PADA 1 hingga 4 Mac 1946, kongres membabitkan 47 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Keputusan besar kongres itu ialah Malayan Union mesti ditentang kerana penubuhannya oleh kolonial Inggeris dilihat menghina Raja-Raja Melayu ke tahap hampir sama dengan penghulu mukim. Pada 27 Februari, kelmarin di tempat sama, wakil 76 NGO Melayu dari seluruh negara berkumpul memintal semangat hampir sama, iaitu mempertahan serta melindungi hak dan keistimewaan orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu serta Islam sebagai agama rasmi Malaysia daripada anasir yang menekan untuk mengganggu gugat. Akhirnya, penubuhan Majlis Perundingan Melayu (MPM) lahir daripada kesedaran serta keinsafan yang menuntut inisiatif supaya NGO Melayu disatukan bagi memastikan geraknya sederap, nadanya seirama dan tindakannya selaras. MPM umpama sebuah 'konsortium NGO Melayu'. Sebagai badan yang menaungi kepentingan Melayu dalam pelbagai bidang dan kerangka sosial, MPM wajar memiliki kekuatan tersendiri. Selain mampu berdikari, MPM perlu memiliki dana kukuh sebagai syarat untuk menjadi induk NGO Melayu yang berkesan. Tanpa kewangan serta pentadbiran kukuh, bagaimana MPM mampu menjadi forum menggembleng intelektual Melayu dan menyertai proses pembangunan sosioekonomi serta politik negara. Untuk melahirkan pemikiran, idea, pelan dan tindakan semuanya memerlukan dana besar yang mesti diurus secara berhemah. Tanpa kekuatan dana dan pentadbiran sistematik akan meletakkan MPM umpama 'segan hidup, mati tidak mahu'. Akhirnya, semangat yang baru dipupuk dan berkobar-kobar di Kelab Sultan Sulaiman, kelmarin akan padam.
MPM juga mesti dilihat bebas daripada pengaruh dan kebergantungan kepada kerajaan serta imej gerakan politik. MPM perlu memiliki struktur organisasi yang sempurna, berkesan, proaktif dan berwawasan selain berwibawa dalam segala segi. Ia perlu memiliki makmal gerak kerja mengikut sektor supaya setiap isu dan permasalahan mampu ditangani secara fokus. Ketika Melayu memiliki ramai tokoh dalam pelbagai bidang termasuk intelektual, korporat, teknokrat dan agama maka MPM perlu bijak untuk mendekati mereka. Kelompok ini mesti ada peranan mempertahankan bangsa dan agamanya. MPM juga ada peranan, termasuk menyediakan generasi Melayu yang memiliki jati diri teguh serta ada ketangkasan dalam menghadapi hambatan globalisasi yang menagih persaingan sengit dalam segenap bidang. MPM adalah alternatif yang melengkapkan usaha mempertahankan kepentingan dan pembelaan Melayu dalam semua segi. Andai 64 tahun lalu, kolonial Inggeris terpaksa akur kepada tekanan 47 NGO melalui Umno supaya membatalkan Malayan Union dan kemudian dipertanggungjawabkan menuntut kemerdekaan, maka hari ini, MPM yang tertubuh dengan semangat Melayu 1946 diharapkan mampu menangani tekanan komuniti tertentu yang mencabar kepentingan serta maruah bangsa ini seterusnya tidak diganggu gugat lagi. Tugasan terbaru MPM hadir ke meja bulat bagi membincangkan Model Ekonomi Baru dengan melihat status, kedudukan atau kemungkinan bakal dihadapi orang Melayu dalam arus itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment