Wednesday, October 29, 2008

Biar Ketua Hakim Negara buktikan pelantikan tepat

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Orang ramai harus memberi peluang kepada Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi membuktikan pelantikannya adalah tepat berdasarkan pada penghakiman yang bakal beliau putuskan.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Wong Nai Chee berkata, masyarakat tidak seharusnya beranggapan bahawa seseorang peguam yang mempunyai hubungan akrab dengan UMNO tidak boleh menjadi seorang hakim yang baik.

''Kita tidak patut membuat keputusan sebelum melihat prestasi beliau. Sebaliknya kita perlu berfikiran terbuka dan objektif.

''Beliau harus diberi peluang untuk menghapuskan keraguan orang ramai terhadap pelantikannya itu,'' katanya yang juga seorang peguam dalam rancangan What You Say yang disiarkan di TV2 pagi ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan pengacara rancangan tersebut tentang pelantikan Zaki sebagai Ketua Hakim Negara yang telah menimbulkan keraguan pelbagai pihak.

Nai Chee merupakan salah seorang daripada tiga ahli panel rancangan tersebut yang membincangkan topik mengenai pembaharuan yang ingin dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam sistem kehakiman, membendung rasuah dan Suruhanjaya Bebas Terhadap Salah Laku dan Aduan Polis (IPCMC).

Menurut Nai Chee, pelantikan hakim kanan di kalangan mereka yang berjawatan dalam parti politik turut berlaku di negara lain seperti di Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu penganalisis politik, Wong Chin Huat tidak bersetuju dengan pendapat Nai Chee dan menyatakan sistem pelantikan kehakiman Malaysia dan AS adalah berbeza.

''Ia memang wujud di Amerika Syarikat. Tetapi negara kita mengamalkan sistem kehakiman British,'' katanya.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang turut mengambil bahagian dalam program itu turut mempertikaikan pelantikan Zaki sebagai Ketua Hakim Negara dalam masa yang terlalu singkat.

''Sekiranya Perdana Menteri kita bertekad untuk melakukan pembaharuan dalam badan kehakiman, maka beliau tidak patut melantik Zaki sebagai Ketua Hakim Negara.

''Kita tidak melihat penghakiman yang ketara selama ini. Beliau yang dianggap sebagai peguam bela UMNO, pasti akan menimbulkan keraguan orang ramai terhadap pelantikan itu,'' ujarnya.