Tuesday, March 3, 2009

PPSMI hanya perlu penambahbaikan

Oleh AZMI ABDULLAH

KENYATAAN Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein bahawa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matemetik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) "membunuh" bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam jangka masa yang panjang, masih boleh disanggah.

Apatah lagi kenyataan yang mengatakan PPSMI akan melenyapkan budaya dan jati diri orang Melayu, tidak dapat diterima dari segi logik. Kedua-dua alasan ini hanya melihat dari perspektif yang sempit, dan dalam konteks semasa kenyataan-kenyataan itu tidak relevan.

Pelaksanaan PPSMI itu sendiri mestilah dilihat daripada perspektif waktu ia mula dilaksanakan. Kementerian Pelajaran telah melaksanakan PPSMI sejak tahun 2003 atas arahan Jemaah Menteri. Tentulah Jemaah Menteri mempunyai asas pertimbangan yang kukuh (rasional) untuk melaksanakan dasar ini.

Barangkali, boleh dikatakan bahawa keputusan Jemaah Menteri berhubung PPSMI ini merupakan langkah kehadapan yang sangat pragmatik selaras dengan Wawasan 2020 - menzahirkan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri.

Matlamat dasar PPSMI adalah untuk menyediakan rakyat Malaysia yang lebih berdaya saing dalam era globalisasi.

Apakah erti MSC, Cyberjaya, broadband, Pembangunan Koridor ECER, NCER, globalisasi, angkasa lepas, industrialisasi dan bermacam-macam lagi konsep baru yang disuapkan kepada mereka, kalau sekadar belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris pun kita sudah menjadi kalut dan haru-biru.

Sebagai pemimpin, baik pemimpin negara mahupun pemimpin organisasi, kita adalah pemberi teladan. Janganlah kerana sentimen dan emosi, kita mendedahkan kepada generasi baru tentang kelemahan diri, perasaan lemah semangat dan mudah mengalah kita kepada mereka.

Apakah kita sudah menyediakan perahu dan pengayuh untuk mereka harungi arus yang bergelora dalam tempoh 50 Tahun kedua?

Apabila kita sudah menjanjikan sebuah negara maju sepenuhnya mengikut acuan sendiri menjelang 2020, janganlah pula kita mengundur ke belakang. Ukuran kejayaan dan kemajuan tidak statik. Ukuran kejayaan yang tinggi atau cemerlang yang diukur pada tahun 2020 tidak mungkin lagi sama pada 2057.

Sudah tentulah kita mesti menjangkau ke depan dan jangkauan kita mestilah lebih luas dan pantas.

Apa yang pasti, PPSMI adalah pendekatan dan penyelesaian terbaik yang telah diputuskan oleh Jemaah Menteri untuk menghadapi cabaran strategik Wawasan 2020. Salah satu daripada sembilan cabaran strategik Wawasan 2020 ialah melahirkan masyarakat yang berbudaya saintifik dan progresif.

Inilah teras kekuatan kepada negara yang menuju ke arah kemajuan sosio-ekonomi yang lebih mantap serta menghadapi cabaran dan persaingan global yang semakin sengit.

Adakah anak-anak dan cucu-cucu kita yang mempelajari Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris akan hilang jati diri Melayu dan semangat nasionalis? Penulis tidak fikir keadaan ini akan terjadi dengan hanya kita melaksanakan PPSMI.

Sebaliknya, apabila isu PPSMI ini digembar-gemburkan, maka pemikiran dan persepsi masyarakat sudah berada di persimpangan. Kita sudah hilang arah tuju. Visi yang kita kongsi bersama untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020 dan bersama-sama menangani sembilan cabaran sudah tidak kita pedulikan lagi. Kita sudah hilang fokus.

Inilah dilema kita -- berada di dua persimpangan yang getir. Persimpangan pertama ialah memansuhkan PPSMI seperti mana yang dilaung-laungkan oleh Gerakan Menentang PPSMI (GMP).

Memansuhkan PPSMI bererti undur dan lari daripada kenyataan dan tidak berpijak di bumi nyata serta 'mengalah' kepada kepentingan 'Cultural Nasionalist' yang kita pun tahu matlamat mereka.

Apalah ertinya semangat nasionalis kalau anak bangsa bukan sahaja tidak mampu bersaing dalam negara, malah gagal mendapat tempat dalam persaingan dunia tanpa sempadan yang lebih sengit. PPSMI tidak mungkin sama sekali menghapuskan Kemelayuan, Kecinaan atau Keindiaan.

Seperti kata Dr. Anuar Ahmad, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); "Dasar ini tidak seharusnya dilihat dari sudut politik, perkauman atau percubaan menghakiskan jati diri bangsa dan budaya kebangsaan. Sebaliknya ia harus diterima sebagai suatu persediaan kepada negara dalam mempersiapkan generasi akan datang untuk menempuh masa depan yang lebih mencabar."

Persimpangan yang kedua ialah menuju ke laluan penuh cabaran tetapi menjanjikan peluang-peluang yang baik, iaitu meneruskan dasar PPSMI dari sekolah rendah seperti yang dilaksanakan sekarang. Inilah yang terbaik untuk bangsa dan negara kita 50 tahun akan datang. Maka, kalau kita tahu ia baik, ikutilah laluan ini untuk ke destinasi yang hendak dituju.

Tidak perlu Kementerian Pelajaran mengemukakan tujuh alternatif pelaksanaan PPSMI kepada Jemaah Menteri untuk diputuskan kerana apa yang diputuskan enam tahun yang lalu itu sudah tepat.

Kalau enam tahun lalu ia keputusan yang tepat, apatah lagi sekarang dengan segala tuntutan dan cabaran baru yang mesti kita tempuh.

Dalam zaman dunia tanpa sempadan ini, janganlah kita memperkecil-kecilkan kebolehan dan keupayaan anak-anak Melayu luar bandar untuk belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Janganlah keadaan yang kita sendiri cetuskan menjadikan mereka golongan yang merasa diri mereka rendah diri.

PPSMI patut diteruskan. Berilah peluang kepada anak-anak kita memperolehi sesuatu yang baik ini demi masa depan mereka.

Apa yang penting diteliti bersama oleh semua pihak ialah aspek menambah baik pelaksanaannya. Bagaimana pelaksanaan PPSMI itu dapat dijalankan dengan lebih berkesan supaya memberi faedah yang maksimum kepada pelajar.

Penulis ingin mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran beberapa langkah bagi penambahbaikan berterusan.

Pertama: Tempatkan guru-guru Sains dan Matematik yang baik dan fasih berbahasa Inggeris di luar-luar bandar dan pedalaman.

Kedua: Sediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap bagi membantu kefahaman murid-murid serta melengkapkan perpustakaan di sekolah, terutamanya di sekolah menengah.

Ketiga: Adakan latihan secara dalaman kepada guru-guru secara lebih terancang dan berjadual dan dikendalikan sendiri oleh pihak sekolah.

Keempat: Tingkatkan kesedaran pelajar untuk lebih bersungguh-sungguh mempelajari Sains dan Matematik demi masa depan mereka.

Kelima: Tingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid dan guru.

Akhirnya, sama-sama kita berfikir secara terbuka. Apakah PPSMI ini untuk kita atau untuk generasi 2020? Tentu kita boleh mendapat jawapannya.

PENULIS ialah pesara guru.

No comments: