Tuesday, November 25, 2008

Mengangkat persembahan Makyung

Oleh ABD. AZIZ ITAR
(WARTAWAN UTUSAN)

SENI persembahan Makyung merupakan naskhah genre taridra popular di Kelantan yang mempunyai kombinasi unsur-unsur tarian, muzik, drama dan komedi yang sudah berakar umbi sejak kira-kira 400 tahun lalu.

Malah, seni dikatakan berasal dari istana Melayu Patani, Thailand yang sedikit sebanyak menyelitkan pengaruh budaya Siam itu kini terus berdiri sebagai melambangkan salah satu identiti persembahan klasik dari negeri di Pantai Timur.

Sungguhpun begitu, Makyung bolehlah dianggap kurang bernasib baik berbanding seni-seni tradisional lain kerana seni persembahan yang menggunakan peralatan muzik seperti serunai, rebab, canang, kesi dan gong itu seakan-akan semakin dipinggirkan sejak kebelakangan ini.

Ini kerana, tidak banyak kumpulan Makyung yang masih aktif terutamanya selepas kematian tokoh aktivis terkenalnya iaitu Khatijah Awang beberapa tahun lalu menyebabkan seni persembahan itu termasuklah di Kelantan ibarat 'hidup segan mati tidak mahu'.

Difahamkan di Kelantan ketika ini cuma ada tidak sampai lima kumpulan Makyung yang aktif mengadakan persembahan tertutup ataupun di luar Negeri Cik Siti Wan Kembang itu biarpun ia atas permintaan tertentu seperti para pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan badan kebudayaan.

Jika bukan kerana itu, Makyung tidak setakat semakin dilupai oleh masyarakat Melayu, tetapi besar kemungkinan generasi muda hari ini dan akan datang juga tidak akan tahu tentang kewujudan seni yang amat halus persembahannya itu.

Namun, mujurlah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengambil langkah proaktif dengan mengadakan pelbagai aktiviti bagi mempopularkan semula seni persembahan yang cukup terkenal dengan watak-watak bernama Peran dan Syaman itu.

Sebagai contohnya, mulai 27 hingga 30 November ini, suatu program yang diberi judul Makyung Ekstravaganza akan diadakan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Penerangan Pelancong, Kuala Lumpur, dengan tujuan menghidupkan semula aktiviti-aktiviti berkaitan seni tersebut.

Makyung Ekstravaganza bukan setakat mengadakan persembahanMakyung secara percuma, tetapi pelbagai aktiviti seperti bengkel, demonstrasi dan promosi tentang seni itu juga akan dianjurkan secara percuma kepada para pengunjung.

Inisiatif itu bukanlah terlalu lambat untuk diusahakan, sebaliknya JKKN yang terletak di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) itu sepatutnya melipat gandakan lagi usaha tersebut.

Seharusnya Makyung dapat digunakan dalam kempen promosi sektor pelancongan negara dan digunakan dalam seni-seni persembahan kebudayaan menerusi Kementerian Pelancongan Malaysia.

Dalam hal ini, JKKN dan KPKKW haruslah saling menjalin kerjasama lebih erat bagi mengangkat serta mengeksploitasi seni persembahan Makyung yang tentunya mendapat apresiasi lebih tinggi apabila ia dipentaskan kepada masyarakat di luar negara.

Kita berharap agar aktiviti-aktiviti mengangkat serta memperkasakan seni-seni tradisional turut diperluaskan ke seluruh negara termasuklah melalui sekolah-sekolah, IPTA, kolej-kolej swasta dan jabatan-jabatan kebudayaan setiap negeri supaya seni ini tidak pupus atau hanya wujud di Kelantan semata-mata.

No comments: