Thursday, June 5, 2008

Petrol naik 78 sen, diesel RM1, elektrik jika lebih RM43

Oleh ZULKIFLI JALIL



PUTRAJAYA 4 Jun – Harga petrol di negara ini dinaikkan sebanyak 78 sen seliter kepada RM2.70 seliter berkuat kuasa esok.

Ini merupakan kenaikan 40 peratus daripada harga RM1.92 seliter sekarang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, harga diesel turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.58 seliter daripada RM1.58.

Ketika mengumumkan pakej penstrukturan semula subsidi bahan api di sini hari ini, beliau berkata, prinsip penentuan harga petrol dan diesel di Malaysia sekarang akan berlandaskan kepada harga bahan api itu di pasaran dunia.

Langkah itu yang turut menyaksikan kenaikan harga gas untuk sektor elektrik dan industri, menurut Abdullah, adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk membawa harga bahan api di Malaysia ke arah harga pasaran sebenar.

Tarif elektrik, kata beliau, turut dinaikkan “bertujuan meningkatkan kecekapan pasaran dan menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjimatkan sumber tenaga” tetapi kadarnya berbeza mengikut kegunaan dan sektor.


Perdana Menteri percaya dengan penguatkuasaan harga baru petrol, diesel, gas dan tarif elektrik itu, sektor komersial dan industri akan lebih bermotivasi untuk meningkatkan kecekapan operasinya.

Berdasarkan harga minyak mentah pada kadar AS$125 setong, kerajaan menganggarkan sejumlah RM13.7 bilion penjimatan dapat diperoleh daripada penstrukturan subsidi petrol, diesel dan gas serta pendapatan daripada levi yang dikenakan terhadap Penjana Tenaga Bebas (IPP) dan Pengeluar Minyak Kelapa Sawit (POP).

Abdullah menjelaskan, subsidi bahan api distruktur semula bagi memastikan bantuan dapat diagihkan dengan lebih adil dan memberi lebih manfaat kepada mereka yang memerlukan, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Subsidi bahan api tetap diberikan kepada rakyat di bawah penstrukturan baru itu, kata Perdana Menteri.

“Kerajaan akan memberi diskaun atau pengurangan kepada pengguna sebanyak 30 sen bagi setiap liter minyak yang dijual.

“Kalau harga pasaran petrol, misalnya seperti hari ini, pada RM3 seliter, kita akan tentukan harga minyak dengan memberi diskaun atau pengurangan 30 sen.

“Maknanya yang perlu dibayar oleh pengguna ialah RM2.70 seliter walaupun harga sebenar ialah RM3,” kata Abdullah.

Diskaun itu, kata beliau, akan diberi secara tetap. Walaupun harga minyak diselaraskan sebulan sekali, kerajaan akan memastikan diskaun 30 sen itu terus diberi, ujarnya.

Utusan Malaysia difahamkan, mengikut cadangan asal harga petrol sepatutnya RM3 seliter, tetapi mesyuarat Kabinet hari ini meminta kerajaan memberi diskaun 30 sen untuk setiap liter petrol yang dijual di negara ini.

Semasa sidang akhbar, Perdana Menteri ditanya kemungkinan kenaikan harga petrol dan diesel yang diumumkan itu menyebabkan kerajaan pimpinannya kurang popular di kalangan rakyat.

Abdullah menjawab: “Ini bukan soal untuk popular, ini adalah langkah serius untuk keperluan rakyat. Kita tidak boleh puaskan hati semua pihak tetapi memastikan ‘situasi menang-menang’ untuk semua.''

Menjawab soalan daripada seorang wartawan Indonesia yang mengatakan di negaranya kenaikan harga minyak telah mencetuskan demonstrasi dan bantahan terhadap kerajaan, Perdana Menteri berkata:

“Insya-Allah, saya harap rakyat Malaysia tidak berdemonstrasi sebab apa yang kerajaan putuskan ini adalah yang sebaik-baiknya bagi menangani keadaan yang susah hari ini.

“Lagi pun harga baru petrol dan diesel yang diumumkan hari ini masih lagi yang terendah di rantau ini.''

Abdullah memberitahu, Kabinet yang membincangkan soal kenaikan harga minyak dalam mesyuarat selama empat jam hari ini meneliti satu per satu kesan yang akan timbul daripada keputusan itu.

Sidang akhbar Perdana Menteri hari ini turut disertai anggota-anggota Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Amirsyam A. Aziz.

Turut hadir ialah Presiden Petronas, Tan Sri Hassan Merican; Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Datuk Seri Che Khalib Mohd. Noh dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Dr. Sulaiman Mahbob.

No comments: