Tuesday, August 23, 2011

Anwar didakwa hina mahkamah, jatuhkan reputasi institusi kehakiman


KUALA LUMPUR 23 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan telah menghina mahkamah dalam kenyataan pembelaan kes liwatnya semalam apabila 'menyerang' Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah secara terang-terangan.

Peguam terkemuka, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berkata, selain memburukkan imej Mohamad Zabidin, Anwar juga dilihat cuba menjatuhkan reputasi institusi mahkamah di negara ini apabila mendakwa beliau ditindas daripada mendapat perbicaraan yang adil.

"Dalam kenyataan pembelaan Anwar setebal 32 muka surat semalam, beliau secara terang-terangan telah memburukkan institusi mahkamah serta para pegawai seperti hakim di hadapan para pemerhati dan orang awam.

"Kenyataan (pembelaan) Anwar semalam bukan bersifat membela diri tetapi lebih daripada kenyataan politik yang memburukkan mahkamah serta mengutarakan perkara-perkara tidak relevan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Semalam, Anwar dalam keterangan selama kira-kira satu jam 45 minit menegaskan bahawa Mohamad Zabidin menindas hak beliau untuk mendapat perbicaraan adil sungguhpun hakim berkenaan telah berpuluh kali membenarkan penangguhan demi menghormati Ahli Permatang Pauh itu sebagai tertuduh.

Anwar yang memilih untuk memberi pernyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh dilihat cuba 'menyelamatkan' dirinya daripada disoal balas oleh pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abidin.

Mengulas perkara itu, kata Muhammad Shafee, setiap tertuduh mempunyai hak untuk berbuat demikian tetapi ia agak jarang digunakan kecuali atas sebab-sebab tertentu seperti tertuduh itu mempunyai tahap keupayaan minda yang rendah berbanding manusia normal lain.

"Ia biasanya digunakan dalam kes-kes tertuduh yang amat naif, antara waras atau tidak, ataupun tertuduh itu mempunyai sesuatu yang ingin disorokkan dan tidak berupaya menghadapi pemeriksaan balas pendakwa raya.

"Kenyataan tanpa bersumpah sebenarnya tidak memerlukan seseorang tertuduh itu untuk bercakap benar di mahkamah kerana pihak pendakwa tidak boleh ataupun tidak perlu menyoal balas tertuduh," katanya.

Sunday, August 21, 2011

Anwar pilih bela diri di kandang tertuduh

Berita harian online


2011/08/22
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk memberi keterangan di kandang tertuduh bagi membela diri terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang bermula di sini hari ini.

Ketika prosiding bermula, Karpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan memberitahu mahkamah anak guamnya akan memberi keterangan dari kandang tertuduh. Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, berkata Anwar mempunyai tiga pilihan memberi keterangan di kandang saksi di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas beliau; memberi keterangan di kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan tidak boleh menyoal balas tertuduh tetapi semasa membuat keputusan mahkamah boleh mengambil kira fakta yang pihak pendakwaan tidak memeriksa balas tertuduh; atau memilih untuk berdiam diri, iaitu tidak memberi sebarang keterangan. Pada 8 Ogos, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menemu bual antaranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, serta bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Pada 12 Ogos, Najib dan Rosmah hadir ke mahkamah untuk temu bual itu dan masing-masing meluangkan masa kira-kira lima minit dalam bilik mesyuarat bersama Karpal dan SN Nair serta Anwar.

Pada 16 Mei, Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan Mohd Saiful, iaitu pengadu dalam kes itu berkata benar dan saksi yang boleh dipercayai.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008 terhadap tuduhan melakukan hubungan bertentangan hukum alam di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun yang sama. - BERNAMA