Tuesday, July 20, 2010

Pengarang Pendidikan BH meninggal dunia





2010/07/20


LIMAH menyiram air mawar ke pusara Allahyarham Mohamad Muda (gambar kecil) di Tanah Perkuburan Islam Batu 14 Puchong sambil diperhatikan anak-anaknya, Mohd Azizi Mohamad, 18 (tiga kiri), Mohamad Zulfadli Mohamad, 16 (dua dari kanan) dan Mohd Zarifi Mohamad, 24 (belakang), semalam.KUALA LUMPUR: Pengarang Pendidikan Berita Harian, Mohamad Muda, 51, meninggal dunia akibat sesak nafas di kediamannya di Bandar Bukit Puchong 2, Selangor, awal pagi, semalam.

Allahyarham yang berasal dari Terengganu meninggalkan seorang isteri, Limah Klompot, 48, dan lima anak lelaki berusia 12 hingga 23 tahun. Beliau memulakan kerjaya di Berita Harian sebagai penulis sambilan ketika berkhidmat sebagai guru di Sarawak, sebelum menyertai Berita Harian pada 1993 sebagai wartawan Unit Pendidikan.
Ketika di Unit Pendidikan, Allahyarham turut terbabit dalam pengendalian bengkel Akhbar Dalam Darjah (ADD) dan klinik serta seminar peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia di seluruh negara.

Pada awal Jun lalu, Allahyarham dilantik sebagai Pengarang Pendidikan Berita Harian.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini untuk pengesahan kematian, sebelum jenazahnya dimandi dan disembahyangkan di Masjid Bandar Bukit Puchong.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Batu 14, Puchong, kira-kira jam 4 petang.
Turut menziarahi, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Anthony Firdauz Bujang; Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Mior Kamarul Shahid; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa TV7, TV8, TV9 dan Rangkaian Radio Kumpulan Media Prima, Datuk Manja Ismail.

Hadir sama, Timbalan Pengarang Kumpulan BHSB, Mahfar Ali; Pengarang Eksekutif Berita, Norhayati Md Said; Pengarang Eksekutif Rencana, Zainor Said dan Ketua Pengarang Berita, Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

No comments: