18/06/2011 5:13pm
TANAH MERAH 18 Jun – Malaysia tetap berpendirian bahawa menyelesaikan segala masalah dengan menggunakan kekuatan ketenteraan perlu dielakkan kerana banyak lagi cara untuk menyelesaikan tuntutan beberapa negara di Kepulauan Spratly.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia telah memberikan beberapa cadangan untuk mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku seperti mengadakan pertemuan dua hala, pemantauan bersama serta dialog pelbagai hala bagi mencari kata sepakat antara negara terbabit.
"Malaysia tertakluk kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos) 1982 iaitu perlu berada di sekitar 200 batu nautika dan apa pun kita tetap meletakkan anggota tentera laut kita untuk mengawasi.
"Kekuatan ketenteraan perlu dielakkan oleh semua pihak sebaliknya kita menyarankan agar digunakan diplomasi ketenteraan kerana ini adalah lebih baik,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Tanah Merah di sini hari ini.
Suasana tegang kembali mewarnai isu tuntutan di Spratly apabila China bertindak menggerakkan kapal peronda terbesar dalam angkatan tentera lautnya di Laut China Selatan sejak beberapa hari lalu bagi mengawasi perairan itu.
Ia berikutan pergeseran antara negara kuasa besar Asia itu dengan Filipina.
Selain Filipina dan China, beberapa gugusan Kepulauan Spratly turut dituntut oleh Malaysia, Vietnam dan Brunei dengan Malaysia sendiri membina kubu pertahanan di tiga kawasan iaitu Terumbu Layang-Layang, Terumbu Ubi dan Terumbu Mantanani.
Ahmad Zahid berkata, semua negara yang menuntut juga disarankan agar tidak mengadakan latihan ketenteraan di kawasan kepulauan itu yang dilihat cuba membuat provokasi kekuatan ketenteraan mereka. - Bernama
Saturday, June 18, 2011
Subscribe to:
Posts (Atom)