Rencana Utusan Online 4 Mac 2009
Apa itu gimik? Bahasa Melayu meminjamnya daripada perkataan Inggeris gimmick. Mengikut kamus Oxford ia membawa maksud satu silap mata (a trick) atau menunjuk-menunjuk untuk menarik perhatian orang lain atau untuk membuat lawak jenaka.
Perbuatan-perbuatan itu, menurut kamus itu bagi membolehkan orang yang melihat perlakuan itu senang mengingati dan mengenali si pelaku- pelakunya.
Gimik kadangkala boleh membawa mudarat kepada pelaku ataupun penontonnya. Contohnya, saya pernah menyaksikan sendiri peristiwa reformasi pimpinan Anwar Ibrahim pada 1998. Satu Kuala Lumpur kecoh. Anak-anak Melayu rata-ratanya, pada masa itu mengamuk kerana mempertahankan Anwar. Gimik itu membawa mudarat kepada harta benda. Mereka yang mengamuk itu ada yang kena dihantar ke Kamunting. Namun pelakunya tidak kisah, asalkan matlamat mereka tercapai.
Sidang tergempar Dewan Undangan Negeri Perak di bawah pokok semalam juga adalah gimik. Tidak pasti di bawah pokok apa mereka bersidang? Jika mereka membuat sidang itu di Taiping, mungkin perhimpunan itu akan menjadi lebih bersejarah, jika diadakan di bawah pokok getah tertua. Ia boleh dicatatkan di dalam buku Guinness World Records.
Namun, gimik yang diketuai speaker 'dalam buangan' V. Sivakumar itu semalam merupakan satu gimik yang cukup mahal nilainya. Ramai orang bercakap mengenainya. Ada yang tergelak, ada yang tidak terkata-kata dan ada yang mengeleng-geleng kepala. Namun, ramai yang pastinya terhibur.
Melihat berita Buletin Utama TV3 semalam mengenai peristiwa itu, jelas memperlihatkan erti gimik sebenar. Ada yang membaca doa, ada yang berteriak sambil mengangkat penumbuk ke atas langit, ada yang tertolak-tolak dengan polis - menjerit sana, menjerit sini; dan seperti biasa kereta bom air lada polis berada di satu hujung. Pendek kata, suasananya cukup bergimik.
Yang pasti di satu sudut lain di bandar raya Ipoh, pihak peguam yang mewakili menteri besar sekarang dan mantan menteri besar yang baru lepas bertungkus-lumus cuba meyakini hakim untuk menentukan kedudukan suasana itu.
Akhirnya, menteri besar sekarang menang. Hakim mengisytiharkan persidangan yang diadakan - atau bakal diadakan kelak secara tergempar atau tidak - sebagai tidak sah. Perkenan Tuanku Sultan Perak diperlukan jika V. Sivakumar tetap berkeras mahu mengadakan sidang itu. Namun, sehingga sekarang Tuanku Sultan belum berkenan. Oleh itu undang-undang mengatakan jika diadakan sekali pun ia tetap tidak sah.
Secara akademik, peristiwa itu menarik untuk dikaji. Apa sekalipun keputusannya mengenai kedudukan kerajaan itu, sama ada, diputuskan oleh mahkamah tinggi di Ipoh atau di Kuala Lumpur akan tetap menjadi satu precedent, atau ikutan untuk kes-kes yang sama pada masa akan datang.
Sebenarnya, negara kita masih baru, 50 tahun adalah terlalu muda. Apa yang dilihat sekarang ialah satu proses kematangan. Tamadun ternama; China, Mesir, Rom, Uzbekistan memakan masa beribu-ribu tahun untuk dibentuk. Demokrasi Amerika Syarikat berusia 250 tahun. Lima puluh tahun bagi sebuah negara adalah terlalu mentah, hatta tidak hairan orang kita sering keliru dan bingung.
(II)
Satu lagi gimik. Kali ini pelakunya bermain dengan perasaan atau sentimen. Apa muslihat orang yang membuat gimik ini kita tidak tahu. Tapi yang pasti dia bergimik.
Istilah bumiputeraisme dibangkitkan oleh seorang wakil rakyat Skudai di Johor. Dia menyamakan istilah bumiputera itu sebagai satu fahaman (isme) yang sama dengan dasar aparteid di Afrika.
Apa ganas atau zalim sangatkah orang Melayu dan pribumi-pribumi di Sabah dan Sarawak yang lain terhadap kaum-kaum lain di negara ini? Zalim sangatkah orang Melayu, seperti orang kulit putih di Afrika meletakkan orang kulit hitam sehina-hinanya, sejijik-jijiknya?
Apakah selama ini orang Melayu, orang Iban, Kadazan, Dusun, Melanau dan lain-lain menempatkan orang Cina atau India di negara ini di dalam satu penempatan khas? Miskin sangatkah mereka ini. Mereka tidak boleh belajarkah, tidak boleh bekerjakah, tidak boleh berniagakah?
Kita larang mereka belajar bahasa ibunda merekakah? Kita melarang mereka membuka sekolah Cinakah, tiada sekolah Tamilkah di negara ini?
Oh, mungkin ADUN Skudai itu, seorang doktor bernama Boo Cheng Hau tidak pernah menjejak kaki ke sekolah?
Jika dia tidak pernah bersekolah (seperti yang berlaku ke atas orang kulit hitam di bawah dasar aparteid), macam mana dia boleh bergelar doktor?
Apakah dia ni doktor homopati? Saya tidak pastilah, kerana setahu kita jika doktor perubatan, dia kena belajar tinggi. Tapi sudah tentu dia tidak layak (walaupun layak) kerana bumiputera mengamalkan dasar aparteid? Ikut blognya, dia mempunyai tiga ijazah (Ijazah Kimia dari Iowa State University, Ijazah Perubatan dan Surgeri dari University of West Indies, Jamaica dan Ijazah Undang-Undang dari University of London).
Kita juga mahu tanya Cheng Hau lagi, orang Cina di negara ini tiada yang menjadi jutawankah? Jika tiada yang jadi jutawan, maka tiadalah yang menjadi bilionwan? Nota: bilionwan itu bererti seseorang itu memiliki wang atau harta bernilai RM1,000 juta.
Kita pasti, tiada orang Cina Malaysia yang sekaya itu dan mempunyai wang sehingga RM26,600 juta, bukan? Siapa itu Tan Sri Robert Kwok? Siapa itu Tan Sri Vincent Tan, siapa itu Tan Sri Francis Yeoh? Benarkah seorang India di Malaysia mempunyai nilai kekayaan sehingga RM20.1 bilion? Siapa itu Ananda Krishnan? Dia pemuda miskin yang hina dari estet di Skudaikah?
Atau benarkah orang Cina di Malaysia itu, jika dikumpul kekayaan orang terkayanya mempunyai nilai kemewahan sehingga RM73,680 juta. Tak percayalah kerana orang bumiputera itu aparteid.
Oleh itu, laporan media baru-baru ini yang memaparkan barisan bilionwan Cina di Malaysia tidak benarlah? Oh mungkin berita itu ialah berita palsu yang direka-reka oleh pihak media, agaknya?
Akhir sekali, tertanya kita apa muslihat Dr. Boo Cheng Hau ini agaknya? Gimikkah beliau? Jika ya, ia adalah gimik yang keterlaluan.
Wednesday, March 4, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment