Saturday, November 3, 2007

Di Luar Lingkaran: Pengajaran dari kejayaan Goh Tong

Hasil ketekunan, keyakinan dan visi jelas bina empayar sendiri dalam perniagaan

TAN SRI LIM GOH TONG bersekolah hingga usia 16 tahun. Dia harus membantu menyara adik beradiknya seramai tujuh orang akibat kematian bapanya. Beliau meninggalkan kampung asalnya di Anxi dalam Jajahan Fujian, China pada 1937 untuk kali pertamanya mencuba nasib di rantau orang. Tiga tahun kemudian beliau kembali ke Anxi. Pada Julai 1941 beliau datang semula ke Malaya.

Selasa lalu, Goh Tong, seorang daripada billonaire dunia dan antara orang yang terkaya di Malaysia meninggal dunia. Beliau mewariskan empayar perniagaan yang besar. Cerita kejayaan Goh Tong adalah cerita yang menarik dan penuh drama. Juga cerita mengenai keyakinan, keberanian, ketekunan dan visi seorang manusia. Beliau berjaya walaupun menghadapi suka duka, pahit maung dan jatuh bangun.



Terlalu banyak yang sebenarnya boleh dipelajari daripada kisah hidup beliau. Beliau sebenarnya mewakili generasi pertama ahli perniagaan Cina yang bermula daripada kosong. Tidak seperti anak ahli perniagaan Cina yang berjaya hari ini, Goh Tong memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan. Beliau mengambil masa yang panjang untuk menikmati kejayaan. Malah, beliau terbabit dalam perniagaan yang boleh dikatakan besar hanya pada usia 37 tahun. Itupun dalam sektor perlombongan besi. Dalam bidang pembinaan, syarikatnya Kee Huat mendapat kontrak pertama hanya pada 1954 untuk membina saluran kumbahan untuk Majlis Perbandaran Kuala Lumpur ketika itu. Projek itu bernilai RM4.1 juta.

Projek pembinaan terbesar bagi syarikat itu ialah membina Empangan Air Itam di Pulau Pinang pada 1957. Itu adalah empangan pertama dibina di negara ini dan yang pertama kontrak sebesar diberikan pada syarikat tempatan. Kos projek itu ialah RM12 juta, jumlah yang cukup besar pada waktu negara baru saja memperoleh kemerdekaan.

Sejarah pembabitannya dalam perniagaan bermula apabila beliau menjejakkan kaki kali pertama di Malaya. Dengan pengalaman bekerja dengan bapa saudaranya, beliau memberanikan diri menjadi kontraktor kecil-kecilan. Kontrak pertama membina sekolah dua tingkat di Cheras, Kuala Lumpur. Beliau membuat keuntungan sebanyak RM100 daripada usaha itu. Apabila beliau datang kali kedua, Goh Tong membabitkan diri dalam perniagaan barang terpakai. Beliau juga terbabit dalam perniagaan besi buruk. Kemudian beliau menceburkan diri dalam jual beli jentera terpakai mengambil kesempatan daripada begitu banyaknya jentera yang ditinggalkan tentera Jepun yang menyerah kalah pada 1945. Itupun jumlah yang terbabit masih kecil. Hanya pada 1951, barulah beliau secara berani terbabit menjual beli jentera melebihi RM50,000.

Kita mengenal Goh Tong sebagai orang bertanggungjawab membina pusat peranginan dan perjudian di Genting. Namun, kehidupannya seperti dirakamkan dalam buku Cerita Saya sebenarnya jauh lebih kompleks. Membina sebuah pusat peranginan di pergunungan yang belum dijejaki manusia hanyalah satu daripada contoh visi beliau.

Orang tidak tahu bahawa sebelum itu beliau hampir jatuh bankrap. Rancangan Pengairan Kemubu di Kelantan adalah projek pengairan yang kedua terbesar di Malaysia ketika itu selepas Perairan Muda di Kedah. Bank Dunia memberikan pinjaman RM30 juta pada kerajaan Persekutuan untuk tujuan itu. Syarikat Kien Huat mendapat kontrak bernilai RM54 juta, RM10 juta lebih rendah daripada pesaing terdekat. Projek ini membabitkan tali air sepanjang kira-kira 540 kilometer yang bersilang di dalam kawasan yang membabitkan projek itu dan lebih 2,000 laluan atau jambatan.

Kemubu nyaris-nyaris menjerumuskan beliau dalam kancah kemusnahan, tetapi Goh Tong tidak berputus asa. Kemubu siap mengikut jadual lalu memperkukuh nama Goh Tong sebagai orang yang bersedia menerima sebarang cabaran. Seperti juga kontrak kumbahan di Kuala Lumpur, Kemubu memberikan pelbagai masalah kepada beliau dan syarikatnya.

Projek Genting hanya datang dalam impiannya ketika beliau berusia 45 tahun. Pada masa itu syarikat-syarikat beliau sudah berjaya. Apa perlunya terbabit dalam usaha yang dianggap gila oleh banyak orang? Beliau digerakkan oleh satu motivasi – projek sedemikian tidak diinginkan oleh orang lain. Maksudnya tidak ada persaingan. Beliau membayangkan sebuah tempat peranginan di puncak Gunung Ulu Kali, 1,800 meter di atas paras laut. Pada 1963, beliau bersama 20 orang lain merentas hutan untuk mencari tapak paling strategik untuk pusat peranginan itu. Pada tahun itu juga beliau mengemukakan cadangan pada Kerajaan Selangor dan Pahang untuk membuka tanah seluas 6,050 hektar di kedua-dua negeri berkenaan.

Pada 1965, syarikat Genting Highlands Sdn Bhd menjadi kenyataan. Rakan kongsi beliau ialah Tan Sri Haji Mohd Noah. Pada 8 Mei 1971 Genting pertama kali membuka pintunya untuk pengunjung, lapan tahun selepas beliau membayangkan kemungkinan itu. Beliau berusia 53 tahun ketika itu.

Usia tidak pernah menjadi halangan pada sesiapa yang berkeyakinan untuk berjaya dalam perniagaan. Lebih penting lagi, daripada pengalaman Goh Tong, bukan sekolah terbaik yang menjanjikan kejayaan dalam berniaga. Malah, Goh Tong sendiri tidak fasih berbahasa Inggeris. Beliau bercakap dalam dialek Hokien, maka beliau menjalankan mesyuarat syarikatnya dalam bahasa Melayu. Namun, beliau mampu berurusan dengan hampir setiap bangsa di dunia dalam bidang perniagaan. Moral ceritanya bahasa bukan alasan untuk mengurangkan keupayaan perniagaan sesiapa.

Goh Tong tidak berhenti setakat Genting saja. Syarikat-syarikatnya terbabit dalam pelbagai perniagaan lain. Perniagaan beliau juga berkembang ke luar negara, tetapi Goh Tong tetap menjadi nakhoda empayar itu sehingga beliau membuat keputusan mengundurkan diri pada 27 November 2002 dan menyerahkan tampuk perniagaan kepada anak beliau yang keempat (anak lelaki kedua), Tan Sri Lim Kok Thay. Kok Thay menjadi Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Berhad dan Resort World Berhad. Waktu itu Goh Tong sudah berusia 84 tahun.

Goh Tong bukan manusia luar biasa. Malah, dalam autobiogafinya beliau mengakui pada mulanya beliau berasa kekok berinteraksi dengan orang lain. Beliau tidak diwariskan dengan kekayaan, malah kemiskinan yang menyebabkan beliau meninggalkan China. Bukan semua orang yang datang ke Malaya ketika itu mencipta kejayaan seperti beliau. Beliau menyedari hakikat bahawa beliau harus membuat banyak penyesuaian di negara barunya. Beliau sudah melalui empat orang Perdana Menteri dan menyaksikan pelbagai krisis yang melanda negara ini dan orang Melayu.

Hari ini, tidak banyak ahli perniagaan Cina dan Melayu yang mempunyai kesabaran sedemikian. Lebih-lebih lagi orang Melayu. Banyak yang berharap mereka mendapat kekayaan segera sama ada melalui ‘kaitan’ politik atau dengan mendapat kontrak yang lumayan. Sebahagian besar daripada mereka adalah ahli perniagaan pasang siap, yang mendapat laba tanpa perlu banyak berusaha.

Sesiapa saja yang mendapat kontrak besar, bukan saja tidak perlu banyak bersusah payah untuk menjalankannya kerana akan ada orang lain yang boleh mengambil risiko itu. Apa yang perlu, duduk rehat saja mengaut peratus keuntungan.

Falsafah perniagaan orang seperti Goh Tong berbeza. Malah, beliau mungkin generasi terakhir ahli perniagaan Cina yang terpaksa melalui proses yang sukar itu. Hari ini banyak ahli perniagaan Cina yang sebenarnya lahir ke dalam keluarga yang sudah berjaya. Mereka hanya meneruskan usaha perniagaan, menambah nilai atau memperluaskan empayar.

Legasi Goh Tong tidak berakhir dengan kematiannya. Sekolah perniagaan akan mempelajari kaedah perniagaannya. Banyak orang yang akan menelaah punca kejayaan beliau. Banyak daripada kita mungkin tidak bersetuju dengan aspek perjudian yang diceburinya, tetapi kita harus secara terbuka mengakui bahawa bidang perjudian hanya sebahagian daripada rangkaian perniagaannya yang kompleks dan luas itu.

Saya ingin mencadangkan semua ahli perniagaan Melayu dan mereka yang berminat untuk berniaga membaca buku Cerita Saya secara jujur dan terbuka.

No comments: