Friday, February 27, 2009

Peniaga mengadu kelulusan projek banyak 'flip-flop'

Azmi Khalid



JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) menerima banyak aduan daripada peniaga berhubung masalah yang dirujuk sebagai 'flip-flop' (berkecamuk) berpunca daripada ketidaksepakatan agensi kerajaan meluluskan projek.

Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar), bersetuju keputusan flip-flop, iaitu bahasa yang sering digunakan pengendali blog memang menyusahkan peniaga.

"Ini kerana berlaku pemusatan berlebihan kepada satu atau dua kementerian. Kuasa menteri pula terhad dalam soal kelulusan projek lalu berlakulah flip flop.

"Ia berlaku apabila satu agensi menentang dan satu agensi lulus. (Peniaga) dapat surat tawaran pelantikan, esoknya pula dapat surat pembatalan. Inilah masalah dihadapi peniaga dan PAC terima banyak aduan mengenainya," katanya.

Mendedahkan perkara itu ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong, Azmi berkata, kerajaan tidak boleh lagi membenarkan situasi berkenaan berterusan kerana ia boleh memberi banyak masalah kepada peniaga.

Beliau mencadangkan kerajaan memperkasakan Biro Pengaduan Awam (BPA) yang ditubuhkan 30 tahun lalu supaya mempunyai kuasa yang lebih efektif.

"Sekarang, BPA tak ubah seperti pejabat pos apabila menerima aduan dan mengemukakannya ke jabatan berkaitan tanpa susulan terhadap laporan berkenaan," katanya.

Katanya, sistem Majlis Gerakan Negara (Mageran) sebelum ini yang menugaskan pegawai tentera memantau agensi kerajaan, mengumpul masalah yang timbul dalam pelaksanaan projek dan memaklumkannya kepada Perdana Menteri wajar diwujudkan kembali.

Kereta mesra alam pasca kemelesetan

Dr Zaini Ujang

INDUSTRI automobil mendapat kesan paling ketara dalam suasana ekonomi dunia kian merudum ketika ini. Hampir semua syarikat pembuat automobil dunia mencatat kerugian dalam urus niaga sepanjang tahun lalu. Malah, syarikat automobil terbesar dunia, GM Motor, sedang berusaha untuk mendapat pembiayaan pakej rangsangan dari kerajaan Amerika Syarikat bagi menyelamatkan syarikat terbabit daripada muflis.

Syarikat automobil utama Jepun, Toyota juga parah terkesan sehingga menurut laporan media, terpaksa merancang membuang 20,000 pekerja di serata dunia. Pembuangan pekerja ini lebih menyerlah di negara ketiga yang menjadi pusat pembuatan seperti China, Thailand, Eropah Tengah dan Timur.

Di Slovakia misalnya, syarikat gergasi seperti VW, PSA Peugeot, Renault dan Kia menghasilkan lebih 1.1 juta kereta setahun pada 2006, terpaksa mengurangkan pengeluaran secara mendadak. Perkembangan sama berlaku di Romania, Republik Czech, Hungary dan Poland yang pada 2006 menghasilkan hampir dua juta kereta setahun khusus untuk pasaran di Eropah, Afrika dan Asia Tengah.

Dalam kemuraman suasana ekonomi ini, pembuat kereta terbesar Malaysia, Proton Holdings Berhad menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 25 Februari lalu. Kedua-dua pihak sepakat untuk bekerjasama menjalankan tiga program yang dijangka dapat melonjak teknologi automobil negara iaitu penyelidikan, pembangunan modal insan dan pertukaran kepakaran di kalangan staf.

Proton memilih UTM dengan harapan kerjasama secara lebih akrab dijangka mewujudkan sinergi memandangkan kepakaran dan kemudahan di UTM paling canggih di kalangan universiti tempatan dalam bidang automotif. Selain itu, UTM juga berjaya menjalankan penyelidikan bersama Proton sebelum ini dari segi getaran dan impak rintangan kepada beberapa model terbaru Proton.

UTM juga penjana utama harta intelek (IP) di Malaysia yang boleh dimanfaatkan Proton untuk tujuan komersial dan pembangunan produk baru. Walaupun ekonomi dunia tampak membimbangkan, industri automotif semakin kompetitif ketika ini. Selain strategi untuk menghadapi kemelut ekonomi semasa, industri automotif adalah pentas menguji teknologi terkini dalam pelbagai bidang.

Automotif bukan sekadar kenderaan untuk sesuatu perjalanan dari satu tempat ke destinasinya. Malah industri automotif juga memerlukan unsur keselesaan, keselamatan, penjenamaan, sekali gus lambang status sosial.

Selain itu banyak spesifikasi baru menjadi semakin diperlukan terutama kelestarian dan mesra alam yang tidak terhad kepada pelepasan gas, penggunaan plastik mesra alam dan penggunaan bahan api secara optimum.

Pelepasan gas adalah isu hangat dibincangkan sejak 1970-an lagi. Ketika itu pelepasan gas berbahaya seperti plumbum, sebatian gas nitrogen, hidrokarbon dan karbon monoksida menjadi isu utama kerana menyebabkan pencemaran udara secara lokal. Kebanyakan negara menguatkuasa peraturan khas mengehadkan penggunaan gas terbabit.

Peraturan dikuatkuasakan di Malaysia termasuk Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kepekatan Plumbum dalam Gasolin Motor) Peraturan 1985 dan kawalan pelepasan dari enjin diesel dan petrol dikuatkuasakan pada 1996. Hasilnya, pencemaran udara dari sektor pengangkutan berkurangan dengan ketara di serata dunia, termasuk di Malaysia.

Ketika ini, isu utama ialah pelepasan karbon dioksida yang menyumbang kepada peningkatan suhu bumi. Hal ini termaktub dalam Protokol Kyoto 1997 yang bertujuan untuk menyelaraskan tindakan secara global bagi mengurangkan peningkatan suhu bumi.

Kepekatan gas karbon dioksida di atmosfera dianggarkan 370 ppm (bahagian per sejuta) pada masa ini, berbanding 280 ppm pada pertengahan abad ke-19. Kepekatan ini dijangka akan terus meningkat kepada 550 ppm pada 2050 jika tindakan drastik tidak dilakukan untuk mengurangkan penghasilan gas karbon dioksida.

Tidak dinafikan pada awalnya banyak pihak sinis terhadap gagasan Protokol Kyoto termasuk negara maju. Namun demikian, pentadbiran Presiden Barack Obama mengubah dasar Amerika Syarikat menjadi pendokong terkini Protokol Kyoto. Hal sama berleluasa dalam industri automobil.

Salah satu program dalam pakej rangsangan ekonomi yang ditandatangani Obama minggu lalu ialah insentif kepada pembuat kereta untuk menghasilkan produk dan enjin mesra alam yang memenuhi ciri-ciri pelestarian (sustainability). Dalam konteks pelestarian, komponen mesra alam tidak terhad kepada jenis enjin dan bahan bakar seperti biodiesel semata-mata.

Sebagai contoh jika industri huluan menghasilkan biodiesel terbabit tidak mesra alam dan mendatangkan pelbagai masalah lain seperti krisis makanan, maka kerangka industri berkenaan dianggap tidak lestari.

Pakej rangsangan diumumkan Obama itu memerlukan pendekatan holistik bukan saja untuk pembuat kereta bahkan industri sokongan termasuk bahan api, bahan pembuatan dan jaringan sistem kewangan. Hal ini semakin mudah difahami kerana golongan pengguna nampaknya cenderung kepada barangan dan perkhidmatan lestari, apatah lagi jika harganya lebih murah.

Oleh itu, pelbagai inovasi dilaksanakan seperti penggunaan enjin hibrid, bahan api sel, enjin diesel lebih optimum, penghasilan terhad karbon dioksida, sistem pembiayaan mantap dan guna semula bahan terpakai.

Inovasi ini disokong pula oleh penguatkuasaan Akta Kereta Bersih (HB 1397) di California dan Oregon, Amerika Syarikat pada tahun ini. Akta ini dikuatkuasakan kerana industri automobil menyumbang 40 peratus daripada pelepasan gas rumah kaca (GHG) khususnya karbon dioksida. Menerusi Akta ini, pembuat kereta dikehendaki mengurangkan 30 peratus pelepasan GHG menjelang 2016.

Jika akta ini dijadikan sandaran, maka tidak mustahil industri automobil khususnya yang mempunyai kepentingan di pasaran Amerika Syarikat akan menjadi pemangkin kepada teknologi automobil lestari. Teknologi ini bukan saja sudah dikenal pasti bahkan sudah dipamerkan dalam bentuk prototaip.

Selain mesra alam, teknologi ini juga menggunakan bahan api jauh lebih sedikit berbanding teknologi konvensional. Ini diungkapkan menerusi indeks CAFÉ (Corporate Average Fuel Economy) yang menetapkan tahap penggunaan bahan api. Ketika ini tahap CAFÉ di Amerika Syarikat ialah 27.5 batu segelen untuk kereta dan 20.7 batu segelen untuk lori kecil. Menerusi Akta Kereta Bersih 2005, CAFÉ ditetapkan pada 45 untuk kereta dan 34 untuk lori kecil.

Memang industri automobil berada pada kedudukan terdesak ketika ini. Tetapi usaha dan inovasi masih boleh dilaksanakan dengan lebih terancang kerana tumpuan ketika ini ialah pembangunan kerangka dan sistem baru, bukan lagi pemasaran dan pengeluaran kaedah lama.

Pada jangkaan saya, suasana ekonomi dan pakej rangsangan akan menjadi pemangkin pembangunan pelbagai kerangka dan teknologi baru, termasuk industri automobil. Kerjasama antara Proton dan UTM itu sebenarnya simbol dinamisme baru dalam industri automobil tempatan.



Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Wednesday, February 18, 2009

Bukan lagi konspirasi

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my

--------------------------------------------------------------------------------

SETIAP peristiwa yang berlaku di dunia ini ada kitarannya. Tidak ada manusia kebal daripada mencipta kesilapan jauh sekali maksum daripada berbuat dosa. Sebab itu dinamakan manusia - bukan malaikat - makhluk ciptaan Tuhan yang akur dan tunduk kepada Penciptanya.

Justeru sebagai makhluk bernama manusia, setiap daripada kita mesti ingat kitaran kesilapan yang dilakukan oleh orang lain tidak mustahil berpusing kepada diri kita.

Terutamanya jika kita tidak belajar, enggan belajar dan mendabik dada kononnya hanya sekumpulan manusia mencipta noda.

Penyebaran gambar bogel Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong contoh terbaik. Malah peletakan jawatan bekas ADUN Bukit Selambau. V. Arumugam juga sewajarnya disorot apabila memperkatakan tentang catatan noda yang kononnya hanya dilakukan oleh sekumpulan manusia.

Apabila salah laku atau perbuatan menyanggah moral melibatkan pembangkang, maka akan muncullah teori konspirasi, agenda dan taktik. Kononnya pendedahan salah laku moral di kalangan barisan pemimpin pembangkang adalah konspirasi pihak lawan - dalam kes ini tentunya kerajaan Barisan Nasional (BN).

Rakyat belum lupa dakwaan kes liwat yang melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sarat dengan istilah konspirasi. Kononnya konspirasi kerajaan untuk menjatuhkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ketika itu jika dihitung perkataan yang paling kerap digunakan tentulah 'konspirasi' jawapannya, hampir semua keputusan kerajaan dikaitkan dengan konspirasi.

Begitu juga dengan pendedahan demi pendedahan berhubung kait dengan masalah moral (salah laku bukan berbogel, meliwat atau hubungan seks semata-mata) di kalangan pemimpin pembangkang. Semuanya disanggah, ditolak dan paling penting dikaitkan dengan kerajaan BN, kononnya dakwaan itu tidak wujud sebaliknya direka-reka.

Rakyat Malaysia akan disogok dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan menggunakan media arus pembangkang sebagai platformnya.

Apa pun yang ditulis oleh media pilihan mereka asalkan berpihak kepada pembangkang dihalalkan. Sementara apa juga fakta yang ditonjolkan oleh pemerintah menerusi media arus perdana semuanya konspirasi.

Menggunakan Harakah, Suara Keadilan dan pelbagai blog bagi pembangkang adalah wajar atas nama kebebasan bersuara, tetapi hak seperti itu tidak boleh ada pada pemerintah lantas kedengaranlah teriakan "media arus perdana berat sebelah".

'Penyakit saraf' seperti itu kekal sehingga ke hari ini. Apabila ADUN Bukit Selambau meletakkan jawatan sebagai ADUN dan Exco kerajaan negeri - pembangkang mendakwa tindakan itu angkara kerajaan BN - gara-gara BN yang 'tidak senang' dengan Arumugam. Atau lebih tepat natijah daripada BN yang mahu merampas kerajaan pakatan pembangkang di Kedah.

Sedangkan rakyat Malaysia arif apa puncanya. Rakyat negeri Kedah semestinya lebih masak perihal faktor-faktor yang mendorong Arumugam berbuat demikian - salah laku moral yang tidak boleh diterima rakyat khususnya pengundi di wilayah 'jajahannya'.

Tetapi pakatan pembangkang bekerja keras menongkah arus kepercayaan. Barisan pemimpinnya berusaha meracuni pemikiran rakyat bahawa Arumugam membuat keputusan sebab tidak tahan diugut, dia cuba dibeli oleh BN dengan wang kertas yang jika disusun boleh saja menutup kerusi DUN Bukit Selambau.

Dia tidak tahan dengan 'godaan' dan cubaan dibeli oleh BN. Cerita 'dongeng' salah laku bekas ADUN itu dikatakan momokan pemimpin BN.

Ulang tayang teori konspirasi amat jelas dalam kes ini cuma apabila filem lama cuba dimainkan semula, paparan gambar dan kualiti suaranya agak suram.

Teori konspirasi dan drama 'penculikan' semakin basi gara-gara keghairahan dan keterujaan pakatan pembangkang itu sendiri mahu menghalalkan setiap tindakan mereka.

Apabila apa yang dicita-citakan menjadi milik lawan, maka jadilah mereka seperti "musang dengan anggur masam".

Punca sebenar Arumugam membuang jawatan dan kedudukan bukan kerana BN. Apabila salah laku moral sampai ke pengetahuan umum semestinya berkaitan dengan maruah dan perasaan malu sehingga menuntut tindakan meletakkan jawatan.

Sama juga dalam kes pengedaran gambar bogel Elizabeth Wong. Sidang akhbar yang berlangsung semalam menceritakan segalagalanya. Namun ada juga cubaan untuk mengaitkannya dengan BN - kononnya BN terlibat dalam kewujudan gambar tersebut.

Mengapa BN yang cuba ditonjolkan dalam hal ini, sedangkan tuan empunya badan 'mengakui' kesilapan tersebut dan memutuskan menuruti langkah Arumugam - melepaskan jawatan ADUN dan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Sedangkan semasa kes salah laku bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek, tidak ada pula suara-suara dalam BN yang menuduh pembangkang puncanya. Ketika itu semua pihak terutama pembangkang menyelar titik hitam yang diakui sendiri secara gentleman oleh Soi Lek itu.

Gesaan dan desakan supaya pemimpin MCA itu dikenakan tindakan disiplin termasuk dilucutkan jawatan dari mulut pembangkang kuat berkumandang.

Tetapi kesungguhan itu tidak berlaku apabila salah laku yang sama berkisar di kalangan pembangkang.

Mereka enggan mengaku salah sebaliknya mengaitkan tindakan tersebut dengan kononnya urus niaga membeli dan menjual harga diri. Tujuannya hanya satu iaitu supaya rakyat terus hilang kepercayaan kepada kerajaan sedia ada.

Seolah-olah noda dan dosa tidak mampu menebusi pakatan pembangkang yang kebal itu. Dan apabila tanggapan hanya orang lain terkhilaf dan tersilap menjadi satu kepercayaan, maka selamanya manusia tidak sedar dia turut terjebak dalam perlakuan yang sama.

Keegoan seumpama itu hakikatnya akan membongkar kesilapan demi kesilapan si pelaku. Tidak ada dalam dunia ini yang 'menjadi salah apabila dilakukan oleh orang lain' - manakala 'menjadi halal jika dilakukan oleh satu pihak yang lain'.

Hitam tetap hitam, langkah memasukkan tambahan warna putih hanya akan menghasilkan warna kelabu.

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Saturday, February 14, 2009

Raja dekat di hati rakyat

Rakyat biasa mahu pun raja - peguam hebat atau ahli politik, ulama dan umara - kesemuanya tidak kebal. Lantaran undang-undang tidak membezakan warna kulit, kedudukan jauh sekali tunduk kepada taburan wang ringgit. Namun mengambil kesempatan kepakaran serta kecelikan undang-undang untuk mengugut dan memperlekehkan pihak yang tidak ada platform untuk mempertahankan diri semestinya bukan sesuatu yang adil.

Senario itu jelas apabila veteran politik pembangkang, Karpal Singh mahu memfailkan saman terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah. Begitu juga 'sembah derhaka' yang dipohon oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Rentetan kejadian itu jelas menunjukkan betapa institusi raja-raja Melayu tidak lagi mempunyai darjat kemuliaan di mata segelintir rakyat sehingga mereka sanggup membelakangkan rasional dan kewarasan akal. Apabila akal sudah menjadi tidak waras - maka untuk 'mengaburi' tindakan gila itu cara paling berkesan ialah menggunakan kepakaran untuk memanipulasi undang-undang sehingga mengelirukan rakyat yang jahil.

Tidak ramai rakyat yang tahu sudut teknikal undang-undang terutamanya bidang kuasa raja-raja Melayu lantaran institusi itu sendiri amat bersendiri dan dipandang mulia apatah lagi bagi umat Melayu beragama Islam. Raja adalah payung rakyat Malaysia berbilang kaum, lebih daripada itu raja ialah 'penjaga' kepentingan bangsa Melayu dan menaungi nilai-nilai Islam itu sendiri. Keistimewaan itu menjadikan istana yang biar pun dilihat begitu eksklusif dan terasing hakikatnya amat rapat di hati rakyat.

Sebab itu apabila berlaku penentangan dan kebiadaban terhadap raja secara terang- terangan kerana kegagalan menahan emosi maka semestinya menimbulkan kemarahan yang bukan sedikit di kalangan rakyat. Lebih- lebih lagi raja yang disanggah itu membuat keputusan bukan berdasarkan emosi jauh sekali bertujuan memihak kepada sesiapa.

Sultan Azlan Shah - nama yang sinonim dengan undang-undang. Kepakarannya diiktiraf dan dihormati pelbagai pihak sehingga melayakkan baginda menduduki kerusi Ketua Hakim Negara. Semestinya penghakiman yang dibuat oleh baginda bersandarkan fakta serta falsafah undang-undang yang bertujuan melindungi kepentingan pihak-pihak yang tampil di mahkamah. Warisnya Raja Dr. Nazrin Shah pula sering muncul dengan ucapan-ucapan menyentuh kepentingan agama bangsa.

Namun kriteria yang dimiliki Sultan Azlan Shah tidak cukup untuk menyakinkan bekas Menteri Besar Perak, barisan exco haramnya dan segelintir rakyat. Lantas riuh-rendah Pengerusi DAP mencanang niatnya mengheret sultan ke mahkamah bersandarkan kepercayaan Istana Perak terkhilaf ketika memutuskan menerima pembentukan kerajaan Barisan Nasional (BN). Sultan Perak dicemuh, dan diingatkan supaya 'duduk diam di istana' - jangan campur tangan hal ehwal negeri - dan paling penting 'jangan buat keputusan yang menyanggahi keinginan pakatan pembangkang'.

Jika campur tangan atau sembah diraja itu mempunyai nilai dan kepentingan 'pembangkang', sudah tentu puji-pujian melambung tinggi. Lebih menyedihkan yang melakukan penentangan adalah bangsa Melayu beragama Islam manakala bangsa- bangsa lain yang mengisytiharkan sehidup mati ketika pembangkang berpakat membentuk kerajaan negeri meneruskan aktiviti harian seperti biasa.

Dalam soal ini apa platform yang ada kepada pihak istana untuk mempertahankan keputusan yang dibuat dan menjawab setiap tuduhan serta tohmahan yang dilemparkan oleh golongan terlampau ini. Karpal dalam keghairahannya memfailkan saman terhadap Sultan Azlan Shah menggunakan platform politik dan undang-undang untuk mencuri tumpuan rakyat. Karpal tanpa segan silu jauh sekali ada rasa hormat mengaburi penglihatan rakyat kononnya tentang perkara sebenar di sebalik keputusan Sultan Azlan Shah. Kononnya sultan membaca undang- undang yang salah - dalam erti kata lain sultan tidak bijak apabila menolak cadangan supaya Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil.

Siapa Karpal sebenarnya untuk menimbulkan kekecohan sebegini rupa dengan menggunakan segala platform hakikatnya hanya untuk 'menunjukkan' bahasa sultan dan orang Melayu di negara ini tidak cerdik, oleh itu tidak perlu institusi raja-raja Melayu diberi penghormatan manakala Melayu pula tidak layak menjadi pemerintah. Nada suara Karpal amat keras, paras keyakinannya amat tinggi untuk meneruskan tindakan memfailkan saman. Ahli Parlimen Jelutong itu juga tegar mendakwa dirinya kebal dari sebarang tindakan undang-undang. Bagi Karpal, hanya beliau yang layak bercakap mengenai tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman terhadap Sultan Perak - orang lain tidak mampu berbuat demikian.

Platform undang-undang di negara ini hanya boleh digunakan oleh Karpal atas kepercayaan bahawa kehebatannya dalam bidang tersebut mengatasi platform-platform yang digunakan oleh pihak lain. Walaupun Karpal mencabar sultan supaya tampil memberi penjelasan tetapi kita tahu Pengerusi DAP itu telah bersedia dengan hujah-hujah balasnya jika sultan menyahut cabaran tersebut. Sudah tentu Sultan Azlan Shah turut menjangkakan serangan balas itu dan tidak mahu berlaku keributan di antara istana dengan pakar undang-undang itu sehingga memburukkan persepsi rakyat terhadap istana.

Istana tidak mempunyai platform seluas Karpal untuk mempertahankan keputusan yang dibuat dan jika ada pun platform untuk membentangkan fakta-fakta istana belum tentu mahu berbuat demikian lantaran menyedari lawannya bukan jenis yang 'makan saman'. Bukan darjat istana juga untuk mencemar duli melayan kerenah biadab segelintir pihak yang menabur kenyataan kononnya istana dipengaruhi pihak tertentu untuk membuat keputusan yang tidak memihak kepada pembangkang.

Ketiadaan platform di pihak istana tidak sepatutnya menjadi kesempatan kepada Karpal dan sekutunya untuk terus memperlekehkan institusi raja-raja Melayu yang diwarisi sejak turun temurun.

Berlaku adil kepada istana dan orang Melayu termasuk Mohammad Nizar sepatutnya mempertahankan raja-raja Melayu. Tindakan menggadai tanah kepada bangsa lain biar pun perit tetapi terpaksa diterima oleh bangsa Melayu tetapi cubaan untuk merobohkan 'istana' jangan sesekali dibenarkan. Kelmarin bekas Menteri Besar Perak telah membuka laluan untuk 'merobohkan' istana di mahkamah - cubaan yang dipelopori oleh bangsa Melayu sendiri lantaran Karpal masih menangguhkan langkahnya. Jadi tidak mustahil provokasi Karpal mendorong Melayu untuk memusnahkan payung Melayu supaya kelak pengerusi DAP itu boleh cuci tangan.

Hentikan politik biadab

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

''Janganlah kita mudah terpedaya dengan gelagat serta tindakan yang hanya akan mencemarkan martabat kita, mengundang risiko yang tinggi terhadap kemajuan kita, serta menghakis asas-asas kedaulatan negara ini dengan sifat-sifat keji serta biadab, derhaka, angkuh, jahil ilmu dan kemaruk kuasa.''

Demikianlah titah tegas yang dikeluarkan oleh Sultan Selangor Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kelmarin.

Kenyataan itu merujuk kepada kemelut politik Perak yang menyaksikan bagaimana biadapnya pihak-pihak tertentu mempertikaikan keputusan Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang memperkenankan langkah Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan negeri.

Sememangnya, tindakan pihak-pihak tersebut yang dilihat terlalu kemaruk kuasa telah menyebabkan mereka bertindak di luar kewarasan.

Mereka melupakan tata susila sebagai orang Melayu dan biarpun keputusan telah dibuat oleh seorang sultan yang harus dipatuhi dan dihormati tetapi mereka tidak mempedulikannya.

Puak terlibat mengadakan demonstrasi, berkeras mahu mempertahankan jawatan, tidak akur kepada perintah dan lebih rela berkata, ''patik mohon derhaka'.

Titah tegas Sultan Selangor itu seharusnya menyedarkan pihak-pihak berkenaan bahawa mereka sudah jauh menyimpang daripada asas berpolitik yang sebenar.

Persoalannya, kenapakah politik biadab ini semakin berkembang? Sebelum tahun 1998, kita rakyat negara ini tidak pernah berhadapan dengan situasi seumpama ini.

Apa juga keputusan yang dibuat sama ada oleh pihak berkuasa, istana mahupun mahkamah akan dipatuhi. Tetapi sekarang arahan pihak berkuasa dianggap berunsur politik, perintah istana diingkari manakala mahkamah pula dianggap sudah dikuasai.

Adalah tidak keterlaluan kalau kita mengatakan bahawa amalan politik biadab ini dipelopori oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR). Pemimpin-pemimpin parti itu sebenarnya mengajar rakyat supaya menjadi angkuh, jahil ilmu dan kemaruk kuasa.

Mereka mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara dan apa yang berlaku di Perak sudah menjadi bukti. Akibat daripada perasaan tidak puas hati mereka turun ke jalanan mengadakan demonstrasi sehinggakan menganggu majlis rasmi yang dihadiri oleh sultan.

Tidak cukup dengan itu, pemimpin- pemimpin pembangkang yang sudah jelas hanya mengikut telunjuk pemimpin PKR sanggup menyeret masalah politik yang berlaku ke mahkamah.

Biarpun apa juga bentuk tindakan undang-undang yang difailkan tetapi selagi ia berkaitan dengan apa yang berlaku dalam politik Perak maka selagi itulah ia berkaitan dengan Sultan Azlan.

Justeru tidak perlu pihak-pihak berkenaan termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berdolak-dalih dalam soal ini.

Pelajar sekolah pun mengetahui apabila Nizar mengemukakan saman meminta pengisytiharan bahawa pelantikan Menteri Besar yang baru, Datuk Dr.Zambry Abdul Kadir tidak sah ia berkaitan dengan Sultan Azlan Shah.

Ini kerana baginda yang memperkenankan pelantikan berkenaan, oleh itu kenapa perlu Nizar dan pemimpin-pemimpin pembangkang bermain sandiwara bagi menyembunyikan perbuatan penderhakaan yang cuba mereka lakukan?

Dalam soal ini, ramai mengetahui siapa dalangnya sehingga memungkinkan semua itu berlaku. Tetapi malangnya 'tok dalang' yang terlibat mengamalkan sikap 'baling batu sembunyi tangan' dan cuba menunjukkan PKR tidak terlibat.

Sedangkan kalau dikaji siapakah dahulu yang menguar-uarkan amalan menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang? Siapakah yang mengajar orang Melayu berdemonstrasi menentang kerajaan dan siapa yang acap kali melakukan fitnah kepada pemimpin kerajaan?

Apabila PKR cuba menunjukkan mereka baik, yang menjadi mangsa ialah Pas yang setakat ini seolah-olah tidak mampu mengawal keghairahan Nizar untuk terus mempertahankan kekuasaannya.

Pas lebih banyak mendiamkan diri dan membiarkan sahaja Nizar 'diusung' oleh pemimpin-pemimpin DAP ke hulu hilir termasuk ke mahkamah dalam menegakkan benang yang sama. Keadaan itu mengesahkan andaian pelbagai pihak sebelum ini bahawa biarpun Pas yang menjadi Menteri Besar tetapi yang berkuasa adalah orang lain.

Sebenarnya, itu hak Pas dan DAP untuk menentukan corak kerjasama mereka tetapi janganlah kerana kuasa mereka cuba menggugat institusi orang Melayu iaitu raja-raja Melayu.

Pemimpin-pemimpin Pas di peringkat pusat perlu menyatakan pendirian mereka dengan jelas, apakah benar mereka merestui tindakan Nizar.

Selain itu tindakan penyokong Pas turun ke jalanan berdemonstrasi sudah jelas menunjukkan bahawa parti itu semakin dipengaruhi oleh budaya mob yang diperkenalkan oleh PKR.

Imej Pas kini semakin tercalar biarpun selama ini kalau kita perhatikan pemimpin parti itu sentiasa rasional dalam menghadapi sesuatu situasi politik.

Tetapi oleh kerana bimbang pakatan pembangkang terjejas, mereka membiarkan sahaja Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendalangi segala-galanya biarpun dari satu segi, Pas boleh bersuara memandangkan Nizar membawa panji-panji parti tersebut.

Kini PKR tidak berbuat apa-apa, mereka melihat sahaja gelagat pemimpin dua parti lain dalam pakatan pembangkang bergelut dalam isu di Perak. PKR cuba menunjukkan bahawa mereka tidak terlibat tetapi di Selangor sudah ada penganjuran ceramah bertajuk 'Krisis politik di Perak'.

Pemimpin PKR sengaja merancang segala kekalutan di Perak bagi mencetuskan suasana tidak tenteram.

Ia juga bagi menutup rasa malu Anwar selepas apa yang dikejar oleh beliau untuk merampas kuasa melalui lompat parti pada 16 September lalu tidak dapat tetapi sebaliknya terpaksa menyaksikan apa yang dikendong di Perak berciciran.

Anwar ternyata terkejut dengan apa yang berlaku di Perak, jika beliau jujur sudah pasti sebagai Ketua pembangkang yang dilihat lebih berpengaruh daripada Lim Kit Siang, Karpal Singh, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Nik Mat, Anwar mampu menghalang kekalutan daripada berlaku.

Teguran yang dibuat Sultan Selangor itu harus dipandang serius oleh orang Melayu kerana seharusnya tidak ada mana-mana kelompok dalam kaum berkenaan bertindak hendak mencemarkan institusi raja-raja Melayu.

Amalan politik biadab dan derhaka harus dihentikan. Orang Melayu tidak akan mendapat apa-apa jika institusi milik mereka terus dicemari hanya semata-mata kerana marah akibat kehilangan kuasa.

Janganlah kerana gila kuasa, kita menggalakkan rakyat turun ke jalanan memaki hamun pihak tertentu sehingga meminggirkan tata susila sebagai orang Melayu.

Kita mempunyai cara, adat, tata susila dan peraturan dalam melahirkan perasaan secara demokrasi iaitu melalui pilihan raya. Justeru tidak perlulah kerana dipengaruhi oleh nafsu serakah untuk terus berkuasa, kita mengamalkan politik biadab. Orang Melayu tidak untung apa-apa melalui amalan politik seumpama itu, sebaliknya ia hanya akan melemahkan mereka sendiri dan apabila keadaan tersebut berlaku maka pihak lain akan mengambil kesempatan.

Oleh itu sebelum segalanya terlambat hentikanlah politik keji berkenaan, jangan sampai akibat terlalu ghairah untuk memperolehi kuasa politik suatu hari kelak orang Melayu menjadi pelarian di tanah air sendiri. Ketika itu menangis air mata darah sekali sudah tidak berguna lagi.

Friday, February 13, 2009

Bersatulah bangsa Melayu

Oleh ANUAR AHMAD

BANGSA Melayu kini menghadapi krisis perpaduan yang paling kritikal dan mencabar. Ia lebih hebat daripada tsunami PRU 12 pada Mac tahun lalu. Ia adalah senario yang menyedihkan sekali. Seboleh-bolehnya kita cuba menafikan tetapi itulah hakikatnya.

Tsunami pilihan raya Mac 2008 bukanlah akar sebenar kepada perpecahan Melayu. Tetapi ia berupa isyarat untuk menyedarkan para pemimpin tentang gentingnya perpaduan Melayu ketika ini.

Krisis perpaduan Melayu berlaku apabila kita mula lupa sejarah bangsa. Usaha ke arah itu sedang dilakukan oleh banyak pihak. Maka tidak hairanlah apabila pelbagai muzakarah dan perbincangan dianjurkan sejak kebelakangan ini.

Pelbagai pihak kini mula bercakap soal institusi beraja yang satu ketika dulu tidak ada yang berminat untuk membincangkannya. Begitu juga soal ketuanan Melayu dan keagungan Islam serta kedaulatan bahasa Melayu sendiri.

Sejarah Melayu dikatakan bermula sejak 1400. Walaupun ada yang mengatakan sejarah orang Melayu bermula lebih awal tetapi dengan mengambil kira definisi Melayu berasaskan adat resam, raja dan agama Islam maka tidak syak lagi sejarah Melayu hanya bermula sekitar kurun ke-15 itu.

Jika dihitung, sejarah orang Melayu tidaklah begitu panjang berbanding sejarah bangsa utama dunia lain yang menjangkau ribuan tahun. Sejarah kita baru bermula 600 tahun dahulu.

Mengimbau sejarah, orang Melayu bertuah kerana dianugerahkan Tuhan dengan tanah air yang dinamakan Tanah Melayu (dan kemudian menjadi Malaysia). Orang Melayu, walaupun terjajah ratusan tahun masih bertuah kerana tidak perlu berperang dan berkorban nyawa sepanjang 600 tahun itu.

Orang Melayu juga sungguh bertuah kerana kemerdekaan tanah air berlaku di meja rundingan dan bukannya di medan peperangan. Lebih bertuah jika difikirkan bagaimana orang Melayu hari ini masih terus kekal memerintah tanah air sendiri walaupun pernah dijajah dalam tempoh ratusan tahun.

Namun tuah tidak akan selalu menjadi milik orang Melayu. Tuah itu pun bukannya datang bergolek tetapi berkat semangat, doa dan permuafakatan Melayu.

Apalah maknanya ketuanan Melayu yang sering diuar-uarkan kalau orang Melayu langsung tidak memahami bagaimana ketuanan itu diperolehi. Ketuanan Melayu hanya hasil tetapi sejarah bangsa Melayu adalah prosesnya.

Pada setiap zaman, orang Melayu pasti mengalami perubahan. Ia berlaku sejak era tradisional ke penjajahan dan kemudian era modenisasi sebelum ke alaf globalisasi sekarang. Pada setiap era, orang Melayu sentiasa berusaha untuk menguasai perubahan demi menjadi bangsa yang lebih baik.

Tetapi fakta sejarah menunjukkan sebaik manapun pencapaian kita, pastinya ada bangsa lain mendapat pencapaian lebih baik. Sebagai contoh, walaupun kerajaan Melayu Melaka dipimpin oleh Kesultanan Melayu dengan para pembesar terdiri daripada orang Melayu, yang mengaut laba di Melaka ialah pedagang Arab, Cina dan India.

Penjajah Inggeris membantu membangunkan sekolah Melayu tatkala masyarakat bukan Melayu berhempas pulas membangunkan sistem pendidikan sendiri. Sepatutnya pendidikan orang Melayu jauh lebih maju, tetapi sebaliknya lebih ramai yang berpendidikan tinggi ialah bukan Melayu.

Bila universiti mula ditubuhkan oleh kerajaan dengan memperkenalkan sistem kuota demi bangsa Melayu, masih ramai graduan terbaik adalah bukan Melayu.

Apabila Dasar Ekonomi Baru diberikan kepada kalangan bumiputera khususnya Melayu sebagai satu keistimewaan, yang menjadi kaya raya kebanyakannya bukan Melayu. Walaupun politik dipegang oleh orang Melayu, pimpinan Melayu terpaksa merayu dan melobi pengundi bukan Melayu untuk memerintah. Ia berlaku tidak kira di kalangan parti kerajaan atau pembangkang.

Memikirkan hal ini sudah cukup memenatkan. Jelas sekali orang Melayu semakin lupa sejarah bangsa. Mereka, khususnya para pemimpin mula lupa hakikat bahawa sebagai pemimpin, mereka datang dan pergi.

Hari ini dengan kudrat dan tenaga yang ada mereka membangunkan anak bangsa, sampai masanya orang lain akan menggantikan mereka. Yang penting ialah perjuangan membangunkan anak bangsa, tidak berpecah-belah tetapi sentiasa bertimbang tara dan berbincang.

Mereka yang berpengalaman sepatutnya memberi nasihat sementara yang muda menimbangkannya. Akhirnya bangsa Melayu tidak akan rugi dan terus maju.

Sejarah bangsa Melayu nampaknya tidak begitu dihayati oleh bangsa kita. Rasuah, penyalahgunaan kuasa, nepotisme dan kronisme, berfoya-foya menjadi amalan. Ramai yang suka memegang kuasa walaupun terpaksa bersengketa sesama sendiri. Amalan itu nampaknya masih kuat menguasai sebahagian pemimpin Melayu.

Nasihat cendekiawan agar keadaan ini diperbetulkan nampaknya gagal. Ramai pemimpin dan sebahagian besar bangsa Melayu masih tidak belajar mengenai tragedi kejatuhan Melaka kepada Portugis. Ia berpunca daripada perbuatan khianat pembesar Melayu.

Bangsa Melayu telah lupa Perjanjian Pangkor. Kealpaan kepemimpinan Melayu ketika itu membuatkan seluruh negeri tergadai kepada penjajah Barat. Pimpinan Melayu juga mungkin sudah lupa bagaimana sukarnya orang Melayu menentang Malayan Union.

Apakah para pemimpin Melayu tidak ingin menjadi seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Tok Bahaman atau Dol Said. Semua tokoh pejuang itu sanggup berkorban nyawa semata-mata untuk bangsa Melayu.

Janganlah kerana kita sudah pandai memakai kot dan bertali leher atau selesa berucap dalam bahasa asing, menaiki kereta mewah dan tinggal di rumah cantik, agenda bangsa Melayu tidak lagi menjadi keutamaan.

Mungkin di kalangan pemimpin Melayu kita hari ini sudah tidak boleh menterjemahkan semangat perjuangan bangsa. Pemimpin yang ikhlas untuk menjulang perjuangan bangsa akan sentiasa bersatu, tidak berpecah belah dan amanah dalam perjuangan. Golongan ini tidak berharap kepada kedudukan dan pangkat. Mereka komited dengan perjuangannya membela Melayu.

Malangnya apa yang kita lihat sekarang ialah wujudnya ramai pemimpin Melayu yang semakin lupa sejarah. Kita mungkin biasa mendengar ucapan hebat pemimpin Melayu. Tetapi yang nampak di luar belum tentu sama dengan apa yang ada di dalam hati mereka.

Semoga Allah sahaja yang mengetahui apa yang ada di dalam hati dan sanubari para pemimpin Melayu. Rakyat hanya boleh berdoa agar pemimpin mereka benar-benar ikhlas dalam perjuangan.

Orang Melayu mungkin bukan sahaja lupa kepada sejarah bangsa, tetapi gagal menterjemahkan ajaran Islam yang begitu sempurna.

Jelas begitu tebalnya masalah bangsa Melayu. Cuba kita teliti satu persatu segmen kehidupan kita dan di mana letaknya kedudukan bangsa Melayu yang berjumlah tidak sampai 15 juta ini.

Dalam bidang ekonomi, secara umum kita hanya menguasai 18 peratus agihan kekayaan negara. Selebihnya dimonopoli oleh bangsa bukan Melayu serta syarikat konglomerat antarabangsa. Lihat juga sektor pekerjaan, hampir keseluruhan pekerjaan profesional dikuasai oleh bukan bangsa Melayu seperti doktor, jurutera, akauntan serta peguam. Begitu juga sektor ICT, perbankan dan pembinaan.

Sektor sosial pula menunjukkan begitu banyak kewujudan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kalangan masyarakat Melayu. NGO Melayu masih terikat kepada soal sukan, hiburan dan politik.

Sektor politik walaupun dikuasai oleh bangsa Melayu tetapi bentuknya bukanlah mutlak tetapi atas dasar tolak ansur dan ihsan bangsa lain. Jelas walaupun sebagai bangsa majoriti daripada segi penduduk, pencapaian bangsa Melayu masih jauh di belakang.

Banyak usaha dan tenaga perlu ditumpukan untuk maju. Berpecah belah dan bersengketa sesama pimpinan Melayu bukan sahaja melambatkan usaha memajukan bangsa tetapi menolak bangsa lebih jauh ke belakang. Kita perlu insaf, perkara itu sangat merugikan orang Melayu.

Bangsa Melayu tentu ingin maju dan mahu menjadi bangsa lebih hebat 100 tahun akan datang. Tetapi sejarah 600 tahun dahulu perlu diinsafi terlebih dahulu sekiranya kita mahu menjadi lebih hebat.

Anak-anak kita diajar di sekolah tentang bersatu padu, cintakan bangsa dan negara tetapi di luar bilik darjah mereka melihat tokoh kebanggaan mereka berpecah-belah. Ironinya, keadaan ini tidak menguntungkan sesiapa khususnya bangsa Melayu itu sendiri.

Pemimpin dan masyarakat Melayu seharusnya lebih menilai dan menginsafi sejarah bangsa sendiri. Percayalah, pemimpin Melayu yang sedar mengenai sejarah bangsanya akan berjuang untuk menjadikan bangsa ini lebih hebat dan berdaulat.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Thursday, February 12, 2009

Saman difail Pakatan Rakyat tak bermakna

IPOH: Saman yang difailkan pemimpin Pakatan Rakyat minggu lalu untuk menghalang Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintah negeri Perak tidak memberi sebarang makna, kecuali untuk mengambil hati penyokong parti pembangkang, kata sumber perundangan.

Tindakan saman itu dibuat secara terburu-buru dan tidak memenuhi banyak keperluan dokumentasi sehingga menyukarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi untuk menetapkan tarikh bila saman itu akan didengar.

Sumber memberitahu New Straits Times (NST), pemimpin Pakatan Rakyat tidak boleh meletakkan tanggungjawab kepada mahkamah jika saman itu lambat didengar berikutan kegagalan mereka mengemukakan dokumen bagi menyokong saman pemula.



Saman itu difailkan peguam, Leong Cheok Keng, yang memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Jamaluddin Mohd Radzi, 53, Mohd Osman Mohd Jailu, 58, dan Hee Yit Fong, 46, masing-masing bukan lagi wakil rakyat untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.

Saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh pada 5 Februari, sehari sebelum Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.

Sumber memberitahu Mahkamah Tinggi tidak boleh dipersalahkan jika meneruskan prosiding saman itu untuk mengisytiharkan tiga kerusi DUN berkenaan kosong berdasarkan empat asas.


Tiada afidavit sokongan.

Yang Dipertua DUN, V Sivakumar gagal mengemukakan afidavit untuk menyokong saman pemula. Walaupun saman pemula ada menyatakan afidavit daripada Sivakumar sudah disertakan untuk menyokong tuntutan saman, tetapi dokumen itu tidak ada.

Sumber berkata, tanpa afidavit yang menyokong saman pemula, Timbalan Pendaftar tidak dapat memberi tarikh untuk mendengar kes berkenaan.


Tiada sijil perakuan segera.

Tiada sijil yang dikemukakan bersama saman pemula bagi memastikan Mahkamah Tinggi mendengar saman itu segera.

“Sekarang mereka (Pakatan Rakyat) perlu menunggu sekurang-kurang tiga bulan... melainkan hakim berpuas hati semua kertas yang dikemukakan mengikut syarat,” kata sumber.



Plaintif gagal memeterai salinan saman pemula yang dikemukakan kepada ketiga-tiga responden.

Sehingga dan kecuali salinan dikemukakan kepada Jamaludin, Mohd Osman dan Hee, Mahkamah Tinggi tidak akan meneruskan prosiding untuk mendengar saman itu.

Sumber berkata, dengan ketiadaan afidavit Sivakumar dan kegagalan mengemukakan saman itu kepada responden, Mahkamah Tinggi berkuasa menolak saman pemula jika berpuas hati plaintif tidak serius dalam tindakan mereka.


Leong, peguam bela dan peguam cara yang dilantik mewakili plaintif tidak mendapat kebenaran daripada Penasihat Undang-undang Negeri.

NST difahamkan, peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi seperti Leong perlu mendapatkan kebenaran daripada Penasihat Undang-Undang Negeri sebelum layak mempunyai hak di sisi undang-undang meneruskan saman itu.