Tuesday, September 11, 2007

Kaji projek gentian optik RM52b

KUALA LUMPUR 10 Sept. – Jawatankuasa Jalur Lebar Kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan bersidang Jumaat ini untuk mengkaji cadangan bagi membina satu infrastruktur gentian optik bernilai RM52 bilion seluruh negara, termasuk RM15 bilion untuk kawasan-kawasan bandar.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berkata, antara keputusan yang akan dilakukan ialah sama ada ia akan menjadi projek swasta atau projek sektor awam atau membabitkan kedua-duanya.

Bagaimanapun, katanya: “Telekom Malaysia Bhd. akan menjadi pilihan utama” daripada segi pilihan.

Bulan lepas, Keng Yaik berkata, kementeriannya telah mengadakan perundingan dengan Telekom Malaysia untuk menyediakan hubungan gentian ke rumah berkelajuan tinggi di kawasan bandar terpilih bagi meningkatkan penembusan jalur lebar di Malaysia, tetapi pelaksanaan jalur lebar terletak di bawah tanggung jawab jawatankuasa itu.

Tarikh akhir bagi pelaksanaan projek itu akan turut dibincangkan oleh jawatankuasa itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang membukanya kepada tender antarabangsa, beliau berkata: “Tidak perlu, kita boleh lakukannya sendiri.”

Keng Yaik juga berkata, firma telekomunikasi dari Norway, Telenor ASA, berjanji untuk mengurangkan ekuitinya dalam DiGi.Com Bhd. kepada 49 peratus menjelang akhir tahun ini.

Keputusan itu disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat telekomunikasi Norway itu, Jon Fredrik Baksaas, kepada Keng Yaik berikutan satu pertemuan antara mereka berdua hari ini.

“Hari ini, mereka memberikan komitmen (untuk mengurangkan ekuiti dalam DiGi),” kata Keng Yaik kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran My Broadband di sini.

Telenor sepatutnya mengurangkan kepentingannya dalam DiGi menjelang akhir tahun lepas tetapi telah diberikan lanjutan tempoh selama setahun oleh kerajaan Malaysia, iaitu hingga akhir tahun ini.

Baru-baru ini, Keng Yaik berkata, Telenor tidak lagi akan diberikan tarikh baru untuk mengurangkan kepentingannya daripada 61 peratus, kerana itu adalah syarat yang dikenakan semasa syarikat telekomunikasi itu dibenarkan menambah kepentingannya pada 2001.

– Bernama

No comments: