Tuesday, September 11, 2007

Abdullah lancar projek PGCC bernilai RM25b esok

11 September 2007

GEORGETOWN: Penang Global City Centre (PGCC), satu daripada projek teras Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang bernilai RM25 bilion, akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, esok.

Pelancaran pelan induk projek PGCC yang dirancang di tapak Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang di kawasan seluas 104 hektar, akan diadakan di sebuah hotel di sini.

Projek yang bakal mengubah wajah bandar ini dan menjadi mercu tanda baru Pulau Pinang, dijalankan Equine Capital Berhad menerusi syarikat sekutunya, Abad Naluri Sdn Bhd.

PGCC yang akan dibangunkan dalam tempoh 15 tahun, mempunyai tiga komponen, iaitu pusat persidangan, seni persembahan dan taman bandar yang luas menggunakan teknologi canggih dengan konsep binaan futuristik.

Ia akan menempatkan Pusat Persidangan dan Pameran Antarabangsa (MICE). Pusat bandar baru itu akan menggunakan model Menara Berkembar Petronas (KLCC) dari segi teknologi dan komponen ekologi.

Pengerusi Eksekutif Equine Capital, Datuk Patrick Lim, berkata projek itu yang dibahagikan kepada beberapa fasa, akan dimulakan dalam 12 bulan dari sekarang.

Fasa pertama projek itu membabitkan pembinaan taman rekreasi awam, iaitu Taman Central seluas 10.4 hektar dengan kos RM40 juta dan penyediaan infrastrukturnya.

“Kami menitikberatkan impak alam sekitar di kawasan itu, dengan konsep bandar karbon sifar diterapkan pada setiap aspek projek ini. Ia akan menjadi bandar pertama di dunia menggunakan konsep sedemikian,” katanya di sini.

Beliau menjelaskan konsep bandar karbon sifar dan pembinaan taman rekreasi awam juga akan meningkatkan nilai hartanah di kawasan itu.

Selain itu, katanya, projek berkenaan membantu mengekalkan tahap pencemaran di kawasan itu berhampiran Bukit Bendera, Taman Belia Perbandaran dan juga Taman Kebun Bunga.

“Projek itu membabitkan penggunaan teknologi ‘Cogeneration’, iaitu proses kitar semula tenaga yang bukan saja menjimatkan kos penggunaan tenaga di bandar tetapi juga mengurangkan pembebasan karbon ke udara,” katanya.

Lim berkata, pihaknya komited untuk memastikan projek itu tidak menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Sehubungan itu, Equine Capital akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk menyambungkan Taman Central dengan Bukit Bendera, Taman Perbandaran dan Taman Kebun Bunga.

Gabungan kawasan berkenaan membentuk satu kumpulan kawasan hijau seluas 344 hektar dikenali sebagai Taman Metropolitan.

“Kami akan membina laluan pejalan kaki menghubungkan taman rekreasi itu untuk kemudahan orang ramai beriadah,” katanya.

Lim berkata, dua jejambat bertingkat setiap satu berharga RM70 juta juga akan dibina berhampiran laluan masuk ke PGCC, iaitu di Jalan Scotland.

“Jejambat itu akan membantu menyuraikan trafik dan mengelak kesesakan yang dijangka berlaku di kawasan itu,” katanya sambil menambah kerja pembinaan jejambat akan siap dalam tiga tahun.

Equine Capital juga berunding dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berhubung pembinaan laluan ke PGCC dari Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR).

No comments: