Monday, February 22, 2010

Hukuman sebat syariah perlu diseragam

Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my

Perundangan sivil ternyata gagal menangani keruntuhan moral di kalangan umat Islam

BERITA mengenai tiga wanita Islam menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah kerana mengadakan hubungan seks haram, minggu lalu, menghidupkan semula kontroversi hukuman ke atas bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu setelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Walaupun kesalahan tiga wanita, yang menjalani hukuman di Penjara Wanita Kajang pada 9 Februari lalu berbeza dengan Kartika yang masih menunggu pelaksanaan hukuman, suara bantahan terhadap dua kes itu hampir senada dan daripada kumpulan serupa.

Tiga pesalah wanita itu bersama empat lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.

Kartika pula, yang mengaku salah meminum arak pada Julai 2008, dihukum enam sebatan mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang. Bagaimanapun, tarikh pelaksanaan hukuman itu akan diputuskan selepas pertemuannya dengan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Seperti beberapa kes membabitkan wanita dan syariah sebelum itu, kumpulan paling kuat mempertikaikannya ialah Sisters-in-Islam, Tenaganita dan Majlis Peguam, yang antara lain mendakwa ia zalim, diskriminasi terhadap wanita dan melanggar hak asasi manusia. Malah Pas sendiri, yang pernah memperjuangkan hukum hudud menuduh kerajaan mempunyai agenda politik apabila Pengarah Penyelidikan Pas Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad dilaporkan meminta parti itu tidak terperangkap dengan isu hukuman sebat.

Sementara pendirian Pas, sebagai parti politik terhadap isu sedemikian tidak sukar difahami, bantahan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan itu, apa lagi yang diterajui bukan Islam terhadap isu ini memberi gambaran seolah-olah mereka mempunyai agenda tersembunyi. Setiap tindakan pihak berkuasa berkaitan agama Islam, ada saja pihak yang mempertikaikan walaupun ia tidak kena mengena dengan mereka.

Isu ini adalah soal syariah dan membabitkan umat Islam, kenapa mereka beriya-iya benar mempertikaikannya. Tidak mungkin mereka tidak memahami sistem dua perundangan yang diamalkan di negara ini. Malah, pelaksanaan hukuman sebat syariah atas kesalahan minum arak bukan perkara baru.

Pada 1997, enam lelaki pernah disebat di Kelantan, manakala sebelum kes Kartika, seorang wanita dijatuhkan hukuman sebat oleh Mahkamah Syariah Johor pada 2000 tetapi hukuman tidak dilaksanakan kerana dia membuat rayuan. Memang kes tiga wanita yang disebat di Penjara Wanita Kajang itu pertama kali membabitkan kes seks haram tetapi bentuk hukuman dan sebatan, yang bertujuan untuk mendidik, adalah sama.

Berdasarkan latar belakang dan pendidikan puak-puak yang mempertikaikan hukuman ini, mereka bukannya tidak tahu bahawa sebatan syariah jauh berbeza berbanding sebatan sivil. Sebatan syariah tidak mencederakan mahupun melukakan pesalah berbanding sebatan sivil yang meninggalkan parut dan kesan dalam jangka masa dua tahun.

Ada juga mempersoalkan kenapa hukuman itu dilaksanakan secara tertutup dan tidak memenuhi kehendak Islam. Kita percaya kumpulan yang sama mempersoalkan kenapa hukuman itu dilakukan dalam penjara, akan menuduh kerajaan memalukan pesalah jika hukuman dilaksanakan secara terbuka.

Setiap orang mukmin percaya bahawa hukuman yang ditentukan dalam al-Quran dan Sunnah jelas dan tidak boleh dipertikaikan. Bagaimanapun, prosedur pelaksanaannya boleh ditentukan secara ijtihad berdasarkan kaedah fiqh dan usulnya yang muktabarah. Ukuran sebatan berdasarkan syariat tidak dapat dipadankan dengan Akta Kanun Jenayah Sivil dalam urusan hudud, tetapi dapat diselaraskan dengan urusan takzir.

Kerana itu, penyelarasan antara undang-undang sivil dan syariah perlu dibuat berdasarkan prinsip keadilan Islam, agar tidak berlaku penganiayaan di dalam pelaksanaan hukuman jenayah sivil dan syariah. Justeru, kita bersetuju dengan pandangan agar hukuman sebat mengikut syariah yang diperuntukkan di semua negeri perlu diseragamkan bagi jenis kesalahan serupa supaya ia selaras dan tidak mengelirukan.

Pada masa sama, penjelasan perlu diberikan mengenai pelaksanaannya dan pengumuman dibuat sama ada sebelum atau sebaik saja hukuman dilaksanakan bagi mengelak kekeliruan dan salah faham masyarakat. Kontroversi ekoran pelaksanaan hukuman sebat ke atas tiga wanita ini seharusnya menjadi permulaan ke arah pelaksanaan hukuman jenayah syariah lebih seragam dan wibawa sehingga lebih baik daripada perundangan sivil, yang ternyata gagal menangani keruntuhan moral di kalangan umat Islam sekarang

Dasar Teknologi Hijau jana ekonomi mesra alam

KALAU kita menjenguk kebanyakan rumah golongan kelas pertengahan di kawasan pinggiran bandar raya Kuala Lumpur, pasti kita akan dapat melihat sekurang-kurangnya dua atau bahkan tiga kereta di setiap rumah di situ. Diteliti lebih dekat, kita akan dapat melihat pula kipas pemampat penyaman udara berputar ligat dan lampu terpasang walaupun pada waktu siang hari.

Kita tertanya-tanya sama ada tuan punya rumah itu pernah terdengar istilah pelepasan karbon, iaitu sukatan jumlah karbon serta gas rumah hijau (GRH) yang dilepaskan ke atmosfera daripada aktiviti kita sehari-hari.

Karbon dan GRH 'menghakis' lapisan ozon, iaitu suatu lapisan perlindungan di sekeliling yang melindungi umat manusia daripada pancaran berbahaya matahari dan memastikan suhu global serta pola cuaca tetap terkawal. Sebahagian besar karbon dan GRH terhasil daripada pembakaran minyak untuk segala macam tujuan – daripada menjana kuasa sehingga kepada memandu kereta kita.




Sejak dulu Malaysia ditarafkan di tempat terendah dari segi penarafan global pembebasan karbon (tempat ke-157 daripada 224 negara) dan menurut beberapa laporan dan kajian Agensi Tenaga Antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat, pelepasan karbon Malaysia bagi setiap kapita pelepasan karbon meningkat daripada 3.1 tan perkapita kepada 7.2 tan perkapita dalam tempoh 16 tahun sejak 1990.

Menjelang 2010, angka ini dijangka mencecah 8.0 tan perkapita, sekali gus meletakkan Malaysia di tempat ketiga, selepas Vietnam dan China dari segi kadar pertumbuhan pelepasan karbon.

Kerana menyedari 28 juta warga Malaysia lebih cenderung membakar lebih banyak bahan api, pada Julai 2009, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Dasar Teknologi Hijau yang dikendalikan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.


Dalam ucapan pelancarannya, Najib antara lain menyatakan bahawa sudah tiba masanya bagi negara kita bergerak ke arah mesra alam dan menyebut keprihatinan global untuk menerima dan menghayati amalan terbaik yang mampan serta boleh diperbaharui.

Namun, apa yang lebih penting dalam mesej beliau ialah rancangan untuk mempermudah pertumbuhan industri teknologi hijau yang disebut sebagai satu pemacu utama yang bakal memberi sumbangan kepada ekonomi negara.

Bagi Perdana Menteri, apa yang penting ialah bergerak ke arah mesra alam bukan saja untuk pencinta alam sekitar, malah bagi usahawan, pereka cipta dan pelanggan serta orang ramai.

Strategi serampang dua mata ini akan mencapai matlamat mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 15 peratus dan mengurangkan jumlah pelepasan bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 40 peratus menjelang 2020 berbanding tahap 2005 dan memangkinkan keupayaan serta kemampuan Malaysia untuk melakukan inovasi dalam pembangunan teknologi hijau.

Tugas ini bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan, memandangkan Malaysia sudah bergerak ke arah taraf negara maju sepenuhnya menjelang 2020. Masalah ini menjadi lebih rumit lagi dengan ada peruntukan pelbagai subsidi bagi bahan api fosil.

Sebagai contohnya, subsidi bagi gas. Pengeluar tenaga bebas di Malaysia mengeluarkan tenaga elektrik daripada gas yang dibekalkan kepada mereka dengan sebahagian kecil gas. Rasional yang diberi adalah pengeluar ini perlu diberi pampasan kerana mengeluarkan tenaga elektrik dengan murah untuk industri tempatan dan industri tempatan pula perlu tenaga elektrik murah untuk mengeluarkan barangan pada harga kompetitif bagi pasaran dunia.

Keburukannya ialah banyak industri berkenaan begitu selesa dengan kos tenaga rendah sehingga tiada rancangan untuk menjadi cekap tenaga atau mencari sumber tenaga alternatif. Meskipun teknologi bagi kecekapan tenaga dan sumber tenaga alternatif boleh didapati, kos melaksanakan teknologi ini agak mahal berbanding kuasa murah bersubsidi yang dikeluarkan oleh pengeluar tenaga bebas.

Bagi perniagaan yang tujuan utamanya untuk mengeluarkan yang maksimum pada kos minimum, menjadi cekap tenaga adalah, peliknya, kurang menguntungkan. Hanya apabila kos penukaran menjadi lebih murah barulah perniagaan akan bertukar. Cara menyelesaikan masalah ini ialah dengan penarikan subsidi secara beransur-ansur untuk menaikkan harga tenaga kepada paras harga pasaran. Pada harga pasaran, perniagaan akan mula berfikir mengenai kecekapan tenaga dan tenaga alternatif.

Meningkatkan penjanaan kuasa dan penggunaan kuasa daripada biomas, biogas dan sisa pepejal serta memanfaatkan tenaga matahari adalah suatu matlamat yang baik. Tetapi untuk menjayakan inovasi hijau, hanya dengan mendidik orang ramai dan melahirkan kesedaran mengenai kecekapan tenaga belum cukup baik.

Menyediakan dana kepada syarikat yang membekalkan dan memanfaatkan teknologi hijau juga belum cukup baik. Kesedaran alam sekitar perlu kejutan pantas pada bahagian yang paling menyakitkan. Bukan pada pemikiran dan hati manusia tetapi dompet mereka.

Contohnya, jika harganya murah untuk membeli dan menggunakan panel suria buatan Malaysia yang mampu membendung tenaga suria tanpa batasan sepanjang 365 hari setahun berbanding kuasa elektrik janaan bahan api fosil yang berpunca daripada rizab gas yang kian susut, pastinya warga Malaysia akan mesra alam.

Akhirnya, panel solar ini akan menjadi lebih murah untuk dihasilkan dan akan dapat dieksport ke segenap dunia, memberi pekerjaan untuk warga Malaysia dan memberi sumbangan kepada ekonomi negara dan membangunkan teknologi hasil buatan tempatan.

Penarikan subsidi secara beransur-ansur bukan saja gas, untuk mengeluarkan kuasa elektrik malah juga petrol, diesel, dan gas petroleum cecair (LPG) akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dalam jangka panjang, bukan saja dari segi alam sekitar, sebaliknya dari segi ekonomi. Dasar Teknologi Hijau memberi kita jalan untuk membina masa depan yang bukan saja lebih hijau dan lebih mapan, malah juga lebih berekonomi dan jauh lebih menguntungkan.

Tuesday, September 29, 2009

Pilih urus niaga saham syariah

--------------------------------------------------------------------------------



MEGA: Apakah hukum asas bermain saham?

ZAHARUDDIN: Kebanyakan ulama kontemporari berpendapat tatkala kita membeli saham sesuatu syarikat, kita sebenarnya akan memiliki sebahagian kepentingan ekuiti syarikat tersebut, ini bermakna sebagai pemegang saham. Dari sudut pandangan Islam, kita dikira sebagai rakan kongsi syarikat terbabit.

Sebagai rakan kongsi, kita akan terdedah kepada risiko kerugian ataupun kelebihan perolehan keuntungan. Dengan ini, hukum asal pembelian saham adalah halal kerana ia didasari akad 'Shirkah'.

Dalil kepada keharusan bersyarikat ini boleh dilihat di dalam al-Quran yang bermaksud: dan mereka berkongsi dalam 1/3...(an-Nisa: 12)

Dan juga hadis bermaksud: "Aku orang ketiga bersama dua orang yang bersyarikat selagi mana tiada salah seorang yang mengkhianati rakannya." (riwayat Abu Daud)

Pembelian saham juga harus dibuat melalui broker atau remisier. Tugas mereka biasanya adalah menentukan nilai pasaran dan coraknya, mengiklankan sebarang aset untuk jualan, menayangkan beberapa aset kepada pembeli yang berpotensi, menasihati pelanggan dalam tawaran yang diterima, sebagai wakil untuk membeli dengan upah tertentu.

Urus niaga di bursa saham telah dibincangkan banyak kali dalam pelbagai persidangan ulama dan pakar kewangan sedunia. Keputusan Kesatuan Fiqh Antarabangsa (pada 9-14 Mei 1992) dan Majlis Kajian dan Fatwa Eropah dalam keputusannya (7/1) 63 antara lainnya menyebut:

Hukum membeli saham pada asalnya adalah sama dengan hukum bersyarikat atau musyarakah atau rakan kongsi. Ia adalah harus menurut syariah daripada al-Quran dan hadis.

Walaupun hukum asalnya harus, ia tetap mempunyai beberapa syarat umum bagi memastikan yang harus tidak berubah kepada haram.

Antara syarat umum yang telah diletakkan dalam hal menyertai aktiviti urus niaga saham ini adalah:

a. Penubuhan dan penyertaan sebuah syarikat yang patuh syariah di dalam bursa adalah harus.

b. Tiada sebarang perbezaan pandangan bahawa menyertai atau membeli saham syarikat yang asas utama perniagaannya adalah haram seperti institusi kewangan yang memberi pinjaman riba atau berniaga barangan yang diharamkan adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Majoriti ulama dunia mengharuskan penjualan dan pembelian di bursa

l Syarat ijab kabul telah terlaksana dalam pembelian dan pemilikan saham.

l Majlis Pengarah syarikat telah mewakili seluruh pemegang saham dalam pengurusan syarikat mereka.

Sehubungan itu, para ulama besar mengharuskannya seperti Sheikh Mahmud Syaltut, Sheikh Ali Khafif, Sheikh Muhammad Abu Zahrah, Dr. Muhammad Yusof Musa dan ramai lagi. (At-Takaful Al-Ijtima'ie, Abu Zahrah, 2/184 ; As-Syarikat : Ali Khafif, hlm 96 ; Al-Mualamat Al-Maliah, Uthman Syabir, hlm 206)

Namun terdapat sedikit pertikaian hukum berkongsi syarikat dengan bukan Islam. Perbincangan dan pertikaian timbul dalam isu membeli saham yang dianggap patuh syariah tetapi majoriti pemilikannya adalah individu bukan Islam.

Terdapat sebahagian ulama yang tidak membenarkannya dan ada juga yang menganggapnya sebagai makruh. Ia berdasarkan riwayat Ibnu Abbas r.a yang bermaksud: Berkata Ibnu Abbas, "Jangan kamu bersyarikat dengan Yahudi, Nasrani atau Majusi", maka aku (Ibnu Hamzah) bertanya "mengapa tidak?" Jawab Ibnu Abbas: "Kerana mereka melakukan riba dan riba tidak halal". (Al-Mughni, Ibnu Qudamah, 5/3 ; Al-Muhazzab, 1/345)

Hadis di atas menjadikan Imam As-Syafie menganggap bermusyarakah dengan bukan Islam adalah makruh. Imam Ahmad, Awzaie dan Hasan al-Basri menganggapnya harus.

Imam Ibnu Quddamah juga mengatakan kata-kata Ibnu Abbas tadi hanyalah pandangan seorang sahabat dan tidak pula tersebar di kalangan sahabat lain.

Khalifah Umar al-Khattab berpandangan harusnya dengan iktikad ia daripada pendapatan mereka yang halal sebagaimana Nabi SAW diriwayatkan membeli makanan daripada Yahudi dan mencagarkan baju besi baginda SAW.

Pandangan mengharuskan dengan melihat kepada perincian aktiviti syarikat ini disokong kuat oleh ulama besar kontemporari seperti Sheikh Mustafa Az-Zarqa. Beliau menolak pengharaman umum ke atas penyertaan di bursa saham.

Justeru selagi mana urus niaga syarikat adalah menepati syariah, ia adalah sah walaupun terdapat rakan kongsi bukan Islam yang sama ada diketahui atau tidak bahawa modalnya daripada yang haram. Ia juga dikuatkan oleh riwayat berikut:

Diriwayatkan oleh al-Khallal dengan sanadnya dari Athar berkata: Rasulullah SAW melarang daripada bermusyarakah dengan Yahudi dan Nasrani kecuali jika jual belinya di tangan orang Islam (menuruti syariah). (Al-kafi fi Fiqh al-Hanbali, 2/257 ; Al-Mubdi' , Ibn Mufleh, 5/4; Ibn Qayyim : Dhoif sanadnya kerana mursal: Ahkam Ahli Zimmah, 1/556)

Ada yang bagi alasan, saham-saham yang mematuhi syariah itu kurang menguntungkan berbanding saham lain. Sebab itu melabur dalam saham bukan syariah. Adakah tanggapan ini betul?

ZAHARUDDIN: Saya kurang bersetuju dengan tanggapan tersebut. Setakat semakan saya, kebanyakan blue chips atau saham-saham syarikat-syarikat besar, terkenal dan yang mempunyai keuntungan konsisten di Malaysia telah disahkan patuh syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Oleh yang demikian tidak timbul persoalan kurang menguntungkan. Cuma jika ingin dibandingkan dengan beberapa syarikat yang tidak patuh syariah seperti perjudian dan kewangan riba.

Mungkin dakwaan itu ada sedikit kebenarannya, namun demikian tidak tepat untuk mendakwa kaunter tidak halal ini sentiasa lebih menguntungkan berbanding yang patuh syariah.

Ada pelbagai jenis orang yang main saham. Apa hukumnya bagi yang main kontra?

ZAHARUDDIN: Jualan kontra adalah apabila pembeli saham mengambil peluang daripada tempoh penangguhan bayaran saham yang dibeli untuk membeli sesuatu saham dan kemudian menjualnya sebelum tempoh 'wajib' bayar tiba.

Sebagai contoh di Malaysia wujud undang-undang T+3. Ia bererti urus niaga pembelian saham dibuat sebagai contoh pada hari Isnin, tetapi pembayaran bagi pembelian tadi mesti diselesaikan dalam sebelum atau pada hari Khamis (dalam masa tiga hari).

Pemilikan saham akan bertukar milik sejurus selepas transaksi walaupun pembayaran belum dibuat.

Walau bagaimanapun, jangan disangka bahawa di antara tempoh tiga hari itu, seseorang mempunyai masa untuk membatalkan urus niaga. Urus niaga telah termeterai pada hari urus niaga iaitu hari Isnin dalam contoh di atas. Cuma proses pertukaran dan pembayaran sahaja yang belum dibuat.

Hukum transaksi kontra seperti ini boleh datang dalam dua keadaan:

a) Jika pembeli punyai wang secukupnya dari awal; Jika pembeli membeli sebuah saham patuh syariah dengan kontra dengan cara pembayaran T-3, dan beliau sememangnya telah mempunyai wang yang cukup dalam akaunnya sebanyak nilai pembelian sahamnya dari hari pertama lagi. Namun sebelum tiba tempoh penyelesaian pembayaran tiba, harga sahamnya melonjak naik, menyebabkan dia dengan segera menjualnya agar dapat peroleh keuntungan. Urus niaga seperti ini halal.

Keharusan ini dikuatkan lagi apabila keterangan di dalam web bursa Malaysia menjelaskan setiap individu yang ingin membeli mestilah mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung harga saham yang dibeli dan juga semua kos transaksi.

Jika demikian peraturannya, saya berpandangan bahawa hak milik sekuriti yang dibeli telah sempurna. Ia juga memang mempunyai wang yang mencukupi bagi tujuan pembelian itu walaupun belum sampai hari wajib bayar, tatkala itu, belian dan jualannya adalah sah.

b) Tidak punyai wang cukup

Sekiranya, pembeli tidak mempunyai wang yang cukup di dalam akaunnya pada waktu pembelian, tetapi hanya dipinjam daripada wang broker dengan kadar faedah tertentu dengan harapan harga akan menjadi lebih tinggi daripada apa yang dibeli. Ia adalah haram.

Ini dilakukan bagi membolehkannya menjual sekuriti yang dibelinya sebelum sampai masa perlu bayar dan membuat keuntungan atas angin kerana membeli tanpa modal sebenar.

Bagi saya urus niaga seperti ini (jika berlaku) ia tidak syak lagi mempunyai unsur riba (jika modal yang dipinjam punyai faedah).

Sekiranya tiada punyai sebarang faedah, ia masih mempunyai elemen perjudian kerana ia benar-benar bergantung kepada nasib dan harapan harga akan naik. Pembeli pula tiada sebarang wang yang mencukupi, ia hanyalah bergantung kepada wang broker yang mengabuinya. Tatkala itu transaksi tetap tidak halal.

Apa pula hukumnya melibatkan diri dengan pelaburan di Internet?

ZAHARUDDIN: Islam menerima transaksi kewangan sama ada jual beli dan juga pelaburan yang dilakukan melalui Internet. Cuma syarat-syarat bagi jual beli dan pelaburan mestilah dipastikan terlebih dahulu.

Secara ringkasnya, pelaburan melalui Internet hanya akan menjadi halal sekiranya:

a) Tiada unsur gharar (tidak tentu status) berkenaan latar belakang syarikat yang menguruskan pelaburan itu. Justeru mesti dipastikan syarikat itu benar-benar wujud dan diketahui lesen serta perincian pengurusan syarikat.

b) Diketahui dengan jelas jenis pelaburan atau perniagaan yang dilaksanakan oleh syarikat terbabit dan status halalnya.

c) Cara pelaburan dilakukan secara halal tanpa sebarang jaminan untung tertentu dan jaminan selamat modal, jika terdapat unsur jaminan sebegini, ia disepakati ulama sebagai haram kerana riba.

d) Memastikan syarikat yang dilaburkan dana kita melalui Internet itu disahkan kewujudannya oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Dalam Islam, yang penting bagi rezeki kita ialah keberkatan walaupun ia sedikit. Boleh ustaz terangkan dalam konteks saham ini.

ZAHARUDDIN: Islam tidak menyekat umatnya untuk memperoleh keuntungan. Namun beberapa hukum haram diletakkan bagi apa-apa transaksi yang menyumbang kepada mudarat kepada diri sendiri atau zalim kepada sebelah pihak lain.

Dalam urus niaga saham, kita tahu terdapat banyak teknik pembelian saham yang wujud, dan sebahagiannya telah saya ulas di dalam buku saya 'Wang, Anda dan Islam'.

Ringkasnya, terdapat cara yang haram dan ada pula yang halal. Bagi mereka yang mendambakan keuntungan lumayan mereka mungkin akan melibatkan diri sama ada melalui pinjaman riba dengan broker bagi menambahkan kemampuan modalnya, atau membeli saham tidak patuh syariah yang dikira stabil dan untung, atau memasuki alam urus niaga saham sebagai tempat berjudi.

Nabi pernah mengingatkan bahawa riba itu walau banyak pada kiraan fizikalnya, ia bakal membawa kepada sedikit. Maksud 'sedikit' itu adalah kerana individu terbabit akan sentiasa merasa tidak cukup, 'sedikit' juga bermaksud perolehan itu hanya akan mendorongnya kepada sedikit dan kurang rahmat dan belas Allah terhadapnya.

Tiada berkat ini akhirnya, mengotorkan jiwa, hati dan pemikiran individu terbabit sehingga sifat tamaknya terus membuak dan sentiasa tidak cukup dengan apa yang ada.

Lebih teruk, ketiadaan berkat dalam pendapatan mendorong individu kepada lebih banyak dosa dan liat dalam melakukan amal soleh. Atas sebab itu, Islam sentiasa mengajak umatnya memastikan status halal dalam pendapatan walau sedikit kerana keberkatan itu sumber kebahagiaan dan ketenangan hati.

Apa guna harta yang banyak dengan hati yang sentiasa tertekan dan tidak tenteram.

Apakah status urus niaga yang dilakukan selepas azan pertama dikumandangkan pada hari Jumaat?

ZAHARUDDIN: Solat jumaat wajib hanya ke atas lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru setiap urusniaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus.

Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.

Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.

Perbincangan hukum hanya berkisar kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.

Asas hukum adalah dari surah al-Jumaat ayat 9 yang maksud-Nya: Wahai orang yang beriman, apabila telah diseru untuk solat pada hari Jumaat, bersegeralah kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli.

Menurut majoriti mazhab seperti Hanafi, Maliki dan Hanbali, berjual beli selepas azan kedua (iaitu azan semasa khatib telah duduk di atas mimbar) hari Jumaat adalah haram, akadnya tidak sah.

Hasil perolehan daripada akad itu juga adalah haram dan pemilikan barang yang dibeli juga tidak sah. Ulama Mazhab Syafie menganggap jual beli pada waktu itu hanya makruh dan masih sah.

Jual beli yang dilakukan setelah azan pertama iaitu sebelum imam atau khatib duduk di atas mimbar, ulama seperti At-Tohawi mengatakan ia adalah sah dan dibenarkan. Cuma tidak digalakkan kerana dibimbangi akan menyibukkan kedua-dua pembeli dan penjual dari kewajipan solat Jumaat.

Perlu difahami bahawa azan di zaman Nabi SAW, Abu Bakar as-Siddiq dan Umar r.a hanyalah sekali sahaja, manakala di zaman Uthman, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).

Imam Al-Bukhari melaporkan bahawa azan Jumaat di zaman Nabi dilaungkan hanyalah sekali iaitu di waktu imam mengambil tempat di atas mimbar.

Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram hanya apabila:

a) Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.

b) Dilakukan oleh lelaki yang wajib solat Jumaat.

c) Mengetahui berkenaan hukum haram ini.

Tuesday, September 15, 2009

Tradisi kalungan bunga MIC

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
pengarang@utusan.com.my

SEMEMANGNYA ada percambahan kepelikan dalam budaya masyarakat Malaysia. Kalau dulu tanpa mengira kaum dan agama ada segan silu dan rasa hormat, tetapi kini nilai-nilai itu semakin menyusut.

Penyusutan nilai itu boleh dilihat pada hari terakhir Perhimpunan Agung MIC Ke-63 kelmarin. Seorang perwakilan mencadangkan ''kalung selipar' pada gambar Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kebiasaannya, tradisi masyarakat India adalah mengalungkan bunga malai sebagai penghormatan baik kepada orang perseorangan mahupun pada gambar.

Tetapi kali ini tradisi yang ditawarkan amat menyongsang dan umpama idea orang yang hilang akal.

Bagi 'menghormati' dan 'menghargai' jasa bekas Perdana Menteri, perwakilan itu mahu 'kalung selipar' diletak pada gambar beliau.

Semuanya itu gara-gara kenyataan Dr. Mahathir yang didakwa mencampuri urusan dalaman MIC.

Biar pun cadangan itu tidak mendapat sokongan tetapi cetusan idea perwakilan dari Ampang, M. Muniandy cukup untuk menggambarkan apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Betapa ada riak kekebalan dalam nada ucapan perwakilan itu. Ada juga unsur angkuh di situ.

Paling jelas ada suara biadab yang tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun.

Beliau tidak boleh menerima rumusan Dr. Mahathir yang Samy Vellu tidak pernah membuat apa-apa untuk kesejahteraan kaum India di negara ini.

Bagi Muniandy, Dr. Mahathir adalah orang luar yang tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusan MIC.

Bekas Perdana Menteri itu juga diselar kerana menegur pemimpin parti itu yang dikategorikan oleh perwakilan berkenaan sebagai seorang yang bijak untuk memimpin parti dengan cara yang baik.

Lebih menarik perhatian, perwakilan yang boleh saja dikatakan 'peminat setia' Samy Vellu memberikan satu perbandingan melampau.

Bekas Menteri Kerja Raya itu disamakan dengan 'pokok ara' dengan akar yang teguh dan tidak akan berganjak walaupun ditiup angin kencang.

Justeru gambar orang yang cuba menggoncang pokok ara itu selayaknya dikalungkan dengan kasut lantaran wujudnya dua darjat di situ - yang pertama sungguh mulia, manakala yang keduanya berada pada kasta yang amat rendah.

Manakala MIC pula seolah-olah parti yang sangat berjaya dan cemerlang pencapaiannya sehingga tidak boleh disentuh atau ditegur. Pemimpinnya juga disifatkan sebagai penyelamat dan pengawal masyarakat India di negara ini.

Sedangkan semua orang tahu di mana kedudukan parti itu sekarang terutama apabila memperkatakan tentang meningkatkan taraf hidup masyarakat India.

Semua orang tidak lupa apa puncanya pertubuhan haram Hindraf ditubuhkan. Ia dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati kaum itu terhadap prestasi Samy Vellu yang menyebabkan golongan kaya semakin kaya dan yang miskin terus merempat.

Terlekat di fikiran semua orang bagaimana penolakan pengundi-pengundi India terhadap kepimpinan sedia ada semasa pilihan raya umum Mac tahun lalu sehingga parti itu mencatatkan pencapaian terburuk dalam rekod pilihan rayanya.

Samy Vellu antara nama yang tewas.

Banyak orang India mendendangkan keluhan mereka - betapa bertahun-tahun dinaungi pemimpin yang seorang itu, tiada kemajuan atau peningkatan taraf hidup yang ketara boleh dilihat.

Sepatutnya acara terbesar yang menghimpunkan masyarakat India di negara ini dari sudut politik menjadi medan untuk muhasabah diri, mengingatkan setiap pemimpin parti itu bahawa jangka hayat mereka tidak lama.

Kini ada Parti Keadilan Rakyat yang menawarkan tempat untuk orang India, ada juga Hindraf yang sering menjadi rujukan masyarakat itu untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka.

Tidak mustahil jika kebiadaban seperti yang ditunjukkan Muniandy dibiarkan begitu sahaja, nama MIC akan luput dari kamus pilihan raya Malaysia.

Hasrat untuk merealisasikan harapan bahawa MIC adalah mengenai masa depan kaum India mungkin tinggal mimpi jika ahli-ahli lepas laku dan tiada rasa hormat kepada pemimpin dibiarkan menjadi api dalam sekam.

Hakikatnya cadangan perwakilan Ampang itu seharusnya dipandang serius oleh Presiden MIC itu sendiri.

Tindakan Samy Vellu mengulas teguran Dr. Mahathir juga merupakan satu kesilapan awal yang dilihat menjadi punca ahlinya mendapat keberanian untuk mengemukakan cadangan kurang ajar itu.

Sebab itu apa yang berlaku di hari terakhir perhimpunan mesti menjadi pengajaran. Sebagai pemimpin yang dipercayai sarat dengan pengalaman dalam bidang politik, percaturan bekas Menteri Kerja Raya dalam menangani kemelut politik dalaman MIC tidak mudah.

Beliau sepatutnya bijak mengatur strategi, memelihara kesopanan dan kesusilaan serta menjaga hubungan akrab sesama parti komponen BN dengan 'menenangkan' teguran Dr. Mahathir itu.

Bukankah pemimpin veteran MIC yang satu masa dahulu bersedia 'sehidup semati' dengan Dr. Mahathir sangat masak dengan ketelusan bekas Perdana Menteri ketika melontarkan kata-katanya.

Justeru sepatutnya isu teguran itu boleh diatasi umpama menarik benang dalam tepung, tepung jangan berselerak dan benang jangan putus.

Dan dalam kes teguran Dr. Mahathir biar pun dilihat sangat pedas tetapi sepatutnya diambil pengajaran daripadanya dan pada masa yang sama ahli-ahli parti diberi peringatan supaya tidak bertindak balas mengikut kata hati yang akhirnya boleh membawa 'mati'.

Hakikatnya Dr. Mahathir sangat arif dan mempunyai alasan terbaik untuk membuat kesimpulan seperti yang dilontarkan tempoh hari.

Bekas Perdana Menteri itu mengetahui siapa Samy Vellu yang bertahun-tahun berada dalam barisan Kabinetnya. Beliau semestinya tahu apa yang telah dibuat oleh pemimpin itu untuk masyarakat India sejak puluhan tahun lalu. Beliau juga tahu apa yang tidak dibuat oleh Samy Vellu sepanjang tempoh tersebut.

Paling penting masyarakat India tahu segala-galanya tentang progres kehidupan mereka di bawah naungan 'pokok ara' itu.

Dan pengetahuan itu tidak selayaknya disusuli dengan kenyataan sangat biadap yang berkumandang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin.

Biar pun Samy Vellu berjanji akan mengenakan tindakan terhadap Muniandy, namun ada tanggungjawab yang lebih besar mesti dilakukan.

Berkata benar kepada ahli-ahli parti, berkhidmat untuk parti dan jika terbukti tidak lagi mampu memimpin parti maka berundurlah. Masyarakat India mahu perubahan dan perubahan itu bukan lagi di bawah 'pokok ara'.

Tidakkah mereka sedar pokok ara itu hakikatnya semakin dimakan anai-anai lantaran tegaknya ia sejak berpuluh tahun lalu tidak lagi dapat memberi manfaat kepada sesiapa.

Monday, September 7, 2009

Alain Robert: Wira atau penceroboh?

Oleh Manja Ismail

Insiden KLCC dipanjat dedah kepincangan tahap keselamatan

APABILA warga Perancis, Alain Robert Philippe, 47, yang terkenal dengan jolokan 'Spiderman' kerana gemar memanjat bangunan pencakar langit, berjaya menawan puncak Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada pagi Selasa lalu, beliau menjadi antara tajuk berita utama media tempatan dan antarabangsa.

Ramai juga rakyat tempatan seperti dilihat menerusi sembang mereka di internet, meletakkan lelaki yang disahkan sebagai orang kurang upaya oleh Kerajaan Perancis itu sebagai wira. Malah ada yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menahan dan mendakwanya di mahkamah kerana menceroboh sedangkan menurut mereka, Robert memberi publisiti kepada Malaysia tanpa memerlukan Kementerian Pelancongan membelanjakan satu sen pun.



Robert, yang mula ketagih memanjat sejak berusia 12 tahun, sudah menawan 85 binaan tinggi di seluruh dunia, termasuk beberapa pencakar langit kebanyakannya hanya menggunakan tangan dan kasut mendaki. Antaranya ialah Empire State Building di New York setinggi 1,250 kaki, Sears Tower, Chicago (1,453 kaki), Taipei 101 di Taiwan (1,667 kaki) dan Bangunan Jin Mao di Shanghai (1,378 kaki).

Sementara pendakiannya di Taipei 101, bangunan paling tinggi di dunia sekarang, dilakukan sempena pembukaannya pada 2004, tindakannya memanjat Menara Jin Mao pada 2007 menyebabkan dia dipenjara lima hari dan diusir dari China. Kecuali di Taipei 101 dan Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Pelaburan Abu Dhabi pada 2007 yang dilakukan dengan kebenaran pihak berkuasa, tindakan Robert ke atas sebahagian besar bangunan tinggi dibuat tanpa izin dan dikenakan tindakan atas dakwaan menceroboh atau melakukan aksi berbahaya.

Ketika Menara Berkembar Petronas siap sepenuhnya pada akhir 1990-an, Robert mendapat perhatian dunia sama ada dia dapat menawannya, yang ketika itu memegang rekod bangunan tertinggi di dunia. Pada 1997, setahun sebelum bangunan itu dibuka secara rasmi, tanpa disedari pihak berkuasa, dia sempat memanjat sehingga ke tingkat 60 sebelum ditahan.

Sepuluh tahun selepas itu, pada 20 Mac 2007, Robert sekali lagi mencuba dan ketika tiba di tingkat 60 serta sempat mengibarkan Jalur Gemilang, dia ditahan pihak berkuasa. Bagaimanapun, ketika itu, dia mendapat tepukan orang ramai ketika melihatnya digari dan dibawa masuk ke kereta polis.

Pada pagi Selasa lalu, sehari selepas negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52, Robert, yang dilaporkan mula memanjat pada jam 6 pagi, dengan megahnya mengangkat kedua-dua tangan sebagai tanda kejayaannya menawan puncak Menara Dua KLCC. Robert yang ditahan selepas itu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret keesokannya atas tuduhan menceroboh bangunan milik KLCC Holdings.

Dia, yang didakwa mengikut mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, didenda RM2,000 atau lima hari penjara. Robert, seperti dilakukan dalam beberapa kes sama di negara lain sebelum ini dengan senyum membayar denda itu.

Walaupun tindakan Robert minggu lalu itu, kepada sesetengah orang, secara tidak langsung memberi publisiti positif dari sudut pelancongan, ia juga menimbulkan tanda tanya mengenai kemampuan kita melindungi kawasan atau bangunan strategik negara. Dalam senarai bangunan keutamaan keselamatan tertinggi, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Menara Berkembar Petronas diletakkan pada tahap dua.

Selain menempatkan Ibu Pejabat Petronas, sumber utama pendapatan negara, bangunan itu juga menjadi tumpuan utama orang ramai sama ada rakyat tempatan atau pelancong. Dalam kata lain, jika Malaysia seperti Amerika Syarikat yang dimusuhi banyak negara dan kumpulan pengganas, Menara Berkembar Petronas adalah antara sasaran utama mereka.

Kita bernasib baik kerana motif Robert menawan Menara Berkembar Petronas mungkin hanya kerana 'kegilaan' atau untuk memenuhi egonya saja. Yang pasti, cubaan ketiga Robert menawan Menara Berkembar Petronas minggu lalu dirancang dengan teliti kerana ia turut membabitkan penggunaan helikopter, yang difahamkan berlepas dari Pangkalan Udara Sungai Besi serta dirakam oleh stesen televisyen asing.

Yang menjadi persoalan, bagaimana Robert yang memang terkenal dengan 'pencerobohannya' begitu mudah melepasi kaunter imigresen tanpa disoal tujuan kedatangannya? Jika pun tiada alasan bagi imigresen menghalang kedatangannya sebagai pelancong, apakah jabatan itu tidak mempunyai rekod mengenai Robert supaya ia dapat memaklumkan kepada polis atau Jabatan Keselamatan Petronas?

Bagaimana pula dengan penggunaan helikopter yang terbang begitu rendah untuk merakam aksi Robert? Apakah kawasan bangunan tinggi di pusat bandar raya seperti sekitar KLCC bukan zon larangan terbang seperti di kebanyakan ibu kota lain? Jika ya, apakah tiada tindakan oleh Jabatan Penerbangan Awam?

Memang Robert, seperti kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, tidak menggugat keselamatan negara kerana dia memasuki negara ini sebagai pelancong. Tetapi bukankah ramai penjenayah atau pengganas yang memasuki sesebuah negara sering berselindung sebagai pelancong?

Bagaimana jika Robert pada pagi Selasa lalu hilang kewarasannya sebagai pemanjat atau pelancong dan bertukar menjadi pengebom berani mati? Kerana itu, walaupun ada yang melihat aksi lelaki Perancis itu sebagai hadiah ulang tahun kemerdekaan negara, ia turut mendedahkan betapa mudahnya kepentingan negara diceroboh orang asing, walaupun selepas 52 tahun merdeka.

Saturday, August 29, 2009

Bumiputera masih mundur, tercicir ekonomi

Oleh Abdul Aziz Abdul Rahman

Kerajaan perlu galak penyertaan orang Melayu dalam kegiatan ekonomi secara tersusun

DASAR penjajah memberikan keutamaan kepada kaum lain dengan menggalakkan mereka tinggal di bandar demi kepentingan pihak British untuk memudahkan segala urusan jual beli. Pada masa sama industri bijih timah dan getah berkembang, maka secara perlahan-lahan orang Melayu terpaksa akur dengan keadaan hidup yang semakin terhimpit memaksa mereka berpindah ke luar bandar kerana taraf hidup semakin meningkat, sekali gus tidak lagi mampu bersaing dengan kaum lain kerana tiada modal, kemahiran dan pengalaman berniaga.

Maka tinggallah orang Melayu di kampung dengan mengamalkan cara hidup pertanian tradisional berbekalkan tulang empat kerat untuk 'survival'.



Peralihan cara hidup ini turut menjejaskan peluang pendidikan anak Melayu ke sekolah Inggeris. Pendidikan yang ada di luar bandar atau kampung pada masa itu hanya setakat Darjah Enam di sekolah Melayu. Sekali lagi orang Melayu jauh ketinggalan dari segi pendidikan.

Orang Melayu terus dipinggirkan, dipandang sepi dan hidup dalam penuh kedaifan. Jurang ekonomi kian melebar antara kaum. Begitu juga pendidikan anak Melayu tidak mendapat tempat di hati British.

Selepas kemerdekaan pada era 60-an, kerajaan banyak menumpukan pelaksanaan dasar untuk mengurangkan jurang perbezaan ini, tetapi tidaklah begitu berjaya sehingga berlakunya Tragedi 13 Mei 1969.

Kerajaan darurat yang diketuai Tun Abdul Razak Hussein mewujud dan memperkenalkan pelbagai dasar dan program membaiki jurang perbezaan antara orang Melayu dan bukan Melayu atas asas untuk mewujudkan perpaduan.

Prinsip Rukun Negara diperkenalkan dan diisikan pula dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1970 selaras pelancaran Rancangan Pembangunan Ekonomi Kedua (1971-1975).

DEB bertujuan membasmi kemiskinan tidak kira bangsa dan agama, juga memperbaiki jurang perbezaan ekonomi dari segi pendapatan, pekerjaan dan harta.

Ia bererti mewujudkan tindakan menyusun semula ekonomi dan struktur masyarakat supaya pengagihan harta antara orang Melayu dan bukan Melayu lebih saksama.

Tindakan yang dirancang dan diambil termasuk, kerajaan Persekutuan dan negeri serta agensi kerajaan hendaklah memainkan peranan yang lebih aktif untuk campur tangan (interventionist role) bagi menentukan orang Melayu memperoleh peluang memasuki sektor moden dan institusi baru.

Jadi, institusi baru ditubuhkan seperti Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) pada peringkat negeri, syarikat di bawah Mara, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Pernas, Lembaga Padi atau Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama). Malangnya, pada 80-an dan 90-an sebahagian besar badan itu sama ada dihapuskan atau diswastakan, sekali gus ia tidak lagi boleh berfungsi mengikut tujuan asalnya.

Rangka dasar itu hendaklah bersesuaian dan mampu menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi. Keadaan ini boleh membantu membasmi kemiskinan dan pengagihan pendapatan dengan lebih saksama.

Tindakan perlu diambil untuk mewujudkan aktiviti ekonomi yang boleh menghasilkan banyak pekerjaan supaya mencapai keadaan guna tenaga penuh.

Selain itu, usaha membangunkan keupayaan orang Melayu, antaranya mengadakan program dalam bidang pendidikan dan latihan perlu dilaksanakan supaya mereka dapat mengambil bahagian dalam proses pembangunan.

Lebih daripada itu, semua orang Malaysia diberi pelajaran bagi maksud mewujudkan asas sistem nilai hidup sama bagi generasi muda dengan harapan dapat mencapai perpaduan negara dan integrasi kaum.

Pokoknya, DEB dibentuk bertujuan mengubahkan keadaan sosial dan ekonomi dengan harapan mewujudkan masyarakat Malaysia yang mampu melupakan jurang perbezaan antara kaum bagi negara melangkah ke depan.

Ketika DEB dilancarkan pada 1970, modal (ekuiti) Bumiputera cuma pada kadar 2.4 peratus, tetapi pada 1990 ia bertambah kepada 19.3 peratus. Dari segi nilai, modal Bumiputera bertambah dari RM47 juta kepada RM20.9 bilion pada 1990 dan 2002 ia bertambah kepada RM73.2 bilion.

Penambahan modal ini berikutan penubuhan syarikat pelaburan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Lembaga Urusan dan Tabung Haji . Namun, pada 2002 iaitu 12 tahun selepas 1990, modal saham Bumiputera turun kepada 18.7 peratus.

DEB tamat pada 1990, tetapi disambung dengan Dasar Pembangunan Nasional (NDP) dengan disokong prinsip Wawasan 2020 bagi maksud mengeluarkan profesional, ahli sains dan ahli teknologi.

Hasrat NDP lebih kurang sama DEB. Jumlah profesional Bumiputera bertambah dari 21 peratus pada 1990 kepada 30 peratus pada 2002.

Sejak DEB dilancarkan kadar kemiskinan turun dari 52 peratus pada 1970 kepada lima peratus pada 2002. Kadar kemiskinan di luar bandar turun dari 59 peratus kepada 11 peratus pada tempoh sama.

Sungguhpun, taraf ekonomi Bumiputera dapat ditingkatkan, kita tidak mencapai kejayaan sepenuhnya. Jika dibandingkan dengan bangsa lain, Bumiputera masih jauh tertinggal di belakang.

Pendapatan keluarga Bumiputera lebih rendah daripada pendapatan keluarga orang Cina. Jumlah profesional Melayu banyak bertambah, tetapi masih tertinggal berbanding bangsa lain.

Malah, kadar pertumbuhan pelaksanaan ekonomi orang bukan Melayu lebih cepat daripada orang Melayu. Oleh itu, umpamanya apabila ekonomi negara tumbuh pada kadar 8 peratus pada awal 1990, orang bukan Melayu mendapat lebih banyak faedah kerana mereka lebih cekap dan mampu.

Orang Melayu masih perlu dibantu dan perlu ada agenda tertentu untuk membangunkan mereka dengan lebih teratur dan tersusun.

Segala kuasa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipakai dan dilaksanakan dengan saksama. Pada 2005, satu dasar baru diperkenalkan iaitu Misi Nasional, untuk meningkatkan ekonomi dan mempertahankan pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya 6 peratus

Justeru, sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-52 ini, banyak perkara yang perlu direnungkan. Isu pokok iaitu kemunduran dan ketinggalan ekonomi Bumiputera dalam negaranya sendiri, selain itu isu membasmi kemiskinan, meningkatkan penyertaan dan penguasaan Bumiputera dalam bidang ekonomi moden perlu difikirkan.

Secara keseluruhan, penyertaan masyarakat Bumiputera dalam bidang perniagaan, perdagangan dan perindustrian negara masih pada tahap rendah berbanding pembabitan masyarakat bukan Bumiputera.

Keadaan pada tahun mendatang memerlukan tahap daya saing tinggi daripada sesiapa saja yang menjalankan kegiatan perdagangan dan perindustrian.

Era globalisasi akan mengakibatkan negara menjadi lebih terbuka dan terpaksa bersaing di arena antarabangsa. Persediaan perlu dipertingkatkan.

Satu perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah masalah pembentukan masyarakat Bumiputera berbudaya niaga dan berbudaya usahawan.

Masyarakat Bumiputera di bandar tidak memperoleh tradisi perdagangan atau perindustrian masyarakat bandar yang dibolot masyarakat bukan Bumiputera, menunjukkan pergantungan mereka kepada bekerja makan gaji sama ada dengan kerajaan atau swasta. Orientasi sikap perlu ditekankan.

Paling penting ialah usaha membawa golongan miskin keluar daripada kemiskinan. Pelbagai strategi dan program yang ada untuk menambah pendapatan boleh diteruskan. Hakikat bahawa kadar kemiskinan yang dijangka dalam tempoh DEB dapat dicapai menunjukkan strategi lampau masih sesuai.

Justeru, strategi yang ada kini diteruskan tetapi perlu menekankan 'kesampaian' dan keberkesanan program kepada kumpulan sasaran yang tepat dan dikenal pasti.

Justeru, badan baru perlu ditubuhkan di bawah Akta Mara 1966 yang sudah lengkap dan tidak lagi perlu dibahaskan di mana-mana. Ini adalah untuk memastikan orang Melayu berupaya menceburkan diri dalam kegiatan perniagaan. Ini bermakna kerajaan perlu mempertingkatkan pentadbiran Mara secara radikal

Pembangunan tanah simpanan Melayu, tanah Baitulmal dan tanah kerajaan di bandar boleh diuruskan oleh mana-mana badan baru yang diwujudkan itu, dengan tujuan memperbaiki kedudukan orang Melayu di bandar.

Inflasi dalam bidang hartanah di bandar dalam tempoh 20 tahun lalu memberi impak kepada ketidakmampuan orang Melayu untuk terus menetap di bandar, jauh sekali menceburkan diri dalam urusan perniagaan. Mereka perlu diberi bantuan sewajarnya oleh kerajaan kerana tanpa campur tangan sukar bagi tanah berkenaan dibangunkan untuk tujuan komersial dan kawasan perumahan.

Kelemahan pemasaran hasil pertanian, perikanan dan ternakan boleh diatasi dengan memperkemaskan sistem pengurusan Fama dan melebarkan sayap operasinya.

Orang Melayu di luar bandar bukan malas bercucuk tanam, tetapi mereka tidak memiliki rangkaian pemasaran yang cekap dan berkesan untuk memasarkan hasil tanaman, perikanan dan ternakan mereka.

Kerajaan juga perlu mewujudkan banyak aktiviti yang berupaya menggalakkan penyertaan orang Melayu dalam kegiatan ekonomi, termasuk dalam projek mega yang sedang dijalankan.

Banyak perkara, projek dan dasar sedang dan akan dilaksanakan perlu diperhalusi dan diurus dengan teliti dengan memastikan orang Melayu terus diberi peluang bukan saja untuk meraih sedikit keuntungan tetapi juga diberi pendedahan untuk menimba pengalaman.

Kerajaan perlu memfokuskan perhatian kepada peruntukan Perlembagaan Artikel 153 dan menetapkan kementerian tertentu bertanggungjawab mencari idea dan inisiatif bagi melaksanakannya dan memantau dengan lebih berkesan. Peruntukan undang-undang ini adalah satu-satunya usaha untuk memperbaiki keadaan ekonomi orang Melayu yang dipertahankan ketika mencapai kemerdekaan.

Kesimpulannya, tindakan memperbaiki ekonomi Bumiputera secara tegas perlu dilaksanakan segera, jika tidak, kedudukan ekonomi Bumiputera akan terus menjurus kepada tahap lebih teruk pada masa akan datang, apatah lagi pada era dan suasana persaingan akibat ekonomi globalisasi.

Penulis ialah bekas Pengarah Urusan Penerbangan Malaysia (MAS) dan kini pengamal undang-undang.

'Abang belajar apa, tolong ajar aku'

Oleh Bennie Zie Fauzi dan Suzan Ahmad
bminggu@bharian.com.my

GAMBAR kenangan Dr Ismail bersama keluarga.



Zakaria terkenang azam Prof Dr Ismail kejar ilmu ketika kecil

JANJI Zakaria Md Salleh, 64, kepada ibunya dia akan menjaga adiknya sampai mati bukan cakap kosong.

Khamis lalu adalah penamat khidmat beliau sebagai pembantu peribadi yang juga abang kepada Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech, Allahyarham Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh.

Ismail meninggal dunia dalam penerbangan dari China ke Singapura pagi Khamis lalu pada usia 61 tahun.

Pemergian mengejut Allahyarham adiknya itu akibat komplikasi serangan jantung banyak meninggalkan kenangan kepada beliau, apatah selaku 'mata dan telinga' untuk adiknya itu, khususnya apabila mengingati ada perjuangan Allahyarham yang belum selesai.

Masih kuat dalam ingatan, setiap kali pulang dari sekolah ketika kecil, Ismail akan setia menunggu dengan pelita tanah. Zakaria disapa dengan ayat: "Apa abang belajar hari ini, tolong ajar aku." Demikianlah minat mendalam terhadap ilmu pengetahuan ditunjukkan Allahyarham seawal usia lima tahun.


"Kesungguhan Allahyarham dan desakan hidup akibat kemiskinan ditambah persepsi masyarakat yang menghina serta memandang serong keluarga kami yang ada anak cacat penglihatan menguatkan lagi hati saya untuk berkorban apa saja demi masa depannya," katanya yang terpaksa memperlahankan aktiviti bersama Allahyarham tiga tahun lalu, selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.

Walaupun hidup susah dalam rumah yang berdinding dan lantai buluh serta beratap rumbia, mereka sembilan beradik begitu bersyukur dengan ayah mereka, Md Salleh Yusof yang hanya petani, tetapi berpandangan jauh.

"Kami sekeluarga terpaksa menerima tohmahan dan umpat cerca orang kampung apabila ayah menempatkan Ismail di Sekolah Orang Buta Princess Elizabeth di Johor Bahru. Kata mereka kami sekeluarga nak cuci tangan daripada tanggungjawab membela anak kurang upaya, tidak kurang pula menyindir sanggup menjaga Ismail jika ayah tidak sanggup," katanya yang dibesarkan di Kampung Gua Salor, Pasir Mas, Kelantan.

Biarpun permulaan usaha untuk memastikan mutu pembelajaran diterima setimpal dengan kebijaksanaan Allahyarham, hakikatnya kemudahan untuk orang seperti Ismail pada awal 60-an hampir tiada cukup untuk perkara asas saja.

Sebagai abang yang memang cukup akrab dengan Allahyarham, kasih sayangnya terhadap adik beradik lain tidak dibeza-bezakan. Lumrah dalam hubungan adik beradik memang tidak dapat lari daripada berselisih faham, namun tidak bagi Zakaria dan Ismail.

"Susah untuk saya jelaskan, keakraban kami sebagai adik beradik sukar untuk diterjemahkan. Biarpun saya diibaratkan mata dan telinganya, saya tidak ambil hati langsung jika ditegur Allahyarham. Bagi saya, apa yang keluar dari mulutnya datang daripada Allah, bukan sembarangan. Gerak rasa, pemikirannya melangkaui insan normal, sangat luhur buat saya.

"Adik beradik lain sangat memahami tumpuan yang perlu diberikan kepada Allahyarham. Mereka tidak pernah merungut, malah bersama-sama cuba membantu selagi terdaya," katanya yang sanggup meninggalkan perniagaan miliknya semata-mata untuk menjadi mata dan telinga kepada Allahyarham.

"Memang saya tinggalkan semuanya kerana dia. Saya tinggalkan perniagaan di kampung padahal orang kampung ketika itu banyak bergantung pada kedai itu. Sebelum saya kahwin, sayalah yang membacakan buku untuknya, tukang masak, tukang dobi, menguruskan makan minum, pemandu, pembantu dan macam-macam lagi. Apa saja, semuanya saya buat tanpa mengabaikan adik yang lain," katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Kantan, Kajang sekembali dari menziarahi pusara adiknya.

"Sebaik dia kembali dengan tiga ijazah dalam masa tujuh tahun, perubahan kehidupan mula dirasai. Inilah hasil yang diraih selepas pelbagai pengorbanan hingga Allahyarham dan kami adik beradik mampu menghantar dua lagi adik kami melanjutkan pelajaran ke Australia dan Amerika Syarikat," katanya.

Beliau mengakui Allahyarham amat tersentuh ketika membicarakan soal masa depan Melayu.

"Sebagai pakar ekonomi, dia sangat bimbang orang Melayu ketinggalan kerana padanya Tragedi 13 Mei 1969 berpunca daripada kemiskinan yang dihadapi Melayu.

"Allahyarham berjuang untuk bangsa Melayu dan berjuang untuk membasmi kemiskinan. Usahanya selama ini tidak akan berkubur, malah pemergiannya bukan penghalang untuk memperjuangkan peningkatan akses terhadap infrastruktur orang kurang upaya (OKU) yang pada pendapatnya jauh ketinggalan berbanding di negara lain," katanya.

Syafiq Hanis , 19, anak keempat dan paling rapat dengan Allahyarham berkata, bapanya tidak pernah meninggikan suara, melenting apatah lagi memukul ketika mendidik anak.

"Biarpun ayah tegas, terutama dalam menentukan pendidikan anak, tetapi sekalipun ayah tidak pernah menguatkan suara setiap kali kami melakukan kesalahan. Malah, ayah ketawa apabila melihat emak menegur dan marahkan kami adik-beradik," katanya.