Monday, February 22, 2010

Hukuman sebat syariah perlu diseragam

Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my

Perundangan sivil ternyata gagal menangani keruntuhan moral di kalangan umat Islam

BERITA mengenai tiga wanita Islam menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah kerana mengadakan hubungan seks haram, minggu lalu, menghidupkan semula kontroversi hukuman ke atas bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu setelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Walaupun kesalahan tiga wanita, yang menjalani hukuman di Penjara Wanita Kajang pada 9 Februari lalu berbeza dengan Kartika yang masih menunggu pelaksanaan hukuman, suara bantahan terhadap dua kes itu hampir senada dan daripada kumpulan serupa.

Tiga pesalah wanita itu bersama empat lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.

Kartika pula, yang mengaku salah meminum arak pada Julai 2008, dihukum enam sebatan mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang. Bagaimanapun, tarikh pelaksanaan hukuman itu akan diputuskan selepas pertemuannya dengan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Seperti beberapa kes membabitkan wanita dan syariah sebelum itu, kumpulan paling kuat mempertikaikannya ialah Sisters-in-Islam, Tenaganita dan Majlis Peguam, yang antara lain mendakwa ia zalim, diskriminasi terhadap wanita dan melanggar hak asasi manusia. Malah Pas sendiri, yang pernah memperjuangkan hukum hudud menuduh kerajaan mempunyai agenda politik apabila Pengarah Penyelidikan Pas Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad dilaporkan meminta parti itu tidak terperangkap dengan isu hukuman sebat.

Sementara pendirian Pas, sebagai parti politik terhadap isu sedemikian tidak sukar difahami, bantahan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan itu, apa lagi yang diterajui bukan Islam terhadap isu ini memberi gambaran seolah-olah mereka mempunyai agenda tersembunyi. Setiap tindakan pihak berkuasa berkaitan agama Islam, ada saja pihak yang mempertikaikan walaupun ia tidak kena mengena dengan mereka.

Isu ini adalah soal syariah dan membabitkan umat Islam, kenapa mereka beriya-iya benar mempertikaikannya. Tidak mungkin mereka tidak memahami sistem dua perundangan yang diamalkan di negara ini. Malah, pelaksanaan hukuman sebat syariah atas kesalahan minum arak bukan perkara baru.

Pada 1997, enam lelaki pernah disebat di Kelantan, manakala sebelum kes Kartika, seorang wanita dijatuhkan hukuman sebat oleh Mahkamah Syariah Johor pada 2000 tetapi hukuman tidak dilaksanakan kerana dia membuat rayuan. Memang kes tiga wanita yang disebat di Penjara Wanita Kajang itu pertama kali membabitkan kes seks haram tetapi bentuk hukuman dan sebatan, yang bertujuan untuk mendidik, adalah sama.

Berdasarkan latar belakang dan pendidikan puak-puak yang mempertikaikan hukuman ini, mereka bukannya tidak tahu bahawa sebatan syariah jauh berbeza berbanding sebatan sivil. Sebatan syariah tidak mencederakan mahupun melukakan pesalah berbanding sebatan sivil yang meninggalkan parut dan kesan dalam jangka masa dua tahun.

Ada juga mempersoalkan kenapa hukuman itu dilaksanakan secara tertutup dan tidak memenuhi kehendak Islam. Kita percaya kumpulan yang sama mempersoalkan kenapa hukuman itu dilakukan dalam penjara, akan menuduh kerajaan memalukan pesalah jika hukuman dilaksanakan secara terbuka.

Setiap orang mukmin percaya bahawa hukuman yang ditentukan dalam al-Quran dan Sunnah jelas dan tidak boleh dipertikaikan. Bagaimanapun, prosedur pelaksanaannya boleh ditentukan secara ijtihad berdasarkan kaedah fiqh dan usulnya yang muktabarah. Ukuran sebatan berdasarkan syariat tidak dapat dipadankan dengan Akta Kanun Jenayah Sivil dalam urusan hudud, tetapi dapat diselaraskan dengan urusan takzir.

Kerana itu, penyelarasan antara undang-undang sivil dan syariah perlu dibuat berdasarkan prinsip keadilan Islam, agar tidak berlaku penganiayaan di dalam pelaksanaan hukuman jenayah sivil dan syariah. Justeru, kita bersetuju dengan pandangan agar hukuman sebat mengikut syariah yang diperuntukkan di semua negeri perlu diseragamkan bagi jenis kesalahan serupa supaya ia selaras dan tidak mengelirukan.

Pada masa sama, penjelasan perlu diberikan mengenai pelaksanaannya dan pengumuman dibuat sama ada sebelum atau sebaik saja hukuman dilaksanakan bagi mengelak kekeliruan dan salah faham masyarakat. Kontroversi ekoran pelaksanaan hukuman sebat ke atas tiga wanita ini seharusnya menjadi permulaan ke arah pelaksanaan hukuman jenayah syariah lebih seragam dan wibawa sehingga lebih baik daripada perundangan sivil, yang ternyata gagal menangani keruntuhan moral di kalangan umat Islam sekarang

No comments: