Oleh KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN
Sebagai anak muda Melayu pasca- merdeka, pandangan penulis mungkin salah tetapi enam bulan kebelakangan ini adalah period paling 'hidup' dalam membicarakan isu bangsa Melayu. Banyak pihak yang mewakili apa yang dikatakan sebagai 'suara Melayu' telah bangkit menyatakan pandangan dan juga asas keresahan.
Baik namanya Perkasa, Pewaris - dan banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersuara bagi pihak orang Melayu, semuanya dirasakan ikhlas dengan niat untuk melihat perubahan dan nasib orang Melayu diberikan perhatian oleh pihak berkepentingan. Mereka punya asas untuk bersuara atas pelbagai platform; sayangnya, jika kita gagal mewujudkan kesepakatan pemikiran dan tindakan, suara ini akan menjadi detik 'politikal' yang tidak diterjemah dalam bentuk pelaksanaan dasar dan polisi.
Hakikatnya, suara ini mesti diambil maklum oleh pihak berwajib. Kesemua kertas kerja, resolusi, pandangan, kesimpulan forum dan seminar yang rencam dan pelbagai mesti diperhalusi secara bersungguh dan ikhlas. Jangan biarkan suara orang Melayu menjadi suatu 'gendang politik' yang tidak kesampaian. Perjuangan zaman ini memerlukan komitmen kepada pelaksanaan kata-kata dan bukan sahaja demonstrasi yang tidak berpenghujung.
Apa yang penulis khuatir, rentak kita untuk gemar berdemonstrasi seakan- akan sudah terikut-ikut dengan budaya politik jalanan yang tidak mempunyai hemah dan hala tuju. Perjuangan mestilah bersifat strategik - dan tidak menjurus kepada membuka segala macam tuntutan di atas bahu jalan. Ini masanya untuk kita menjadikan isu Melayu sebagai 'isu teras' di dalam pembicaraan pembuat dasar.
Walaupun mendapat bantuan daripada pihak polis, suka diingatkan bahawa kadangkala kita tidak mampu mengurus emosi dan perasaan. Apa yang berlaku tempoh hari di Jalan Tun Razak menggambarkan segalanya. Untung wanita yang mempunyai pandangan berbeza tersebut tidak diapa-apakan. Jika tidak, ia menggambarkan 'kekerasan' kita yang tidak mampu dikawal.
Penulis juga menginginkan usaha pemerkasaan bangsa dilakukan secara bersungguh. Untuk ia berlaku, kita mesti diberikan keyakinan bahawa 'suara' ini didengari dan diperhalusi. Kita mungkin boleh berbuih mulut bercakap tentang kepentingan bangsa; tetapi yang lebih penting dalam zaman yang serba canggih ini adalah - agenda bertindak dan polisi yang berani.
Hakikatnya, apa yang berlaku dalam pilihan raya umum yang lalu bukanlah 'tsunami', tetapi 'terapi politik' (political theraphy) kepada orang Melayu. Mahu tidak mahu, kita terpaksa mengakui bahawa kita baru sahaja disedarkan daripada lena yang panjang. Kita perlu mengakui bahawa kita terlalu selesa dengan ungkapan hak istimewa dan ketuanan Melayu. Kita berasa cukup terpelihara dalam belenggu pemikiran politik zaman lampau.
Bukannya kita tidak diingatkan dalam babak tertentu sejarah Malaysia moden. Kertas litmus kesabaran orang Melayu sudah acap kali berubah warna. Hari ini, ia memerlukan langkah strategik dan keazaman politik luar biasa. Kelompok kecil Melayu mungkin juga akan menentangnya atas dasar 'keterbukaan' dan 'kesamarataan'.
Kepimpinan Melayu mesti dikaitkan dengan budaya kerja efisien, bersih, cekap, amanah, punya harga diri dan merit yang tinggi. Siapa mampu menafikan bahawa Singapura menegakkan 'Ketuanan Cina'. Ini perkara yang sangat teras dan penting. Tetapi mereka melonggarkan sedikit takrif 'ketuanan' - dengan menyuntik budaya kerja efisien, meninggikan 'aras prestasi kepimpinan', meletakkan merit sebagai asas, mewujudkan suasana pemilihan pemimpin yang ketat dan peka dengan perubahan.
Perkhidmatan awam yang secara kebetulannya didominasi oleh orang Melayu juga mesti menampakkan gelombang perubahan. Sektor awam yang cekap, efisien, amanah, nyah-korupsi, tegas dan bersungguh juga akan memberi wibawa moral kepada prestasi orang Melayu keseluruhannya. Orang Melayu sendiri perlu mengangkat 'integriti' kemelayuannya.
Kompetitif
Apakah mungkin seorang Melayu menjadi Perdana Menteri Singapura? Secara merit, matematikal, sistemik dan ego-budaya; jawapannya adalah tidak. Kayu ukur nilaian kepimpinan akan sentiasa dinaikkan dari masa ke semasa. Sistem politik tidak akan membenarkan ia berlaku. Melayu Singapura kena terima hakikat ini. Ini juga tidak bermakna Melayu Singapura lemah. Secara perbandingan, mereka mungkin Melayu yang lebih kompetitif dan berani.
Kita tidak akan selamanya mampu berselindung di sebalik ungkapan hak istimewa dan istilah lain yang berkaitan. Ketuanan Melayu - mesti diubah pengertian dan amalannya.
Selagi kita mengaitkan kepimpinan kita dengan istilah yang merosakkan - seperti korupsi, politik wang, tidak jujur, tidak amanah; kita secara tidak sedar telah merosakkan peluang mempertahan Ketuanan Melayu.
Politik Melayu jangan cepat 'rentan' (cepat jatuh sakit, mudah jatuh sakit, mudah dihinggapi penyakit - muka surat 1,528, Kamus Besar Bahasa Melayu UTUSAN). Ini termasuklah budaya politik jerit-jeritan dan budaya 'cium keris' yang sudah terlalu teatrikal dan melodramatik.
Politik wang juga mampu membawa rentan kepada politik Melayu. Kita sangat memerlukan gelombang pengukuhan politik Melayu yang jujur dan ikhlas.
Jalan politik sedia ada sudah betul. 'Suara' orang Melayu, baik di Perak, Selangor, Kedah sudah mula resah dan khuatir. Bagi pentadbir yang bijaksana dan responsif - bermain dengan suara dan perasaan orang Melayu adalah jalan yang mampu membawa luka politik yang dalam. Jangan terlalu bergantung dengan keputusan PRU-12 kerana gelombang rentas kaumnya adalah sementara.
Sampai saat ini, penulis percaya ramai orang Melayu masih menantikan pertemuan pimpinan UMNO-Pas. Sebahagian besarnya tidakpun mengharapkan wujudnya kerjasama strategik selepas daripada itu. Mesej pertemuan itulah yang lebih membawa makna, dan mampu mengubat resah umat Melayu. Suara Melayu mesti diberikan keyakinan bahawa wujud 'ruang muzakarah' yang terbuka untuk direalisasikan.
Ketidakselesaan UMNO didesak rakan muafakatnya mesti difahami oleh Pas. Kehilangan hormat rakan sealiran Pas kepada parti tersebut juga mesti mendapat 'empati' UMNO. Bayangkan sahaja murninya politik jika Mursyidul Am Pas menegur jujur kerisauan tentang politik wang; dan Pak Lah mengingatkan ketidakperluan meneruskan ladang babi di Bukit Selambau. Apakah prinsip politik kedua-duanya akan hancur menyembah bumi? Apakah mesej baik yang mampu disampaikan kepada umat Melayu?
Pertemuan UMNO-Pas bukanlah pendekatan politik yang rasis dan jumud. Ini bukan soal 'Erdogan' atau tidaknya fikrah dan pendekatan kita. Ini juga bukan soal UMNO memerlukan Pas. Fikrah dan pendekatan 'umatik' inilah yang perlu dilahirkan daripada keputusan PRU-12 yang 'terapeutikal' itu.
Sementara penulis juga sangat mendokong agenda kebangkitan Melayu pasca PRU-12 yang 'terapeutikal' - semangat jelajah dan membakar semangat Melayu mestilah juga disederhanakan. Memang benar, kita rentan hati dengan beberapa isu dan kedangkalan pemikiran individu tertentu; tetapi berjelajah dengan hati yang panas - boleh mendatangkan natijah yang berbeza.
Penulis hanya ingin menyampaikan pandangan kecil mengenai isu 'ketuanan Melayu'. Jika ia mendatangkan resah berterusan di kalangan orang bukan Melayu, khususnya dengan konotasi 'tuan-hamba'; apakah mungkin ia ditukar kepada 'Keabsahan Melayu' (Malay Legitimacy)?
Kalau kita benar-benar menerima hakikat hak keistimewaan dan kepentingan Melayu sudah terabsah molek dalam Perlembagaan - maka soal 'legitimasi' orang Melayu tidak wajar diungkit lagi. Soal kehadiran orang Melayu tidak seharusnya cuba ditulis dengan pemahaman sejarah yang semberono dan jumud.
Kalaulah agaknya pandangan Dr. Chua Soi Lek, Timbalan Presiden MCA dalam ucapan beliau di Anugerah Kancil 2008 boleh diangkat sebagai 'pandangan perdana' masyarakat Cina di Malaysia - 'Keabsahan Melayu' mampu tampil sebagai opsyen. Tegas Soi Lek, 'kami menerima Kepemimpinan Melayu, tetapi bukan Ketuanan Melayu'. Ujar beliau lagi, '...when we say we reject 'Ketuanan Melayu, we are not challenging the Malay special rights. It is enshrined in our constitution and nobody can take that away'. (rujuk: http://drchua9.blogspot. com)
Suhu politik Malaysia masih belum dingin. Ia tidak juga perlu dihangatkan dengan gendang keperwiraan yang ekstrem. Kita perlu pantas merenung kembali sejarah dan bergerak seiringan menuju masa depan yang menjanjikan buat semua. Kaedah membugar semangat tanpa kawalan emosi dan didikan iman - akan melahirkan generasi reaktif.
Untuk mengabsah kita sebagai 'bangsa wibawa' - ia memerlukan lebih daripada perenggan-perenggan penting dalam Perlembagaan Negara. Ia memerlukan polisi dan dasar berani, jiwa pesaing unggul, iktisad yang menjanjikan dan lasykar bangsa yang mampu menjadi modal insan gemilang.
Tidak ada sesiapa pun yang berani mengatakan perjalanan memperkasa bangsa akan menjadi mudah. Kefahaman tentang realiti baru dan keberanian untuk menyatukan amalan dan tindakan - akan menjanjikan hasil yang menyeluruh.
Saturday, November 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment