Saturday, April 4, 2009

Hasrat G20 betulkan sistem kewangan dunia

SIDANG Kemuncak G20 baru berakhir pada 2 April yang lalu di tengah-tengah penunjuk perasaan yang kadang kala bertindak ganas memecahkan kaca pejabat Royal Bank of Scotland di London.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan di akhir pertemuan tersebut, pemimpin G20 bersetuju melakukan apa saja yang perlu untuk memulihkan keyakinan, pertumbuhan dan pekerjaan, membetulkan sistem kewangan dan mengembalikan pinjaman, memperkukuhkan peraturan kewangan demi membangunkan kepercayaan, memberikan dana dan reformasi institusi kewangan antarabangsa untuk mengatasi krisis dan mengelakkan daripada berlaku masalah yang sama di masa depan, mempromosi dagangan global dan pelaburan dan menolak perlindungan dan membangun pemulihan hijau dan mampan.

Salah satu langkah yang diambil ialah menyediakan sejumlah AS$1.1 trilion untuk memulihkan kredit, pertumbuhan dan pekerjaan dalam ekonomi dunia kepada Tabung Dana Antarabangsa (IMF).

Keahlian IMF ini juga akan dirombak semula untuk memberikan keutamaan kepada negara-negara lain mendapat suara. China bersetuju menyumbang AS$40 bilion, Jepun AS$100 dan Eropah AS$100 bilion.

Perkembangan fiskal dijangka mencapai paras AS$5 trilion menjelang akhir tahun depan untuk meningkatkan pertumbuhan ke paras empat peratus dan mempercepatkan perubahan kepada ekonomi hijau.

Berkaitan dengan memperkukuhkan pengawal seliaan dan peraturan kewangan, G20 bersetuju menubuhkan Lembaga Kestabilan Kewangan mengandungi kesemua negara G20.

Lembaga ini bersama IMF akan memberikan amaran awal risiko kewangan dan makroekonomi, malah apa jua langkah yang perlu untuk menangani masalah mereka.

Pengawalan akan termasuk kesemua institusi kewangan, instrumen dan pasaran yang penting. Ini termasuk dana-dana perlindungan. Tindakan terhadap mana-mana rantau yang tidak mahu bekerjasama termasuk rantau perlindungan cukai juga akan diambil.

Era kerahsian perbankan akan berakhir. Begitu juga pengawalan terhadap Agensi-Agensi Penarafan Kredit yang sekian lama memberikan sokongan terhadap instrumen-instrumen kewangan dengan penarafan yang bukan-bukan.

Bagi negara kita, disebabkan kita tidak pernah meminta pertolongan daripada institusi seperti IMF ketika berdepan krisis, jadi apa yang boleh kita harap daripada persetujuan negara-negara G20 ialah pemulihan ekonomi terutama negara-negara yang berdagang dengan kita. Sama ada ini akan berlaku selepas pemimpin-pemimpin ini balik ke negara masing-masing tidaklah kita tahu.

Apa yang jelas semasa persidangan tersebut ialah perbezaan tumpuan untuk menyelesaikan masalah krisis ekonomi dunia ini antara negara-negara Eropah terutama Perancis dan Jerman dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK).

Perancis dan Jerman inginkan peraturan dan pengawalan kewangan yang lebih ketat sementara Amerika Syarikat dan UK inginkan lebih besar suntikan kewangan ke dalam ekonomi.

Perbezaan ini begitu ketara sehinggakan Presiden Perancis mengadakan persidangan media yang pada masa sama Perdana Menteri Britain, Gordon Brown menyampaikan kenyataan bersama mesyuarat G20.

Kita juga harus sedar bahawa begitu besar ledakan instrumen-instrumen kewangan yang diperkenalkan oleh negara-negara "maju" yang mana krisis ini jelas menunjukkan bahawa badan-badan pengawal seperti Suruhanjaya Sekuriti dan bursa mereka tidak mampu memantau dan mengawal.

Ada juga yang mereka sendiri tidak tahu hujung pangkal beberapa derivatif yang diperkenalkan oleh institusi-institusi kewangan antarabangsa.

Keantarabangsaan institusi-institusi kewangan inilah yang meletakkan negara-negara sedang membangun seperti Malaysia dalam keadaan 'tiada kelebihan.'

Krisis ini bermula daripada sikap tamak institusi kewangan mereka. Walaupun dengan keadaan ekonomi yang meruncing kini mereka masih lagi bersikap angkuh. Misalnya AIG yang diselamatkan oleh Kerajaan Amerika Syarikat tetapi tidak malu memberikan bonus sehingga AS$165 juta kepada kakitangan kanan mereka.

Presiden Barack Obama mendapat persetujuan Kongres Amerika mengenakan cukai sebanyak 90 peratus kepada bonus yang diberi.

Kunci kepada kejayaan pemulihan kita terletak pada betapa cepat dan cekap kita menggunakan pakej rangsangan yang telah diumumkan. Kita lihat China telah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan berikutan tindakan penggunaan pakej rangsangan mereka dengan cepat dan cekap.

Keyakinan rakyat penting untuk memulihkan ekonomi kita. Bagaimana rakyat akan yakin ekonomi negara akan pulih kembali? Tandanya, apabila mereka tahu bahawa langkah-langkah yang dirancang berjalan dan boleh dilihat kemajuannya. Itu saja.

DATO' SALLEH MAJID ialah Felo Utama

Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

No comments: