Thursday, August 7, 2008

Anwar didakwa hari ini * Hadapi tuduhan meliwat *Dijangka diwakili 9 peguam bela

Oleh TAN MING WAI dan WAN NORHAYATI WAN ALIAS



SERAH... DSP Jude Pariera (bertali leher) keluar dari rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menyerahkan sapina kepada beliau di Bukit Segambut, Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 6 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan didakwa atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta di sini pagi esok.

Notis bertulis ke atasnya supaya hadir ke mahkamah pada pukul 10 pagi esok telah diserahkan oleh polis kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu di rumahnya di Bukit Segambut di sini pukul 12.05 tengah hari ini.

Sapina itu diserahkan sendiri oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Deputi Supritendan Jude Parreira yang juga pegawai penyiasat kes tersebut.

Pereira menyerahkan sapina berkenaan dengan diiringi tiga anggota polis. Beliau berada di kediaman Anwar selama kira-kira 15 minit sebelum beredar.

Anwar, 61, dilihat menandatangani sendiri sapina yang diterimanya itu.

Pada sidang akhbarnya di ibu pejabat PKR di Damansara tiga jam kemudian, beliau mengesahkan akan hadir di mahkamah esok.

Anwar juga memberitahu, beliau akan diwakili pasukan sembilan peguam termasuk R. Sivarasa, Sankara Nair, Saiful Izham Ramli dan Sulaiman Abdullah.

Utusan Malaysia difahamkan, pasukan pendakwaan pula akan diketuai oleh Peguam Cara Negara, Datuk Idris Harun dan beberapa orang pendakwa raya termasuk Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam satu kenyataan hari ini berkata, sapina itu diserahkan kepada Anwar setelah Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk mendakwa beliau di mahkamah.

“Polis telah selesai menyiasat kes jenayah seksual melibatkan persetubuhan bertentangan aturan tabii membabitkan Anwar. Kertas siasatan telah dihantar (oleh polis) kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapat nasihat dan keputusan.

“Pejabat Peguam Negara telah memutuskan mendakwa Anwar. Oleh itu, notis bertulis kepada Anwar untuk hadir di Mahkamah Jalan Duta pada pukul 10 pagi 7 Ogos 2008 telah disampaikan kepada beliau,” katanya.

Ini merupakan kali kedua Anwar berdepan tuduhan liwat di mahkamah selepas pendakwaan pertama pada 1998 apabila bekas Timbalan Perdana Menteri itu dituduh meliwat bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar. Beliau juga dikaitkan dalam kes liwat melibatkan adik angkat beliau, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dan penulis ucapannya, Dr. Munawar Anees.

Anwar dipenjarakan ekoran dakwaan itu. Bagaimanapun, pada 2 September 2004, Anwar telah dibebaskan apabila Mahkamah Persekutuan menolak pensabitan tuduhan liwat terhadapnya.

Dalam kes terbaru ini, Anwar didakwa meliwat Mohd. Saiful, 23, di sebuah kondominium di Damansara di sini, dengan kali terakhir dua hari sebelum mangsa membuat laporan polis di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 5.45 petang 28 Jun lalu.

Menurut Ismail, siasatan polis terhadap laporan yang dibuat oleh Mohd. Saiful itu dikendalikan berlandaskan prinsip undang-undang.

“Siasatan polis terhadap kes ini adalah mengikut prosedur yang wujud dalam sistem perundangan negara,” katanya.

Anwar yang diklasifikasikan sebagai suspek dalam kes itu dijangka dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu meliwat tanpa kerelaan.

Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Seksyen 377C Kanun Keseksaan tidak membenarkan tertuduh dijamin. Bagaimanapun, mahkamah boleh menggunakan Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah untuk membenarkan ikat jamin.

Sejak beberapa hari lalu, khabar angin tersebar meluas mengatakan Anwar akan ditangkap oleh polis pada bila-bila masa untuk tujuan pendakwaan.

Bagaimanapun, mengikut Perlembagaan Persekutuan, seseorang yang telah dibebaskan dengan jaminan polis tidak boleh ditangkap kali kedua untuk kesalahan yang sama.

Sebaliknya, sekiranya suspek mahu didakwa, polis boleh menyerahkan sapina kepadanya untuk hadir ke mahkamah. Jika suspek ingkar atau enggan hadir, permohonan waran tangkap boleh dikemukakan kepada mahkamah.

Anwar yang bercadang bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh tidak lama lagi ditahan pada 16 Julai lalu untuk disoal siasat berhubung dakwaan liwat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebelum dibebaskan dengan jaminan polis keesokan harinya.

Kenyataan polis sebelum ini menyebut, Anwar terpaksa ditahan pada hari berkenaan tidak jauh dari rumahnya kerana kenderaan beliau yang sepatutnya ke IPK Kuala Lumpur mengubah haluan menuju ke rumahnya.

Dua hari sebelumnya iaitu pada 14 Julai, Anwar enggan datang ke IPK itu pada pukul 2 petang untuk memberi keterangan walaupun telah menyatakan pengakuan hadir kepada polis.

Dalam tempoh tahanan selama 21 jam itu, Anwar dibawa ke HKL untuk pemeriksaan tetapi beliau enggan memberi sampel darah untuk tujuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

No comments: