Thursday, March 11, 2010

Royalti minyak: Kelantan tidak layak kerana Ordinan Darurat 1969

2010/03/11
KUALA LUMPUR: Kelantan tidak layak dalam tuntutan royalti minyak di luar perairan negeri itu kerana Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 masih berkuatkuasa, kata seorang pengamal undang-undang.
Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, peruntukan No 7 Ordinan itu menetapkan sempadan negeri iaitu bumi negeri berkenaan serta perairan wilayah negeri itu sejauh tiga batu nautika yang diukur dari paras air surut.
Namun dua telaga minyak dipertikai Kelantan terletak di luar "kawasan" itu. "Setahu saya Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 itu masih kekal dan belum dimansuhkan kerajaan. Malah ada Ordinan yang digubal pada ketika itu, seperti ESCAR (Peraturan-Peraturan Perlu (Kes-Kes Keselamatan) 1975), masih digunakan," katanya dihubungi di sini hari ini. Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Yakub yang menyokong pendirian Kerajaan Pusat bahawa Kerajaan Negeri tidak berhak menuntut royalti minyak kecuali ia dapat membuktikan perairan wilayah negeri itu melebihi tiga batu nautika. Hafarizam berkata peruntukan seperti ESCAR yang digunakan untuk mendakwa 29 anggota Al-Maunah pada 2000 yang merancang untuk mengkhianati negara dengan menentang kerajaan yang dipilih secara demokrasi, membuktikan peruntukan yang digubal pada ketika itu masih belum dimansuhkan. Pendakwaan kes Al-Maunah itu bagaimanapun dibuat secara terbuka mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah atau Yang Dipertua Negeri dan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.
"Keadaan adalah sebaliknya jika Kerajaan Negeri Kelantan dapat membuktikan secara dokumen bahawa peruntukan itu (Ordinan Darurat) telah dimansuhkan mengikut nas-nas undang-undang," katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Kelantan bertegas menuntut bayaran royalti berbilion ringgit terhadap operasi carigali minyak di perairannya daripada kerajaan pusat, namun negeri itu didapati tidak layak mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Dua telaga minyak dipertikai itu terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairan Kelantan di kawasan pelantar benua bertindih di Teluk Siam, Laut China Selatan, yang dibangunkan secara bersama Pihak Berkuasa Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) sejak 1979.
Selain peruntukan Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969, Artikel 3 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) pula menyebut, perairan wilayah Malaysia diukur dari garis pangkal hingga ke kawasan tidak melebihi 12 batu nautika.
Bagi Artikel 57, konvensyen yang sama, menjelaskan kawasan "di luar dan bersebelahan" kepada perairan Malaysia yang tidak melebihi 200 batu nautika dari garis pangkal ialah Zon Eksklusif Ekonomi.
Abdul Rahman dalam laporan sebuah portal berita hari ini berkata Sarawak layak untuk mendapat royalti minyak kerana Queen Elizabeth mengisytiharkan pada 1954 bahawa "bahawa wilayah perairan negeri di Malaysia Timur itu diperluas di luar had tiga batu nautika". Ini menyebabkan kedudukan undang-undang mengenai perkara itu berbeza di antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak yang turut menandatangani perjanjian dengan Petronas sekitar 1975/1976, melalui Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Kerajaan Kelantan berhujah berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974, negeri itu layak menerima bayaran royalti lima peratus daripada jumlah pengeluaran di dua telaga minyak terbabit selain mungkin membawa perkara itu ke mahkamah.
Kerajaan Pusat bersetuju memberi wang ihsan RM20 juta yang juga merupakan lima peratus daripada hasil pengeluaran gas sejak Mei 2008 di Blok Medan Bumi Selatan, Blok PM301, yang berdekatan dengan perairan negeri itu.
Satu lagi kawasan dipertikai iaitu Blok PM302 belum mengeluarkan hasil.
- Bernam

No comments: