Wednesday, February 11, 2009

Demokrasi, demonstrasi, dusta dan durhaka

Oleh FIRDAUS ABDULLAH

Orang tua-tua memberi nasihat
Berdusta jangan, durhaka pun jangan
Di tengah jalan jika tersesat
Kembali ke pangkal cari pedoman

WINSTON Churchill pernah berkata: "Demokrasi adalah sistem pemerintahan yang paling buruk, tetapi tidak ada satu sistem lain pun yang lebih baik daripada itu."

Sewaktu rusuhan kaum 13 Mei 1969, Menteri Keselamatan Dalam Negeri pada masa itu, Allahyarham Tun Dr. Ismail mengisytiharkan "demokrasi telah mati di Malaysia."

Iktibar daripada ucapan kedua-dua tokoh itu ialah tidak mudah untuk mengamalkan demokrasi dalam pengertian yang murni.

Menyentuh isu demonstrasi, peristiwa mutakhir di Malaysia ialah rusuhan pada Jumaat lalu di sekitar Kuala Kangsar. Turut tersiar ialah gambar beberapa individu berjubah dan berketayap berbaring di atas jalan menghalang kenderaan Raja Muda Perak ke Istana Iskandariah.

Menghairankan tentang demonstrasi itu ialah hampir keseluruhannya terdiri daripada orang Melayu sedangkan yang hendak dipertahankan ialah pemerintahan Pakatan Rakyat yang didominasi oleh DAP.

Bila memperkatakan tentang dusta, media massa berulang kali menyiarkan percakapan dolak-dalik bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin.

Pada satu ketika Nizar berkata (berjanji) akan mematuhi keputusan Sultan Perak mengenai permohonannya supaya baginda membubarkan Dewan Undangan Negeri. Kemudian ternyata Nizar mungkir janji bila beliau enggan menerima keputusan Sultan.

Tentang penderhakaan, petikan luar biasa bekas Menteri Besar tersebut ialah "Saya dengan rendah hati mohon derhaka dengan berkata kepada baginda, patik mohon untuk derhaka Tuanku."

Rujukan terhadap "demokrasi, demonstrasi, dusta dan derhaka" di atas, adalah catatan rambang dan imbasan minda bersabit kemelut politik Perak yang mencapai kemuncak dengan peralihan kuasa daripada Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional.

Daripada satu segi, peristiwa kemelut politik dan peralihan kuasa itu dapat dilihat sebagai satu ujian, dan mungkin juga satu cabaran, terhadap sistem politik Malaysia. Ujian dan cabaran itu muncul dalam bentuk tindakan-tindakan yang luar biasa terhadap sistem politik dan tradisi pemerintahan di Malaysia khususnya di negeri Perak.

Sistem politik Malaysia secara umum atau pada peringkat mikro dipanggil sistem "Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan". Sistem utama digerakkan oleh pelbagai subsistem atau struktur seperti sistem legislatif (Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada peringkat kebangsaan dan Dewan Undangan Negeri pada peringkat negeri), sistem parti politik, sistem pilihan raya, sistem birokrasi, struktur tentera dan kepolisan, struktur badan sukarela dan struktur media massa.

Menurut amalan pemerintahan selama ini, pelbagai subsistem dan struktur tersebut pada amnya secara terbuka sentiasa taat setia kepada raja.

Maka apabila Nizar secara terbuka mohon derhaka kepada Sultan, beliau bukan sahaja memperlekehkan kedaulatan dan kewibawaan Sultan malah turut memandang remeh subsistem atau struktur yang menggerakkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan itu.

Nizar seakan-akan terlepas pandang atau tidak memahami hakikat kewujudan struktur-struktur atau subsistem tersebut.

Dalam kealpaannya memahami hakikat tersebut Nizar cuba menguji atau mencabar sistem. Kenapa beliau begitu nekad? Adakah kerana tidak dapat menerima hakikat kehilangan kuasa?

Atau kerana tidak sedar beliau diperalat oleh golongan berkepentingan. Kepada Nizar, kembalilah ke pangkal jalan!

DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah Felo Penyelidik Kanan (Pelawat) Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Apabila Melayu rela dijadikan 'boneka'

KETIKA ini para pemimpin DAP mungkin masih terus bertepuk dan ketawa berdekah-dekah. Tanpa bersusah payah, mereka berjaya memporak-perandakan hubungan penduduk Melayu Perak.

Mereka juga mula berjaya menjadikan segelintir orang Melayu menderhaka kepada Sultan.

Mereka tahu ada Melayu yang boleh dipergunakan untuk kepentingan mereka. Mereka tidak perlu turun padang kerana pasti ada Melayu yang akan mengikut telunjuk.

Inilah padahnya apabila ada orang Melayu yang tidak sedar bahawa mereka sebenarnya bukan sahaja 'diperkudakan.'

Siapa bekas Menteri Besar Perak yang diperkudakan DAP? Tentunya orang Melayu. Siapa pula kumpulan perusuh jalanan yang berjubah, berserban, bertudung yang dijadikan 'balaci' DAP? Pastinya, orang Melayu juga.

Ada orang lain turut serta? Tidak. Mereka tahu waktu itu mereka perlu bekerja mencari rezeki menyara keluarga.

Sebenarnya ramai yang terlalu kecewa melihat Melayu diperlakukan sedemikian rupa. Lebih mengecewakan apabila Datuk Seri Mohammad Nizar bukan sahaja dipergunakan sewaktu menjadi Menteri Besar malah berlarutan sehingga kini.

Sedangkan, beliau bukan sahaja berupaya membebaskan diri dan biarlah hanya sekali pemimpin Melayu Perak dijadikan boneka.

Apa yang berlaku kepada Nizar mungkin menjadi contoh terbaik untuk direnungkan. Ketika Sultan Perak perkenan melantik beliau sebagai Menteri Besar tahun lalu, keputusan itu dianggap bijak dan adil. Tetapi minggu lalu, Sultan yang sama dituduh membuat keputusan yang tidak adil, berat sebelah serta bertindak melampaui kuasa.

Apabila Melayu sudah berani mempertikaikan Sultan maka peluang ini digunakan sepenuhnya oleh orang lain untuk memperkecilkan Raja Melayu. Namun, kita patut bersyukur kerana masih ada perkumpulan Melayu yang tidak sanggup membiarkan Raja dicabar sedemikian rupa.

Di manakah letaknya nilai kesanggupan Nizar menerima realiti? Adakah hanya kerana keputusan Raja tidak menyebelahinya maka Raja harus disanggah? Sikap tidak dapat menerima kenyataan itu juga menimbulkan persoalan yang lebih besar iaitu apakah Nizar tidak boleh menerima qada dan qadar Allah?

Ketika dilantik sebagai Menteri Besar, terucap di bibirnya bahawa pelantikan itu adalah ketentuan Allah. Pelantikan itu kemudiannya dijadikan modal oleh pemimpin Pas bahawa perjuangan untuk memerintah Perak mendapat keredaan Tuhan.

Namun kini Nizar tidak dapat menerima kenyataan malah enggan melepaskan jawatan. Tindakan ini menggambarkan beliau bukan sahaja tidak dapat menerima kenyataan bahkan tidak reda dengan ujian Allah.

Tindakan tersebut secara tidak langsung menyaksikan ketidakpekaan beliau terhadap dua prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan dan Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Paling memalukan apabila sebagai pemimpin yang berjuang atas nama kalimah Islam, beliau turut mengetepikan satu daripada prinsip Rukun Iman iaitu percaya dengan qada dan qadar.

Barangkali inilah petunjuk Allah. Pejuang Islam sifatnya bukan gilakan kuasa, inginkan rumah besar atau sayangkan Toyota Camry. Pejuang Islam sentiasa sabar dan waras menghadapi segala dugaan. Setiap cabaran perlu diterima dengan hati terbuka serta mengharap ada hikmah di sebaliknya.

Perkembangan terkini turut menyaksikan gabungan Pakatan Rakyat semakin rapuh apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditempelak hebat oleh Karpal Singh sebagai punca Perak berjaya ditawan semula oleh BN.

Karpal menyalahkan Anwar kerana menyuntik momentum lompat parti yang akhirnya memakan diri. Karpal menganggap perbuatan Anwar yang ingin menubuhkan kerajaan mengikut "jalan belakang" sebagai "berdosa".

Amat malang sekali apabila pemimpin Pas tidak menyedari bahawa tindakan menderhaka kepada Sultan dan orang Melayu adalah satu dosa.

Prinsip Islam bagi Pas sudah diubah begitu jauh sehingga menjadikan mereka begitu taksub. Apa yang mereka lakukan semuanya dianggap betul dan baik biarpun terpaksa menjadi 'boneka.'

AHMAD ZAKI HASAN

Universiti Utara Malaysia

Sunday, February 8, 2009

Pembangkang dedah tembelang sebenar



Oleh Manja Ismail


KENDERAAN Diraja dihalang penyokong pembangkang di hadapan Masjid Ubudiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Jumaat lalu.



Sanggup menderhaka serta enggan mengaku kalah dari segi helah dan juga strategi

KEJATUHAN kerajaan negeri apabila parti atau gabungan parti yang memerintah mempunyai majoriti kecil akibat wakilnya melompat parti seperti berlaku di Perak minggu lalu atau kerana usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri, bukan perkara baru malah hampir seusia dengan sejarah pilihan raya selepas merdeka di negara ini.

Kerajaan campuran Pas-Parti Negara di Terengganu yang dibentuk ekoran pilihan raya umum pertama selepas negara merdeka pada 1959 diketuai Daud Samad hanya bertahan dua tahun apabila pada Oktober 1961, tiga Ahli Dewan Undangannya (Adun) keluar daripada pakatan itu.

Parti Perikatan, yang mempunyai tujuh kerusi ketika itu, mengusulkan undi tidak percaya dengan disokong oleh tiga Adun dari Parti Negara, lalu membolehkannya membentuk kerajaan baru diketuai Tan Sri Ibrahim Fikri pada November 1961.



Di Sarawak pada 1966, 21 daripada 42 Adun negeri itu menandatangani surat rahsia mengusulkan undi tidak percaya kepada Ketua Menteri, Datuk Stephen Kalong Ningkan. Berikutan itu, Gabenor, Tun Abang Openg meminta Ningkan meletak jawatan dan dipecat apabila enggan berbuat demikian, dengan digantikan oleh Penghulu Tawi Sli.

Bagaimanapun, Ningkan kembali memegang jawatan itu selepas Mahkamah Tinggi Borneo memutuskan pemecatannya tidak sah tetapi hanya untuk seketika apabila partinya tewas dalam pilihan raya negeri selepas itu.

Pada 15 Oktober 1977, 20 Adun dari Pas, yang ketika itu komponen Barisan Nasional (BN), membawa usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Mohamad Nasir dalam sidang DUN Kelantan. Krisis politik itu bertukar menjadi rusuhan yang memaksa Kerajaan Pusat meluluskan rang undang-undang Akta Darurat Negeri Kelantan bagi mengisytiharkan darurat di negeri itu mulai 9 November 1977, sekali gus jawatan Menteri Besar terlucut secara automatik.

Pada awal pagi 22 April 1985, Tun Datu Mustapha Harun dari Usno mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah sebaik saja keputusan pilihan raya umum negeri diumumkan walaupun partinya hanya menang 16 kerusi serta disokong Berjaya (enam) dan satu dari Pasok berbanding 25 kerusi dimenangi oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Datuk Joseph Pairin Kitingan yang menang 25 kerusi.

Mustapha berkira, selaku Ketua Menteri seperti diperuntukkan Undang-undang Sabah, beliau boleh melantik beberapa Adun dilantik dan dengan itu akan mempunyai majoriti nipis di DUN. Cubaannya itu gagal tetapi politik Sabah bergolak sehingga pilihan raya umum diadakan dua tahun selepas itu.

Beberapa peristiwa ini diimbas semula bagi menunjukkan bahawa soal lompat melompat parti dan usul undi tidak percaya dalam politik Malaysia bukan sesuatu yang asing terutama apabila sesebuah kerajaan itu dibentuk dengan majoriti kecil, kepemimpinan kerajaan terbabit dilihat lemah atau pakatan antara parti-parti politik terlalu rapuh.

Usul undi tidak percaya juga tidak hanya datang daripada BN atau Perikatan tetapi turut diambil oleh parti lain termasuk Pas yang mencetuskan krisis politik Kelantan lebih 30 tahun lalu.

Begitu juga dengan soal melompat parti. Walaupun kebanyakan wakil rakyat melompat ke dalam BN kerana sejak sekian lama ia adalah gabungan politik paling kukuh, keputusan pilihan raya umum Mac lalu turut mengubah senario itu.

Sebaik Pakatan Rakyat berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan menguasai lima negeri Mac tahun lalu, pemimpinnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat cukup yakin Ahli Parlimen BN akan melompat parti sehingga beliau memberikan beberapa tarikh untuk membentuk Kerajaan Pusat. Malah, Pakatan Rakyat sudah mula berpesta apabila Adun BN dari Bota, Datuk Nasarudin Hashim mengumumkan masuk PKR sehinggalah beliau menyertai semula BN 11 hari kemudian.

Justeru, bezanya krisis politik Perak sekarang dengan krisis sebelumnya ialah parti pembangkang bukan setakat enggan menerima kekalahan dari segi taktik, helah dan strategi, malah buat pertama kali mereka mempamerkan tembelang sebenar apabila sanggup menderhaka kepada institusi Raja yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.

Tidak ada perkataan lain yang lebih sesuai selain 'biadap dan menderhaka' apabila melihat penyokong Pas menyerbu kenderaan yang membawa Raja Dr Nazrin Shah di Kuala Kangsar Jumaat lalu dan kedegilan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan seperti dititah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Hakikat bahawa Sultan Azlan, yang juga pakar perundangan, bertindak berasaskan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak tidak lagi mereka pedulikan. Pakatan Rakyat juga sengaja melupakan hakikat bahawa Sultan Azlan yang memberi perkenan kepada mereka membentuk kerajaan negeri pada Mac tahun lalu walaupun Umno, yang menang paling banyak kerusi berbanding DAP, Pas dan PKR, turut memohon perkenan.

Kita boleh memahami jika hanya DAP dan PKR yang turut dianggotai bukan Melayu bertindak di luar kesopanan dan adab seperti itu. Bagaimanapun, apabila Pas sendiri yang selama ini mendakwa berjuang atas nama Islam dan mempertahankan kepentingan Melayu/Islam, sanggup bersikap sedemikian rupa. Bagi kita menghina Istana Perak sama seperti menghina seluruh Raja-Raja Melayu dan orang Melayu/Islam. Bagaimana dengan pendirian Pas terhadap Istana Kelantan dan PKR ke atas Istana Selangor?

Barangkali kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh seorang pemerhati politik kepada penulis semalam, menjawab sebahagian daripada persoalan ini. "Selepas pilihan raya umum 1969, Pas bergabung dengan Umno dan bersatu melawan DAP yang menghina orang Melayu dan Raja-Raja Melayu tetapi pada 2009, Pas sanggup mati kerana mempertahankan kerajaan boneka DAP dan PKR yang bertindak menghina Melayu dan Raja Melayu. Inilah yang dikatakan Melayu mudah lupa," kata pemerhati itu.

Kewibawaan Sultan Perak

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
utusanperak@utusan.com.my
PENULIS ialah Ketua Biro Utusan Malaysia di Perak

--------------------------------------------------------------------------------

SEJAUH MANA Pengerusi DAP, Karpal Singh dan pakatan pembangkang mampu mencabar Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di mahkamah dalam konteks kemelut politik di Perak?

Ada mengatakan cubaan peguam itu mengheret pihak istana ke mahkamah sebahagian daripada usaha mengalih tumpuan kepada kekecewaan mereka mengekalkan kuasa di negeri utara itu. Kuasa yang hakikatnya hilang dalam sekelip mata.

Karpal sebelum ini mempertikaikan pengisytiharan Sultan Perak bahawa kerajaan negeri pakatan pembangkang kini tidak lagi sah. Pengisytiharan itu kata Karpal, bertentangan dengan peruntukan Perkara 16(6) Perlembagaan Perak.

Justeru, satu kes akan difailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh esok (Selasa) dengan menamakan Sultan Perak sebagai defendan pertama dan kerajaan negeri yang baru, kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, defendan kedua.

Namun, yang sukar diterima akal ialah terdapat segelintir orang Melayu yang terperangkap dalam permainan politik ini sanggup bersikap kurang ajar demi mempertahankan kuasa yang hilang itu tanpa mengetahui mereka telah melampaui batas.

Kejadian menghalang dan mengadakan rusuhan termasuk sanggup 'bergadai nyawa' berbaring di depan kenderaan yang membawa Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah yang dalam perjalanan menghadiri majlis angkat sumpah pelantikan Menteri Besar baru, bukanlah tindakan biasa dalam adab susila dan budaya Melayu.

Apakah dengan melakukan perkara seumpama itu akan dikenang sebagai satu bentuk perjuangan bangsa yang mampu mengangkat martabat Melayu ke tahap lebih dibanggakan?

Budaya Melayu penuh adab kesopanan. Melayu tidak akan layu jika bersopan. Kesopanan itu akan lebih indah jika dilengkapi dengan kewarasan fikiran.

"Jika Sultan sendiri sanggup disanggah demi menjayakan perjuangan 'pihak lain' adakah mereka ini layak dipanggil Melayu?" soal Presiden Gagasan Melayu Perak, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail.

Malah, tuduhan-tuduhan liar terhadap Sultan Perak yang berperanan sebagai tonggak penyatuan orang Melayu merupakan perbuatan yang sukar dimaafkan.

Hakikatnya dalam hal perundangan, baginda bukanlah calang-calang orang. Sebagai bekas Ketua Hakim Negara, tentunya setiap kesan daripada keputusan itu telah diambil kira. Mencabar keputusan baginda bukanlah suatu tindakan yang bijak.

Sultan Azlan Shah dilantik ke jawatan Hakim Mahkamah Tinggi ketika berusia 37 tahun. Baginda adalah hakim termuda di antara hakim Mahkamah Tinggi di negara-negara Komanwel.

"Sebelum membuat keputusan membenarkan BN menubuhkan kerajaan baru, semestinya baginda mendapat pandangan pakar-pakar perundangan selain baginda sendiri memang arif.

"Apa yang dilakukan oleh pihak itu juga seolah-olah mempertikaikan kuasa institusi diraja seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak," tegas Mohd. Hilmi lagi.

Kredibiliti Sultan Perak berkaitan perundangan turut diakui oleh Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Baginda pasti faham apa yang dimaksudkannya di samping sudah ada asas perundangan. Apa pun keputusan raja, itu hak mutlak baginda yang termaktub dalam undang-undang dan sepatutnya dihormati," katanya.

Menurut Muhyiddin lagi, tindakan pembangkang mahu menyaman Sultan Perak itu merupakan tindakan yang jelas tidak menghormati keputusan baginda.

"Terserah kepada rakyat untuk menilai," ujar beliau merujuk kepada sikap tidak menghormati kuasa raja oleh pemimpin pembangkang itu.

Dalam sejarah Perak, kisah pembunuhan J.W.W. Birch di Pasir Salak sering dijadikan ukuran kepada semaraknya semangat nasionalisme Melayu terhadap penjajah.

Tarikh 2 November 1875 diingati sebagai tarikh kematian seorang residen British yang angkuh dan biadab. Hasrat Birch untuk memperhambakan orang Melayu tidak kesampaian apabila dia mati dibunuh.

Maka tercatatlah dalam sejarah bangsa Melayu dan negeri Perak nama-nama seperti Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor selain Sultan Abdullah sebagai penebus maruah bangsa dalam mempertahankan kedaulatan tanah air serta hak mutlak Kesultanan Melayu.

"Sebagai Melayu, saya juga terguris, tidak gembira dengan perkembangan terbaru ini terutama tindakan Karpal mahu menyaman Sultan Azlan Shah," kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mengimbau susur-galur institusi diraja Perak, selain Sultan Abdullah, Kesultanan Perak tidak sepi daripada waris yang membawa perubahan kepada nasib dan masa depan negeri.

Tidak kurang hebatnya ialah Sultan Idris. Malah baginda terbukti seorang sultan yang bijaksana apabila mampu membina Perak menjadi sebuah negeri yang makmur dan maju.

Peranan baginda mempertikaikan kuasa Residen Jeneral menerusi penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) juga menggambarkan keprihatinan baginda.

Ini kerana menerusi NNMB, Residen Jeneral akan muncul sebagai orang yang paling berkuasa dalam Persekutuan.

Akibatnya, sultan, residen dan majlis mesyuarat negeri kehilangan kuasa kerana tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral dalam menjalankan pentadbiran negeri.

Kuasa sultan hanya dalam hal ehwal agama Islam dan adat resam Melayu.

Keadaan ini menunjukkan seolah-olah NNMB ditadbir secara langsung oleh British. Pemusatan kuasa yang keterlaluan telah menimbulkan bantahan Sultan Idris Shah pada Majlis Mesyuarat Raja-Raja Kedua di Kuala Lumpur pada tahun 1903.

Sultan Idris Shah telah mendesak diambil langkah melaksanakan pengagihan kuasa. Tujuannya bagi mengembalikan semula kuasa sultan, residen dan majlis mesyuarat negeri.

Walaupun baginda mangkat pada 1916, keturunan diraja Perak terus mewarisi kebijaksanaan baginda terutama dari sudut pandangan. Semangat yang ada pada sultan-sultan terdahulu inilah yang kini jelas terpancar pada Sultan Azlan Shah.

Hakikatnya sejak zaman persekolahan lagi, baginda telah mempamerkan sifat kepimpinan dan kebijaksanaannya. Baginda dilantik sebagai Ketua Hakim Negara kelima selepas Tun Mohamad Suffian Hashim yang bersara pada November 1982.

Bukanlah merupakan sesuatu yang menghairankan apabila baginda dikenali sebagai seorang yang sangat teliti dan cermat dalam mendalami dan mengamalkan undang-undang.

Anakanda baginda, Raja Dr. Nazrin Shah pernah berkata, beliau masih mengingati bekas Ketua Hakim Negara itu 'mentelaah buku undang-undang dan laporan undang-undang sehingga larut malam bagi membuat persediaan kes yang akan dikendalikan pada keesokannya.'

"Ada ketikanya, kita melihat baginda menulis nota dalam buku. Ketika itu beliau sedang menulis keputusan penghakiman atau membuat nota untuk kes akan datang," katanya.

Sikap baginda yang cermat memenuhi minatnya untuk turut mengetahui perkembangan semasa termasuk politik tanah air.

Walaupun telah meninggalkan badan kehakiman, baginda terus mengamalkan sikap ini berlandaskan kecenderungan memastikan negeri aman sentosa.

Episod mempertikaikan keputusan baginda dan usaha mengheret institusi diraja ke mahkamah menggambarkan betapa baginda tidak lagi dihormati sebagaimana sewajarnya.

Seperti sultan-sultan terdahulu, Sultan Azlan Shah hari ini juga sedang diuji. Kemelut politik yang melanda Perak menuntut kebijaksanaan Kesultanan Perak yang berterusan.

Dan buat ke sekian kalinya, Perak bertuah kerana mempunyai legasi kepimpinan dan tonggak kuasa yang mampu menyediakan ruang penyelesaian berdasarkan tindakan yang bijaksana. Cuma malangnya, ada orang Melayu sendiri yang kian lupa tentang adab susila mereka.

Pas hanya Pak Turut?



Oleh ZULKIFLEE BAKAR

BEKAS Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin bersama barisan pemimpin pembangkang dari PKR, Pas dan DAP ketika mengadakan sidang media mengumumkan beliau tidak akan meletak jawatan seperti diarahkan oleh Sultan Perak.

--------------------------------------------------------------------------------



SEBELUM 1998, Pas dilihat sebagai parti alternatif untuk orang Melayu yang tidak mahu menyokong UMNO. Berikutan itu, perjalanan Pas dalam arena politik sentiasa mendapat sokongan sehingga ia menawan kembali Kelantan pada 1990. Pada masa yang sama, ia menambah jumlah wakil rakyat di negeri-negeri lain.

Ketika itu Pas dilihat sebagai sebuah parti yang mempunyai prinsip. Ia selari dengan kata-kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan terbarunya: "Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah sebuah parti yang sah berdaftar dan senantiasa mendukung prinsip rukun negara termasuklah prinsip kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang".

Berdasarkan prinsip itulah Pas tidak pernah sama sekali menggalakkan penyokongnya menjadi ganas dalam menyelesaikan isu politik. Kepimpinan parti itu sentiasa memperingatkan mereka supaya menghormati undang-undang.

Malah dalam sesetengah situasi, Pas akan bersama-sama UMNO mempertahankan kedudukan raja-raja. Tetapi selepas 1998, apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilahirkan melalui perasaan kebencian mendalam, Pas seolah-olah terseret sama mengikut jejak PKR.

Sudah ada ahli-ahli Pas yang berani turun ke jalanan melakukan demonstrasi, mencerca dan memaki hamun UMNO seperti yang dilakukan oleh PKR. Apa yang berlaku di Kuala Kangsar, Jumaat lalu jelas membuktikan bahawa semakin ramai penyokong Pas dicemari 'virus' PKR.

Mereka terpekik terlolong di jalanan, bertempur dengan pihak polis dan merosakkan harta awam. Semua ini adalah perlakuan penyokong PKR yang kini menyerap kepada penyokong Pas.

Lebih malang lagi, Pas kini terjebak dengan pakatan pembangkang yang disertai oleh PKR dan DAP untuk menyeret Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ke mahkamah.

Segalanya hanya kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Sultan Azlan Shah memperkenankan permintaan Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan di Perak. Demi untuk melihat pembangkang terus berkuasa, Pas sanggup menjejaskan segala prinsipnya untuk mempertahankan raja-raja Melayu.

Tanpa mahu mempertimbangkan bagaimana arifnya Sultan Azlan Shah membuat keputusan sebagai bekas Ketua Hakim Negara, Pas merelakan diri mereka dipergunakan oleh PKR dan DAP untuk mengambil tindakan yang dianggap boleh menjatuhkan martabat raja-raja Melayu.

Tidak kisahlah apa pun istilah pembangkang bagi menghalalkan tindakan mereka itu tetapi yang pasti, ia berkaitan dengan apa yang dilakukan oleh Sultan Azlan Shah.

Dalam keghairahan untuk menunjukkan kesetiaan kepada pakatan pembangkang biarpun mempunyai perbezaan ideologi yang cukup ketara, Pas seolah-olah terlupa bahawa Perak bukan negeri yang dimenanginya secara majoriti. Padahal Pas hanya menumpang kejayaan DAP iaitu parti yang menentang pelaksanaan hukum Islam - prinsip yang diperjuangkan oleh Pas sendiri.

Di Perak, Pas hanya memperolehi enam kerusi sedangkan DAP 18 kerusi. Walaupun Pas diberi penghormatan menjadi Menteri Besar tetapi semua orang tahu kenapa ia terpaksa dilakukan.

Atas sebab itulah, selama ini Pas tidak pernah berbangga dengan kedudukan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak. Mereka lebih menghargai Datuk Azizan Abdul Razak di Kedah dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan.

Berdasarkan kedudukan itu, Pas seharusnya tidak begitu ghairah untuk menentang keputusan Sultan Azlan Shah sehingga sanggup bersekongkol dengan PKR dan DAP. Pas perlu memaparkan jati diri sebenar dan bukannya mengorbankan prinsip demi menjaga hati PKR dan DAP.

Pas harus memahami apa yang berlaku di Perak bukan sekadar berkisar soal kuasa politik sahaja. Lebih daripada itu, ia perlu memastikan segala titah perintah sultan dipatuhi dan bukannya diingkari.

Pas harus memahami, mereka adalah parti kedua terbesar orang Melayu selepas UMNO. Orang Melayu tidak boleh bergantung kepada DAP atau PKR dalam mempertahankan institusi dan kepentingan mereka selain kepada UMNO dan Pas. Tetapi kalau Pas sendiri 'mohon derhaka' dengan dilihat mengkhianati institusi Melayu, siapa lagi yang orang Melayu boleh harapkan?

Dalam menghadapi konflik di Perak ini, kepimpinan Pas perlu jelas dan tegas menyatakan pendiriannya. Jangan bersikap lidah bercabang. Jika Pas beranggapan apa yang dilakukan oleh pembangkang untuk membawa isu Perak ke mahkamah boleh menjejaskan institusi raja-raja maka mereka perlu menentangnya.

Pas perlu sedar tindakan mereka sekarang bukan untuk menegakkan keadilan atau untuk mengembalikan suara rakyat. Kalau itulah matlamatnya kenapa sejak awal lagi Pas terus bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merealisasikan impian 16 September?

Malah dalam soal lompat parti juga, di kalangan pemimpin Pas sendiri menampakkan percanggahan dan seolah-olah berada dalam alam keliru. Lihat sahaja kenyataan Nik Abdul Aziz. Mursyidul Am Pas itu pada awal Mei tahun lalu menyokong undang-undang lompat parti digubal. Beliau menyifatkan wakil rakyat yang lompat parti sebagai 'bukan manusia'.

Namun pada 14 Mei, beliau mengubah pendirian dan menyokong pembangkang untuk menarik ahli Parlimen BN menyertai pakatan itu bagi membentuk kerajaan Pusat yang baru.

Bagaimanapun, beliau meletakkan syarat akan hanya menerima ahli Parlimen BN terutama daripada UMNO sekiranya mereka menyertai Pas.

"Ia terletak di atas orang politik, negara kita demokrasi cumanya bagi orang Melayu yang dulunya UMNO, kalau dia nak masuk Pas, bukan maknanya nak masuk Pas tapi balik asal, kerana orang Melayu ini orang Islam, Islam menetapkan dasar-dasar hidup."

Kenyataan Nik Abdul Aziz itu bermakna beliau menyokong wakil rakyat melompat parti asalkan masuk Pas malah turut berkata:

"Saya tidak boleh ganggu orang lain kerana ini negeri demokrasi, demokrasi yang sampai ke peringkat hilang kawalan agama, inilah masalah kekalahan UMNO.

"Wakil BN masalahnya seperti yang saya katakan tadi, kita tidak boleh nak halang, sampailah pada peringkat nak buat undang-undang, kita lompat pun tidak boleh. Kami pernah bawa naik ke mahkamah masa di Kelantan dulu, kes wakil Semangat 46 masuk UMNO balik tetapi tiada apa-apa kerana memang hak untuk melompat parti terbuka di negara demokrasi."

Jika itulah hujah Nik Abdul Aziz, kenapa sekarang beliau mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Perak yang ditubuhkan oleh BN adalah sebuah "kerajaan yang haram"?

Adakah kerana wakil rakyat PKR dan DAP menyokong BN maka ia menjadi haram? Tetapi kalau wakil rakyat BN masuk pembangkang sehingga menumbangkan kerajaan BN ia dianggap "kerajaan yang diberkati"?

Oleh itu, dalam isu krisis politik di Perak, Pas yang sudah berusia 57 tahun harus memaparkan pendirian yang jelas. Janganlah terus menjadi keliru hanya untuk menjaga kepentingan politik bersama PKR dan DAP. Mungkin Pas berbangga kerana sikap itu tetapi jangan sampai mereka dianggap sebagai "pak turut" sahaja seperti mana yang ditafsirkan berlaku di Perak itu.

Penulis ialah Pengarang Rencana

Mingguan Malaysia

Karpal salahkan Anwar

PULAU PINANG 8 Feb. – Pengerusi DAP, Karpal Singh menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak memimpin parti itu kerana mempromosi budaya lompat parti.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor turut mengecam Ketua Pembangkang itu kerana perbuatannya itu (mempromosikan budaya lompat parti).

“Anwar Ibrahim harus bertaubat kerana perbuatannya, Pakatan Rakyat sepatutnya memohon untuk mendapatkan seorang pemimpin yang baru bukannya pemimpin yang mengamalkan budaya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di sini bagi mengulas laporan polis oleh Pemuda UMNO berhubung kenyataannya untuk mengemukakan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mengenai peralihan kuasa di negeri itu.

Karpal turut menegaskan bahawa Anwar harus menjawab banyak persoalan terhadap kekecohan yang berlaku dalam pakatan pembangkang hari ini.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap segelintir pemimpin PKR dan DAP yang memberi sokongan terhadap tindakan lompat parti.

Katanya, sebagai Pengerusi kebangsaan DAP, para pemimpin dalam parti itu seharusnya memberikan sokongan terhadapnya dan bukan menyokong Anwar.

“Saya kesal kerana saya tidak berupaya mendapat sokongan malah daripada pemimpin parti saya sendiri. Lim Kit Siang, Lim Guan Eng sepatutnya menyokong saya, bukan mengeluarkan kenyataan untuk menyokong Anwar Ibrahim.

“Saya mohon sokongan... saya adalah Pengerusi DAP hingga sekarang. Saya memberi amaran kepada pemimpin parti saya jangan keterlaluan mendesak saya... saya telah banyak bersabar selama ini, janganlah jadikan perkara ini semakin meruncing demi kepentingan PR dan demi kepentingan DAP,” katanya.

Karpal menegaskan bahawa pakatan pembangkang seharusnya terus memastikan kekukuhan parti dan mendapatkan sokongan rakyat sepenuhnya pada pilihan raya umum akan datang untuk membentuk sebuah kerajaan bagi mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN).

“Jangan ambil mudah kepercayaan yang diberikan oleh rakyat, mandat untuk pembentukan sebuah kerajaan harus datang daripada rakyat,” katanya. – BERNAMA

Friday, February 6, 2009

Pas umpama melukut diperkuda Pakatan Rakyat

Oleh Ahmad Ikram Abdullah
rencanabh@bharian.com.my
PAS seharusnya mengkaji semula kedudukannya dalam Pakatan Rakyat. Krisis politik di Perak mendatangkan kerugian politik yang amat besar kepada parti itu. Jawatan Menteri Besar dan satu portfolio Exco yang dipegang Pas di Perak kini sudah hilang.

Malah, Pas bukan saja sudah hilang jawatan dan hilang kuasa, sebaliknya juga menghadapi risiko diheret sama dalam kancah pertembungan antara Pakatan Rakyat dan istana.

Keengganan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akur dengan titah perintah Sultan Perak supaya meletak jawatan adalah satu kesalahan yang amat besar. Malah, ada yang berpendapat keengganan itu menunjukkan sikap ‘seorang Melayu yang kurang ajar’ dan satu penderhakaan kepada Sultan.



Malah, sehari sebelumnya, Mohammad Nizar dalam kenyataannya kepada media selepas menghadap Sultan Perak sudah menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada kebijaksanaan baginda untuk membuat sebarang keputusan berhubung suasana politik di Perak. Namun, apabila keputusan tidak berpihak kepadanya, beliau bertindak berlawanan.

Persoalan yang timbul sekarang, adakah keengganan meletak jawatan itu, yang berlawanan kehendak istana, sebagai satu pendirian Pas atau mengikut arahan pemimpin Pakatan Rakyat? Pas sebagai sebuah parti Melayu Islam memang sentiasa menunjukkan taat setianya kepada institusi Raja yang menjadi naungan semua orang Melayu khasnya dan rakyat tanpa mengira kaum amnya.

Malangnya, hal ini tidak berlaku dalam pertimbangan Pas di Perak. Ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut mempersoalkan keputusan istana. Justeru, adalah sesuatu yang menghairankan apabila Mohammad Nizar dan Abdul Hadi bertindak sedemikian dan bersifat tidak konsisten dengan prinsip Pas yang sebelum ini dilihat sentiasa bersama Umno mempertahankan institusi Raja.

Mungkin Pas terlalu mengikut telunjuk Pakatan Rakyat sehingga hilang pertimbangan dan kewarasan membuat keputusan. Dalam hal ini, Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat lebih rasional apabila dilaporkan media, akur dengan keputusan istana.

Kedudukan politik Pas di Perak tidaklah kukuh. Pas ingin menjadi ‘king maker’ dalam percaturan politik di Perak, tetapi dengan hanya enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding tujuh milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan 18 DAP, Pas hanyalah parti ‘mainan’ DAP.

Pas bernasib baik mendapat kerusi Menteri Besar kerana Undang-Undang Tubuh Negeri Perak mensyaratkan bahawa Menteri Besar hendaklah seorang Melayu. Umum tahu yang menjadi Menteri Besar sebenar di Perak pada zaman Pakatan Rakyat 11 bulan lalu bukannya Pas, tetapi DAP. Oleh kerana kedudukannya yang lemah, Pas tiada kuasa mutlak untuk mencorakkan hala tuju negeri Perak, melainkan dengan ihsan DAP.

Barisan Nasional (BN) Perak diberitakan sudah menghulurkan tangan agar Pas bersama-sama menubuhkan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac tahun lalu. Dengan 27 kerusi Umno, satu MCA dan enam Pas, kerajaan campuran ini adalah lebih kukuh dan stabil berbanding pakatan Pas-PKR-DAP.

Kerajaan campuran BN-Pas ini lebih baik untuk rakyat negeri Perak. Malah, BN Perak dikatakan turut bersedia untuk menyerahkan jawatan Menteri Besar dan Exco kepada Pas jika Pas bersetuju bergabung dengan BN.

Tetapi Pas tidak menyambut salam BN, sebaliknya lebih selesa dengan pelukan DAP. Bergabung dengan Umno dilihat lebih mendatangkan mudarat kepada Pas daripada bergabung dengan DAP. Diharap pegangan ini sudah berubah.

Ke mana hala tuju Pas selepas ini? Dalam konteks di Perak, percaturan Pas untuk bersama DAP dan PKR sangat merugikan parti dan orang Melayu. Malah, risiko yang terpaksa dihadapi Pas ekoran kemelut ini adalah sangat besar. Pas terheret sama dalam pertembungan dengan istana akibat keengganan Mohammad Nizar melepaskan jawatan Menteri Besar.

Dalam konteks nasional, kedudukan Pas juga sebenarnya sangat lemah berbanding PKR dan DAP. Pas hanya ada 24 kerusi Parlimen berbanding 28 DAP dan 31 PKR. Pas ibarat melukut di tepi gantang.

Harapan Pas untuk mempengaruhi warna politik negara dan menjadi alternatif kepada Umno sebagai parti utama orang Melayu adalah gelap kerana PKR juga ada calon Melayu. Malah, jika Pakatan Rakyat menguasai Parlimen sekalipun, mustahil Presiden Pas dapat jadi Perdana Menteri selagi Datuk Seri Anwar Ibrahim masih ada.

Pas juga mungkin terpaksa mengorbankan banyak prinsip perjuangannya kerana DAP, akan tetap menjadi parti komponen utama. Sepatutnya pengalaman Pas di Perak bersama DAP menjadi pengajaran yang sangat berguna.

Pas sedar kedudukannya yang rapuh dan terpaksa mengubah strategi dengan cuba menawan hati bukan Melayu, maka lahirlah slogan baru ‘Pas Untuk Semua’. Pas tidak banyak pilihan. Gabungannya dalam Pakatan Rakyat membawa lebih banyak kesan buruk daripada baik.

Parti itu terpaksa berkompromi dengan perjuangan asalnya menubuhkan negara Islam, hilang jawatan dan kuasa, malah terheret sama dalam pertembungan antara Pakatan Rakyat dengan istana.

Oleh itu, wajarlah Pas berfikir dan mengkaji semula kedudukannya dalam Pakatan Rakyat demi kelangsungan politik Pas sendiri dan demi perpaduan nasional.