Friday, September 21, 2007

Permodalan pasaran GLC meningkat RM103 bilion

Program transformasi turut sumbang tambah nilai kepada pemegang saham

PROGRAM transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dilancarkan tiga tahun lalu mencatat pencapaian menggalakkan dengan nilai permodalan pasaran syarikat berkenaan meningkat 71 peratus atau RM103 bilion kepada RM248 bilion.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata program yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu yang kini memasuki fasa ketiga pelaksanaannya turut menyumbang kepada menambah nilai kepada pemegang saham 20 GLC utama (G-20), di samping peningkatan prestasi kewangan masing-masing.

"Kita juga menyaksikan peningkatan pendapatan syarikat berkenaan yang meningkat sebanyak 60 peratus tahun lalu dan jangkaan 45 peratus tahun ini.

"Pencapaian GLC ini juga tidak boleh dilihat hanya dari segi kewangan semata-mata kerana ia juga menyumbang kepada kemajuan dalam industri strategik seperti perbankan, tenaga dan telekomunikasi yang disertai syarikat terbabit," katanya.

Beliau memberitahu demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Putrajaya Bagi Prestasi Tinggi GLC kali ke-15 (PCG15) di Kementerian Kewangan di Putrajaya, semalam.

Mesyuarat itu dihadiri Pengerusi dan Ketua Eksekutif G-20.

Nor Mohamed menegaskan, keputusan kewangan terbaru syarikat berkenaan, iaitu bagi suku tahunan berakhir 30 Jun lalu menunjukkan program transformasi GLC berada di landasan yang betul dengan beberapa syarikat menunjukkan peningkatan berterusan dalam prestasi dan operasi.

Beliau berkata, setakat 14 September 2007, keseluruhan pulangan pemegang saham bagi G-20 naik 90.77 peratus mengatasi prestasi penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 0.7 peratus.

"Ini adalah satu pencapaian yang cemerlang kerana pencapaian baik syarikat GLC itu turut meningkatkan daya saing negara," katanya.

Justeru, beliau berkata, program transformasi GLC yang akan dilaksanakan sehingga 2015 akan terus memberi penekanan kepada usaha dan langkah bagi memastikan GLC terus menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Langkah akan terus diambil bagi memaju dan memastikan GLC memainkan peranan dalam menjana pertumbuhan ekonomi," katanya.

Nor Mohamed juga berkata, semua GLC mestilah terus mempertahankan momentum yang dibina sejak beberapa tahun kebelakangan dan terus memastikan pembaharuan itu berjaya.

Bagi meningkatkan lagi program transformasi itu ke tahap lebih tinggi, beliau berkata, PCG akan mengemukakan laporan akhir tahun kepada Perdana Menteri, Disember ini.

Selain itu, kajian kemajuan prestasi tahunan GLC juga akan diumumkan pada Mac 2008 apabila keputusan kewangan bagi 2007 diumumkan dalam suku pertama 2008.

"Menjelang akhir 2010, program transformasi itu disasarkan akan memberi manfaat besar kepada pihak berkepentingan dalam GLC seperti kerajaan, masyarakat Bumiputra, pelanggan, pembekal dan kakitangan," katanya.

No comments: