Oleh ROSLEE MARDAN
Sejurus selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak dan diesel yang berkuat kuasa 5 Jun 2008, stesen minyak di seluruh negara menjadi sesak apabila diserbu orang ramai untuk mengisi minyak pada harga lama.
Kemungkinan juga, selepas kenaikan harga minyak ini, harga barang keperluan juga turut mengalami kenaikan sebagai tindak balas kepada kos minyak terutama kepada sektor industri pengangkutan, pembinaan, peruncitan dan lain-lain.
Sebelum ini, rakyat Malaysia telah pun menghadapi dan merasai kesan kenaikan harga minyak dan harga barang keperluan. Secara realitinya, kita tidak boleh lari daripada masalah utama dunia ini. Oleh sebab bukan sahaja Malaysia, kebanyakan negara di Asia turut mengimport minyak dari luar, maka sebarang perubahan harga minyak di negara luar mengakibatkan kos import meningkat.
Untuk menghadapi permasalahan besar dalam masa terdekat ini, kita tidak mempunyai pilihan lain kecuali penjimatan dalam perbelanjaan harian.
Kenaikan harga minyak yang mendadak berkemungkinan besar boleh membantutkan proses pembangunan negara kita. Jika rakyat mengambil jalan untuk mengamalkan penjimatan, lambat laun, kitaran ekonomi akan menjadi sedikit perlahan.
Ini kerana, walaupun sektor industri masih berjalan seperti biasa iaitu dengan mengeluarkan produk, kos pengeluaran dan kos jualan yang tinggi tidak memungkinkan produk mendapat perhatian daripada rakyat. Akan berlaku lambakan barangan pada satu-satu masa.
Kita tidak boleh lagi selama-lamanya terus bergantung kepada keadaan pasaran minyak dunia. Walau apa pun persoalan mengenai minyak yang mendatangkan seribu satu masalah kini, kita harus menolak pengaruh dominasi minyak kepada pembangunan sesebuah negara khususnya kehidupan manusia.
Maka, setiap negara terutama negara Asia perlu memikirkan alternatif yang dapat mengurangkan pergantungan kepada harga minyak dunia. Benar bahawa negara kita juga mengeluarkan minyak tetapi keperluan melebihi had yang ada selain tujuan penggunaannya juga adalah pelbagai.
Pada saat kita bergelut dengan krisis minyak ini, antara alternatif yang boleh dilakukan dan sudah pun dimulakan oleh kerajaan pada hari ini ialah usaha pembangunan biodiesel negara.
Pembangunan biodiesel dalam negara perlu dipertingkatkan, diperkasakan dan mesti dibangunkan bukan saja di Malaysia tetapi perlu bersama dengan negara-negara komuniti ASEAN yang lain.
Ini disebabkan, setiap kali berlaku anjakan harga minyak, negara ASEAN terpaksa menanggung beban yang tinggi ekoran ciri-ciri negara ASEAN yang masih menanggung rakyat miskin di luar bandar.
Apabila setiap kerajaan meletakkan harga kepada kos minyak sedia ada, kerajaan terpaksa mengambil kira tanggungan golongan miskin. Di negara Eropah, walaupun kenaikan harga berlaku, taraf pendapatan mereka masih boleh menyaingi harga baru dan jurang kenaikan tidak terlalu dirasai.
Kita melihat krisis ini akan lebih menjarakkan kemajuan negara Eropah berbanding dengan negara-negara ASEAN atau negara-negara membangun yang lain. Boleh jadi negara-negara Eropah akan menggunakan minyak sebagai cara mereka melemahkan negara-negara kecil di Asia.
Malaysia dan ASEAN keseluruhannya masih kaya dengan tanah dan ini dapat membuka satu lembaran baru bagi projek-projek biodiesel serta gas secara bersepadu. Walaupun tidaklah sehebat seperti mana industri minyak yang ada, setidak-tidaknya projek-projek pembangunan biodiesel yang bakal dibangunkan itu dapat mengurangkan pergantungan kepada bekalan minyak dunia.
Pembangunan biodiesel, sekiranya diusahakan dengan melihat kepada prospek yang tinggi boleh menyelamatkan negara untuk jangka masa panjang. Selain itu, ia memberi kelebihan kepada golongan usahawan sekiranya proses pembangunan biodiesel melibatkan sumber-sumber semulajadi.
Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam industri biodiesel perlulah diperluaskan dan diberi keutamaan dalam setiap rancangan Malaysia.
Negara kita juga seharusnya meningkatkan eksplorisasi terhadap kemajuan penyelidikan sains dan teknologi. Kita percaya, kemajuan sains dan teknologi sahaja yang akan mampu mengeluarkan manusia daripada krisis pergantungan sekali gus menolak pengaruh dominasi minyak yang mencengkam kehidupan manusia.
Harapan kita bahawa inovasi yang terhasil daripada kemajuan sains dan teknologi negara akan mewujudkan bidang kejuruteraan berteknologi tinggi yang boleh membantu kelancaran urusan pembangunan negara walaupun tanpa kehadiran minyak.
Negara harus mengumpul segala teknologi dari seluruh dunia terutama teknologi kejuruteraan Jepun untuk digunakan sebagai asas penyelidikan dan pembangunan kejuruteraan. Syarikat-syarikat automotif terutama syarikat automotif negara perlu meningkatkan lagi inovasi dan transformasi dalam penghasilan kenderaan bermutu tinggi bukan sahaja dari segi penjimatan minyak tetapi juga boleh digunakan tanpa sebarang bahan bakar.
Jika ini dapat direalisasikan maka, masalah pergantungan kepada bahan bakar iaitu petroleum akan dapat dikurangkan. Malaysia mempunyai ramai saintis yang berkebolehan.
Oleh itu, tidak mustahil, jika peranan saintis dan jurutera-jurutera diambil kira dalam menyelesaikan masalah, sudah tentu akan ada bayang-bayang penyelesaiannya. Negara kita boleh bergabung dengan saintis-saintis dengan negara-negara ASEAN yang lain contohnya dalam satu konvensyen atau persidangan bagi membincangkan peranan sains dan teknologi menyelesaikan dominasi minyak dunia.
Setiap kerajaan perlu memperuntukkan perbelanjaan yang lebih kepada projek-projek penyelidikan dan pembangunan.
Ketika dalam krisis ini juga, sudah semestinya kita tidak boleh membiarkan kerajaan 'pening kepala' memikir dan mengurus segala-galanya. Ketika ini rakyat tidak dapat tidak harus menerima hakikat bahawa, kerajaan telah melakukan penyelesaian sehabis baik.
Pada masa dahulu kerajaan Indonesia hampir-hampir lumpuh dan jatuh disebabkan krisis minyak yang gagal ditangani oleh kerajaan. Ini ditambah pula dengan sikap rakyat yang terlalu emosional dan gagal mengawal perasaan lalu merusuh dan memberontak.
Keadaan yang sepatutnya ialah kerjasama antara kerajaan dan rakyat. Jika rakyat terlalu penting diri dan menganggap kenaikan minyak sebagai kesalahan seratus peratus kerajaan, ini tidak akan membantu menyelesaikan masalah.
Kita tidak mahu wujudnya pergolakan politik yang hanya menyebabkan kerugian dan kesusahan kepada rakyat keseluruhan. Pada masa inilah, golongan-golongan pemikir terutama pakar-pakar akademik dalam bidang ekonomi harus mengambil inisiatif untuk mengadakan muzakarah, mesyuarat, seminar atau persidangan di Institusi-Institusi Pengajian Tinggi bagi membincangkan kalau-kalau ada cara untuk membantu kerajaan mengatasi masalah.
Kenaikan harga minyak sedikit sebanyak mencetuskan keadaan panik dan kita bimbang boleh mencetuskan pemberontakan apabila rakyat tidak dapat mengetahui secara lebih mendalam cerita di sebalik kenaikan tersebut. Maka kerajaan juga harus melancarkan gerakan memberi penerangan kepada rakyat selain kepada pemimpin-pemimpin agar wujud kesefahaman yang positif.
Friday, June 6, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment