Friday, September 21, 2007

Permodalan pasaran GLC meningkat RM103 bilion

Program transformasi turut sumbang tambah nilai kepada pemegang saham

PROGRAM transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dilancarkan tiga tahun lalu mencatat pencapaian menggalakkan dengan nilai permodalan pasaran syarikat berkenaan meningkat 71 peratus atau RM103 bilion kepada RM248 bilion.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata program yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu yang kini memasuki fasa ketiga pelaksanaannya turut menyumbang kepada menambah nilai kepada pemegang saham 20 GLC utama (G-20), di samping peningkatan prestasi kewangan masing-masing.

"Kita juga menyaksikan peningkatan pendapatan syarikat berkenaan yang meningkat sebanyak 60 peratus tahun lalu dan jangkaan 45 peratus tahun ini.

"Pencapaian GLC ini juga tidak boleh dilihat hanya dari segi kewangan semata-mata kerana ia juga menyumbang kepada kemajuan dalam industri strategik seperti perbankan, tenaga dan telekomunikasi yang disertai syarikat terbabit," katanya.

Beliau memberitahu demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Putrajaya Bagi Prestasi Tinggi GLC kali ke-15 (PCG15) di Kementerian Kewangan di Putrajaya, semalam.

Mesyuarat itu dihadiri Pengerusi dan Ketua Eksekutif G-20.

Nor Mohamed menegaskan, keputusan kewangan terbaru syarikat berkenaan, iaitu bagi suku tahunan berakhir 30 Jun lalu menunjukkan program transformasi GLC berada di landasan yang betul dengan beberapa syarikat menunjukkan peningkatan berterusan dalam prestasi dan operasi.

Beliau berkata, setakat 14 September 2007, keseluruhan pulangan pemegang saham bagi G-20 naik 90.77 peratus mengatasi prestasi penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 0.7 peratus.

"Ini adalah satu pencapaian yang cemerlang kerana pencapaian baik syarikat GLC itu turut meningkatkan daya saing negara," katanya.

Justeru, beliau berkata, program transformasi GLC yang akan dilaksanakan sehingga 2015 akan terus memberi penekanan kepada usaha dan langkah bagi memastikan GLC terus menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Langkah akan terus diambil bagi memaju dan memastikan GLC memainkan peranan dalam menjana pertumbuhan ekonomi," katanya.

Nor Mohamed juga berkata, semua GLC mestilah terus mempertahankan momentum yang dibina sejak beberapa tahun kebelakangan dan terus memastikan pembaharuan itu berjaya.

Bagi meningkatkan lagi program transformasi itu ke tahap lebih tinggi, beliau berkata, PCG akan mengemukakan laporan akhir tahun kepada Perdana Menteri, Disember ini.

Selain itu, kajian kemajuan prestasi tahunan GLC juga akan diumumkan pada Mac 2008 apabila keputusan kewangan bagi 2007 diumumkan dalam suku pertama 2008.

"Menjelang akhir 2010, program transformasi itu disasarkan akan memberi manfaat besar kepada pihak berkepentingan dalam GLC seperti kerajaan, masyarakat Bumiputra, pelanggan, pembekal dan kakitangan," katanya.

RM14b bangun kota Hadhari

IPOH 21 Sept. – Sebuah bandar raya Islam bertaraf antarabangsa yang akan dikenali sebagai Hadhari International City berharga RM14 bilion akan dibina di Sungai Behrang, Tanjong Malim dekat sini.

Pengerusi Eksekutif T.J Harmoni Sdn. Bhd., Datuk Othman Hassan berkata, jika diluluskan projek itu dijangka siap dalam tempoh 10 tahun.

Projek itu apabila siap akan mewujudkan komponen wilayah-wilayah seperti Arab, Asia, Afrika, Eropah dan antarabangsa.

Katanya, bandar raya Islam bertaraf antarabangsa itu dirancang dibina di atas tanah seluas 2,240 hektar.

‘‘Ia akan dimajukan dengan pelaburan bersama antara TJ Harmoni, China dan beberapa negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC),’’ katanya.

Othman kelmarin menemui Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali di pejabatnya untuk mengemukakan permohonan bagi projek tersebut.

Beliau berkata, bandar raya ini merangkumi pusat Hadhari antarabangsa, pusat bandar, pusat kecemerlangan modal insan dengan institusi latihan dan pendidikan, perumahan terancang, perniagaan, rekreasi, kemudahan infrastruktur dan utiliti.

‘‘Kita akan memulakan projek ini sebaik-baik sahaja mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri Perak,” katanya.

‘‘Apabila siap nanti, bandar ini akan mempunyai 20,000 buah rumah dengan penduduk berjumlah 200,000,” katanya.

Beliau berkata, antara komponen lain yang disediakan ialah pusat pentadbiran antarabangsa, pusat persidangan, pasar raya, premis jualan terus dari kilang, hotel dan rumah kelab.

Katanya, projek itu akan dibina di atas tanah peneroka Felda Sungai Behrang yang terletak 10 kilometer dari pekan Slim River dan 5 kilometer dari Bandar Behrang 2020.

Othman berkata, buat permulaan pihaknya akan mendirikan sebuah universiti Islam antarabangsa yang setaraf dengan kampus Universiti Al-Azhar di Mesir atau Universiti Al-Ulum di Madinah yang akan dikenali sebagai Universiti Islam Antarabangsa Hadhari.

Pembinaan universiti itu dijangka membabitkan pelaburan bernilai RM4 bilion, katanya.

Katanya, universiti itu dijangka mampu menampung lebih 10,000 pelajar antarabangsa dan tempatan apabila beroperasi nanti.

Di samping itu, katanya, bagi menarik pelancong terutama dari negara anggota OIC dan ASEAN, sebuah pusat pakar perubatan antarabangsa yang serba moden turut akan didirikan melibatkan kos sebanyak RM1 bilion.

‘‘Projek bandar raya ini apabila siap nanti akan menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri Perak,” katanya.

Air mata orang ramai iringi pemergian Nurin Jazlin

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Tangisan dan deraian air mata orang ramai, tanpa mengira kaum, umur dan keturunan, mengiringi pemergian Nurin Jazlin Jazimin, kanak-kanak mangsa culik yang mati dibunuh, ketika dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Gombak, di sini petang ini.

Jenazah itu dimasukkan ke liang lahad tepat pada pukul 2.45 petang ini selepas solat Jumaat, sambil disaksikan oleh ibu bapanya, Jazimin Abdul Jalil, 33, dan Norazian Bistaman, 35, dan kaum keluarga serta jiran.

Kesedihan pasangan suami isteri itu yang kehilangan “Kak Ngah”, panggilan mesra bagi Nurin Jazlin, amat ketara dan kerap kali Norazian, berjubah dan bertudung hitam, terpaksa ditenangkan oleh keluarganya.

Suasana bertambah pilu ketika hadirin sepi memberi perhatian kepada pembacaan talkin.

Selesai pengebumian, Jazimin yang sebelum ini tidak dapat menerima hakikat bahawa kanak-kanak yang dibunuh itu adalah anaknya, kelihatan gagal mengawal emosinya apabila menangis teresak-esak di hadapan pusara Nurin Jazlin hingga ditenangkan oleh keluarga terdekat, sambil diperhatikan tiga lagi anaknya.

Selepas kembali tenang, Jazimin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang prihatin apabila tidak putus-putus mengirim ucapan takziah kepadanya sekeluarga.

“Saya juga berterima kasih kepada mereka yang bersama-sama saya sekeluarga mencari tanpa putus asa sejak Nurin hilang 20 Ogos lalu,” katanya.

Terdahulu, jenazah Nurin Jazlin dikapan dan disembahyangkan di Madrasah Assa’adah Seksyen 1 Wangsa Maju, iaitu berhampiran kediaman keluarga kanak-kanak berkenaan, sebelum dibawa dengan van sejauh 3 km ke tanah perkuburan itu.

Imam madrasah itu, Mohd Aziz Elias Zahari turut sebak ketika mengimamkan solat jenazah yang disertai kira-kira 200 orang selepas menunaikan solat Jumaat.

Sementara itu, Jazimin, yang kelihatan sering menitiskan air mata sejak pagi ini terutama apabila bersendirian, ketika ditemui pemberita jelas tidak dapat membendung rasa marahnya terhadap pembunuh anak kesayangannya itu.

“Pembunuh itu perlu dihapus dari muka bumi dan dihukum.

“Perbuatan pembunuh itu lebih keji dari binatang. Ini bukan kesalahan ibu bapa tetapi pembunuh yang tidak berhati perut,” katanya.

Jazimin berkata, walaupun tidak dapat mengenal pasti mayat anaknya sendiri sebelum ini kerana terlalu banyak perubahan ketara pada fizikal mayat, beliau reda dengan keputusan DNA itu.

“Cukuplah, tak perlu lagi buat ujian DNA kali kedua,” katanya.

Sebelum itu, bagi menenangkan jiwanya, Jazimin sebaik tiba di madrasah tengah hari ini dari hospital bersama-sama jenazah anaknya, tiba-tiba berhasrat untuk membayar zakat fitrah berjumlah RM28.20 bagi mereka enam sekeluarga termasuk Nurin Jazlin, di kaunter zakat madrasah itu.

Norazian pula kelihatan tidak mampu untuk berkata-kata, dan setiap pertanyaan pemberita hanya disambut dengan esakan.

Rakan Norazian, Rin Abdul Talib, 25, berkata, keluarga Nurin Jazlin termasuk rakan-rakan keluarga malang itu sebenarnya kecewa kerana polis tidak menyerahkan terlebih dahulu kepada ibu bapanya keputusan DNA yang membuktikan mayat kanak-kanak itu adalah Nurin Jazlin sebelum mengumumkannya kepada media semalam.

“Malahan kami pula yang bersusah payah ke sana (Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya) bagi mengambilnya.

“Sepatutnya famili tahu dahulu, bukannya media,” katanya.

Rin berkata, mereka terkejut apabila menonton berita di televisyen petang semalam yang melaporkan polis mengesahkan mayat itu adalah Nurin Jazlin.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, dilaporkan hilang pada 20 Ogos setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Isnin lalu, mayat budak perempuan tidak berbaju dipercayai mangsa deraan seks, ditemui pemilik lot kedai di Jalan PJS 1, dan setelah ujian DNA dijalankan, ia mengesahkan mayat itu adalah Nurin Jazlin.

Bedah siasat mendapati pembunuh telah memasukkan timun dan terung ke dalam kemaluan mangsa, menyebabkan rektumnya pecah hingga dijangkiti bakteria.

Ia antara faktor yang menyumbang kepada kematian kanak-kanak itu.

Kanak-kanak itu yang ditemui mati berkeadaan kurus kering selain mempunyai pelbagai kesan lebam pada badannya, dan ini menyebabkan ibu bapa Nurin Jazlin tidak mengenalinya semasa membuat pengecaman pertama kali Isnin lepas. - Bernama

Dua pegawai polis dipecat

PUTRAJAYA 21 Sept. – Dua pegawai kanan polis dibuang kerja manakala seorang lagi diturunkan pangkat berkuat kuasa serta-merta setelah terlibat dengan kesalahan disiplin, kata Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Suruhanjaya Polis ke-71 dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pegawai polis yang dikenakan tindakan itu berpangkat asisten supritendan dan ke atas namun mereka tidak termasuk dua pegawai kanan polis yang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).

‘‘Seorang daripada mereka terlibat menyalahgunakan kuasa dan rasuah manakala dua lagi dikenakan tindakan disiplin kerana berkahwin dua tanpa memaklumkan kepada pegawai lebih tinggi atau komander mereka.

‘‘Ia adalah polisi dan untuk tujuan keselamatan. Pegawai terbabit berkahwin di luar negara dan mereka juga tidak memaklumkan kepada pegawai kanan mereka ketika berada di sana,” katanya.

Ditanya nama pegawai terbabit, Musa berkata, beliau akan mendedahkan dalam laman web polis supaya perkara itu menjadi pengajaran kepada semua anggota polis.

Beginikah manusia?




SELURUH rakyat Malaysia berkongsi kesedihan dengan ibu bapa Nurin Jazlin Jazimin - kanak-kanak malang yang hilang selama lebih sebulan akhirnya ditemui kaku dalam keadaan amat menyayat perasaan.

Sememangnya bukan itu bentuk pertemuan yang diharapkan oleh pasangan Jazimin dan Nurazian. Apa yang diharapkan ialah Nurin kembali ke pangkuan keluarga dalam suasana ceria. Tempat pertemuan bukan di bilik mayat jauh sekali dalam suasana hiba.

Kita amat bersimpati kerana ‘kemunculan’ Nurin membayangkan penderitaan yang ditanggung selama 30 hari dia disembunyikan.

Nurin tidak perlu berceloteh atau bercerita tentang kesengsaraan yang ditanggungnya. Dia juga tidak perlu menjelaskan kepada dunia betapa ‘binatang’nya manusia yang memperlakukan dia sedemikian rupa. Kemunculan sekujur tubuh kurus dengan kesan lebam di sana sini juga membuatkan kita tidak bertanya, kerana segala kekejaman jelas terbentang di depan mata.

Kemunculan Nurin biarpun dalam keadaan mata terpejam rapat dan mulut terkunci menceritakan segala-galanya - betapa dia diseksa oleh iblis bertopengkan manusia. Penjenayah itu bukan lagi haiwan jauh sekali manusia lantaran haiwan tidak sekejam itu, inikan pula manusia yang dianugerahkan akal dan fikiran.

Lebih memilukan, kita semua pasti, hakikat bahawa Nurin menghidap penyakit buah pinggang dan darah tinggi serta bergantung pada ubat semestinya dalam pengetahuan penjenayah itu.

Namun membaca laporan bedah siasat serta perincian mayat Nurin seperti yang dilaporkan oleh media cetak dan elektronik - kita tidak sanggup memikirkan betapa kejam, gila, sadis dan iblis penjenayah itu ketika melakukan penyeksaan ke atas anak malang yang tidak berdaya itu.

Di manakah rasa belas, kasihan, ihsan yang membezakan manusia dengan binatang sehingga menutup akal penjenayah itu dan terus ‘mengerjakan’ tubuh kecil yang tidak berdosa itu. Bukankah wajah comel serta ketidakupayaan Nurin sepatutnya meredakan kegilaan penjenayah itu sekurang-kurangnya untuk menghantarnya pulang dalam keadaan selamat.

Tidak tersentuhkah perasaan binatang itu apabila mendengar tangisan Nurin yang semestinya amat ketakutan dan kesakitan setiap kali diperlakukan sedemikian rupa. Atau semakin terangsangkah dia untuk menyakiti kanak-kanak itu sehingga memberi kepuasan yang kita tidak tahu di mana nikmatnya.

Apa sebenarnya dosa Nurin sehingga terpaksa melalui 30 hari terakhir hayatnya dengan penuh penyeksaan. Apa salah kanak-kanak comel ini sehingga dia tidak diizinkan untuk meninggalkan sepatah dua kata kepada ibu bapanya sebelum nyawanya diragut sekejam itu.

Sesungguhnya tidak tercapai akal kita untuk memikirkan apa sebenarnya yang diingini oleh penjenayah itu. Apa yang ingin dipuaskan sehingga sanggup melakukan penyeksaan demi penyeksaan.

Kita tidak perlu menjadi ibu bapa Nurin untuk menitiskan air mata simpati dan sedih terhadap apa yang terjadi. Kita tidak perlu malu untuk mengaku bahawa fikiran kita amat terganggu dengan kejadian ini. Ini kerana kita juga mempunyai anak-anak yang turut terdedah kepada jenayah-jenayah yang di luar batas akal dan fikiran ini.

Meninggalkan

Yang pasti tindakan penjenayah itu meninggalkan mayat Nurin di dalam sebuah beg sukan di tempat terbuka juga membawa mesej yang tersendiri.

Dia seolah-olah mencabar pihak polis. Dia ingin menunjukkan betapa kebuntuan mencari Nurin mesti diakhiri, tetapi dengan cara yang amat tragis.

Dia juga cuba membuktikan ketika semua orang bertungkus-lumus menjejaki Nurin di seluruh negara, kanak-kanak itu sebenarnya berada tidak jauh daripada keluarganya. Cuma jeritan dan raungannya tidak kedengaran oleh kita semua. Nurin bersendirian menanggung sengsara dalam suasana yang amat terasing baginya.

Penjenayah itu juga membuktikan kegilaan yang melampau sebab itu mayat kanak-kanak malang itu tidak disembunyikan. Kita tidak tahu apakah motif penjenayah itu meletakkan mayat yang sarat dengan bahan bukti penderaan seksual itu di situ. Semestinya ada juga bukti-bukti yang boleh mendedahkan dirinya yang sebenar. Mengapa anak malang itu tidak dihumban di dalam hutan atau dicampak ke laut. Alang-alang bertindak kejam biarlah Nurin `dipadamkan’ terus dari muka bumi tanpa sebarang kesan dan peninggalan. Bukankah begitu sepatutnya perlakuan penjenayah.

Apakah sebenarnya dan tahap manakah kegilaan penjenayah itu yang bukan sahaja kejam terhadap Nurin malah mendera psikologi kita semua.

Adakah supaya pencarian Nurin dihentikan atau supaya pemergian kanak-kanak itu ada kuburnya.

Kelak dia boleh berbangga menunjukkan tempat persemadian mangsanya yang entah ke berapa.

Hakikatnya, sama ada kanak-kanak malang itu Nurin atau orang lain, tiada alasan untuk sesiapa pun mewajarkan perilaku zalim ini. Nurin atau kanak-kanak itu bukan anak kita. Dia juga bukan adik kita, bukan juga saudara kita. Nurin cuma mengingatkan kita bahawa tidak mustahil satu hari nanti kita juga akan mengalami insiden yang serupa.

Di bulan yang mulia ini, seharusnya kita bermuhasabah, merenung dan melihat di sekeliling kita. Terkorbannya Nurin sedemikian rupa membawa banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar oleh pelbagai pihak. Kita tidak boleh menuding jari siapa yang bersalah sebaliknya bersama-sama membetulkan kegilaan dalam masyarakat kita.

Tuesday, September 11, 2007

Kaji projek gentian optik RM52b

KUALA LUMPUR 10 Sept. – Jawatankuasa Jalur Lebar Kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan bersidang Jumaat ini untuk mengkaji cadangan bagi membina satu infrastruktur gentian optik bernilai RM52 bilion seluruh negara, termasuk RM15 bilion untuk kawasan-kawasan bandar.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berkata, antara keputusan yang akan dilakukan ialah sama ada ia akan menjadi projek swasta atau projek sektor awam atau membabitkan kedua-duanya.

Bagaimanapun, katanya: “Telekom Malaysia Bhd. akan menjadi pilihan utama” daripada segi pilihan.

Bulan lepas, Keng Yaik berkata, kementeriannya telah mengadakan perundingan dengan Telekom Malaysia untuk menyediakan hubungan gentian ke rumah berkelajuan tinggi di kawasan bandar terpilih bagi meningkatkan penembusan jalur lebar di Malaysia, tetapi pelaksanaan jalur lebar terletak di bawah tanggung jawab jawatankuasa itu.

Tarikh akhir bagi pelaksanaan projek itu akan turut dibincangkan oleh jawatankuasa itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang membukanya kepada tender antarabangsa, beliau berkata: “Tidak perlu, kita boleh lakukannya sendiri.”

Keng Yaik juga berkata, firma telekomunikasi dari Norway, Telenor ASA, berjanji untuk mengurangkan ekuitinya dalam DiGi.Com Bhd. kepada 49 peratus menjelang akhir tahun ini.

Keputusan itu disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat telekomunikasi Norway itu, Jon Fredrik Baksaas, kepada Keng Yaik berikutan satu pertemuan antara mereka berdua hari ini.

“Hari ini, mereka memberikan komitmen (untuk mengurangkan ekuiti dalam DiGi),” kata Keng Yaik kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran My Broadband di sini.

Telenor sepatutnya mengurangkan kepentingannya dalam DiGi menjelang akhir tahun lepas tetapi telah diberikan lanjutan tempoh selama setahun oleh kerajaan Malaysia, iaitu hingga akhir tahun ini.

Baru-baru ini, Keng Yaik berkata, Telenor tidak lagi akan diberikan tarikh baru untuk mengurangkan kepentingannya daripada 61 peratus, kerana itu adalah syarat yang dikenakan semasa syarikat telekomunikasi itu dibenarkan menambah kepentingannya pada 2001.

– Bernama

Laporan Ketua Audit: Penjelasan KBS

MUKADIMAH
JABATAN Audit Negara semalam mengedarkan jawapan-jawapan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai teguran dan penemuan salah urus dana awam kementerian itu dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Berikut ialah sebahagian daripada penjelasan kementerian itu mengenai pendedahan Jabatan Audit Negara.

PENEMUAN AUDIT: TIDAK dapat mengesahkan sama ada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Beliau dan Sukan ketika itu diberi kuasa untuk menandatangani sebelas kontrak yang melebihi RM5 juta.

PENJELASAN: Semakan mendapati terdapat surat penurunan kuasa daripada Menteri Belia dan Sukan kepada KSU ketika itu bagi menandatangani lapan kontrak perolehan yang keseluruhannya bernilai RM449,421,436.80.

Didapati harga yang ditetapkan bagi 13 jenis peralatan adalah melebihi harga pasaran.

Perbezaan harga timbul disebabkan oleh keadaan tapak yang berbeza di tiap-tiap Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan harga yang dikemukakan oleh pembekal meliputi harga infrastruktur tetapi masih di bawah siling yang ditetapkan oleh Perbendaharaan.

Sebut harga daripada Syarikat Favelle Favco bagi kedua-dua kren yang dibeli oleh IKBN ialah RM1.45 juta (hammerhead) dan RM1.53 juta (luffing). Ini bermakna jumlah yang dibayar oleh kerajaan adalah RM2.74 juta lebih tinggi daripada harga pasaran.

Harga pasaran semasa jauh lebih rendah kerana harga pasaran tidak mengambil kira harga tujuan latihan yang sukar dianggarkan kerana ia bergantung kepada rupa bentuk tapak bagi pemasangan kren. Kerja-kerja pemasangan yang dimaksudkan merangkumi pemasangan limit switch, pagar keselamatan, penyaman udara, bekalan elektrik, laluan masuk dan pembersihan tapak serta ubahsuai kren untuk memuatkan empat orang.

Sebanyak 15 pakej kenderaan terpakai telah dibeli dengan harga RM4.24 juta untuk jurusan ketuk-mengetuk dan semburan cat. Hasil daripada perbandingan antara senarai harga kereta terpakai yang diperoleh daripada Ambank Malaysia didapati harga kereta model yang sama yang dibayar oleh kementerian adalah RM1.44 juta lebih tinggi daripada harga pasaran.

Perolehan dibuat berdasarkan spesifikasi untuk kegunaan latihan dan bukannya persendirian. Spesifikasi untuk latihan yang ditetapkan merangkumi operator manual, spare part, component list, complete wiring diagram, dan maintenance manual. Dokumen-dokumen tersebut tidak boleh dibekalkan oleh syarikat penjual kereta terpakai tempatan.

Pembayaran bagi pembelian 152 pakej desktop komputer yang dilengkapi perisian Computer Assisted Design Drafting (CADD) untuk jurusan Pelukis Seni Bina di empat IKBN telah dibeli dengan harga RM4.47 juta atau RM29,385 setiap pakej. Harga 152 pakej komputer yang dibekalkan kepada IKBN adalah RM3.06 juta lebih tinggi daripada harga pasaran.

Spesifikasi peralatan tersebut didatangkan secara pakej yang merangkumi desktop komputer, perisian CADD, kerusi dan meja komputer, kerja-kerja pendawaian dan networking dan pemasangan vinyl tile pada lantai.

Pembayaran bagi pembelian 430 set papan bancuh simen (mortar board) untuk jurusan Jurubina Bangunan dan Jurusan Jurulepa dan Penjubinan di empat IKBN telah dibeli dengan harga RM441,610 atau RM1,027 setiap satu. Harga pasaran satu set papan bancuh simen hanya RM150, dengan itu harga yang dibayar oleh kerajaan adalah RM377,110 lebih tinggi daripada harga pasaran.

Set papan bancuh simen tidak terdapat dalam pasaran dan perlu dibuat secara custom made dengan menggunakan bahan berkualiti tinggi iaitu kayu jenis resak atau kapur yang tahan kepada kesan cuaca.

Tiga unit kabin telah dibeli dengan harga RM425,700 atau RM141,900 setiap berbanding sebut harga daripada Excel Kabin Sdn. Bhd. sebanyak RM20,000. Ini bermakna harga yang dibayar oleh kementerian adalah RM365,700 lebih tinggi daripada harga pasaran.

Semakan mendapati kabin yang dibeli adalah mengikut spesifikasi. Kos bagi pembelian kabin ini termasuk bagi kerja-kerja pemasangan, pemasangan dan sewaan kren.

Sebanyak 17 set buku teknikal (technical books) dengan 10 tajuk telah dibeli dengan harga RM181,900 atau RM10,700 setiap set. Kesemua 10 tajuk buku tersebut boleh dibeli daripada koperasi DBP dengan harga RM417 sahaja dan harga yang dibayar oleh kementerian adalah RM174,811 lebih tinggi daripada harga pasaran.

Pembayaran tersebut merangkumi pembekalan 10 set buku setiap tajuk yang diperlukan.

Sebanyak lima peralatan lain iaitu Philips Screwdriver, digital kamera, pasu plastik, sette 6 seater PVC dan 2 tonne jack dibeli dengan harga yang tidak munasabah dan mengakibatkan perbelanjaan melebihi RM110,221.

Untuk peralatan digital kamera, ia telah dibekalkan bersama tripod, kabel USB, desktop, kabel video dan CD perisian.

Kementerian Belia dan Sukan perlu mengenal pasti pihak yang terlibat dalam perolehan yang tidak teratur yang mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dan seterusnya mengambil tindakan surcaj seperti mana yang ditetapkan di bawah Akta Acara Kewangan 1957.

Jumlah perolehan yang dibuat ini adalah besar melibatkan 11 pembekal peralatan yang dibuat dalam dua fasa. Fasa satu berjumlah RM267,885,819.87 menjadikan jumlah keseluruhan RM766,595,707.01.

Perolehan ini juga melibatkan jumlah item peralatan yang banyak dan rumit serta merupakan beban tugas yang berat kepada pegawai yang menguruskannya.

Pada masa itu hanya terdapat seorang Ketua Penolong Setiausaha dan seorang Penolong Setiausaha di Cawangan Pembangunan kementerian yang kurang berpengalaman dan berpengetahuan dalam mengendalikan perolehan yang besar dan secara rundingan terus.

Ini menyebabkan berlaku salah tafsir dan kurang perhatian dan tumpuan kepada item-item yang kecil dan adalah kurang wajar tindakan surcaj dikenakan ke atas pegawai-pegawai yang terlibat dalam perolehan tersebut.

Kementerian adalah komited dalam memastikan agar perkara seperti ini tidak berulang lagi ketika mengendalikan perolehan semasa yang akan dilaksanakan kelak.

Abdullah lancar projek PGCC bernilai RM25b esok

11 September 2007

GEORGETOWN: Penang Global City Centre (PGCC), satu daripada projek teras Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang bernilai RM25 bilion, akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, esok.

Pelancaran pelan induk projek PGCC yang dirancang di tapak Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang di kawasan seluas 104 hektar, akan diadakan di sebuah hotel di sini.

Projek yang bakal mengubah wajah bandar ini dan menjadi mercu tanda baru Pulau Pinang, dijalankan Equine Capital Berhad menerusi syarikat sekutunya, Abad Naluri Sdn Bhd.

PGCC yang akan dibangunkan dalam tempoh 15 tahun, mempunyai tiga komponen, iaitu pusat persidangan, seni persembahan dan taman bandar yang luas menggunakan teknologi canggih dengan konsep binaan futuristik.

Ia akan menempatkan Pusat Persidangan dan Pameran Antarabangsa (MICE). Pusat bandar baru itu akan menggunakan model Menara Berkembar Petronas (KLCC) dari segi teknologi dan komponen ekologi.

Pengerusi Eksekutif Equine Capital, Datuk Patrick Lim, berkata projek itu yang dibahagikan kepada beberapa fasa, akan dimulakan dalam 12 bulan dari sekarang.

Fasa pertama projek itu membabitkan pembinaan taman rekreasi awam, iaitu Taman Central seluas 10.4 hektar dengan kos RM40 juta dan penyediaan infrastrukturnya.

“Kami menitikberatkan impak alam sekitar di kawasan itu, dengan konsep bandar karbon sifar diterapkan pada setiap aspek projek ini. Ia akan menjadi bandar pertama di dunia menggunakan konsep sedemikian,” katanya di sini.

Beliau menjelaskan konsep bandar karbon sifar dan pembinaan taman rekreasi awam juga akan meningkatkan nilai hartanah di kawasan itu.

Selain itu, katanya, projek berkenaan membantu mengekalkan tahap pencemaran di kawasan itu berhampiran Bukit Bendera, Taman Belia Perbandaran dan juga Taman Kebun Bunga.

“Projek itu membabitkan penggunaan teknologi ‘Cogeneration’, iaitu proses kitar semula tenaga yang bukan saja menjimatkan kos penggunaan tenaga di bandar tetapi juga mengurangkan pembebasan karbon ke udara,” katanya.

Lim berkata, pihaknya komited untuk memastikan projek itu tidak menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Sehubungan itu, Equine Capital akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk menyambungkan Taman Central dengan Bukit Bendera, Taman Perbandaran dan Taman Kebun Bunga.

Gabungan kawasan berkenaan membentuk satu kumpulan kawasan hijau seluas 344 hektar dikenali sebagai Taman Metropolitan.

“Kami akan membina laluan pejalan kaki menghubungkan taman rekreasi itu untuk kemudahan orang ramai beriadah,” katanya.

Lim berkata, dua jejambat bertingkat setiap satu berharga RM70 juta juga akan dibina berhampiran laluan masuk ke PGCC, iaitu di Jalan Scotland.

“Jejambat itu akan membantu menyuraikan trafik dan mengelak kesesakan yang dijangka berlaku di kawasan itu,” katanya sambil menambah kerja pembinaan jejambat akan siap dalam tiga tahun.

Equine Capital juga berunding dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berhubung pembinaan laluan ke PGCC dari Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR).