Friday, May 21, 2010

Makan tengah hari termahal



ASET Abramovich sebagai manusia ke-50 terkaya di dunia termasuk beberapa buah kapal persiaran, jet peribadi dan 40 orang pengawal peribadi.

--------------------------------------------------------------------------------



BERAPAKAH harga yang sanggup dibelanjakan untuk satu hidangan makan tengah hari jika anda tergolong antara 50 manusia terkaya di dunia?

Pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich dalam pertemuan dengan rakan perniagaannya membelanjakan AS$52,000 (RM166,400) ketika menjamu selera di Restoran Nello, New York.

Itu jumlah yang dibayar lelaki ketiga terkaya Rusia itu termasuk hidangan untuk enam orang beserta bayaran tip kepada pelayan restoran yang berjumlah AS$5,000 (RM16,000).

Pemilik restoran mewah terkemuka di kota New York itu, Nello Balan berkata, Abramovich yang ditemani isteri, Dasha Zhukova dan anak lelakinya, Arkadi melangkah masuk ke restoran itu seperti pelanggan biasa.

"Mereka kelihatan sama seperti kebanyakan pelanggan harian di restoran ini.

"Tidak ada yang mencurigakan sehinggalah saya melihat senarai makanan yang ditempah,"jelasnya yang sering menerima kunjungan artis popular dan orang kenamaan.

Hidangan pertama Abramovich bermula dengan Carpaccio yang dihidangkan bersama truffle putih sebelum beliau menjamah daging kambing Milan, pasta dan parmesan.

Menurut Ballan, truffle putih atau Tuber Magnatum yang ditempah oleh Abramovich adalah antara makanan paling mahal di dunia.

"Makanan yang dihidangkan kepada mereka adalah menu daripada kualiti terbaik dan ia semestinya sangat mahal," katanya.

Sementara itu ketika Abramovich menikmati pencuci mulut iaitu Tiramisu bersama champagne dan wain terbaik, Zhukova meneguk air minuman yang dijual pada harga AS$16 (RM51).

Minuman yang diatur di meja makan mereka termasuk dua botol wain Chateau Petrus, tiga botol La Tache Romanee Conti dan dua botol besar champange Cristal Rose yang berharga AS$5,000 (RM16,000) setiap satu.

Menurut Ballan, kos yang dibelanja untuk minuman keras pada tengah hari itu sahaja sudah mencecah AS$35,000 (RM112,000).

Namun jutawan Rusia itu langsung tidak menunjukkan reaksi terkejut ketika melihat angka yang perlu dibayar.

"Sebagai kepastian dia bertanya adakah bayaran yang dikenakan itu termasuk caj servis.

"Gaya dan perwatakannya langsung tidak menampakkan dia manusia terkaya di dunia," ujarnya.

Sementara itu, beberapa tetamu yang sedang menikmati hidangan di meja berhampiran tidak mengenali Abramovich dan mungkin menyangka mereka baru sahaja menang loteri.

Sebelum melangkah keluar dari restoran Ballan sempat mencadangkan supaya jutawan itu membeli pasukan baseball New York Yenkee, tetapi dengan selamba Abramovich menjawab:"Saya sudah ada banyak masalah dengan Chelsea."

Wednesday, May 19, 2010

Ibu terkaya di dunia

Susunan NOOR FAZRINA KAMAL

PERCAYA dalam dunia ini terdapat 70 orang bergelar ibu yang mempunyai kekayaan bernilai berbilion dollar. Daripada jumlah tersebut lapan daripadanya membina kekayaan hasil usaha mereka sendiri.

Mendahului senarai ialah Margaret C. Whitman yang lebih dikenali sebagai Meg, dia mempunyai kisah yang boleh dijadikan inspirasi buat semua wanita.

Graduan dari Sekolah Perniagaan Princeton dan Harvard, Amerika Syarikat itu memulakan kerjayanya di syarikat terkenal, Procter & Gamble sebelum berpindah ke California bersama suami tercinta.

Suami Whitman adalah seorang pakar bedah neuro yang berkhidmat di Hospital Stanford, California. Selepas meraih pendapatan lumayan ketika berkhidmat di firma penasihat Bain & Co., Disney, Whitman kemudiannya menyertai eBay yang ketika itu sebuah firma teknologi kecil dengan hanya 30 orang pekerja sebagai ketua eksekutif.

Dalam tahun 2004, Whitman diisytihar dalam senarai billionare dunia oleh Forbes, majalah tersohor tentang dunia perniagaan.

Jadi siapakah di sebalik kejayaan wanita ini? Pastinya ibunya sendiri dan kisah tersebut dikongsi menerusi sebuah buku bertajuk The Power of Many, mendedahkan apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Dia kini berkempen untuk menggantikan tempat gabenor Republik California, Arnold Schwarzenegger.

Whitman adalah seorang daripada 70 ibu bergelar bilionair dan salah seorang daripada lapan ibu yang berjaya hasil usaha sendiri untuk mengumpul kekayaan bernilai berbilion dolar.

Bagaimanapun tiada seorang pun dari lapan ibu tersebut yang berjaya menduduki senarai 10 wanita terkaya dunia.

Senarai tersebut dimonopoli oleh wanita yang mewarisi kekayaan dari suami, bapa atau datuk masing-masing.

Kisah ibu terkaya

Ibu berjaya lain ialah Rosalia Mera, wanita beranak dua yang dahulunya bekerjasama dengan bekas suaminya, Amancio Ortega membina nama untuk jenama fesyen terkenal yang berasal dari Sepanyol, Zara.

Pasangan itu telah membina empayar fesyen dengan membangunkan beribu cawangan Zara di seluruh dunia.

Satu lagi nama ialah Joanne Rowling (JK). Siapa yang tidak kenal nama ini. Dia merupakan penulis buku imaginasi terkenal, Harry Potter dan pemilik francaisnya.

Kisah awal Rowling memang menyentuh perasaan kerana sejak bercerai dia terpaksa melalui hari-hari sukar bersama anaknya dan berpindah ke Edinburgh, Scotland semata-mata supaya berdekatan dengan kakaknya.

Rowling kini mempunyai dua lagi anak bersama suami baru. Duit pembayaran pendahuluan manuskrip pertama Harry Potter, digunakan untuk membayar sewa rumah flat yang diduduki bersama anak sulungnya.

Ibu terkaya di Asia

Nama Savitri Jindal, mungkin tidak sepopular ibu terkaya dunia yang lain. Tapi tahukah anda bahawa dia merupakan wanita Asia terkaya selepas bergelar balu kepada mendiang pemilik OP Jindal Group, sebuah syarikat konglomerat pembuat besi dan yang paling berpengaruh di India.

Savitri adalah ibu kepada sembilan anak dan merupakan ibu terkaya di dunia yang mempunyai paling ramai anak. Memandangkan Savitri merupakan pengerusi bukan eksekutif, empat anak lelaki dari sembilan anaknya telah mengagihkan perniagaan tersebut kepada empat bahagian dan menerajui bahagian masing-masing.

Beban di sebalik kemanisan kekayaan

Menjadi ibu terkaya dan sekali gus mempunyai anak-anak yang juga mewarisi kekayaan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.

Liliane Bettencourt, pewaris kekayaan dari jenama kosmetik terkemuka L'Oreal telah didakwa oleh anaknya perempuan tunggalnya sendiri, Francoise Bettencourt-Meyers, 56, di mahkamah apabila Meyers mendakwa ibunya memberikan sejumlah besar hartanya kepada orang lain

Sunday, April 18, 2010

Memenangi hati rakyat

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

KETIKA membentangkan kertas kertas bicara sosial pada Konvensyen Barisan Nasioanl (BN) Negeri Selangor baru-baru ini, saya telah menghujahkan beberapa perkara pokok yang mesti dapat dilihat dilaksanakan jika BN mahu kembali memerintah termasuk memenangi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Pertama, pemimpin mesti dapat dilihat latar belakang dan akhlaknya baik. Kebaikannya itu bermula dengan dia berjaya menjaga diri sendiri dengan imej bersih serta keluarganya, bertunjangkan keikhlasan. Saya memetik kata-kata ahli falsafah Cina, Konficius yang berbunyi, if you want to rule the state, first put your house in order, to put your house in order, first cultivate yourself morally, to cultivate yourself morally, first put your heart right, to put your heart right, you must be sincere.

Kata-kata ini amat bertepatan dengan Islam walaupun bukan datang daripada ‘orang Islam’. Namun, dalam hati kecil ini sentiasa berkata kemungkinan besar Konfucius merupakan salah seorang Nabi daripada ribuan Nabi dalam Islam, kerana kata-katanya langsung tidak bercanggah dengan roh Islam.

Pemimpin mesti dapat dilihat berakhlak sedemikian, tidak kira sama ada mereka Islam atau tidak. Mereka mesti menjadi contoh yang terbaik kepada rakyat bagi membolehkan mereka dipilih oleh rakyat. Sesungguhnya, tanggungjawab memimpin teramat berat, bukan sekadar main-main atau ingin mencuba nasib. Ada perhitungan dunia dan akhirat. Menjadi pemimpin bukanlah tiket untuk membuncitkan perut atau mengumpul harta. Kekayaan negara mesti digunakan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Pemimpin yang mempunyai skandal, hendaklah diketepikan kerana rakyat hari ini bijak memilih antara permata dan kaca. Tindakan bekas ketua wanita MCA, Chew Mei Fun patut dipuji, walaupun dalam beberapa perkara saya tidak boleh bersetuju dengan pandangan beliau mengenai Islam dan hak asasi manusia. Beliau terpaksa melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan, berpegang kepada prinsip tidak dapat menerima pemimpin yang rendah moral dan akhlaknya. Tindakan ini mesti dihormati dalam melahirkan sebuah masyarakat berintegriti tinggi dan bermaruah. Jika ramai pemimpin seperti ini, BN tidak perlu merasai bimbang dalam menghadapi pilihan raya atau berhadapan dengan rakyat. Secara automatik, mereka akan diterima rakyat.

Kata-kata dahulu kala seperti ‘jika BN letak tunggul kayu sekalipun akan menang pilihan raya’ tidak dapat diterima pakai lagi. Tunggul hari ini bukan hanya akan dipatahkan, malah dicampak rakyat entah ke mana. Justeru, pemimpin mesti mempunyai integriti yang amat tinggi. Menjadi role model kepada rakyat, terutama kanak-kanak yang sentiasa melihat pemimpin sebagai contoh teladan. Jika pemimpin terlibat dalam seks bebas dan korupsi bagaimanakah kita hendak mengatakan kepada rakyat supaya menjauhi perkara terkutuk itu kerana cakap sudah tidak serupa bikin.

Manfaatnya

Pendek kata, sebagai pemimpin mereka mesti dapat mengalir manfaatnya kepada manusia. Seperti kata Pendeta Za’ba, hidup ini mesti melakukan kebajikan dengan berjasa kepada orang. Sebaik-baik kebajikan itu biarlah kekal berpanjangan biarpun kita telah mati kerana demikian itulah iaitu salah satu daripada tiga perkara yang dikatakan oleh Nabi kita tidak putus amal seseorang anak Adam daripadanya apabila ia (anak Adam itu) mati. Perkataan itupun tidak tertentu bagi orang Islam sahaja melainkan ‘anak Adam’.

Kedua, pemimpin parti-parti komponen BN janganlah bertindak mendesak dan mengugut UMNO ketika parti Melayu ini berada dalam keadaan lemah akibat perpecahan orang Melayu. Sebaik-baiknya berikanlah sokongan kepada UMNO untuk bangkit kembali menjadi sebuah parti Melayu yang kuat dengan penuh integriti. Sokonglah UMNO selagi mana ia berada di landasan yang betul. Perbetulkannya, jika ia mula melencong daripada landasan.

Parti-parti komponen BN hendaklah mengumpulkan kekuatan dan mengatur strategi untuk menghadapi pilihan raya akan datang dan bukannya mengambil kesempatan ketika orang lain ditimpa musibah atau tidak berupaya. Memang tidak dapat dinafikan inilah peluang keemasan dan kesempatan yang perlu dipergunakan untuk menuntut itu dan ini, tetapi saya ingatkan belajarlah memahami psiki orang Melayu. Melayu jarang meluahkan kemarahannya di khalayak, tetapi mereka mudah memendam rasa. Menyimpan sesuatu yang terbuku di hati, kemudian diterjemahkan dalam bentuk sukar dikawal. Inilah yang paling saya bimbang sekian lama memahami bangsa ini.

Ketiga, mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu atau Malay Polity. Kemajmukan masyarakat di negara ini tidak berlaku secara semulajadi. Negara bermula dengan satu bangsa iaitu bangsa Melayu, dengan tidak menafikan orang asli. Hakikat ini mesti diterima oleh semua manusia di dunia ini. Tidak ada negara dalam dunia ini bermula dengan berbilang kaum. Ia bermula dengan satu kaum yang menduduki sesuatu kawasan atau negara. Nama kaum itu akan menjadi nama sesebuah negara. Tidak perlu saya ulangi kenapa Siam menjadi negara Siam, bangsa Cina menjadi negara China, dan bangsa India membentuk negara India. Fikir-fikirkanlah kenapa ia berlaku sedemikian.

Justeru, tidak timbul Melayu itu adalah pendatang kerana nama Tanah Melayu sudah jelas mencerminkan kedudukannya di kepulauan Melayu. Tindakan mengungkit perkara itu hanya akan mengundang musibah kepada BN.

Lanjutan daripada itu, slogan Ketuanan Melayu jangan pula dilihat sebagai melambangkan Melayu itu tuan, manakala bukan Melayu itu hamba. Laungan ketuanan Melayu hanya sekadar untuk mengingatkan sahaja bahawa negara ini berakarkan kepada sistem kenegaraan Melayu. Jika orang bukan Melayu itu hamba, sudah tentu kita akan merempat di bumi ini. Tetapi adakah ia berlaku sedemikian rupa? Siapakah tuan, siapakah hamba sebenarnya?

Fahamilah konsep keadilan dalam Islam. Keadilan itu bukannya sama rata dan sama rasa, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Islam boleh memberikan keadilan, tetapi Islam tidak dapat memberikan sama rata dan sama rasa, sebab agama Islam itu sendiri tidak boleh disamakan dengan agama lain. Tetapi Islam memberikan jaminan keadilan. Dengan sebab itu, kita lihat orang bukan Islam boleh membina empayar kekayaan dan hidup aman damai di bumi Islam, tetapi belum tentu orang Islam boleh merasai perkara yang sama di bumi bukan Islam. Lagi pula orang Islam jarang cemburu dengan kekayaan yang dimiliki oleh bukan Melayu.

Keempat, menolak rasuah lebih hina daripada daripada makan babi. Maksud saya, imej seorang pemimpin BN mesti bersih dan bebas daripada rasuah. Memberi dan menerima rasuah, kedua-dua masuk neraka. Rasuah adalah perbuatan yang dapat dilihat dan masyarakat kita mula jijik dengannya. Rasuah adalah amat bahaya kepada agama, bangsa dan negara, tidak ada kompromi dalam isu ini. Pemimpin yang hendak mewakili rakyat mesti menjauhkan diri daripada perbuatan ini. Sama ada mereka mahu menjadi pemimpin cawangan atau bahagian sehinggalah ke peringkat negeri dan pusat, pemimpin yang jelas terlibat dalam rasuah dan politik hendaklah ditolak untuk cuba diketengahkan atau bertanding.

Kelima, mencari persamaan dalam kehidupan beragama, bersatu atas kebaikan dan menolak kemungkaran. Tidak ada agama yang menerima keburukan. Semuanya menganjurkan kebaikan. Maka nilai kebersamaan itu mesti dicari. Misalnya, seks bebas, pergaulan bebas, berzina, hiburan melampau, minum arak, judi dan sebagainya. Tidak ada satupun agama yang membenarkan perbuatan terkutuk ini. Justeru, tidak timbul soal untuk berhujah mempertahankan bahawa ianya adalah hak asasi manusia. Bila mana hak asasi manusia tertembung dengan hak Pencipta, maka hak pencipta mesti diutamakan untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar.

Mempertahankan kemungkaran dan kemaksiatan hanya akan mengundang bala, sedangkan kita tahu ia ditolak oleh semua agama. Jika ada agama yang menjadi anutan parti-parti politik komponen BN mengatakan bahawa kemungkaran dan kemaksiatan tersebut boleh diterima dan dibenar, sila buktikan pada saya. Saya akan jawab, nilai moral agama mereka amat rendah tarafnya. Mereka tidak layak untuk menganuti agama tersebut, kerana agama itu terlalu suci. Kesucian itu mesti dipelihara, tidak dapat tidak.

Perasaan

Keenam, menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan yang menjadi anutan orang Melayu. Perlu diingatkan bahawa orang Islam tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal atau urusan bukan Islam. Justeru, sudah sampai masanya orang bukan Islam tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung hati dan perasaan orang Islam.

Saya lihat kerajaan hari ini sudah mula cenderung ke arah itu. Semakin cenderung UMNO kepada Islam, semakin ia mendapat sokongan, kerana agama tidak pernah menipu manusia. Tuhan tidak pernah menipu manusia, melainkan manusia yang selalu menipu Tuhan. Yakinlah.

Kembalilah kepada rakyat, barulah kita dapat menawan hati rakyat kerana kerajaan adalah dari rakyat untuk rakyat.

Thursday, March 11, 2010

20 tokoh terkaya di dunia 2010: Forbes

2010/03/11
NEW YORK: Sepuluh daripada orang paling terkaya di dunia memiliki kekayaan terkumpul bernilai AS$342 billlon pada tahun ini, berbanding hanya AS$254 billion tahun lalu.
Berikut senarai 20 orang terkaya di dunia yang diumumkan Majalah Forbes hari ini:
1. Carlos Slim Helu dan Keluarga (Mexico. Telekomunikasi. AS$53.5 billion) 2. Bill Gates (Amerika Syarikat. Microsoft. AS$53 billion) 3. Warren Buffett (Amerika Syarikat. Berkshire Hathaway. AS$47 billion) 4. Mukesh Ambani (India. Minyak, Gas. AS$29 billion)
5. Lakshmi Mittal. (India) Besi & Keluli. AS$28.7 billion)
6. Lawrence Ellison (Amerika Syarikat. Oracle . AS$28 billion)
7. Bernard Arnault (Perancis. LVMH - barangan mewah. AS$27.5 billion)
8. Eike Batista (Brazil. Pelombongan, Minyak. AS$27 billion)
9. Amancio Ortega (Sepanyol. Pakaian Runcit. AS$25 billion)
10. Karl Albrecht (Jerman. Pasaraya AS$23.5 billion) 11. Ingvar Kamprad dan Keluarga (Sweden. Ikea. AS$23 billion)
12. Christy Walton dan Keluarga (Amerika Syarikat. Walmart. AS$22.5 billion)
13. Stefan Persson (Sweden. Hennes and Mauritz. AS$22.4 billion)
14. Li Ka-shing (Hong Kong. Pelbagai. AS$21 billion)
15. Jim Walton (Amerika Syarikat. Walmart. AS$20.7 billion)
16. Alice Walton (Amerika Syarikat. Walmart. AS$20.6 billion)
17. Liliane Bettencourt (Perancis. L’Oreal. AS$20 billion)
18. S. Robson Walton (Amerika Syarikat. Walmart. AS$19.8 billion)
19. Putera Alwaleed Bin Talal Alsaud (Arab Saudi. Pelaburan. AS$19.4 billion)
20. David Thomson dan Keluarga (Kanada. (Harta Warisan/Pusaka. (AS$19 billion). - AFP

Royalti minyak: Kelantan tidak layak kerana Ordinan Darurat 1969

2010/03/11
KUALA LUMPUR: Kelantan tidak layak dalam tuntutan royalti minyak di luar perairan negeri itu kerana Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 masih berkuatkuasa, kata seorang pengamal undang-undang.
Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, peruntukan No 7 Ordinan itu menetapkan sempadan negeri iaitu bumi negeri berkenaan serta perairan wilayah negeri itu sejauh tiga batu nautika yang diukur dari paras air surut.
Namun dua telaga minyak dipertikai Kelantan terletak di luar "kawasan" itu. "Setahu saya Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 itu masih kekal dan belum dimansuhkan kerajaan. Malah ada Ordinan yang digubal pada ketika itu, seperti ESCAR (Peraturan-Peraturan Perlu (Kes-Kes Keselamatan) 1975), masih digunakan," katanya dihubungi di sini hari ini. Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Yakub yang menyokong pendirian Kerajaan Pusat bahawa Kerajaan Negeri tidak berhak menuntut royalti minyak kecuali ia dapat membuktikan perairan wilayah negeri itu melebihi tiga batu nautika. Hafarizam berkata peruntukan seperti ESCAR yang digunakan untuk mendakwa 29 anggota Al-Maunah pada 2000 yang merancang untuk mengkhianati negara dengan menentang kerajaan yang dipilih secara demokrasi, membuktikan peruntukan yang digubal pada ketika itu masih belum dimansuhkan. Pendakwaan kes Al-Maunah itu bagaimanapun dibuat secara terbuka mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah atau Yang Dipertua Negeri dan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.
"Keadaan adalah sebaliknya jika Kerajaan Negeri Kelantan dapat membuktikan secara dokumen bahawa peruntukan itu (Ordinan Darurat) telah dimansuhkan mengikut nas-nas undang-undang," katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Kelantan bertegas menuntut bayaran royalti berbilion ringgit terhadap operasi carigali minyak di perairannya daripada kerajaan pusat, namun negeri itu didapati tidak layak mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Dua telaga minyak dipertikai itu terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairan Kelantan di kawasan pelantar benua bertindih di Teluk Siam, Laut China Selatan, yang dibangunkan secara bersama Pihak Berkuasa Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) sejak 1979.
Selain peruntukan Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969, Artikel 3 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) pula menyebut, perairan wilayah Malaysia diukur dari garis pangkal hingga ke kawasan tidak melebihi 12 batu nautika.
Bagi Artikel 57, konvensyen yang sama, menjelaskan kawasan "di luar dan bersebelahan" kepada perairan Malaysia yang tidak melebihi 200 batu nautika dari garis pangkal ialah Zon Eksklusif Ekonomi.
Abdul Rahman dalam laporan sebuah portal berita hari ini berkata Sarawak layak untuk mendapat royalti minyak kerana Queen Elizabeth mengisytiharkan pada 1954 bahawa "bahawa wilayah perairan negeri di Malaysia Timur itu diperluas di luar had tiga batu nautika". Ini menyebabkan kedudukan undang-undang mengenai perkara itu berbeza di antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak yang turut menandatangani perjanjian dengan Petronas sekitar 1975/1976, melalui Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Kerajaan Kelantan berhujah berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974, negeri itu layak menerima bayaran royalti lima peratus daripada jumlah pengeluaran di dua telaga minyak terbabit selain mungkin membawa perkara itu ke mahkamah.
Kerajaan Pusat bersetuju memberi wang ihsan RM20 juta yang juga merupakan lima peratus daripada hasil pengeluaran gas sejak Mei 2008 di Blok Medan Bumi Selatan, Blok PM301, yang berdekatan dengan perairan negeri itu.
Satu lagi kawasan dipertikai iaitu Blok PM302 belum mengeluarkan hasil.
- Bernam

Kahwin kanak-kanak umpama tindakan orang 'lapar' sunah Nabi

KOTA BHARU 10 Mac - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan lelaki yang berkahwin dengan kanak-kanak perempuan berusia 10 dan 11 tahun di negeri ini baru-baru ini umpama orang yang 'lapar' sunah Nabi.

Di samping menyatakan kekesalannya, beliau berkata, alasan bahawa Nabi Muhammad sendiri mengahwini isterinya Siti Aisyah yang berusia 10 tahun tidak boleh diambil kira sebagai mengikut sunah.

Katanya, tidak semua sunah boleh diikuti umat Islam kerana ia mesti diselarikan dengan budaya setempat.

"Benar, Nabi kita berkahwin dengan Siti Aisyah (umur 10 tahun). Tetapi benda lagu ini, macam pakaian, sunah Nabi adalah kita pakai menutup aurat.

"Nabi pakai seluar atau pakai sarung itu terserah kepada budaya kita, ada benda kita wajib turut dia (Nabi Muhammad), ada benda tidak perlu kita turut.

"Orang ni (yang mengahwini kanak-kanak tersebut) sengaja macam 'lapar' sunah Nabi, pada hal banyak lagi benda lain yang tak diturut pun," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di sini hari ini.

Kelmarin media melaporkan tindakan seorang bapa dari Jelawang, Kuala Krai mengahwinkan anak perempuannya berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun.

Ia kes kedua dalam masa terdekat membabitkan perkahwinan kanak-kanak perempuan di bawah umur di negeri ini apabila seorang lagi kanak-kanak berusia 10 tahun dikahwinkan dengan lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas sebelum itu.

Tegas Nik Abdul Aziz, perkahwinan dengan kanak-kanak seperti dalam dua kes tersebut tidak sepatutnya berlaku walaupun ia sah dari segi syarak.

Katanya, peraturan perkahwinan yang sudah ditetapkan dalam Enakmen Keluarga Islam Kelantan yang mensyaratkan umur minimum 16 tahun bagi perempuan sepatutnya diikuti bagi kesempurnaan perkahwinan dan zuriat.

"Dari segi syarak sah, tetapi perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku. Kita berkahwin bukan sekadar mahukan perempuan tetapi mahukan zuriat. Mana boleh perempuan berumur 11 tahun melahirkan zuriat?

"Manusia ada yang boleh beri faedah dan ada yang tidak, macam kita makan durian, kita makan isi sahaja, kulit kita buang, pulur dia kita buang, butir kita buang, manusia pun begitu juga.

"Oleh yang demikian kahwin dengan budak umur 11 tahun buat apa? Banyak lagi perempuan di Kelantan yang sudah cukup umur kenapa tak kahwin dengan dia?" katanya.

Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar ketika ditemui berkata beliau akan melawat keluarga dan kanak-kanak terbabit dalam masa terdekat.

Tambahnya, beliau belum mempunyai maklumat secara mendalam tentang apa yang berlaku tetapi berjanji akan menyiasat secepat mungkin.

Monday, March 1, 2010

Minda Pengarang: Melayu mesti bersatu untuk pertahan politik, sosioekonomi

PADA 1 hingga 4 Mac 1946, kongres membabitkan 47 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Keputusan besar kongres itu ialah Malayan Union mesti ditentang kerana penubuhannya oleh kolonial Inggeris dilihat menghina Raja-Raja Melayu ke tahap hampir sama dengan penghulu mukim. Pada 27 Februari, kelmarin di tempat sama, wakil 76 NGO Melayu dari seluruh negara berkumpul memintal semangat hampir sama, iaitu mempertahan serta melindungi hak dan keistimewaan orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu serta Islam sebagai agama rasmi Malaysia daripada anasir yang menekan untuk mengganggu gugat. Akhirnya, penubuhan Majlis Perundingan Melayu (MPM) lahir daripada kesedaran serta keinsafan yang menuntut inisiatif supaya NGO Melayu disatukan bagi memastikan geraknya sederap, nadanya seirama dan tindakannya selaras. MPM umpama sebuah 'konsortium NGO Melayu'. Sebagai badan yang menaungi kepentingan Melayu dalam pelbagai bidang dan kerangka sosial, MPM wajar memiliki kekuatan tersendiri. Selain mampu berdikari, MPM perlu memiliki dana kukuh sebagai syarat untuk menjadi induk NGO Melayu yang berkesan. Tanpa kewangan serta pentadbiran kukuh, bagaimana MPM mampu menjadi forum menggembleng intelektual Melayu dan menyertai proses pembangunan sosioekonomi serta politik negara. Untuk melahirkan pemikiran, idea, pelan dan tindakan – semuanya memerlukan dana besar yang mesti diurus secara berhemah. Tanpa kekuatan dana dan pentadbiran sistematik akan meletakkan MPM umpama 'segan hidup, mati tidak mahu'. Akhirnya, semangat yang baru dipupuk dan berkobar-kobar di Kelab Sultan Sulaiman, kelmarin akan padam.

MPM juga mesti dilihat bebas daripada pengaruh dan kebergantungan kepada kerajaan serta imej gerakan politik. MPM perlu memiliki struktur organisasi yang sempurna, berkesan, proaktif dan berwawasan selain berwibawa dalam segala segi. Ia perlu memiliki makmal gerak kerja mengikut sektor supaya setiap isu dan permasalahan mampu ditangani secara fokus. Ketika Melayu memiliki ramai tokoh dalam pelbagai bidang termasuk intelektual, korporat, teknokrat dan agama maka MPM perlu bijak untuk mendekati mereka. Kelompok ini mesti ada peranan mempertahankan bangsa dan agamanya. MPM juga ada peranan, termasuk menyediakan generasi Melayu yang memiliki jati diri teguh serta ada ketangkasan dalam menghadapi hambatan globalisasi yang menagih persaingan sengit dalam segenap bidang. MPM adalah alternatif yang melengkapkan usaha mempertahankan kepentingan dan pembelaan Melayu dalam semua segi. Andai 64 tahun lalu, kolonial Inggeris terpaksa akur kepada tekanan 47 NGO melalui Umno supaya membatalkan Malayan Union dan kemudian dipertanggungjawabkan menuntut kemerdekaan, maka hari ini, MPM yang tertubuh dengan semangat Melayu 1946 diharapkan mampu menangani tekanan komuniti tertentu yang mencabar kepentingan serta maruah bangsa ini seterusnya tidak diganggu gugat lagi. Tugasan terbaru MPM hadir ke meja bulat bagi membincangkan Model Ekonomi Baru dengan melihat status, kedudukan atau kemungkinan bakal dihadapi orang Melayu dalam arus itu.