Thursday, March 11, 2010

Kahwin kanak-kanak umpama tindakan orang 'lapar' sunah Nabi

KOTA BHARU 10 Mac - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan lelaki yang berkahwin dengan kanak-kanak perempuan berusia 10 dan 11 tahun di negeri ini baru-baru ini umpama orang yang 'lapar' sunah Nabi.

Di samping menyatakan kekesalannya, beliau berkata, alasan bahawa Nabi Muhammad sendiri mengahwini isterinya Siti Aisyah yang berusia 10 tahun tidak boleh diambil kira sebagai mengikut sunah.

Katanya, tidak semua sunah boleh diikuti umat Islam kerana ia mesti diselarikan dengan budaya setempat.

"Benar, Nabi kita berkahwin dengan Siti Aisyah (umur 10 tahun). Tetapi benda lagu ini, macam pakaian, sunah Nabi adalah kita pakai menutup aurat.

"Nabi pakai seluar atau pakai sarung itu terserah kepada budaya kita, ada benda kita wajib turut dia (Nabi Muhammad), ada benda tidak perlu kita turut.

"Orang ni (yang mengahwini kanak-kanak tersebut) sengaja macam 'lapar' sunah Nabi, pada hal banyak lagi benda lain yang tak diturut pun," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di sini hari ini.

Kelmarin media melaporkan tindakan seorang bapa dari Jelawang, Kuala Krai mengahwinkan anak perempuannya berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun.

Ia kes kedua dalam masa terdekat membabitkan perkahwinan kanak-kanak perempuan di bawah umur di negeri ini apabila seorang lagi kanak-kanak berusia 10 tahun dikahwinkan dengan lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas sebelum itu.

Tegas Nik Abdul Aziz, perkahwinan dengan kanak-kanak seperti dalam dua kes tersebut tidak sepatutnya berlaku walaupun ia sah dari segi syarak.

Katanya, peraturan perkahwinan yang sudah ditetapkan dalam Enakmen Keluarga Islam Kelantan yang mensyaratkan umur minimum 16 tahun bagi perempuan sepatutnya diikuti bagi kesempurnaan perkahwinan dan zuriat.

"Dari segi syarak sah, tetapi perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku. Kita berkahwin bukan sekadar mahukan perempuan tetapi mahukan zuriat. Mana boleh perempuan berumur 11 tahun melahirkan zuriat?

"Manusia ada yang boleh beri faedah dan ada yang tidak, macam kita makan durian, kita makan isi sahaja, kulit kita buang, pulur dia kita buang, butir kita buang, manusia pun begitu juga.

"Oleh yang demikian kahwin dengan budak umur 11 tahun buat apa? Banyak lagi perempuan di Kelantan yang sudah cukup umur kenapa tak kahwin dengan dia?" katanya.

Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar ketika ditemui berkata beliau akan melawat keluarga dan kanak-kanak terbabit dalam masa terdekat.

Tambahnya, beliau belum mempunyai maklumat secara mendalam tentang apa yang berlaku tetapi berjanji akan menyiasat secepat mungkin.

No comments: