Thursday, June 5, 2008

Petrol naik 78 sen, diesel RM1, elektrik jika lebih RM43

Oleh ZULKIFLI JALIL



PUTRAJAYA 4 Jun – Harga petrol di negara ini dinaikkan sebanyak 78 sen seliter kepada RM2.70 seliter berkuat kuasa esok.

Ini merupakan kenaikan 40 peratus daripada harga RM1.92 seliter sekarang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, harga diesel turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.58 seliter daripada RM1.58.

Ketika mengumumkan pakej penstrukturan semula subsidi bahan api di sini hari ini, beliau berkata, prinsip penentuan harga petrol dan diesel di Malaysia sekarang akan berlandaskan kepada harga bahan api itu di pasaran dunia.

Langkah itu yang turut menyaksikan kenaikan harga gas untuk sektor elektrik dan industri, menurut Abdullah, adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk membawa harga bahan api di Malaysia ke arah harga pasaran sebenar.

Tarif elektrik, kata beliau, turut dinaikkan “bertujuan meningkatkan kecekapan pasaran dan menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjimatkan sumber tenaga” tetapi kadarnya berbeza mengikut kegunaan dan sektor.


Perdana Menteri percaya dengan penguatkuasaan harga baru petrol, diesel, gas dan tarif elektrik itu, sektor komersial dan industri akan lebih bermotivasi untuk meningkatkan kecekapan operasinya.

Berdasarkan harga minyak mentah pada kadar AS$125 setong, kerajaan menganggarkan sejumlah RM13.7 bilion penjimatan dapat diperoleh daripada penstrukturan subsidi petrol, diesel dan gas serta pendapatan daripada levi yang dikenakan terhadap Penjana Tenaga Bebas (IPP) dan Pengeluar Minyak Kelapa Sawit (POP).

Abdullah menjelaskan, subsidi bahan api distruktur semula bagi memastikan bantuan dapat diagihkan dengan lebih adil dan memberi lebih manfaat kepada mereka yang memerlukan, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Subsidi bahan api tetap diberikan kepada rakyat di bawah penstrukturan baru itu, kata Perdana Menteri.

“Kerajaan akan memberi diskaun atau pengurangan kepada pengguna sebanyak 30 sen bagi setiap liter minyak yang dijual.

“Kalau harga pasaran petrol, misalnya seperti hari ini, pada RM3 seliter, kita akan tentukan harga minyak dengan memberi diskaun atau pengurangan 30 sen.

“Maknanya yang perlu dibayar oleh pengguna ialah RM2.70 seliter walaupun harga sebenar ialah RM3,” kata Abdullah.

Diskaun itu, kata beliau, akan diberi secara tetap. Walaupun harga minyak diselaraskan sebulan sekali, kerajaan akan memastikan diskaun 30 sen itu terus diberi, ujarnya.

Utusan Malaysia difahamkan, mengikut cadangan asal harga petrol sepatutnya RM3 seliter, tetapi mesyuarat Kabinet hari ini meminta kerajaan memberi diskaun 30 sen untuk setiap liter petrol yang dijual di negara ini.

Semasa sidang akhbar, Perdana Menteri ditanya kemungkinan kenaikan harga petrol dan diesel yang diumumkan itu menyebabkan kerajaan pimpinannya kurang popular di kalangan rakyat.

Abdullah menjawab: “Ini bukan soal untuk popular, ini adalah langkah serius untuk keperluan rakyat. Kita tidak boleh puaskan hati semua pihak tetapi memastikan ‘situasi menang-menang’ untuk semua.''

Menjawab soalan daripada seorang wartawan Indonesia yang mengatakan di negaranya kenaikan harga minyak telah mencetuskan demonstrasi dan bantahan terhadap kerajaan, Perdana Menteri berkata:

“Insya-Allah, saya harap rakyat Malaysia tidak berdemonstrasi sebab apa yang kerajaan putuskan ini adalah yang sebaik-baiknya bagi menangani keadaan yang susah hari ini.

“Lagi pun harga baru petrol dan diesel yang diumumkan hari ini masih lagi yang terendah di rantau ini.''

Abdullah memberitahu, Kabinet yang membincangkan soal kenaikan harga minyak dalam mesyuarat selama empat jam hari ini meneliti satu per satu kesan yang akan timbul daripada keputusan itu.

Sidang akhbar Perdana Menteri hari ini turut disertai anggota-anggota Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Amirsyam A. Aziz.

Turut hadir ialah Presiden Petronas, Tan Sri Hassan Merican; Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Datuk Seri Che Khalib Mohd. Noh dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Dr. Sulaiman Mahbob.

Saturday, March 29, 2008

Macam-Macam: Doktor tersilap bedah dubur wanita

HOCHFRANKEN: Gara-gara tersilap nota rawatan, seorang wanita yang sepatutnya menjalani pembedahan kaki di sebuah hospital di Hochfranken, Bavaria, menerima padah apabila doktor sebaliknya membedah dubur dan membuat saluran najis baru untuknya.

Wanita itu terbangun selepas pembedahan keesokan harinya dan diberitahu doktor melakukan kesilapan pembedahan selepas nota perubatannya tertukar dengan milik seorang lagi pesakit yang menghadapi masalah membuang air besar.

“Kesilapan pembedahan ini adalah sesuatu yang paling bodoh pernah dilakukan doktor,” kata wanita berkenaan yang bercadang menyaman pihak hospital.



Lebih malang, doktor juga tidak dapat memastikan sama ada saluran najis dan dubur baru wanita itu akan dapat berfungsi dengan sempurna. - Agensi

Thursday, March 27, 2008

Bertindak sebelum terlewat

Oleh Samsor Junet (WARTAWAN UTUSAN)

KITA wajar bersyukur apabila kerajaan akhirnya mengakui hakikat kenaikan harga minyak dan barangan sebagai isu terbesar yang menjejaskan prestasi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

Pengakuan itu sedikit sebanyak ‘mengubat’ hati rakyat yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini berasa sangat gelisah dengan peningkatan kos sara hidup yang tidak menyenangkan itu.

Sebenarnya hubungan antara rakyat dengan kerajaan, tidak ubah seperti hubungan antara anak dengan ibu bapa mereka.

Kita yakin sebahagian besar ‘anak- anak’ ini sayangkan ibu bapa yang membela mereka dari kecil sehingga menjadi muda remaja dan kemudiannya berkahwin dan berkeluarga.

Di kalangan mereka ini ada yang berjaya, ada yang tidak tetapi kesemuanya tetap berbangga dengan ibu bapa yang membesarkan mereka selama ini. Mereka yang sebahagiannya berjaya dalam kehidupan sebetulnya membesar dalam sebuah negara yang sudah 50 tahun merdeka.

Mereka berfikiran terbuka, kritis membuat perbandingan dan kemuncaknya mereka mahukan yang terbaik sahaja dalam kehidupan.

Mereka tidak peduli apa kerajaan mahu lakukan terhadap negara ini – kerana ia menjadi tanggungjawab kerajaan – yang penting mereka mampu menikmati kehidupan yang selesa.

Bagi yang tinggal di kawasan bandar besar, kehidupan terbaik tentulah apabila mereka dapat memiliki segala yang dimahukan dengan harga yang berpatutan.

Malangnya apa yang berlaku sekarang, mereka merasakan segala-galanya tidak berbaloi. Bukan sahaja terpaksa berhempas-pulas bekerja malah, nilai gaji mereka dari hari ke hari semakin mengecil. Bukan satu rahsia kepada umum apabila harga barangan di kebanyakan kedai termasuk harga ayam meningkat secara mendadak sehari menjelang Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.

Bagi mereka yang biasa berbelanja di kedai, mereka tahu sebahagian besar barangan terutama di kedai-kedai runcit naik mendadak.

Pada masa yang sama mereka mendapati kerajaan tidak berusaha untuk mengekangnya secara bersungguh-sungguh.

Justeru di tangan anggota barisan Kabinet sekarang terutama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad untuk menyelesaikan masalah yang menghantui rakyat ini.

Rakyat kini menanti apakah idea bernas beliau yang ‘di luar jangkauan pemikiran masyarakat marhaen’ untuk menangani masalah kos sara hidup ini secara menyeluruh. Yang penting usaha untuk menangani masalah kos sara hidup itu dapat dirasai segenap lapisan masyarakat – orang kaya, sederhana dan miskin.

Tidak dapat dibayangkan apa akan terjadi kepada negara ini jika masalah kos sara hidup yang tinggi tidak dapat diatasi sehingga menjelang satu lagi pilihan raya umum pada 2011 atau 2012 nanti.

Wednesday, March 19, 2008

Persoal pemimpin Melayu tolak DEB

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-12 memang perit kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN). Sungguhpun kekalahan beberapa kerusi telah dijangka tetapi protes yang begitu besar terhadap kenaikan kos sara hidup memang menakjubkan.

Empat negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor jatuh ke tangan parti lawan iaitu DAP, PKR dan Pas. Sebagai menghormati hak-hak demokrasi maka kita tahniahkan kemenangan mereka dan berharap mereka dapat laksanakan janji-janji ‘bulan dan bintang’ dalam manifesto mereka.

Apa yang saya ingin bangkitkan di sini ialah mengenai sikap kepimpinan Melayu Pas dan PKR yang seumpama ‘kaduk naik junjung’.

Ramai orang Melayu yang memberi sokongan kepada mereka tidak pernah memberi mandat untuk mereka ini mempertikaikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah tamat pada 1990, mahupun Dasar Pembangunan Nasional (DPN) yang masih meneruskan semangat DEB.

Justeru apabila Menteri Besar Selangor yang baru, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu mendakwa hanya segelintir orang Melayu dalam UMNO yang menerima habuan DEB, maka saya fikir beberapa pernyataan perlu diungkapkan semula untuk dinilai oleh orang Melayu.

Jika diteliti keseluruhan dasar kerajaan membantu bumiputera, hampir keseluruhan orang Melayu dan bumiputera menerima limpahan dasar ini.

Ambil sahaja contoh kemasukan pelajar Melayu dan bumiputera ke institusi pengajian awam (IPTA), ke kursus-kursus teknikal dan penting seperti perubatan, sains, kejuruteraan, ekonomi dan undang-undang.

Jika diteliti sejak 1980-an sehingga sekarang begitu ramai pelajar bumiputera yang dapat masuk ke universiti dan dihantar ke luar negara. Apakah ini bukan limpahan kenikmatan DEB dan DPN hari ini?

Peluang

Berapa ramai pula anak-anak Melayu dan bumiputera di kampung-kampung tanpa mengira Pas, UMNO mahupun dalam parti lain yang dimasukkan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Malahan saya boleh buktikan ramai juga ahli Pas termasuk wakil rakyat hari ini merupakan bekas pelajar MRSM yang kemudiannya diberi peluang pula melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Kita lihat pula penyokong-penyokong Pas dan PKR yang mencari rezeki di syarikat petroliam negara. Saya juga boleh namakan siapakah para penyokong Pas dan PKR di syarikat milik kerajaan itu.

Apakah mereka berpandangan tanpa dasar probumiputera dan Melayu mereka akan menduduki tempat tersebut hari ini? Jika Pas dan PKR mendakwa penyokong mereka tidak menerima limpahan kurnia dasar ini dan jika mereka mendakwa hanya ahli UMNO menerima limpahan DEB maka kita patut mengeluarkan semua penyokong Pas dan PKR dari Petronas. Juga dari syarikat berkaitan kerajaan lain seperti Telekom, TNB dan Khazanah Nasional.

Ini belum lagi kita tanya berapa ramai pemimpin dan penyokong Pas dan PKR yang menerima didikan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). Apakah ini bukan nikmat dasar pro-Melayu?

Jika pemimpin parti-parti ini masih menafikan maka sekali lagi saya dan rakan-rakan bersedia untuk menyenarai pensyarah-pensyarah universiti yang menyokong mereka ini untuk kita keluarkan dari universiti.

Apakah mereka berpendapat tanpa Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB) dan tanpa dasar-dasar kerajaan ini maka sebegitu ramai pensyarah Melayu akan dihasilkan?

Yang sering dipertikaikan ialah soal orang Melayu itu kaya, orang Melayu ini kaya kerana mendapat kontrak kerajaan. Hakikatnya, mereka kaya bukan kerana bulan jatuh ke riba. Mereka berusaha membina keupayaan dan hubungan.

Dalam mana-mana sistem ekonomi dan politik sekalipun, soal hubungan, keupayaan dan kronisme tidak dapat dielakkan. Namun apakah begitu tertutup peluang perniagaan orang Melayu dan bukan Melayu kerana kronisme ini?

Yang kita selalu persoalkan ialah soal kontrak yang diberi kerajaan kononnya tidak telus dan sebagainya.

Hakikatnya, berapa banyak kontrak syarikat swasta yang diberi secara tidak telus dan kepada siapa diberi pun kita tahu.

Faktanya, setiap tahun beribu-ribu orang Melayu menerima bantuan kewangan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNB) untuk merebut peluang perniagaan. Mereka ini tidak pernah ditanya parti apa, ideologi apa.

Akhir sekali kita akui ada orang seringkali menyalahgunakan dasar-dasar ini. Dalam sistem apa pun, pasti ada oportunis yang sentiasa akan cuba mengkayakan diri sebanyak mungkin. Namun apakah sistem yang harus disalahkan?

Hakikatnya, DEB dan DPN telah membantu begitu ramai orang Melayu dan bumiputera secara langsung dan tidak langsung. Cuma, apakah semua orang Melayu bersedia menundukkan ego mereka dan mengakuinya?

Akhirnya, mungkin dalam keadaan ini kita boleh meminta Menteri Besar Selangor yang baru menerangkan segala keistimewaan dan kekayaan yang beliau peroleh semasa menduduki Ketua Pengarah Eksekutif Guthrie, termasuklah keuntungan transaksi saham dan sebagainya.

Biar masyarakat buat penilaian siapa pejuang orang Melayu dan siapa pula musang berbulu ayam.

– AB JALIL BACKER,

Petaling Jaya.

Undi Melayu bukan untuk hapuskan DEB

Undi Melayu bukan untuk hapuskan DEB
SAYA tertarik dengan tulisan Ab. Jalil Becker dalam ruangan Forum 19 Mac tentang para pemimpin Melayu dalam Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini umpama ‘kaduk naik junjung’.

Apa yang beliau bangkitkan dalam tulisannya itu cukup tepat dan turut menjadi keresahan ramai orang Melayu masa kini.

Saya terasa orang Melayu sedang ditertawakan oleh kaum lain angkara sikap mahu berkuasa oleh beberapa pemimpin Melayu dalam pakatan pembangkang.

Kita tidak pernah belajar daripada sejarah bagaimana orang Melayu menjadi lemah dan tergadai kampung halaman disebabkan sanggup menjadi alat kepada ‘kuasa asing’.

Saya adalah salah seorang pengundi dalam pilihan raya baru-baru ini. Sememangnya saya mengakui buat pertama kalinya saya mengundi pembangkang. Tetapi ia dengan niat dan harapan agar para pemimpin Melayu dalam pakatan pembangkang akan tetap menjaga kepentingan Melayu.

Lagipun langkah melakukan eksperimen dengan mengundi pembangkang kerana rasa tidak puas hati terhadap beberapa isu nasional dan sekadar mahu memberi mesej kepada BN.

Tetapi ia tidak bererti saya memusuhi UMNO yang menjadi akar umbi orang Melayu dan banyak berjasa mempertahankan kepentingan Melayu.

Tetapi yang menyedihkan saya, undi yang diberi kepada parti Melayu dalam pakatan pembangkang, telah memakan diri masyarakat Melayu. Lihatlah apa yang terjadi di Pulau Pinang. DAP yang tegar dengan gagasan Malaysian Malaysia dan pernah memberi amaran akan menentang habis-habisan Pas yang mahu menegakkan negara Islam, akhirnya berjaya menawan negeri itu dengan bantuan PKR dan Pas.

Alasan

Baru sehari memerintah, DAP bertindak mahu memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan mencari apa sahaja alasan bagi mewajarkan tindakan mereka.

Pendirian yang sama diambil oleh PKR yang cuba memecahkan DEB yang sinonim dengan sumbangan UMNO. Anehnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Khaled Ibrahim ketika mereka dalam kerajaan, mempertahankan dasar itu.

Malah Anwar kerap mengecam pembangkang yang mempersoalkan DEB.

Adalah memalukan kini para pemimpin PKR mengkhianati masyarakat Melayu sendiri yang memerlukan lebih pembelaan pada ketika golongan termiskin di negara ini adalah orang Melayu sebagaimana laporan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Bagaimana kontraktor kecil Melayu yang tidak mempunyai sokongan modal yang cukup dapat bersaing dengan para kontraktor Cina yang sudah hebat, banyak modal dan mempunyai rangkaian perniagaan dan pembekalan yang menyeluruh?

Bagaimana anak-anak Melayu yang miskin dan agak berjaya dalam pelajaran dapat diperkasakan menerusi bantuan biasiswa dan program ke asrama penuh, kalau tanpa DEB?

Banyak lagi contoh yang boleh diberikan termasuk bagaimana Melayu dapat membuka kedai jika rumah kedai semua dimonopoli oleh Cina? Untuk membuka kedai tayar pun, Melayu masih belum berjaya kerana rangkaiannya dikuasai oleh satu kaum yang telah lama mempunyai tradisi perniagaan.

Lagipun DEB selama ini tidak pernah memiskinkan kaum lain tetapi dengan dapat menyusun semula masyarakat dan mengelak mana-mana kaum mendominasi ekonomi tertentu.

Seperkara yang penting, undi yang orang Melayu beri kepada Pas dan PKR dan juga kepada DAP (atas semangat menyokong pakatan), bukan mandat untuk menghapuskan DEB atau Dasar Pembangunan Nasional (DPN). Jika hal itu (pemansuhan DEB) dinyatakan lebih awal, saya percaya ramai orang Melayu akan menolak Pas dan PKR.

Jangan menipu dan memanipulasi orang Melayu dengan sikap tamak haloba politik.

Kini saya menyesal kerana memberi undi kepada pakatan pembangkang kerana mengakibatkan DEB dimansuhkan. Begitu juga dengan Pulau Pinang yang jatuh ke tangan DAP hasil gerakan undi Cina untuk Cina. Bukankah itu lebih perkauman? Tetapi mengapa PKR dan Pas berdiam?

Saya berjanji akan menebus kembali kesilapan saya itu pada pilihan raya umum depan. Saya sudah berpesan kepada keluarga dan sanak-saudara supaya mempertahankan DEB.

Saya rasa cukup berdosa kerana mengkhianati bangsa dan agama saya sendiri. Saya tidak mahu lagi bersekongkol dengan para pemimpin Melayu yang umpama si kitul mahu menjual bangsa dan tanah air mereka. Lima tahun lagi tidak lama.

– RASA BERDOSA,

Shah Alam.

Tuesday, March 18, 2008

Barisan Kabinet Baru 2008

18/03/2008 3:37pm


PERDANA MENTERI
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

TIMBALAN PERDANA MENTERI
Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak

JABATAN PERDANA MENTERI

Menteri
Tan Sri Bernard Giluk Dompok
Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz
Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Zaid Ibrahim
Datuk Amirsham A. Aziz

Timbalan Menteri
Datuk Mohd. Johari Baharom
Datuk Dr. Masitah Ibrahim
Datuk Hassan Malik
S.K. Devamany

KEMENTERIAN KEWANGAN

Menteri
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop

Timbalan Menteri
Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanazlah
Datuk Kong Cho Ha

KEMENTERIAN PERTAHANAN

Menteri
Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak

Timbalan Menteri
Datuk Wira Abu Seman Yusop

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

Menteri
Datuk Seri Syed Hamid Albar

Timbalan Menteri
Datuk Chor Chee Heung
Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh

KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN

Menteri
Datuk Ong Ka Chuan

Timbalan Menteri
Datuk Robert Lau Hoi Chew
Datuk Hamzah Zainuddin

KEMENTERIAN KERJA RAYA

Menteri
Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamad

Timbalan Menteri
Datuk Yong Khoon Seng

KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI

Menteri
Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin

Timbalan Menteri
Datuk Liew Vui Keong
Jacob Dungau Sagan

KEMENTERIAN LUAR NEGERI

Menteri
Datuk Seri Dr. Rais Yatim

Timbalan Menteri
Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar

KEMENTERIAN PENERANGAN

Menteri
Datuk Ahmad Shabery Cheek

Timbalan Menteri
Datuk Tan Lian Hoe

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA

Menteri
Datuk Dr. S. Subramaniam

Timbalan Menteri
Datuk Noraini Ahmad

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN

Menteri
Datuk Ismail Sabri Yaakob

Timbalan Menteri
Wee Jeck Seng

KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA

Menteri
Datuk Shahrir Abdul Samad

Timbalan Menteri
Jelaing anak Mersat

KEMENTERIAN TENAGA AIR DAN KOMUNIKASI

Menteri
Datuk Shaziman Abu Mansor

Timbalan Menteri
Datuk Joseph Salang Anak Gandum

KEMENTERIAN PELAJARAN

Menteri
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Timbalan Menteri
Dr. Wee Ka Siong
Datuk Razali Ismail

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

Menteri
Datuk Seri Khaled Nordin

Timbalan Menteri
Datuk Dr. Hou Kok Chung
Datuk Idris Haron

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI

Menteri
Datuk Noh Omar

Timbalan Menteri
Datuk Saifuddin Abdullah

KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR

Menteri
Datuk Douglas Unggah Embas

Timbalan Menteri
Datuk Abdul Ghapur Salleh

KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI

Menteri
Datuk Mustapa Mohamed

Timbalan Menteri
Datuk Rohani Abdul Karim

KEMENTERIAN PENGANGKUTANMenteri
Datuk Ong Tee Keat

Timbalan Menteri
Datuk Anifah Aman

KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI

Menteri
Datuk Dr. Maximus @ Johnity Ongkili

Timbalan Menteri
Fadilah YusOf

KEMENTERIAN PELANCONGAN

Menteri
Datuk Seri Azalina Othman Said

Timbalan Menteri
Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib

KEMENTERIAN PERPADUAN, KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN WARISAN

Menteri
Datuk Mohd. Shafie Apdal

Timbalan Menteri
Teng Boon Soon

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

Menteri
Datuk Dr. Ng Yen Yen

Timbalan Menteri
Noriah Kasnon

KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH

Menteri
Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib

Timbalan Menteri
Tan Sri Joseph Kurup
Joseph Entulu Belaun

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

Menteri
Datuk Peter Chin Fah Kui

Timbalan Menteri
Senator A. Kohilan Pillay

KEMENTERIAN KESIHATAN

Menteri
Datuk Liow Tiong Lai

Timbalan Menteri
Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Menteri
Datuk Seri Zulhasnan Rafique

Timbalan Menteri
Datuk M. Saravanan

Sunday, March 16, 2008

Sejarah, falsafah, muzik Islami

Oleh: DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS


Pada umumnya muzik dilihat sebagai seni untuk hiburan, akan tetapi ia juga boleh dianggap suatu sains yang tersendiri, yang mempunyai mauduknya yang dibahaskan berpandukan kepada manhaj yang khusus baginya.

Terdapat nukilan yang terkenal dari Hikayat Seribu Satu Malam: “Bagi sebahagian orang, muzik umpama makanan; bagi yang lain ia seumpama ubat; dan bagi yang lain pula seumpama kipas.” Demikianlah kaum Muslimin menganggap muzik. Walaupun kaum Muslimin banyak meminjam dari teori muzik kaum Yunani purba, mereka juga telah menyumbang ke arah menyempurna dan seterusnya mengembangkan lagi sains ini sehingga membawa kepada perasaan sedemikian terhadap muzik. Sebab itulah Henry George Farmer mengatakan: “Anda boleh menelusuri keseluruhan kesusasteraan Yunani dan tidak akan menemui perasaan sedemikian.” Beliau menambah: “Para pengikut Pythagoras telah memberikan pernyataan awal berkenaan faham kerohanian muzik Islami, akan tetapi ianya masih kabur dan jauh tersorok di alam pemikiran Yunani.” Menurut faham muzik Islami, muzik bukan sahaja suatu sains tetapi juga seni; seni yang menghibur, menyuburkan hati, menenangkan jiwa, dan yang terpenting, dalam bahasa sufi ia menjadi wasilah bagi menyatakan keasyikan dan kerinduan terhadap Yang Maha Suci. Al-Ghazali menegaskan dalam Ihya‘nya bahawa muzik (sama’) mampu mendatang keasyikan rabbani, melaluinya tercapai hakikat. Beliau cuba menjelaskannya dengan kata-kata berikut:

“Hati dan pemikiran halus adalah seumpama lombong rahsia dan khazanah batu-batu berharga. Di dalamnya terdapat jawhar seumpama percikan api yang terdapat dalam besi… Tiada jalan lain mengeluarkan rahsianya melainkan dengan mendengar muzik, kerana tiada jalan yang menghubungkan hati selain dari telinga… kerana sebaik sahaja semangat muzik menyentuh jiwa, ia menzahirkan apa sahaja yang menguasainya.”


Suara merdu

Rasulullah dikhabarkan amat menyukai suara merdu Abu Musa al-Ash‘ari dan berkata: “Kamu telah dikurniakan salah satu dari seruling Nabi Daud.” Seperti yang diketahui umum, Nabi Daud memiliki suara yang amat merdu, yang menarik perhatian bukan sahaja manusia bahkan haiwan sekalipun apabila baginda menyanyi. Ini bermakna bahawa Rasulullah mengetahui nilai dan menghargai bunyi-bunyian yang indah, yang tidak lain dari muzik. Sebab itulah generasi awal kaum Muslimin amat menghargai keindahan suara manusia. Muhammad bin Abd Rabbihi (860-940) berkata:

“Suara yang indah menggerakkan tubuh dan mengalir ke dalam salur darah. Akibatnya darah menjadi murni, hati menjadi tenang, jiwa menjadi galak, anggota badan menjadi resah dan bergerak-gerak. Oleh sebab itu kanak-kanak tidak sepatutnya ditidurkan selepas menangis melainkan dengan muzik dan nyanyian.”

Ahmad ibn Abi Dawud (m.854) juga berkata: “Aku pernah mendengar nyanyian Mukhariq di istana Khalifah al-Mu‘tasim, dan hampir tidak tertahan tangisanku kerana binatang ganas sekalipun pasti akan jatuh cinta terhadap kemerduan suaranya dan menghargai kehebatannya.”

Berdasarkan kefahaman ini kaum Muslimin mula membina falsafah muzik sekitar kurun ketiga Hijrah. Ia tidak lain dari kesinambungan terhadap sejarah awal muzik yang bermula dengan kedatangan agama Islam itu sendiri. Bermula dengan nyanyian penunggang unta, seterusnya berkembang menjadi nyanyian yang diiringi alat-alat muzik bertali yang dinamakan muwattar, termasuklah alatan yang kelihatan seperti harp dipanggil mi'zafah, dan daff (sejenis tamborin). Pada zaman awal tamadun Islam, penyanyi dan pemuzik yang paling dikenali ialah Tuways (m. 705). Sejajar dengan penaklukan yang semakin berkembang alatan baru berserta dengan jenis-jenis muzik turut dikenali oleh dunia Islam. Ahli muzik kaum Muslimin mula mempelajari nyanyian dan alat-alat muzik yang baru termasuklah lute ciptaan (alat muzik bertali seumpama gitar). Masyarakat Mekah pada masa itu menggunakan sejenis alat muzik yang hampir sama berupa kotak yang ditutupi kulit kambing, walau bagaimanapun lute orang-orang Parsi mempunyai permukaan kayu, dan reka bentuk Parsi ini lama-kelamaan diterima pakai oleh orang-orang Mekah. Di antara ahli muzik terkenal pada zaman ini ialah 'Azzat al-Mayla (m. 705). Antara peminat beliau ialah Abdullah ibn Ja'far, sepupu Rasulullah.

Pada masa yang sama ahli muzik Muslimin juga terdedah kepada karya-karya faylasuf yang pada kurun ketiga Hijrah mula membawa masuk teori-teori muzik Euclid dan pemikir Yunani lain ke dalam alam tamadun Islam. Dengan cara ini, falsafah muzik yang ilmiah mula timbul. Pemikir Muslim, termasuk ahli muzik, mula mentakrifkan muzik sebagai sains berasaskan pengamatan sendiri, juga hasil pengaruh pemikiran Yunani. Al-Farabi (m. 950) adalah ahli muzik-falsafah Muslim yang pertama menulis karangan lengkap berkenaan falsafah dan teori muzik Islami. Henry George Farmer bahkan menobatkan beliau sebagai pengasas falsafah muzik. Falsafah dan teori muzik beliau diguna sehingga ke hari ini dengan bentuk yang pelbagai setelah melalui pengubahsuaian dan pembaikan.

- DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS ialah ketua pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).