Tuesday, November 20, 2007

Salah guna Cessna polis -- Ramli didakwa guna pesawat tinjau tanah milik syarikatnya


KOTA KINABALU 19 Nov. – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dengan menggunakan sebuah pesawat milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meninjau tanah milik syarikatnya di negeri ini.

Ramli, 55, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding itu mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Duncan Sikodol.

Mengikut pertuduhan, Ramli didakwa menggunakan jawatannya untuk satu suapan dengan mengeluarkan arahan untuk menggunakan kemudahan kapal terbang milik PDRM jenis Cessna Caravan CE 208-9M-PSQ pada 15 Jun 2007 kira-kira pukul 7.50 pagi.

Pesawat itu diarahkan membawa bersama dua orang awam iaitu Datuk Muhammad Yassin dan Khalid Mohammad bagi meninjau tanah Lot PT 2003110300 dan Lot 2003110332 di Ulu Tungku, Lahad Datu.

Tinjauan dari udara itu mempunyai kaitan dengan perniagaan syarikat Kinsajaya Sdn. Bhd. yang mana Ramli mempunyai kepentingan di dalamnya.

Ini merupakan dakwaan keempat dihadapi oleh Ramli dalam siri pertuduhan salah guna kuasa dan tidak mengisytiharkan harta.

Sebelum ini, pada 1 November lalu, Ramli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan gagal mengisytiharkan harta berupa dua petak ruang pejabat dan 154,000 unit saham serta satu tuduhan berasingan terbabit dalam perniagaan yang bertentangan dengan kedudukannya sebagai pegawai awam.

Dia didakwa tidak mendedahkan maklumat melalui pernyataan bertulis secara bersumpah bertarikh 17 September lalu berkenaan dua ruang pejabat iaitu Lot 144, Seksyen 44, petak 127 dan 128 yang bernilai RM1,032,840 di Tingkat 4, Bangunan M1-B, Megan Avenue II, Jalan Yap Kwan Seng di Kuala Lumpur.

Sementara itu, bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, Ramli didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh didakwa di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 hari dan denda sekurang-kurangnya RM10,000.

Timbalan Pendakwa Raya Badan Pencegah Rasuah (BPR) Putrajaya, Azlina Rasdi memohon agar mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin sebanyak RM10,000 ke atas pegawai kanan polis itu.

Azlina yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nazrul Nizam Mohd. Zameri turut memaklumkan kepada Hakim Duncan bahawa mereka akan memanggil 30 saksi bagi perbicaraan kes tersebut.

Mahkamah kemudian membenarkan Ramli dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 dan menetapkan perbicaraan selama lima hari iaitu dari 18 hingga 22 Februari 2008.

Ramli yang memakai kot berwarna kelabu dibawa masuk ke mahkamah pada pukul 10.05 pagi dengan ditemani isterinya, Datin Anita Harun dan peguamnya, Mau Kam Peng.

Tertuduh itu kemudian dibebaskan dengan ikat jamin setelah mengemukakan wang jaminan.

Sementara itu, sekumpulan 15 orang yang mendakwa mewakili 5,000 penduduk dari kawasan tanah terlibat di Lahad Datu berhimpun secara aman di hadapan bangunan mahkamah di sini.

Jurucakapnya yang juga Ketua UMNO cawangan Tanjung Labian, Kunsul Nahul berkata, beliau berharap kerajaan negeri prihatin terhadap nasib penduduk di kawasan itu.

‘‘Kami minta geran tanah dikeluarkan kepada kami yang telah menetap di sana sejak tahun 1950-an dan bukannya (kerajaan) memberikan tanah itu kepada syarikat dari luar (Sabah),” katanya.

Bagaimanapun, usaha mereka untuk berjumpa tertuduh tidak kesampaian kerana Ramli keluar melalui pintu belakang mahkamah dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

No comments: