Saturday, August 29, 2009

Teknologi nuklear bantu Malaysia capai status negara maju

Oleh Jamudin Idris
rencanabh@bharian.com.my

WALAUPUN isu nuklear tidak serancak diperkatakan ketika harga minyak mentah melambung dulu, usaha kerajaan untuk memajukan teknologi nuklear masih tidak terlambat apa lagi jika dibandingkan dalam konteks negara serantau.

Di kalangan negara Barat, nuklear sudah tidak asing lagi. Tenaga nuklear digunakan dengan meluas dan jiran terdekat kita seperti Korea Selatan, sejak tiga tahun lalu dilaporkan sudah mempunyai 20 reaktor nuklear dan hampir 40 peratus bekalan elektrik disumbangkan oleh sektor berkenaan.

Secara jujur, kepentingan nuklear kepada sesebuah negara sebagai sumber tenaga sebenarnya tidak dapat dipertikaikan, apatah lagi sumber bahan api seperti minyak, gas dan arang batu akan pupus apabila tiba waktunya.

Ketiga-tiga bahan api itu juga bukan senang untuk diganti atau tumbuh kembali selain kos mencari gali dan melombong memerlukan perbelanjaan tinggi.

Jadi persidangan dan pameran nuklear antarabangsa 2009 di ibu negara baru-baru ini mengenai kepentingan nuklear cukup relevan dan pakar dapat berbincang mengenai teknologi nuklear dan orang ramai diberi kefahaman kepentingan perkara itu.

Semua sedar teknologi dan teknik penggunaan nuklear dapat memberi manfaat dan sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat tetapi yang dikhuatiri ialah bahan buangan atau sisa daripada industri berkenaan.

Bagaimanapun, menerusi teknologi yang ada sekarang, bahan buangan disimpan untuk jangka masa tertentu dan apabila tidak berbahaya, ia dilupuskan.

Langkah lain yang sedang dibincangkan ialah pembelian secara pakej di mana bahan mentah nuklear dibeli dari negara penjual yang bersedia mengambil sisa buangan nuklear.

Ramai orang melihat teknologi nuklear untuk menghasilkan tenaga elektrik saja tetapi teknologi nuklear boleh dikembang dan diperluaskan meliputi pelbagai bidang penting seperti perubatan, pertanian, pembuatan, alam sekitar dan sebagainya.

Dalam bidang perubatan, teknologi nuklear sudah digunakan dengan meluas di hospital termasuk untuk melawan penyakit berbahaya seperti kanser, manakala dalam bidang pertanian kita berjaya menghasilkan anak pokok yang bermutu tinggi, enzim serta baja.

Begitu juga dalam bidang pembuatan, penggunaan teknologi nuklear membolehkan pengeluaran sarung tangan getah, resin dan sebagainya yang memberi sumba-ngan besar pada industri sarung tangan di Malaysia.

Teknologi nuklear turut memberi sumbangan besar untuk menjaga persekitaran seperti dalam bidang marin dan pencemaran udara selain mengesan kebocoran atau paip tersumbat dalam industri minyak dan gas.

Ketika ini, walaupun Malaysia hanya mempunyai sebuah reaktor penyelidikan di Bangi Selangor, sumbangan diberikan cukup membanggakan.

Pusat itu turut melatih pegawai tempatan dan luar negara yang terbabit dengan nuklear. Sebuah agensi yang dikenali Nuklear Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sudah lama ditubuhkan untuk memajukan teknologi nuklear di negara ini.

Seperti juga rakyat di negara serantau, pendedahan kepada nuklear di Malaysia agak perlahan menyebabkan orang ramai kurang pengetahuan mengenai perkara itu dan timbul kebimbangan yang berlebihan.

Kebocoran reaktor nuklear di Three Mile Islands, Amerika Syarikat pada 1979, Chernobyl, Ukraine (1986), Tokai Mura, Jepun (1999), United Kingdom (2000) dan di Sweden tiga tahun lalu masih menghantui sebilangan masyarakat.

Hakikatnya, malapetaka disebabkan kebocoran reaktor nuklear bukan berlaku setiap tahun. Disebabkan kejadian itu, banyak negara mengambil langkah keselamatan dan bersama-sama memastikan dapat menjana tenaga nuklear yang lebih murah, bersih dan selamat.

Thursday, August 27, 2009

Senator Ismail Salleh meninggal

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Tokoh ekonomi, Senator Prof. Datuk Dr. Ismail Salleh, 62, meninggal dunia akibat diserang sakit jantung semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura awal pagi ini.

Isteri Allahyarham, Datin Hasnah Wahab memberitahu, Ismail disahkan meninggal dunia di dalam penerbangan Tiger Airways kira-kira pukul 2 pagi.

"Sebaik penerbangan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, Allahyarham terus dibawa ke Hospital Besar Singapura untuk dibedah siasat," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kajang di sini hari ini.

Allahyarham meninggalkan enam orang anak, Irwan Hanis, 26, Norhazwani Hanis, 24, Farah Shazwani Hanis, 22, Shafiq Hanis, 19, Aqilah Zafirah Hanis, 17, dan Syakir Hanis, 12.

Abang kepada Allahyarham Zakaria Salleh, 64, yang juga Ahli Penasihat Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech berkata, beliau mendapat panggilan daripada anak saudaranya kira-kira pada pukul 4 pagi mengenai pemergian adiknya itu.

"Dalam beberapa minggu ini, adik saya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan tetapi Allahyarham memang menghidap sakit jantung," katanya.

Zakaria berkata, beliau bersyukur kerana telah menunaikan amanah arwah ibunya untuk menjaga Allahyarham dengan baik sehingga ke akhir hayatnya.

Allahyarham merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech.

Semasa hayatnya, Allahyarham menerima beberapa anugerah dan penghormatan dari dalam dan luar negeri seperti Anugerah Guiness Book of Records sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat Ijazah Doktor Falsafah.

Anak kelahiran Pasir Mas Kelantan itu juga merupakan penerima pertama Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Ekonomi dari Universiti Illinois, Amerika Syarikat pada 1977.

Beliau mendapat pendidikan di Kolej Sultan Ismail Kelantan dari 1967 hingga 1969 dan merupakan bekas Ketua Jabatan Penganalisis Ekonomi dan Dasar Awam Fakulti Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS).

Allahyarham juga merupakan penerima Anugerah Maulidur Rasul 2008.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang, malam ini.

Friday, August 14, 2009

Jahil bukan alasan hina Islam

Oleh WAN NORAZAH WAN CHIK
rencana@utusan.com.my

KENYATAAN Mursyidul Am Pas kelmarin mungkin boleh ditafsirkan begini: Kita bebas berkata apa sahaja jika kita jahil mengenai sesuatu perkara. Dan mungkin memang begitulah yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu.

Jika dibaca secara tersurat mahupun tersirat, maknanya tetap sama.Pemimpin yang digelar Tuan Guru itu mengeluarkan kenyataan mengelirukan. Tetapi ia pasti dapat diterima oleh pakatan pembangkang.

Mengelirukan kerana beliau menegaskan, tidak salah sekiranya pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan menghina Islam. Alasannya mudah. DAP bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam.

"DAP kalau hina Islam pasal dia bukan Islam. Yang orang Islam tolak Islam itu lebih menghina Islam,'' tegasnya.

Jika kenyataan pembelaan oleh Nik Abdul Aziz terhadap DAP itu dijadikan pegangan, maka, maknanya kita juga boleh menghina agama lain. Jika ada yang melenting, berikan sahaja jawapan mudah. Kita jahil mengenai agama tersebut.

Sekiranya kenyataan Nik Abdul Aziz itu diterima pakai, maka "kejahilan" boleh menjadi alasan kuat untuk kita bebas menghina mana-mana agama.

Itu adalah hujah yang diberikan oleh Menteri Besar Kelantan itu ketika cuba menangkis kritikan hebat orang Melayu dan umat Islam terhadap sikap segelintir pemimpin DAP kebelakangan ini.

Bayangkan jika kenyataan tidak bertanggungjawab itu dipersetujui oleh semua orang. Soal sensitiviti akan diketepikan. Maka tidak akan ada lagi sebarang usaha untuk "menjaga hati". Kita bebas mengkritik apa sahaja walaupun sehingga ke tahap menghina.

Jika ada yang marah, jawab sahaja kita tidak faham tentang agama itu. Tidak perlu pun untuk mengeluarkan permohonan maaf.

Tetapi bayangkan sekiranya seorang pemimpin UMNO mengeluarkan kenyataan menghina agama Kristian, Buddha, Hindu atau Sikh.

Adakah Nik Abdul Aziz akan mengeluarkan kenyataan yang sama? Adakah beliau akan membela pemimpin UMNO tersebut dan memberitahu rakan satu pakatannya bahawa pemimpin UMNO itu boleh berbuat demikian kerana beliau tidak faham mengenai agama tersebut?

Adakah pembelaan itu akan dilakukan oleh Nik Abdul Aziz. Rasanya tidak mungkin. Jauh panggang dari api.

Penulis tidak faham apa sebenarnya yang dirasai oleh Nik Abdul Aziz. Adakah beliau tidak sensitif walaupun agama suci anutannya ini diperlekehkan dan dirujuk dalam ayat berbentuk makian dan carutan sekali pun? Adakah beliau tidak sedar kesan buruk yang sedang menanti?

Seperti biasa apabila timbul sesuatu isu membabitkan sensitiviti agama, Tuan Guru ini akan menempelak pemimpin UMNO. Dalam kenyataannya kelmarin, beliau menyalahkan sikap "pemimpin Islam yang menolak ajaran Islam". Dan yang dimaksudkannya itu pastinya pemimpin dari UMNO. Menurutnya sikap itu menyebabkan agama itu tercemar dan telah disalahertikan kesuciannya oleh mereka yang bukan Islam.

Tidak sedarkan beliau bahawa pemimpin yang dikatakannya menolak Islam itulah, yang kini tampil mendesak tindakan tegas agar Islam tidak lagi dihina?

Namun apakah peranan Pas dalam soal ini? Ke mana perginya ulama-ulama dalam parti itu? Adakah fenomena menjaga hati rakan satu pakatan membuatkan mereka terus menjadi seperti harimau kehilangan taring? Sampai bilakah mereka akan terus diibaratkan seperti kucing yang telah dikembiri?

Sanggupkah mereka membiarkan penghinaan itu dibuat dari semasa ke semasa tanpa berani bersuara hanya kerana ingin menjaga perpaduan di dalam pakatan?

Sampai bila lagi ulama-ulama di dalam Pas akan terus berdiam diri? Adakah menjaga hati rakan di dalam pakatan lebih penting daripada mempertahankan maruah agama?

Kenapa Nik Abdul Aziz dan pemimpin Pas yang lain tidak boleh menjadi seberani Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Bukankah menegakkan kebenaran itu tuntutan agama? Jika salah perlu dikatakan salah, bukan sebaliknya. Ketepikan soal "menjaga hati", ini soal maruah Islam.

Harussani nampaknya sentiasa konsisten dalam semua kenyataannya. Tegas dan tidak pernah beralah pada desakan biar pun kedudukannya mungkin menjadi taruhan. Pastinya bagi beliau, yang penting adalah agama dan apa yang bakal dijawab olehnya di hadapan Tuhan nanti. Maka kenyataannya tidak pernah berunsur "menjaga batang leher sendiri".

Ketegasan Harussani boleh dilihat apabila beliau kelmarin menegaskan bahawa mereka yang tidak menghormati institusi raja dan agama Islam boleh keluar dari negara ini. Katanya, kedua-dua perkara termaktub di dalam Perlembagaan.

Seperti kata Harussani, setiap orang Islam wajib mempertahankan agama daripada dihina. Malah umat Islam tidak boleh menyokong penghinaan itu dengan apa pun alasan. Maka hujah bahawa orang bukan Islam boleh menghina Islam hanya kerana dia tidak memahami Islam tentu merupakan hujah yang tidak masuk akal.

Jadi, apa yang dilakukan oleh Nik Abdul Aziz untuk membetulkan keadaan ini? Beliau sekadar menegaskan Pas akan berusaha meningkatkan kefahaman DAP terhadap Islam.

Katanya, Pas sebagai rakan kepada DAP dalam pakatan pembangkang, mengambil pendekatan memberi penerangan kepada pemimpin-pemimpin parti itu supaya mereka lebih memahami Islam.

Jika kenyataan itu boleh diterima, maka maknanya Pas cuba memberi kefahaman tentang Islam kepada rakan-rakan bukan Islam di dalam pakatan dengan mendekati mereka melalui "forum, wacana dan perbincangan".

Namun rasanya Pas tidak melakukannya. Sekiranya ia mengambil pendekatan-pendekatan tersebut, sudah pasti apa yang dilakukan oleh Pas itu telah menemui kegagalan. Bayangkan pakatan Pas dengan PKR dan DAP telah pun dijalin sejak sekian lama.

Adakah tempoh tersebut masih belum cukup untuk Pas memahamkan pemimpin DAP mengenai Islam?

Atau mungkinkah pendekatan Pas itu tidak mendapat sambutan? Maka, rakan-rakan di dalam pakatan itu masih terus jahil tentang Islam dan akhirnya bebas menghina Islam hanya semata-mata kerana mereka 'tidak faham'.

Sepatutnya Nik Abdul Aziz telah memberitahu rakan-rakan di dalam pakatan bahawa lebih baik untuk mereka berdiam diri sekiranya mereka tidak arif mengenai Islam.

Tuan Guru ini sepatutnya memberitahu rakan-rakannya bahawa sikap bodoh sombong tidak menguntungkan sesiapa.

Namun nampaknya Nik Abdul Aziz dan Pas gagal berbuat demikian. Mungkin mereka tidak berani bersuara kerana bimbang tidak dapat merasai kuasa yang dijanjikan oleh DAP dan PKR.

Jadi, apa lagi yang boleh diharapkan daripada Mursyidul Am Pas ini jika beliau menganggap isu serangan terhadap Islam hanya melibatkan serangan ke atas kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO.

Beliau sendiripun sejak awal-awal lagi telah menyatakan keengganan untuk campur tangan dalam isu kontroversi rakan-rakan sepakatannya sama ada di Selangor mahu pun di Pulau Pinang.

Mungkin umat Islam dan rumpun Melayu yang tercalar hati akibat penghinaan oleh segelintir pemimpin DAP ini hanya boleh mengharap tindakan undang-undang seperti yang disyorkan oleh Polis Diraja Malaysia.

Apa yang pasti, kita tidak lagi memerlukan permohonan maaf kerana ia pasti akan berulang jika tiada tindakan tegas dikenakan ke atas puak-puak yang biadap terhadap Islam ini.

Tuesday, August 11, 2009

Negara dalam bahaya - Azlan

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Sultan Azlan Shah memberi amaran bahawa negara berada dalam bahaya jika undang-undang hanya diterima dan dihormati apabila ia menyebelahi diri atau kumpulan sendiri sebaliknya ia ditolak jika keputusannya memihak kepada pihak lawan.

Sultan Perak menegaskan, negara juga terdedah kepada bahaya jika undang-undang dan penguatkuasanya mahu diketepikan manakala rakyat pula mula mengambil tindakan dengan tangan sendiri berasaskan emosi, sentimen dan hawa nafsu.

Titah baginda, jika tidak dibendung secara berkesan, keadaan itu akan meruntuhkan 'budaya bernegara' secara sivil untuk diambil alih oleh 'kaedah bernegara' yang mengamalkan budaya hukum rimba dengan yang lemah menjadi 'makanan' kepada yang kuat.

"Oleh itu, undang-undang perlu dipertahankan sebagai instrumen penimbang tara, tidak harus sama sekali dijadikan instrumen politik atau dipolitikkan.

"Kriteria pertimbangan untuk menggubal, menghapus atau meminda undang-undang hendaklah diasaskan kepada kepentingan negara, kepentingan keselamatan dan kepentingan rakyat jelata," titah baginda.

Baginda yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) bertitah demikian sewaktu merasmikan Istiadat Konvokesyen UM Ke-48 di Dewan Tunku Canselor, UM di sini hari ini.

Hadir sama tiga Pro-Canselor UM, Raja Dr. Nazrin Shah, Toh Puan Dr. Aishah Ong dan Tan Sri Siti Norma Yaakob serta Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub dan Naib Canselor UM, Datuk Dr. Ghauth Jasmon.

Sempena istiadat itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kemanusiaan) bagi menghargai jasanya kepada negara.

Istiadat enam hari itu menganugerahkan ijazah kepada 6,863 graduan ijazah doktor falsafah, sarjana, sarjana muda dan diploma.

Dalam pada itu, Sultan Azlan menjelaskan, kedaulatan undang-undang adalah suatu istilah lumrah, mudah disebut dan enak didengar namun susah hendak ditakrif serta diimplementasi malah amat sukar pula difahami dalam erti kata sebenar.

Tegas baginda, istilah kedaulatan undang-undang kadang kala diberi takrifan yang mengandungi unsur-unsur emosi untuk menyesuaikan dengan kehendak sesuatu pihak dan bukannya takrifan yang adil, benar, tepat dan berani berpandukan prinsip undang-undang.

"Lalu berlaku amalan menyimpang daripada semangat pemerintahan yang adil dan saksama hingga membolehkan terjadinya perbuatan salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah dan penindasan.

"Di pihak rakyat jelata pula, berlaku perbuatan yang bukan saja tidak menghormati undang-undang malah secara provokatif mencabarnya dengan tujuan mencetuskan huru-hara dan kekacauan agar kerajaan yang sah tidak dapat berfungsi secara berkesan," titah baginda.

Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Azlan menitahkan rakyat supaya membuat pertimbangan secara arif berhubung peristiwa-peristiwa yang dicetuskan secara tersurat dengan niat tersembunyi yang tersirat.

"Warga yang arif dan bijaksana perlu melihat sesuatu isu yang dibangkitkan dan tindak-tanduk politik yang sedang berlaku dari segi konsistensi suara dan perjuangan.

"Ia supaya negara yang aman lagi makmur ini tidak terjerumus dalam kancah huru-hara yang berterusan hingga sumber negara menjadi kurang produktif," titah baginda.

Monday, August 10, 2009

Penghina Islam kian berani

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my

SELEPAS Ronnie Liu menerima kemenangan isu arak di Selangor, Jeff Ooi hanya diminta memohon maaf kerana menyamakan individu yang bercita-cita melaksanakan undang-undang-undang syariah sebagai ekstremis, tampil pula Pemuda DAP mengeluarkan kata-kata nista menghina pendakwah Islam, umat Islam dan Islam.

Biar pun laman web yang mengandungi penghinaan melampau terhadap seorang mualaf Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, umat Islam dan agama Islam telah dipadam, namun paparan awal yang sempat dilayari sememangnya keterlaluan dan biadab.

Setiap patah perkataan dan ayat yang disusun oleh penulisnya secara nyata dan amat jelas mencemarkan kesucian Islam. Ridhuan Tee yang juga Pengerusi Persatuan Cina Islam Malaysia dihina sehingga dua keturunan manakala Islam dipijak-pijak.

Jika Salman Rushdie dikutuk dunia Islam kerana Satanic Verses yang menghina Islam sedemikian rupa, apa pula kurangnya tohmahan terbaru yang dilemparkan oleh seorang rakyat Malaysia yang salah satu prinsip Rukun Negara adalah "Kepercayaan kepada Tuhan."

Rakyat Malaysia ini juga telah diikat oleh sumpah setia nenek moyangnya untuk saling menghormati sesama kaum di negara ini apatah lagi kepada bangsa yang menerima mereka umpama saudara untuk berkongsi rezeki di tanah air ini.

Mungkin tidak ramai berpeluang mengikuti 'siri ketiga' penghinaan terhadap Islam apabila penulisnya yang bacul dan penakut memadam laman web http://Sjsandteam.wordpress.com yang sarat dengan penghinaan terhadap Islam dan umatnya. Tidak diketahui mengapa dia bertindak sedemikian - sama ada tersedar apa yang dibuatnya silap atau bacul untuk berhadapan dengan 'serangan' umat Islam sejagat lantaran paparan tulisannya amat jelas menghina Islam.

Saya pasti jika seluruh umat Islam di negara ini dan di dunia malah penganut-penganut agama lain yang diajar supaya menghormati agama lain berkesempatan membaca paparan tersebut, sudah tentu ramai yang membantah dan mendesak supaya si penulis dikenakan tindakan sekeras-kerasnya.

Jika hanya kerana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), umat Islam berani mempertaruhkan diri, sudah tentu kecaman dan penghinaan terhadap Islam dan umatnya mengundang reaksi yang lebih keras sehingga pasti ada sanggup bermandikan darah.

Tidak mustahil juga akan berlaku penentangan besar-besaran sehingga boleh mencetuskan rusuhan agama lantaran tiada agama di dunia ini yang membenarkan, jauh sekali menggalakkan kecaman dan penghinaan ke atas agama lain.

Kesemuanya ini bukan membakar sentimen kemarahan atau menyalakan api kebencian umat Islam tetapi untuk menegaskan bahawa Islam dan umatnya menjalar di muka bumi ini bukan untuk dihina, dikecam jauh sekali menjadi ancaman kepada agama lain.

Bahasa kesat, carutan, tohmahan, penghinaan (namakan apa sahaja) yang terkandung di laman web itu amat keterlaluan dan sama sekali tidak boleh dimaafkan biar pun si penulisnya melutut memohon ampun.

Tidak terguris umat Islam jika agamanya dikatakan ..., tidak terhinakah umat Islam jika mualaf seperti Ridhuan Tee dikatakan bakal mewariskan anak luar nikah yang tidak akan mengetahui susur galur keluarganya kerana nama 'Abdullah' yang digunakannya selepas memeluk Islam.

Mengapa semua ini terjadi. Dalam keadaan semua orang tahu betapa gentingnya isu agama dan kaum di negara ini, makin ramai yang berani menyentuh sensitiviti umat Islam sehingga ke satu peringkat seolah-olah Islam itu merupakan ancaman kepada agama lain.

Adakah kesemuanya ini kerana bangsa-bangsa lain nampak dengan jelas bahawa umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini berada di kedudukan yang amat rapuh dan inilah peluang untuk mereka menunjukkan kuasa?

Atau kerana pemimpin-pemimpin Islam bercakaran sesama sendiri maka ia dijadikan ruang serta peluang untuk penganut agama lain menampilkan kehebatan masing-masing.

Mungkin juga agenda melaga-lagakan pemimpin Islam telah hampir berjaya maka mereka berani bertindak sedemikian rupa. Tidak terfikirkah kita bahawa kedudukan bangsa Melayu dan umat Islam umpama telur di hujung tanduk. Melayu dituduh ekstremis, Melayu dikatakan cauvinis , Melayu juga rasis.

Apa pula gelaran kepada bangsa-bangsa lain yang tidak henti-henti menyakiti Melayu dan paling menyedihkan menghina Islam - agama yang dipersetujui menjadi salah satu tunggak Perlembagaan. Tidakkah pihak berkuasa yang diterajui oleh orang Melayu dan Islam terkesan dengan semua ini. Penghinaan ini mesti ditangani, pendirian kerajaan mengenainya mesti tegas.

Ulama-ulama tanpa mengira mewakili kerajaan atau pun Pas tidak boleh berdiam diri. Penghinaan ini bukan yang pertama, ia bukan juga yang terakhir.

Ridhuan Tee berkata kepada penulis: ''Saya dan seluruh keturunan saya dikecam Cina ultra. Paling sedih mereka turut kecam dan hina Islam."

Adakah kita sebagai umat Islam yang kini berpecah belah kerana perbezaan politik akan terus merelakan agama dan bangsa kita diperlakukan begini?

Thursday, August 6, 2009

Kerajaan Selangor dilanda kesangsian

Oleh NOR SEDEK ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

SEWAKTU Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipilih menjadi Menteri Besar pada Mac tahun lalu, banyak gambaran positif yang diberikan terhadapnya.

Beliau diyakini mampu mengemudi Selangor - negeri terkaya di Malaysia, dengan baik.

Pengalaman beliau berpuluh tahun dalam dunia korporat khususnya ketika menerajui Guthrie dan menjadi 'orang penting' dalam Permodalan Nasional Berhad (PNB), menjadi kayu ukurnya.

Namun mentadbir negeri rupa-rupanya tidak semudah mengurus sebuah syarikat konglomerat.

Sejak akhir-akhir ini, ceritanya berubah apabila rakyat disajikan dengan pelbagai kepincangan dalam kepimpinan beliau.

Rakyat percaya ia bukan rekaan kerana yang mendesak dan mempertikaikan cara kepimpinan itu bukan Barisan Nasional (BN) yang menjadi pembangkang di negeri maju itu - sebaliknya anggota parti gabungan kerajaan campuran pimpinan Abdul Khalid sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali membuka gelanggang apabila mendesak secara terbuka Abdul Khalid merombak barisan Exco kerajaan negeri kerana gagal membangun dan memajukan Selangor setelah setahun tiga bulan memerintah.

Semua pihak tersentak. Tidak siapa menyangka cadangan itu akan dilontarkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Namun pekung telah pun terbuka! Ekoran itu, pemerhati mula melihat kegoyahan Kerajaan Negeri Selangor apabila Azmin sendiri seolah-olah tidak lagi dapat menyimpan rasa geram yang terbuku di hati.

Tidak cukup dengan itu, Pas Selangor turut mendesak Menteri Besar menggantikan Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu yang memantau kerajaan tempatan dengan orang lain kerana mencampuri hal ehwal pihak berkuasa tempatan (PBT) hingga menjejaskan urusan penguatkuasaan.

Tindakan Ronnie mengarahkan pihak penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan semula minuman keras yang dirampas daripada sebuah kedai serbaneka di Seksyen 8, jelas tidak mengambil kira sensitiviti penduduk bandar Anggerik itu yang majoritinya Melayu beragama Islam.

Jika desakan Azmin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap oleh Abdul Khalid tidak lebih daripada cadangan dan beliau enggan membubarkan barisan Exconya, bagaimana pula dengan desakan Pas - yang datang daripada pesuruhjaya negeri parti itu, Datuk Dr. Hassan Ali?

Adakah Abdul Khalid masih mahu mempertahankan Ronnie yang sejak kebelakangan ini tidak putus-putus dilingkari kontroversi?

Menteri Besar Selangor mungkin mempunyai alasannya sendiri tetapi wajarkah pendiriannya itu? Bagaimana dengan ancaman Pas negeri untuk berpiket jika tuntutan mereka tidak dilayan?

Selalunya apabila timbul isu-isu seperti itu, jawapan standard yang diberikan oleh Abdul Khalid kepada media: "... ia cuma salah faham" dan "gandingan Pas, DAP dan PKR di Selangor tetap kukuh".

Namun sampai bila beliau boleh berselindung di sebalik jawapan klise sedemikian?

Sejauh mana keikhlasan jawapan itu, hanya Menteri Besar yang tahu ketika rakyat mula melihat kepimpinan beliau semakin berkocak, bercelaru dan penuh kesangsian berbanding janji-janji semasa mula memerintah dahulu.

Lantaran itu selama mana beliau mampu bertahan? Sedangkan desakan-desakan tersebut semakin kuat.

Ketika kredibiliti kerajaan negeri diragui, Abdul Khalid sendiri menambah sangsi rakyat Selangor apabila mencadangkan agar dana Baitulmal digunakan bagi menampung kos pentadbiran negeri.

Cadangan itu dilihat sekali lagi membuka pekung kerajaan negeri. Abdul Khalid dan barisan Exconya dilihat gagal mengurus sumber kewangan negeri sehingga terpaksa 'mengendeng' dana Baitulmal.

Ramai tertanya-tanya, miskin sangatkah Selangor yang pernah diiktiraf negeri terkaya di Malaysia sehingga perlu menagih wang zakat yang disumbangkan umat Islam di negeri ini?

Ke mana perginya kutipan cukai daripada syarikat dan kilang yang bertaburan di negeri ini?

Sewaktu mula-mula mengambil alih kuasa, kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid mewujudkan satu portfolio Exco bagi 'menghalalkan kilang-kilang haram di Selangor' yang dikatakan mampu memberi hasil cukai yang gagal dikutip oleh kerajaan negeri BN sebelumnya.

Di manakah hasil kutipan cukai daripada kilang-kilang itu?

Kematian Setiausaha Politik seorang Exco kerajaan negeri, Teoh Beng Hock, di tengah-tengah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menambah kusut dalam kemelut pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid.

Selang beberapa hari kemudian, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) pula tampil mengemukakan laporan 17 muka surat kepada SPRM, juga berkaitan salah guna wang kerajaan negeri melibatkan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Kerajaan campuran pimpinan Abdul Khalid kini umpama 'korek lubang tutup lubang'.

Masalahnya terlalu banyak sangat lubang yang hendak ditutup, silap-silap mungkin menyebabkan tanah jerlus!

Penulis ialah Ketua Biro Utusan Malaysia Selangor.

Kaitan demonstrasi, kempen hentam Melayu

Oleh Abdul Rahman Sulaiman

SUDAH terlalu banyak kenyataan dan ulasan diberikan pelbagai pihak berhubung demonstrasi jalanan menuntut pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu negara, Sabtu lalu. Kesan dan motif sebenar perarakan haram anjuran pakatan pembangkang melalui gerakan yang mereka namakan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) itu juga sudah banyak diperkatakan.

Namun, tidak ramai yang sanggup berterus terang bahawa matlamat sebenar tersirat di sebalik penganjuran tunjuk perasaan yang tidak perlu itu bukan kerana ISA atau untuk menuntut pemansuhan undang-undang berkenaan.

Ia jelas daripada jerit pekik dilaungkan penunjuk perasaan yang lebih banyak memaki hamun kerajaan dan polis. Laporan bahawa sebahagian peserta diupah pihak tertentu untuk mengambil bahagian serta dakwaan seorang bapa bahawa anak remaja beliau dipergunakan tanpa kerelaannya untuk menyertai demonstrasi berkenaan juga membuktikan tanggapan ramai bahawa ISA hanya digunakan sebagai alasan.

Andainya seseorang mempunyai peluang menemubual peserta muda dan remaja dalam demonstrasi itu, pasti akan mendapati bahawa ramai daripada peserta berkenaan tidak pun memahami secara mendalam apa yang dikatakan ISA itu.

Rasional di sebalik pemilihan isu ini untuk dijadikan punca demonstrasi juga sukar difahami kerana ia dibuat ketika seluruh dunia sedang memikirkan cara paling berkesan dalam menangani ancaman keganasan sekarang.

Pada masa sama, kajian semula terhadap undang-undang peninggalan penjajah itu juga adalah sebahagian daripada keutamaan dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengambil alih jawatan April lalu.

Berdasarkan hakikat ini, jelas bahawa pemilihan waktu, isu dan tempat untuk demonstrasi berkenaan kali ini bukan saja janggal, tetapi juga memudaratkan reputasi mereka sendiri. Dalam hubungan ini ada beberapa andaian yang boleh dirumuskan sebagai faktor pendorong utama demonstrasi jalanan yang aneh dan pelik itu. Ia termasuk:

l Pakatan Pembangkang kini tertekan akibat peningkatan populariti kepemimpinan Najib sebagai Perdana Menteri;

l Percubaan untuk mengalih perhatian rakyat daripada masalah dalaman yang kini dihadapi Pakatan Rakyat dan parti gabungan mereka iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP;

l Untuk memesongkan tumpuan rakyat daripada kes mahkamah berhubung tuduhan liwat yang kini dihadapi Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan

l Untuk meneruskan momentum menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan hingga pilihan raya umum akan datang.

Di samping matlamat di atas, tiga parti berkenaan dipercayai mempunyai matlamat tersendiri masing-masing untuk turut mendalangi demonstrasi berkenaan. Seperti biasa dalam usaha mencapai matlamat tersendiri yang dalam kebanyakan kes berbeza-beza ini, masing-masing tidak akan teragak-agak menggunakan atau lebih tepat memperkudakan rakan sendiri.

Dalam hubungan ini, untuk memenuhi impian mengangkat pemimpin mereka sebagai Perdana Menteri satu hari nanti, PKR akan terus memperalatkan Pas dan DAP dalam apa juga isu dari semasa ke semasa.

Pas yang menyedari mereka akan hanya boleh berkuasa dengan sokongan pengundi bukan Melayu akan terus membiarkan dirinya digunakan PKR dan DAP. Pada masa sama, DAP yang majoriti penyokongnya pengundi Cina dan India sangat memerlukan sokongan pengundi Melayu dalam kawasan yang mereka menjadi pengundi penentu.

Oleh itu, walaupun Pas sering menyakitkan hati pemimpin DAP, parti Islam itu mahu tidak mahu, terpaksa juga dijadikan kawan. Walaupun begitu, DAP sedar bahawa kelangsungan hidup mereka sangat bergantung kepada pengundi Cina dan bukan Melayu yang lain, berbanding pengundi Melayu. Sebab itu mereka tidak akan segan silu mewarnai apa juga isu dengan warna perkauman jika ada kesempatan.

Usaha ini sudah lama dilakukan. Ia menjadi lebih ketara selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada April lalu apabila keputusannya memperlihatkan kemungkinan yang lebih cerah untuk mereka mengambil alih pemerintahan satu hari kelak.

Mereka menganggap suasana sekarang sebagai kesempatan ideal untuk menghakis apa yang sesetengah pemerhati politik bukan Melayu anggap sebagai benteng terakhir hegemoni politik Melayu (the last Malay political hegemony) di Malaysia.

Sesiapa saja yang mengikuti gelagat politik DAP akhir-akhir ini akan dapat mengesan satu pola yang lebih mirip atau menjurus ke arah satu kempen atau gerakan terancang memburukkan kepemimpinan atau institusi Melayu.

Kempen menghentam Melayu (Malay bashing) ini bermula dengan penciptaan istilah seperti Umnoputra, Umno elit dan sebagainya membawa kepada kritikan melampau terhadap kedudukan istimewa orang Melayu, institusi Raja-Raja Melayu sehinggalah kepada cara mereka memutar belit isu yang berbangkit dari semasa ke semasa.

Contoh terdekat ialah isu ketuk ketampi seorang wanita dalam tahanan polis yang didakwa gadis Cina, tetapi akhirnya terbukti wanita Melayu tempatan tidak lama dulu. Terbaru ialah isu siasatan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Selangor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kononnya sengaja ditumpukan kepada kaum Cina.

Kematian seorang daripada saksi kes yang sedang disiasat, Teoh Beng Hock juga sengaja dikaitkan dengan SPRM hingga ada di kalangan orang ramai percaya beliau dibunuh oleh pegawai SPRM ketika soal siasat.

Semua ini bertujuan membakar sentimen orang Cina sehingga akhirnya Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, menerima ugutan bunuh.

Adalah dipercayai bahawa pembabitan dalam demonstrasi menentang ISA pada Sabtu lalu juga sebahagian daripada kempen menghentam Melayu itu dalam erti kata kerajaan yang dijadikan sasaran dianggap sebagai kerajaan Melayu.

Malangnya, strategi berkenaan nyata meleset apabila sebahagian besar pembabitan terdiri daripada orang Melayu sehingga ada di kalangan mereka berasa diperbodohkan penganjur.

Sampai bila kempen menghentam Melayu ini akan diteruskan? Apakah Melayu sanggup membiarkan persepsi bahawa yang malas itu Melayu, yang rasuah itu Melayu dan yang bodoh itu Melayu berterusan tanpa penyudah?

Penulis ialah bekas Ketua Pengarang Bernama