestinya Kabinet yang lama akan terus berfungsi sebagai sebuah kerajaan sementara (caretaker) bagi menjalankan tugas-tugas harian tanpa melibatkan pembentukan dasar baru.

Melihat suasana politik dan perpaduan kaum sekarang, proses pilihan raya dijangka dalam keadaan aman. Oleh itu rakyat tidak perlu bimbang soal keselamatan. Ini adalah perkara biasa, tambahan pula proses pilihan raya hanya mengambil masa yang pendek sahaja.

Pilihan raya umum yang bakal menjelang ini seharusnya bakal menjadi satu medan yang sihat bagi rakyat yang prihatin untuk memilih wakil rakyat mereka dan seterusnya menentukan tampuk kepimpinan negara untuk penggal yang akan datang.

Rakyat negara ini yang telah disahkan layak menjadi pemilih berdaftar perlu bersyukur kerana lazimnya proses pilihan raya di negara ini berjalan dengan baik dan lancar. Tidak pernah lagi selepas peristiwa hitam 1969, kita dengar negara kita huru-hara dan kacau-bilau disebabkan permusuhan dan perselisihan semasa pilihan raya.

Oleh kerana gelanggang perang politik sudah dibuka, apa yang majoriti rakyat harapkan ialah penceramah, ahli-ahli parti dan jentera pilihan rayanya tidak mengikut perasaan hingga menggadai prinsip dan etika berkempen dan meraih sokongan.

Sebagaimana kempen-kempen pilihan raya yang lalu, ahli-ahli parti politik perlu menunjukkan kematangan mereka dalam berpolitik.

Kempen-kempen pilihan raya yang diadakan seharusnya bebas daripada sebarang tohmahan, cacian dan herdikan. Apa salahnya jika pemimpin politik mulai sekarang menunjukkan kematangan dalam budaya berpolitik dan berkempen.

Mereka perlu tunjukkan kematangan mengharungi proses pilihan raya seperti di negara-negara maju. Untuk itu, SPR sepatutnya sudah membawa arah gaya baru berkempen kepada parti politik.

Tuesday, February 12, 2008

Kapal selam pertama diterima 2009

Oleh Baharom Bakar

KUALA TERENGGANU - 11 Feb : Kapal selam pertama Malaysia KD Tunku Abdul Rahman akan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) awal tahun depan dan dijangka memasuki perairan negara selewat-lewatnya Julai tahun depan.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ramlan Mohamad Ali, berkata latihan membabitkan 150 anak kapal berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.

Katanya, semua pegawai dan anggota TLDM yang bertugas di atas kapal selam itu kini menjalani latihan di Sekolah Latihan Kapal Selam Malaysia di Pangkalan Laut DCN, di Brest sejak 2004 bagi melayakkan mereka belayar pulang ke Malaysia.



"Sebahagian daripada mereka berada di Brest menjalani latihan untuk menjadi krew kapal selam, manakala sebahagian lagi dilatih sebagai krew simpanan, sokongan dan pengajar.

"Latihan itu meliputi operasi di daratan dan dalam kapal selam serta penggunaan sistem, senjata, pemerintahan, taktikal dan peperangan biokimia.

"Latihan yang begitu lama kepada setiap pegawai serta anggota termasuk tukang masak perlu kerana mereka memastikan keselamatan kapal selam jenis Scorpene itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Pemakaian Pangkat Kehormat Komandan dan Timbalan Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes-Laut) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, semalam.

Pada majlis itu, Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Sulaiman Md Yassin ditauliahkan jawatan Komanden Palapes, manakala Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Fakuliti Pengajian Maritim dan Sains Maritim, Profesor Madya Zainal Ashirin Shahardin ditauliahkan pangkat Komander.

Ramlan berkata, semua anak kapal yang dipilih bertugas dalam kapal selam itu diberi tanggungjawab penuh mengendalikan setiap tugas demi memastikan keselamatan kapal selam pertama negara.

Katanya, kapal selam yang akan memulakan operasi Julai tahun depan mampu mengawal perairan negara untuk memastikan Selat Melaka kawasan selamat laluan kapal untuk perdagangan antarabangsa.

Ketika diminta mengulas mengenai keselamatan perairan di negara ini, Ramlan berkata, keadaan keselamatan maritim negara terkawal dan tiada sebarang perkara negatif dilaporkan dan perlu ditangani.

"Kita mempunyai pangkalan di seluruh negara dan kapal peronda sentiasa membuat rondaan bagi memastikan keselamatan perairan sentiasa selamat," katanya.

Wednesday, February 6, 2008

10 barang disekat keluar



Larangan bagi pastikan bekalan mencukupi, elak warga asing nikmati subsidi

PUTRAJAYA: Tujuh lagi barang kawalan dilarang dibawa keluar dari negara ini, termasuk melalui pelabuhan serta lapangan terbang, bagi memastikan bekalannya mencukupi dan mengelak warga asing mengambil kesempatan menikmati subsidi kerajaan.

Barang itu ialah minyak masak; simen dan klinker; petrol, spirit motor dan gasoline motor dari semua gred; gas petroleum cecair; bar bulat keluli lembut; ayam serta baja.



Sebelum ini, kerajaan mengenakan larangan sama terhadap tiga barang kawalan, iaitu gula, tepung gandum dan diesel. Sepuluh barang itu antara 20 barang yang disenaraikan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal, berkata semua pihak termasuk rakyat asing dilarang membawa keluar 10 barang terbabit, walaupun dalam kuantiti kecil seperti sekilogram.

"Ia akan diwartakan tidak lama lagi dan dijangka dikuat kuasa sepenuhnya menjelang 1 Mac ini.

"Bagaimanapun, pemantauan pihak berkuasa terhadap aktiviti membawa keluar atau menyeludup beberapa barang kawalan seperti gula dan minyak masak sudah dilakukan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Individu yang didapati membawa keluar 10 barang kawalan terbabit boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi kesalahan pertama serta denda RM250,000 atau lima tahun penjara bagi kesalahan kedua.

Mohd Shafie bagaimanapun berkata, larangan itu tidak terpakai jika individu atau syarikat berkenaan memiliki lesen eksport atau dokumen memperakukan pengeksportan barang terbabit.

Beliau berkata, harga runcit 10 barang kawalan terbabit di pasaran tempatan lebih rendah berbanding di negara jiran seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina kerana mendapat subsidi kerajaan.

Kerajaan membelanjakan RM635 juta setiap tahun untuk subsidi minyak masak dan RM35 bilion untuk petrol dan bahan api lain.

"Paras harga rendah di Malaysia kerana barang kawalan seperti diesel, petrol, gas petroleum cecair dan tepung gandum mendapat subsidi kerajaan, manakala minyak masak mendapat subsidi melalui ses yang dikutip daripada tuan punya ladang kelapa sawit dalam negara," katanya.

Mengenai Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2008, Mohd Shafie berkata, kementerian sudah mengeluarkan 67,826 lesen dan pemantauan di seluruh negara hingga kelmarin merekodkan 53 kes membabitkan pelbagai kesalahan dengan rampasan bernilai RM8,155.50.

"Kita gembira kerana sepanjang pemantauan di bawah skim kawalan harga ini, tidak banyak masalah timbul berhubung bekalan dan barang yang diperlukan," katanya.

Ditanya hasil mesyuarat pertama Majlis Harga Barang Negara (MHBN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini, kelmarin, Mohd Shafie berkata:

"Ia mesyuarat biasa... kita melihat mengenai bagaimana hendak menstabilkan harga dan bekalan barang."

TTI cabar umat Islam terokai kegemilangan

Oleh SAPORA SIPON

KOMITMEN negara dalam mengimarahkan kegemilangan Islam sering dimanifestasikan melalui projek-projek pembangunannya.

Melalui pelbagai program anjuran pihak kerajaan, ternyata Islam membangun dengan begitu pesat.

Satu bukti kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan lagi keagungan Islam dapat dilihat melalui pembinaan Taman Tamadun Islam (TTI).

TTI yang menjadi mercu tanda baru Malaysia dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja melambangkan keagungan seni bina Islam.

TTI juga sebagai lambang kesungguhan pihak kerajaan dalam merealisasikan pembangunan kebajikan untuk seluruh rakyat negara ini.

Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, termasuk dewan seminar dan persidangan serta berupaya menjadi tempat yang diminati umat Islam dan bukan Islam untuk menganjurkan aktiviti.

Selari dengan konsep negara berbilang kaum, TTI dibangunkan dengan kefahaman, toleransi dan mencetuskan semangat keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

TTI dibina membabitkan peruntukan RM250 juta di atas tapak seluas 23 hektar dan mengandungi 21 monumen Islam terunggul.

TTI mempamerkan pengunjung kepada kejayaan penguasaan umat Islam pada satu ketika dahulu dalam bidang-bidang terpenting dalam sejarah ilmu pengetahuan.

Lawatan pengunjung ke TTI diharapkan dapat membawa pengunjung untuk mencabar diri memikirkan bagaimana umat Islam berjaya membina bangunan-bangunan yang hebat dengan menggunakan akal fikiran, ilmu pengetahuan dan alat-alat yang terdapat pada ketika itu.

Pembinaan TTI juga diharapkan berupaya membawa bersama-sama semangat ingin menguasai bidang sains dan teknologi yang pernah satu masa dikuasai oleh umat Islam.

TTI melambangkan mengenai keindahan bangunan, tingginya ilmu pembinaan orang Islam dahulu, kemahiran mereka dalam seni, lukisan dan pelbagai seni lain. Pembinaan itu juga memberi fahaman mengenai kemajuan ketika era kegemilangan Islam melalui pemikiran, inovasi dan kreativiti yang cukup tinggi.

Sememangnya kegemilangan Islam sudah lama bermula pada era pemerintahan Islam di Madinah dan berkembang pesat pada zaman Khalifah al-Rasyidin, Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiyah. Islam juga bertapak di benua Eropah yang mana ia seterusnya menyumbang kepada kegemilangan tamadun Islam di Andalusia.

Kegemilangan

Seterusnya, pada zaman kegemilangannya, Islam telah membina satu tradisi sains yang telah menjadi salah satu faktor utama mendorong kelahiran dan pertumbuhan sains moden di Eropah. Kegemilangan itu perlu direntasi sepanjang zaman kerana Islam adalah agama yang syumul dan membawa sinar kepada seluruh umat manusia.

Kegemilangan umat Islam ketika itu telah mencetuskan kejayaan yang cemerlang dalam semua bidang sains - dari ilmu bintang, sains hayat hinggalah kepada ilmu seni bina pada zaman perkembangan Islam antara abad ke-7 Masihi dan ke-16 Masihi.

Maka tidak hairanlah umat Islam berupaya membina bangunan-bangunan yang hebat seperti yang terdapat dalam monumen-monumen di TTI.

Perkembangan ilmu telah menzahirkan pelbagai ciptaan teknologi dan inovasi. Cendekiawan Islam menghasilkan serbuk salpetre sebagai ubat bedil, penggunaan angka sifar dalam matematik dan proses penyulingan untuk memisahkan benda asing dalam campuran cecair. Balai cerap untuk mengkaji bintang, peta, glob, kincir air dan angin, bangunan pengisar bijirin termasuk kereta perisai turut dihasilkan saintis Islam semasa zaman kegemilangan tamadun Islam.

Sebagai negara yang komited dengan perjuangan meningkatkan syair Islam, kesungguhan kerajaan Malaysia dalam membawa balik kegemilangan agama Islam melalui pembinaan TTI adalah satu usaha murni.

TTI diharapkan bukan sahaja dapat membawa bersama-sama pengembaraan, penerokaan dan pengalaman keajaiban kegemilangan Islam satu ketika dahulu. Jauh lebih penting ia menjadi pembakar semangat umat Islam untuk menguasai ilmu dalam pelbagai bidang terpenting sejarah ilmu pengetahuan.

* DR. SAPORA SIPON Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pusat majukan Kelantan, bukan kerajaan negeri

MELAKA 5 Feb. – Rakyat Kelantan perlu sedar bahawa pembangunan yang dikecapi di negeri itu selama ini adalah hasil usaha Kerajaan Pusat dan bukannya kerajaan negeri.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Kerajaan Pusat yang diperintah Barisan Nasional (BN) perlu memajukan Kelantan walaupun ia di bawah pembangkang kerana tidak mahu melihat rakyat negeri itu menderita.

‘‘Saya percaya jika tiada bantuan Kerajaan Pusat, Kelantan sudah pasti lebih teruk (mundur) sebab pembangkang tidak buat apa-apa pun untuk memajukan negeri,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya bersepadu sempena perayaan Tahun Baru Cina, di Semabok dekat sini hari ini.

Semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, arus perubahan politik semakin jelas di Kelantan berasaskan sikap yang ditunjukkan oleh rakyat negeri itu yang mahukan masa depan mereka dicorakkan oleh kerajaan yang berkeupayaan.

Perdana Menteri berkata, momentum pembangunan pesat di Terengganu dalam tempoh yang singkat selepas BN kembali berkuasa pada 2004 merupakan mesej yang menyedarkan rakyat Kelantan.

Mohd. Ali berkata, kelemahan pentadbiran kerajaan Pas di Kelantan dapat dilihat apabila kutipan hasil cukai yang dipungut hanya RM28 juta berbanding peruntukan yang diberikan Kerajaan Pusat sebanyak RM7.6 bilion.

‘‘Bayangkan kalau negeri itu di bawah pemerintahan kerajaan BN, sudah pasti lebih banyak pembangunan yang akan dibawa, seperti mana di Terengganu,” katanya.

Mengulas tanggapan bahawa pilihan raya kali ini lebih sukar berbanding 2004, Mohd. Ali berkata, beliau yakin BN boleh mengulangi pencapaian pada pilihan raya umum ke-11.

Hal ini katanya, berdasarkan pelbagai petunjuk seperti kekukuhan ekonomi, peningkatan rezab negara dan penurunan kadar kemiskinan.

‘‘Bukan sahaja masalah nasional telah ditangani, malah masalah tempatan juga telah diselesaikan dengan baik,” katanya.