Thursday, March 11, 2010

20 tokoh terkaya di dunia 2010: Forbes

2010/03/11
NEW YORK: Sepuluh daripada orang paling terkaya di dunia memiliki kekayaan terkumpul bernilai AS$342 billlon pada tahun ini, berbanding hanya AS$254 billion tahun lalu.
Berikut senarai 20 orang terkaya di dunia yang diumumkan Majalah Forbes hari ini:
1. Carlos Slim Helu dan Keluarga (Mexico. Telekomunikasi. AS$53.5 billion) 2. Bill Gates (Amerika Syarikat. Microsoft. AS$53 billion) 3. Warren Buffett (Amerika Syarikat. Berkshire Hathaway. AS$47 billion) 4. Mukesh Ambani (India. Minyak, Gas. AS$29 billion)
5. Lakshmi Mittal. (India) Besi & Keluli. AS$28.7 billion)
6. Lawrence Ellison (Amerika Syarikat. Oracle . AS$28 billion)
7. Bernard Arnault (Perancis. LVMH - barangan mewah. AS$27.5 billion)
8. Eike Batista (Brazil. Pelombongan, Minyak. AS$27 billion)
9. Amancio Ortega (Sepanyol. Pakaian Runcit. AS$25 billion)
10. Karl Albrecht (Jerman. Pasaraya AS$23.5 billion) 11. Ingvar Kamprad dan Keluarga (Sweden. Ikea. AS$23 billion)
12. Christy Walton dan Keluarga (Amerika Syarikat. Walmart. AS$22.5 billion)
13. Stefan Persson (Sweden. Hennes and Mauritz. AS$22.4 billion)
14. Li Ka-shing (Hong Kong. Pelbagai. AS$21 billion)
15. Jim Walton (Amerika Syarikat. Walmart. AS$20.7 billion)
16. Alice Walton (Amerika Syarikat. Walmart. AS$20.6 billion)
17. Liliane Bettencourt (Perancis. L’Oreal. AS$20 billion)
18. S. Robson Walton (Amerika Syarikat. Walmart. AS$19.8 billion)
19. Putera Alwaleed Bin Talal Alsaud (Arab Saudi. Pelaburan. AS$19.4 billion)
20. David Thomson dan Keluarga (Kanada. (Harta Warisan/Pusaka. (AS$19 billion). - AFP

Royalti minyak: Kelantan tidak layak kerana Ordinan Darurat 1969

2010/03/11
KUALA LUMPUR: Kelantan tidak layak dalam tuntutan royalti minyak di luar perairan negeri itu kerana Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 masih berkuatkuasa, kata seorang pengamal undang-undang.
Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, peruntukan No 7 Ordinan itu menetapkan sempadan negeri iaitu bumi negeri berkenaan serta perairan wilayah negeri itu sejauh tiga batu nautika yang diukur dari paras air surut.
Namun dua telaga minyak dipertikai Kelantan terletak di luar "kawasan" itu. "Setahu saya Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 itu masih kekal dan belum dimansuhkan kerajaan. Malah ada Ordinan yang digubal pada ketika itu, seperti ESCAR (Peraturan-Peraturan Perlu (Kes-Kes Keselamatan) 1975), masih digunakan," katanya dihubungi di sini hari ini. Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Yakub yang menyokong pendirian Kerajaan Pusat bahawa Kerajaan Negeri tidak berhak menuntut royalti minyak kecuali ia dapat membuktikan perairan wilayah negeri itu melebihi tiga batu nautika. Hafarizam berkata peruntukan seperti ESCAR yang digunakan untuk mendakwa 29 anggota Al-Maunah pada 2000 yang merancang untuk mengkhianati negara dengan menentang kerajaan yang dipilih secara demokrasi, membuktikan peruntukan yang digubal pada ketika itu masih belum dimansuhkan. Pendakwaan kes Al-Maunah itu bagaimanapun dibuat secara terbuka mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah atau Yang Dipertua Negeri dan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.
"Keadaan adalah sebaliknya jika Kerajaan Negeri Kelantan dapat membuktikan secara dokumen bahawa peruntukan itu (Ordinan Darurat) telah dimansuhkan mengikut nas-nas undang-undang," katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Kelantan bertegas menuntut bayaran royalti berbilion ringgit terhadap operasi carigali minyak di perairannya daripada kerajaan pusat, namun negeri itu didapati tidak layak mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Dua telaga minyak dipertikai itu terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairan Kelantan di kawasan pelantar benua bertindih di Teluk Siam, Laut China Selatan, yang dibangunkan secara bersama Pihak Berkuasa Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) sejak 1979.
Selain peruntukan Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969, Artikel 3 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) pula menyebut, perairan wilayah Malaysia diukur dari garis pangkal hingga ke kawasan tidak melebihi 12 batu nautika.
Bagi Artikel 57, konvensyen yang sama, menjelaskan kawasan "di luar dan bersebelahan" kepada perairan Malaysia yang tidak melebihi 200 batu nautika dari garis pangkal ialah Zon Eksklusif Ekonomi.
Abdul Rahman dalam laporan sebuah portal berita hari ini berkata Sarawak layak untuk mendapat royalti minyak kerana Queen Elizabeth mengisytiharkan pada 1954 bahawa "bahawa wilayah perairan negeri di Malaysia Timur itu diperluas di luar had tiga batu nautika". Ini menyebabkan kedudukan undang-undang mengenai perkara itu berbeza di antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak yang turut menandatangani perjanjian dengan Petronas sekitar 1975/1976, melalui Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Kerajaan Kelantan berhujah berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974, negeri itu layak menerima bayaran royalti lima peratus daripada jumlah pengeluaran di dua telaga minyak terbabit selain mungkin membawa perkara itu ke mahkamah.
Kerajaan Pusat bersetuju memberi wang ihsan RM20 juta yang juga merupakan lima peratus daripada hasil pengeluaran gas sejak Mei 2008 di Blok Medan Bumi Selatan, Blok PM301, yang berdekatan dengan perairan negeri itu.
Satu lagi kawasan dipertikai iaitu Blok PM302 belum mengeluarkan hasil.
- Bernam

Kahwin kanak-kanak umpama tindakan orang 'lapar' sunah Nabi

KOTA BHARU 10 Mac - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan lelaki yang berkahwin dengan kanak-kanak perempuan berusia 10 dan 11 tahun di negeri ini baru-baru ini umpama orang yang 'lapar' sunah Nabi.

Di samping menyatakan kekesalannya, beliau berkata, alasan bahawa Nabi Muhammad sendiri mengahwini isterinya Siti Aisyah yang berusia 10 tahun tidak boleh diambil kira sebagai mengikut sunah.

Katanya, tidak semua sunah boleh diikuti umat Islam kerana ia mesti diselarikan dengan budaya setempat.

"Benar, Nabi kita berkahwin dengan Siti Aisyah (umur 10 tahun). Tetapi benda lagu ini, macam pakaian, sunah Nabi adalah kita pakai menutup aurat.

"Nabi pakai seluar atau pakai sarung itu terserah kepada budaya kita, ada benda kita wajib turut dia (Nabi Muhammad), ada benda tidak perlu kita turut.

"Orang ni (yang mengahwini kanak-kanak tersebut) sengaja macam 'lapar' sunah Nabi, pada hal banyak lagi benda lain yang tak diturut pun," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di sini hari ini.

Kelmarin media melaporkan tindakan seorang bapa dari Jelawang, Kuala Krai mengahwinkan anak perempuannya berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun.

Ia kes kedua dalam masa terdekat membabitkan perkahwinan kanak-kanak perempuan di bawah umur di negeri ini apabila seorang lagi kanak-kanak berusia 10 tahun dikahwinkan dengan lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas sebelum itu.

Tegas Nik Abdul Aziz, perkahwinan dengan kanak-kanak seperti dalam dua kes tersebut tidak sepatutnya berlaku walaupun ia sah dari segi syarak.

Katanya, peraturan perkahwinan yang sudah ditetapkan dalam Enakmen Keluarga Islam Kelantan yang mensyaratkan umur minimum 16 tahun bagi perempuan sepatutnya diikuti bagi kesempurnaan perkahwinan dan zuriat.

"Dari segi syarak sah, tetapi perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku. Kita berkahwin bukan sekadar mahukan perempuan tetapi mahukan zuriat. Mana boleh perempuan berumur 11 tahun melahirkan zuriat?

"Manusia ada yang boleh beri faedah dan ada yang tidak, macam kita makan durian, kita makan isi sahaja, kulit kita buang, pulur dia kita buang, butir kita buang, manusia pun begitu juga.

"Oleh yang demikian kahwin dengan budak umur 11 tahun buat apa? Banyak lagi perempuan di Kelantan yang sudah cukup umur kenapa tak kahwin dengan dia?" katanya.

Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar ketika ditemui berkata beliau akan melawat keluarga dan kanak-kanak terbabit dalam masa terdekat.

Tambahnya, beliau belum mempunyai maklumat secara mendalam tentang apa yang berlaku tetapi berjanji akan menyiasat secepat mungkin.

Monday, March 1, 2010

Minda Pengarang: Melayu mesti bersatu untuk pertahan politik, sosioekonomi

PADA 1 hingga 4 Mac 1946, kongres membabitkan 47 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Keputusan besar kongres itu ialah Malayan Union mesti ditentang kerana penubuhannya oleh kolonial Inggeris dilihat menghina Raja-Raja Melayu ke tahap hampir sama dengan penghulu mukim. Pada 27 Februari, kelmarin di tempat sama, wakil 76 NGO Melayu dari seluruh negara berkumpul memintal semangat hampir sama, iaitu mempertahan serta melindungi hak dan keistimewaan orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu serta Islam sebagai agama rasmi Malaysia daripada anasir yang menekan untuk mengganggu gugat. Akhirnya, penubuhan Majlis Perundingan Melayu (MPM) lahir daripada kesedaran serta keinsafan yang menuntut inisiatif supaya NGO Melayu disatukan bagi memastikan geraknya sederap, nadanya seirama dan tindakannya selaras. MPM umpama sebuah 'konsortium NGO Melayu'. Sebagai badan yang menaungi kepentingan Melayu dalam pelbagai bidang dan kerangka sosial, MPM wajar memiliki kekuatan tersendiri. Selain mampu berdikari, MPM perlu memiliki dana kukuh sebagai syarat untuk menjadi induk NGO Melayu yang berkesan. Tanpa kewangan serta pentadbiran kukuh, bagaimana MPM mampu menjadi forum menggembleng intelektual Melayu dan menyertai proses pembangunan sosioekonomi serta politik negara. Untuk melahirkan pemikiran, idea, pelan dan tindakan – semuanya memerlukan dana besar yang mesti diurus secara berhemah. Tanpa kekuatan dana dan pentadbiran sistematik akan meletakkan MPM umpama 'segan hidup, mati tidak mahu'. Akhirnya, semangat yang baru dipupuk dan berkobar-kobar di Kelab Sultan Sulaiman, kelmarin akan padam.

MPM juga mesti dilihat bebas daripada pengaruh dan kebergantungan kepada kerajaan serta imej gerakan politik. MPM perlu memiliki struktur organisasi yang sempurna, berkesan, proaktif dan berwawasan selain berwibawa dalam segala segi. Ia perlu memiliki makmal gerak kerja mengikut sektor supaya setiap isu dan permasalahan mampu ditangani secara fokus. Ketika Melayu memiliki ramai tokoh dalam pelbagai bidang termasuk intelektual, korporat, teknokrat dan agama maka MPM perlu bijak untuk mendekati mereka. Kelompok ini mesti ada peranan mempertahankan bangsa dan agamanya. MPM juga ada peranan, termasuk menyediakan generasi Melayu yang memiliki jati diri teguh serta ada ketangkasan dalam menghadapi hambatan globalisasi yang menagih persaingan sengit dalam segenap bidang. MPM adalah alternatif yang melengkapkan usaha mempertahankan kepentingan dan pembelaan Melayu dalam semua segi. Andai 64 tahun lalu, kolonial Inggeris terpaksa akur kepada tekanan 47 NGO melalui Umno supaya membatalkan Malayan Union dan kemudian dipertanggungjawabkan menuntut kemerdekaan, maka hari ini, MPM yang tertubuh dengan semangat Melayu 1946 diharapkan mampu menangani tekanan komuniti tertentu yang mencabar kepentingan serta maruah bangsa ini seterusnya tidak diganggu gugat lagi. Tugasan terbaru MPM hadir ke meja bulat bagi membincangkan Model Ekonomi Baru dengan melihat status, kedudukan atau kemungkinan bakal dihadapi orang Melayu dalam arus itu.