Saturday, November 29, 2008

Susur kekuatan politik Melayu

Oleh KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN

Sebagai anak muda Melayu pasca- merdeka, pandangan penulis mungkin salah tetapi enam bulan kebelakangan ini adalah period paling 'hidup' dalam membicarakan isu bangsa Melayu. Banyak pihak yang mewakili apa yang dikatakan sebagai 'suara Melayu' telah bangkit menyatakan pandangan dan juga asas keresahan.

Baik namanya Perkasa, Pewaris - dan banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersuara bagi pihak orang Melayu, semuanya dirasakan ikhlas dengan niat untuk melihat perubahan dan nasib orang Melayu diberikan perhatian oleh pihak berkepentingan. Mereka punya asas untuk bersuara atas pelbagai platform; sayangnya, jika kita gagal mewujudkan kesepakatan pemikiran dan tindakan, suara ini akan menjadi detik 'politikal' yang tidak diterjemah dalam bentuk pelaksanaan dasar dan polisi.

Hakikatnya, suara ini mesti diambil maklum oleh pihak berwajib. Kesemua kertas kerja, resolusi, pandangan, kesimpulan forum dan seminar yang rencam dan pelbagai mesti diperhalusi secara bersungguh dan ikhlas. Jangan biarkan suara orang Melayu menjadi suatu 'gendang politik' yang tidak kesampaian. Perjuangan zaman ini memerlukan komitmen kepada pelaksanaan kata-kata dan bukan sahaja demonstrasi yang tidak berpenghujung.

Apa yang penulis khuatir, rentak kita untuk gemar berdemonstrasi seakan- akan sudah terikut-ikut dengan budaya politik jalanan yang tidak mempunyai hemah dan hala tuju. Perjuangan mestilah bersifat strategik - dan tidak menjurus kepada membuka segala macam tuntutan di atas bahu jalan. Ini masanya untuk kita menjadikan isu Melayu sebagai 'isu teras' di dalam pembicaraan pembuat dasar.

Walaupun mendapat bantuan daripada pihak polis, suka diingatkan bahawa kadangkala kita tidak mampu mengurus emosi dan perasaan. Apa yang berlaku tempoh hari di Jalan Tun Razak menggambarkan segalanya. Untung wanita yang mempunyai pandangan berbeza tersebut tidak diapa-apakan. Jika tidak, ia menggambarkan 'kekerasan' kita yang tidak mampu dikawal.

Penulis juga menginginkan usaha pemerkasaan bangsa dilakukan secara bersungguh. Untuk ia berlaku, kita mesti diberikan keyakinan bahawa 'suara' ini didengari dan diperhalusi. Kita mungkin boleh berbuih mulut bercakap tentang kepentingan bangsa; tetapi yang lebih penting dalam zaman yang serba canggih ini adalah - agenda bertindak dan polisi yang berani.

Hakikatnya, apa yang berlaku dalam pilihan raya umum yang lalu bukanlah 'tsunami', tetapi 'terapi politik' (political theraphy) kepada orang Melayu. Mahu tidak mahu, kita terpaksa mengakui bahawa kita baru sahaja disedarkan daripada lena yang panjang. Kita perlu mengakui bahawa kita terlalu selesa dengan ungkapan hak istimewa dan ketuanan Melayu. Kita berasa cukup terpelihara dalam belenggu pemikiran politik zaman lampau.

Bukannya kita tidak diingatkan dalam babak tertentu sejarah Malaysia moden. Kertas litmus kesabaran orang Melayu sudah acap kali berubah warna. Hari ini, ia memerlukan langkah strategik dan keazaman politik luar biasa. Kelompok kecil Melayu mungkin juga akan menentangnya atas dasar 'keterbukaan' dan 'kesamarataan'.

Kepimpinan Melayu mesti dikaitkan dengan budaya kerja efisien, bersih, cekap, amanah, punya harga diri dan merit yang tinggi. Siapa mampu menafikan bahawa Singapura menegakkan 'Ketuanan Cina'. Ini perkara yang sangat teras dan penting. Tetapi mereka melonggarkan sedikit takrif 'ketuanan' - dengan menyuntik budaya kerja efisien, meninggikan 'aras prestasi kepimpinan', meletakkan merit sebagai asas, mewujudkan suasana pemilihan pemimpin yang ketat dan peka dengan perubahan.

Perkhidmatan awam yang secara kebetulannya didominasi oleh orang Melayu juga mesti menampakkan gelombang perubahan. Sektor awam yang cekap, efisien, amanah, nyah-korupsi, tegas dan bersungguh juga akan memberi wibawa moral kepada prestasi orang Melayu keseluruhannya. Orang Melayu sendiri perlu mengangkat 'integriti' kemelayuannya.

Kompetitif

Apakah mungkin seorang Melayu menjadi Perdana Menteri Singapura? Secara merit, matematikal, sistemik dan ego-budaya; jawapannya adalah tidak. Kayu ukur nilaian kepimpinan akan sentiasa dinaikkan dari masa ke semasa. Sistem politik tidak akan membenarkan ia berlaku. Melayu Singapura kena terima hakikat ini. Ini juga tidak bermakna Melayu Singapura lemah. Secara perbandingan, mereka mungkin Melayu yang lebih kompetitif dan berani.

Kita tidak akan selamanya mampu berselindung di sebalik ungkapan hak istimewa dan istilah lain yang berkaitan. Ketuanan Melayu - mesti diubah pengertian dan amalannya.

Selagi kita mengaitkan kepimpinan kita dengan istilah yang merosakkan - seperti korupsi, politik wang, tidak jujur, tidak amanah; kita secara tidak sedar telah merosakkan peluang mempertahan Ketuanan Melayu.

Politik Melayu jangan cepat 'rentan' (cepat jatuh sakit, mudah jatuh sakit, mudah dihinggapi penyakit - muka surat 1,528, Kamus Besar Bahasa Melayu UTUSAN). Ini termasuklah budaya politik jerit-jeritan dan budaya 'cium keris' yang sudah terlalu teatrikal dan melodramatik.

Politik wang juga mampu membawa rentan kepada politik Melayu. Kita sangat memerlukan gelombang pengukuhan politik Melayu yang jujur dan ikhlas.

Jalan politik sedia ada sudah betul. 'Suara' orang Melayu, baik di Perak, Selangor, Kedah sudah mula resah dan khuatir. Bagi pentadbir yang bijaksana dan responsif - bermain dengan suara dan perasaan orang Melayu adalah jalan yang mampu membawa luka politik yang dalam. Jangan terlalu bergantung dengan keputusan PRU-12 kerana gelombang rentas kaumnya adalah sementara.

Sampai saat ini, penulis percaya ramai orang Melayu masih menantikan pertemuan pimpinan UMNO-Pas. Sebahagian besarnya tidakpun mengharapkan wujudnya kerjasama strategik selepas daripada itu. Mesej pertemuan itulah yang lebih membawa makna, dan mampu mengubat resah umat Melayu. Suara Melayu mesti diberikan keyakinan bahawa wujud 'ruang muzakarah' yang terbuka untuk direalisasikan.

Ketidakselesaan UMNO didesak rakan muafakatnya mesti difahami oleh Pas. Kehilangan hormat rakan sealiran Pas kepada parti tersebut juga mesti mendapat 'empati' UMNO. Bayangkan sahaja murninya politik jika Mursyidul Am Pas menegur jujur kerisauan tentang politik wang; dan Pak Lah mengingatkan ketidakperluan meneruskan ladang babi di Bukit Selambau. Apakah prinsip politik kedua-duanya akan hancur menyembah bumi? Apakah mesej baik yang mampu disampaikan kepada umat Melayu?

Pertemuan UMNO-Pas bukanlah pendekatan politik yang rasis dan jumud. Ini bukan soal 'Erdogan' atau tidaknya fikrah dan pendekatan kita. Ini juga bukan soal UMNO memerlukan Pas. Fikrah dan pendekatan 'umatik' inilah yang perlu dilahirkan daripada keputusan PRU-12 yang 'terapeutikal' itu.

Sementara penulis juga sangat mendokong agenda kebangkitan Melayu pasca PRU-12 yang 'terapeutikal' - semangat jelajah dan membakar semangat Melayu mestilah juga disederhanakan. Memang benar, kita rentan hati dengan beberapa isu dan kedangkalan pemikiran individu tertentu; tetapi berjelajah dengan hati yang panas - boleh mendatangkan natijah yang berbeza.

Penulis hanya ingin menyampaikan pandangan kecil mengenai isu 'ketuanan Melayu'. Jika ia mendatangkan resah berterusan di kalangan orang bukan Melayu, khususnya dengan konotasi 'tuan-hamba'; apakah mungkin ia ditukar kepada 'Keabsahan Melayu' (Malay Legitimacy)?

Kalau kita benar-benar menerima hakikat hak keistimewaan dan kepentingan Melayu sudah terabsah molek dalam Perlembagaan - maka soal 'legitimasi' orang Melayu tidak wajar diungkit lagi. Soal kehadiran orang Melayu tidak seharusnya cuba ditulis dengan pemahaman sejarah yang semberono dan jumud.

Kalaulah agaknya pandangan Dr. Chua Soi Lek, Timbalan Presiden MCA dalam ucapan beliau di Anugerah Kancil 2008 boleh diangkat sebagai 'pandangan perdana' masyarakat Cina di Malaysia - 'Keabsahan Melayu' mampu tampil sebagai opsyen. Tegas Soi Lek, 'kami menerima Kepemimpinan Melayu, tetapi bukan Ketuanan Melayu'. Ujar beliau lagi, '...when we say we reject 'Ketuanan Melayu, we are not challenging the Malay special rights. It is enshrined in our constitution and nobody can take that away'. (rujuk: http://drchua9.blogspot. com)

Suhu politik Malaysia masih belum dingin. Ia tidak juga perlu dihangatkan dengan gendang keperwiraan yang ekstrem. Kita perlu pantas merenung kembali sejarah dan bergerak seiringan menuju masa depan yang menjanjikan buat semua. Kaedah membugar semangat tanpa kawalan emosi dan didikan iman - akan melahirkan generasi reaktif.

Untuk mengabsah kita sebagai 'bangsa wibawa' - ia memerlukan lebih daripada perenggan-perenggan penting dalam Perlembagaan Negara. Ia memerlukan polisi dan dasar berani, jiwa pesaing unggul, iktisad yang menjanjikan dan lasykar bangsa yang mampu menjadi modal insan gemilang.

Tidak ada sesiapa pun yang berani mengatakan perjalanan memperkasa bangsa akan menjadi mudah. Kefahaman tentang realiti baru dan keberanian untuk menyatukan amalan dan tindakan - akan menjanjikan hasil yang menyeluruh.

Wednesday, November 26, 2008

Sejarah tidak pernah berbohong

SEJARAH amat penting. Dalam lawatan saya ke Samarkand, kota berusia 2,750 tahun, yang menempatkan bandar raya kegemilangan Islam, tergambar kepada saya kekaguman yang teramat sangat. Di situlah cendekiawan Islam berkumpul, mencipta formula matematik algebra, melakar peta cakerawala alam semesta secara kiraan saintifik, membina balai cerap, mengumpul hadis-hadis sahih Rasulullah SAW untuk generasi sekarang, serta mencipta bangunan-bangunan ala Menara Berkembar Petronas - pada kurun ke-13!

Struktur-struktur itu dibina dengan salutan putih telur dan batu-bata disusun berselang seli dengan gentian sutera bagi menahan gegaran kuat aliran gempa di bawah muka buminya. Ternyata bangunan-bangunan itu kukuh sehingga ke hari ini. Itu semua adalah tinggalan sejarah yang boleh dilihat dengan mata kasar.

Sebagaimana yang saya tekankan sebelum ini, sejarah tidak pernah berbohong. Walaupun ia berlaku semalam atau kelmarin, ia adalah fakta yang tidak pernah menyeleweng, hatta beribu-ribu tahun jua usianya.

Begitu juga sejarah Kesultanan Melayu. Ia juga tidak pernah berbohong. Sejarah yang ditulis oleh sarjana dan pembesar istana zaman silam yang kemudiannya diturunkan dari satu generasi ke satu generasi sepatutnya dijadikan renungan, iktibar, pengajaran kepada kita semua. Persoalannya, berapa ramai generasi Melayu sekarang yang mahu mengambil iktibar daripadanya? Berapa ramai kaum lain Malaysia yang tahu mengenai Sejarah Melayu? Apakah benar Melayu mudah lupa, seperti kata-kata yang saban kali diucapkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad?

Seorang sahabat saya yang juga penulis dan pengkritik, Mansor Puteh menghantar kepada saya tulisannya mengenai sejarah asal usul (dan nasib malang) Sultan Singapura Pertama, Sultan Hussain Shah. Sultan itu disingkir oleh Inggeris apabila, tulisnya: ''Orang bukan Melayu bertambah banyak (di Singapura) dan menguasai bidang perniagaan dan politik di pulau itu."

Saya terpanggil untuk memetik ringkasan tulisan Mansor itu di dalam ruangan ini untuk renungan kita semua. (Rencana penuh Mansor itu akan disiarkan tidak lama lagi). Begini tulisan beliau.

Inilah nasib malang Sultan Singapura yang pertama.

Ia adalah sebuah kisah yang boleh dijadikan teladan, sebab ia adalah sebuah peristiwa penting untuk bangsa Melayu di Nusantara, bukan sahaja tentang bagaimana seorang sultan Melayu boleh disingkir apabila jumlah bukan Melayu bertambah dan kuasa ekonomi mereka meningkat.

Tetapi ia boleh dijadikan iktibar untuk orang Melayu di Malaysia dan di seluruh Nusantara Melayu supaya peristiwa yang sama tidak berulang lagi khususnya di masa sekarang.

Sultan Hussain Shah, atau dikenali sebelum ini sebagai Raja Hussain Muazzam Shah ibn Sultan Mahmud Riayat Shah III (1761-1812) dari Riau atau Tengku Long (Tengku Sulong) Raja Hussain Shah, atau Raja Long yang ditabalkan sebagai Sultan di Padang di Singapura pada 31 Januari 1819.

Jenazah baginda sekarang disemadi di sebuah makam sederhana di penjuru tanah perkuburan dalam kawasan Masjid Tengkera di Melaka, terbiar dan langsung tidak dikenali sesiapa. Cuma sebuah papan tanda sahaja yang menulis tentang riwayat hidupnya. Sedangkan dia adalah watak penting dalam sejarah awal Singapura.

Malah Istana Kampung Gelam di Singapura yang sekian lama didiami kerabatnya, kini sudah diambil alih oleh pihak berkuasa di Singapura dan dalam tahun 2002, ia telah diubah suai untuk dijadikan Pusat Warisan Melayu atau Malay Heritage Center.

Kisah riwayat hidup sultan Hussain Shah amat menyayatkan hati. Ia adalah kisah bagaimana Inggeris dan Cina 'mengusir' seorang sultan Melayu dengan begitu mudah.

Caranya ialah dengan memperbanyakkan jumlah orang Cina yang didatangkan dari selatan China sehingga jumlah penduduk asal Melayu di situ menjadi kecil dan dengan ini kuasa politik mereka hapus begitu sahaja.

Inggeris mendatangkan orang Cina dan India ke Singapura semata-mata untuk menambahkan jumlah penduduk asing. Mereka tidak membawa atau menggalakkan orang Melayu dari Riau dan pulau-pulau lain di selatan Singapura atau dari Pulau Jawa dan Sumatera mahupun dari Malaya, sebab tujuan mereka hanya untuk mengecilkan jumlah penduduk Melayu untuk akhirnya menyingkirkan hak dan kuasa Melayu di Singapura.

Kisah seperti ini bunyi seperti sebuah dongeng. Masakan sebuah Kesultanan Melayu boleh dihapuskan dengan begitu mudah?! Tetapi ia benar.

Sultan Hussain Shah menangis pada waktu malam apabila baginda sedar yang dia telah disalah guna oleh Inggeris dan orang bukan Melayu di situ yang tidak menyokong atau menyembahnya.

Jadi apa yang kita semua boleh pelajari daripada peristiwa perit yang dialami Sultan Hussain Shah ini? Banyak…

Itulah ringkasan catatan Mansor yang saya petik. Kesimpulannya ialah: Apabila orang lain bersatu, kita berpecah, maka kita akan hancur.

Namun, hakikatnya orang Melayu Malaysia kini sudah terbahagi kepada empat puak - UMNO, Pas, PKR dan Liberal.

Orang Melayu Liberal, satu generasi baru (tanpa semangat, jiwa dan roh Melayu Islam) kini semakin ramai. Mereka tidak mahu bercakap mengenai soal kebangsaan dan keagamaan kerana bagi mereka ia adalah kolot.

Akan bertahankah orang Melayu untuk generasi akan datang? Tepuk dada, tanya selera. Jika bersatu kita akan kekal, jika tidak, sejarah tidak pernah berbohong.

Tuesday, November 25, 2008

Nazri tidak perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini memutuskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berhubung status keenam-enam hakim yang menerima bayaran ex-gratia,tidak perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Keputusan itu dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mendapati kenyataan yang dbuat oleh ahli Parlimen Padang Rengas itu tidak berniat untuk mengelirukan Dewan.
"Saya putuskan sewaktu Yang Berhormat Menteri membuat kenyataan yang kononnya mengelirukan itu sebenarnya tidak tahu bahawa kenyataan yang dibuat itu tidak benar dan beliau tidak ada niat sama sekali untuk mengelirukan Dewan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 6 November lalu, Nazri ketika mengumumkan pembayaran exgratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan lima hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman 20 tahun lepas, beliau berkata bekas-bekas hakim itu bukannya dipecat tetapi telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti disarankan oleh satu panel.
Hal itu menyebabkan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) pada 10 November lalu meminta supaya Nazri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa kenyataan menteri itu adalah satu pembohongan besar.
Bagaimanapun pada 13 November lalu, Nazri membuat pengakuan terbuka melalui media dan mengakui kesilapannya berhubung kenyataannya sebelum ini dan mengakui bahawa sebenarnya kesemua hakim berkenaan dipecat namun tetap menerima bayaran pencen atas permintaan Yang di-Pertuan Agong ketika itu melalui satu surat kepada Ketua Setiausaha Negara tanpa didedahkan.
Wan Junaidi memaklumkan bahawa tiga syarat perlu dipenuhi jika ingin merujuk mana-mana ahli Dewan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12).
"Pertamanya kenyataan dibuat yang kononnya mengelirukan itu hendaklah sebenarnya mengelirukan, keduanya ahli yang buat kenyataan yang kononnya mengelirukan itu tahu atau sedar bahawa kenyataan yg sedang dihujahnya itu adalah tidak benar.
"Dan yang ketiganya sewaktu membuat kenyataan yang kononnya mengelirukan itu, Yang Berhormat berkenaan sebenarnya berniat untuk mengelirukan Majlis atau Dewan," katanya.
Oleh yang demikian, menurut Wan Junaidi apabila Nazri membuat kenyataan terbuka melalui media bagi memperbetulkan kenyataan awalnya, maka syarat yang kedua dan ketiga itu tidak dapat dipenuhi.

Mengangkat persembahan Makyung

Oleh ABD. AZIZ ITAR
(WARTAWAN UTUSAN)

SENI persembahan Makyung merupakan naskhah genre taridra popular di Kelantan yang mempunyai kombinasi unsur-unsur tarian, muzik, drama dan komedi yang sudah berakar umbi sejak kira-kira 400 tahun lalu.

Malah, seni dikatakan berasal dari istana Melayu Patani, Thailand yang sedikit sebanyak menyelitkan pengaruh budaya Siam itu kini terus berdiri sebagai melambangkan salah satu identiti persembahan klasik dari negeri di Pantai Timur.

Sungguhpun begitu, Makyung bolehlah dianggap kurang bernasib baik berbanding seni-seni tradisional lain kerana seni persembahan yang menggunakan peralatan muzik seperti serunai, rebab, canang, kesi dan gong itu seakan-akan semakin dipinggirkan sejak kebelakangan ini.

Ini kerana, tidak banyak kumpulan Makyung yang masih aktif terutamanya selepas kematian tokoh aktivis terkenalnya iaitu Khatijah Awang beberapa tahun lalu menyebabkan seni persembahan itu termasuklah di Kelantan ibarat 'hidup segan mati tidak mahu'.

Difahamkan di Kelantan ketika ini cuma ada tidak sampai lima kumpulan Makyung yang aktif mengadakan persembahan tertutup ataupun di luar Negeri Cik Siti Wan Kembang itu biarpun ia atas permintaan tertentu seperti para pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan badan kebudayaan.

Jika bukan kerana itu, Makyung tidak setakat semakin dilupai oleh masyarakat Melayu, tetapi besar kemungkinan generasi muda hari ini dan akan datang juga tidak akan tahu tentang kewujudan seni yang amat halus persembahannya itu.

Namun, mujurlah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengambil langkah proaktif dengan mengadakan pelbagai aktiviti bagi mempopularkan semula seni persembahan yang cukup terkenal dengan watak-watak bernama Peran dan Syaman itu.

Sebagai contohnya, mulai 27 hingga 30 November ini, suatu program yang diberi judul Makyung Ekstravaganza akan diadakan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Penerangan Pelancong, Kuala Lumpur, dengan tujuan menghidupkan semula aktiviti-aktiviti berkaitan seni tersebut.

Makyung Ekstravaganza bukan setakat mengadakan persembahanMakyung secara percuma, tetapi pelbagai aktiviti seperti bengkel, demonstrasi dan promosi tentang seni itu juga akan dianjurkan secara percuma kepada para pengunjung.

Inisiatif itu bukanlah terlalu lambat untuk diusahakan, sebaliknya JKKN yang terletak di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) itu sepatutnya melipat gandakan lagi usaha tersebut.

Seharusnya Makyung dapat digunakan dalam kempen promosi sektor pelancongan negara dan digunakan dalam seni-seni persembahan kebudayaan menerusi Kementerian Pelancongan Malaysia.

Dalam hal ini, JKKN dan KPKKW haruslah saling menjalin kerjasama lebih erat bagi mengangkat serta mengeksploitasi seni persembahan Makyung yang tentunya mendapat apresiasi lebih tinggi apabila ia dipentaskan kepada masyarakat di luar negara.

Kita berharap agar aktiviti-aktiviti mengangkat serta memperkasakan seni-seni tradisional turut diperluaskan ke seluruh negara termasuklah melalui sekolah-sekolah, IPTA, kolej-kolej swasta dan jabatan-jabatan kebudayaan setiap negeri supaya seni ini tidak pupus atau hanya wujud di Kelantan semata-mata.

Sunday, November 23, 2008

Apabila lubuk emas dijumpai di Malaysia

BARANGKALI, sebilangan daripada kita rakyat Malaysia sahaja yang merasakan negara ini tidak cukup selesa untuk didiami dan mencari makan. Orang asing tidak langsung berpandangan demikian. Pendatang melihat peluang pekerjaan yang terbuka luas di negara ini. Lantas tidak timbul masalah sedikitpun apabila mana-mana majikan memerlukan tenaga kerja asing. Malah ada pekerja asing yang dibawa masuk oleh ejen tertentu tersadai berlebihan. Semua itu berlaku sudah tentu kerana mereka yang mahu mencari makan di negara ini begitu yakin dengan apa yang kita ada, apa yang kita tawarkan.

Justeru ramai merantau ke negara ini, mengisi peluang-peluang kerja yang ada, yang sebahagiannya enggan diisi oleh kita orang tempatan. Malah ada orang asing yang memilih jalan pintas dengan menyelinap masuk secara haram dan berstatus pendatang tanpa izin (PATI). Operasi demi operasi gagal menghapuskan PATI. Mereka sanggup 'hidup bersembunyi' di ladang-ladang sawit, getah dan sebagainya demi mencari nafkah.

Selain itu, ada pula pemegang visa sewaktu ketibaan (VOA) menyalahgunakannya dengan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan. Motifnya sama, mencari nafkah walaupun sedar ia adalah menyalahi undang-undang.

Pendedahan di Dewan Rakyat minggu lepas menunjukkan 75,465 orang iaitu hampir 30 peratus daripada pemegang VOA sejak ia diperkenalkan September 2006 telah menyalahgunakannya. Sehingga September lepas, kerajaan telah mengeluarkan 251,908 VOA kepada pelawat dari 11 negara rantau ini - India, Pakistan, Bangladesh, China, Sri Lanka, Myanmar, Nepal, Afghanistan, Bhutan, Hong Kong dan Taiwan. Antara lain ia bertujuan untuk memudahkan kemasukan pelawat demi kemajuan sektor pelancongan negara.

Setakat Jun lalu sahaja, pecahan mengikut negara mereka yang menyalahgunakan VOA ialah 35,912 rakyat India, Pakistan (13,014), Bangladesh (6,688), China (5,452) dan Sri Lanka (5,093).

Cara kemasukan dan status kemasukan warga asing ke negara kita mungkin berbeza-beza tetapi matlamat mereka biasanya tidak dapat lari daripada dua tujuan - lawatan dan bekerja. Masakan tidak, peluang kerja ada di mana-mana sahaja di negara kita. Asalkan tidak terlalu memilih kerja, pasti murahlah rezeki seseorang.

Berbanding dengan sesetengah negara termasuklah negara yang ramai rakyatnya masuk ke negara ini bagi mencari kerja, tanda rakyatnya ramai menganggur mudah dilihat. Mereka yang menganggur boleh dilihat berkumpul di tempat-tempat strategi 'menunggu kerja'. Jika bernasib baik, adalah majikan atau ejen majikan yang datang ke tempat-tempat yang mereka berkumpul itu mencari pekerja, dalam kebanyakan kes bagi tugas jangka pendek, sehari dua. Namun, apa yang biasa kita lihat di negara-negara terbabit, mereka akan terus berkumpul di situ kerana tiada pihak yang menawarkan kerja sehingga ke petang.

Suasana sedemikian sukar dilihat di negara kita. Di mana-mana sahaja ada 'lubuk emas asalkan kita rajin menggalinya'.

Apapun, tawaran tenaga pekerja asing yang wujud di Malaysia, mungkin dalam kes-kes tertentu sudah bertukar menjadi satu bentuk ancaman. Ia boleh berlaku sebagai contoh apabila kemasukan mereka adalah secara haram dan tinggal melebihi masa. Masalah itu akan turut mengacau sosiobudaya masyarakat tempatan.

Oleh itu, ketika pihak berkuasa melancarkan operasi dari semasa ke semasa bagi menangani PATI, sudah tiba masanya kaedah kawalan yang lebih mudah dikuatkuasakan sebaik mungkin dan ia termasuklah kawalan ke atas pengeluaran VOA. Kaedahnya wajar diperketatkan.

Langkah kerajaan memberhentikan VOA kepada rakyat negara-negara seperti India, Pakistan dan Afghanistan sudah tentu langkah tepat. Tempoh sah laku VOA yang telah pun dikurangkan daripada 30 hari kepada 14 hari, wajar dipendekkan lagi kepada seminggu sahaja.

Syarat permohonan VOA juga perlu diperketatkan lagi termasuklah memastikan pemohon mengemukakan tiket sah untuk pulang.

Adalah tidak praktikal jika kita memudahkan mereka masuk sehingga pihak berkuasa sukar mengawal selia semasa mereka di negara kita, sehingga memerlukan operasi diadakan untuk mengesan mereka yang menyalahgunakan visa terbabit. Jangan dibebankan lagi tugas operasi kepada agensi-agensi penguatkuasa untuk membanteras PATI yang kelihatan sukar untuk disifarkan.

Guru mohon ujian akhir tahun awal

Oleh Amir Hamzah Nordin
bhnews@bharian.my.com
Permudah persediaan sesi persekolahan

JERANTUT: Kerajaan diminta membenarkan peperiksaan akhir tahun diadakan lebih awal kerana kelewatan mengadakan peperiksaan menjejaskan dan membebankan kerja guru terutama di sekolah menengah.

Ia juga memberi masa sesuai untuk sekolah membuat persediaan perancangan sesi persekolahan baru.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB), Mohd Sabri Arsad, pihaknya menerima rungutan daripada guru, terutama sekolah menengah yang turut dibebani tugas lain pada waktu peperiksaan akhir tahun diadakan.



"Ada guru perlu menghadiri mesyuarat berkaitan peperiksaan awam seperti penandaan kertas Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan bertugas sebagai pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Ada guru terbabit mesyuarat awal penandaan kertas SPM di merata tempat di seluruh negara. Justeru, perkara ini harap dipertimbangkan Kementerian Pelajaran," katanya semalam.

Mohd Sabri berkata, beban guru bertambah apabila pentadbir sekolah mahukan markah peperiksaan akhir tahun masing-masing dimasukkan dalam data pengumpulan markah peperiksaan.

"Ada guru gagal melakukannya kerana tidak sempat menanda kertas masing-masing, menyebabkan kelewatan mengeluarkan keputusan keseluruhan.

"Guru menanda kertas peperiksaan awam dan pengawasan peperiksaan perlu menumpukan perhatian khusus kepada tugasan itu bagi menjamin mutu kerja dan memerlukan keselamatan yang tinggi," katanya.

Beliau berkata, guru sekolah rendah juga mahukan peperiksaan akhir tidak terlalu lewat bagi memberi masa untuk menanda kertas dan dapat mengeluarkan keputusan dengan cepat.

"Keputusan akhir tahun digunakan untuk hari penyampaian hadiah kepada pelajar, kebiasaannya dilakukan di sekolah rendah bagi merangsang pelajar yang berjaya untuk terus maju.

"Disebabkan keputusan peperiksaan akhir tahun tidak dapat digunakan, ada sekolah terpaksa menggunakan kaedah lain memberi hadiah kepada pelajar," katanya.

Bagaimanapun Mohd Sabri mengakui kementerian mengadakan peperiksaan akhir tahun lebih lewat bertujuan menghindari masalah ponteng sekolah.

"Kesan lain turut timbul. Justeru, kajian dan penelitian harus dilakukan supaya wujud suasana kondusif bukan saja kepada pelajar, malah guru dan pentadbir pelbagai peringkat termasuk pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri," katanya.

Sunday, November 9, 2008

Tiga hakim dipecat - Dr. Mahathir

PUTRAJAYA 8 Nov. - Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan dua lagi bekas hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman 20 tahun lalu telah dipecat dan bukannya ditamatkan perkhidmatan lebih awal.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, bayaran pencen bagaimanapun masih diberikan kepada Salleh dan bekas hakim-hakim tersebut selepas mengambil kira perkhidmatan mereka kepada kerajaan.

''Tun Salleh sebagai contoh telah menerima tiga pencen. Apabila hakim mencapai umur 55, mereka mula menerima pencen dan satu lagi pencen diberikan apabila mereka sampai 65 tahun.

''Tun Salleh juga merupakan bekas ahli Exco kerajaan Terengganu dan dapat satu pencen lagi. Sekarang beliau dapat lagi ex-gratia RM5 juta, saya ucapkan tahniah," katanya selepas menghadiri forum mengenai nilai belia dan kepimpinan masa depan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Khamis lalu, pada sesi Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tribunal terbabit tidak pernah mengeluarkan perintah supaya memecat hakim-hakim itu, dan pada sidang akhbar selepas itu beliau sekali lagi menegaskan bahawa hakim-hakim itu telah diminta meletak jawatan.

Salleh, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh dan Datuk George Edward Seah dipecat dari jawatan selepas tribunal berkenaan mendapati mereka bersalah atas salah laku dalam krisis kehakiman 1988, sementara tiga hakim lain Tan Sri Datuk Mohd Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh digantung tugas tetapi kemudian dikembalikan ke jawatan mereka.

Ditanya sama ada RM5 juta yang dibayar kepada Salleh merupakan suatu jumlah yang sepatutnya, Dr. Mahathir bagaimanapun enggan memberi ulasan lanjut.

''Ia (jumlah ex-gratia) bergantung kepada kerajaan. Kerajaan dalam mood yang baik dan mereka mempunyai banyak duit dan mahu berikan kepada rakyat," katanya.

Thursday, November 6, 2008

Kerajaan bayar ex-gratia RM10.5 juta kepada bekas hakim

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Kerajaan membayar ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, bayaran tersebut adalah Tun Salleh berjumlah RM5 juta, Tan Sri Azmi Kamaruddin (RM2juta), Tan Sri George Edward Seah Kim Seng (RM2juta) dan yang lain iaitu Tan Sri Wan Hamzah Mohd. Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh berjumlah RM500,000 setiap seorang. - Utusan.