Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Malam Wartawan 2009 di Kuala Lumpur, malam tadi
SAYA ingin mengucapkan terima kasih kepada semua di atas kehadiran anda bersama saya serta khidmat cemerlang yang anda tawarkan kepada rakyat Malaysia. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di atas peralihan kuasa yang berjalan lancar dan tradisi itu perlu dikekalkan kini dan masa depan.
Selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, peralihan kuasa kepemimpinan yang berjalan lancar memberikan satu peluang kepada negara untuk menempuh cabaran baru akan datang.
Kita perlu memberi keutamaan untuk membangunkan semula kestabilan ekonomi negara terutama ketika berdepan krisis ekonomi dunia supaya ia menjadi lebih kukuh selain merangka satu strategi jangka panjang untuk ekonomi Malaysia bagi memberi manfaat kepada semua rakyat.
Bagi tujuan itu, baru-baru ini kita mengumumkan Bajet Mini bernilai RM60 bilion sebagai persediaan menghadapi kelembapan ekonomi dunia. Sebagai satu daripada negara yang mengamalkan pasaran terbuka, kita mudah terdedah tetapi sebagai ekonomi yang pelbagai, kita mengambil tindakan tertentu untuk mengelak daripada menerima kesan akibat krisis ekonomi dunia itu.
Tetapi saya tahu dan rakyat di pelosok negara tahu, bagi mencapai cita-cita jangka panjang negara, kita bukan saja memerlukan pembaharuan polisi tetapi pembaharuan politik dan institusi juga penting. Ini akan menjadi prinsip teras kerajaan saya, pemerintahan yang mencerminkan segala nilai terbaik, keupayaan dan kekuatan bagi pemimpin kita dan rakyat kita.
Seperti saya katakan beberapa jam selepas menjadi Perdana Menteri, kita perlu memperbaharui demokrasi kita bagi memastikan institusi kita dan penjawat awam bersedia bekerja untuk memenuhi permintaan rakyat selain bekerja bagi kepentingan umum dan bukan kerana kepentingan politik.
Ini yang saya mahu bercakap dengan anda malam ini. Kita secara bersama-sama perlu mendirikan satu hala tuju baru yang penuh telus dan bertanggungjawab. Berkhidmat kepada semua, dan bukan segelintir saja serta menghormati dan bersikap adil kepada pendapat umum.
Perbincangan yang konstruktif membabitkan seluruh masyarakat berbilang kaum, agama, parti dan pengamal media, turut mempengaruhi proses politik negara. Komitmen kepada ketelusan dan dedikasi untuk mendapatkan hasil adalah langkah awal sesebuah kerajaan untuk lebih responsif kepada keperluan rakyat.
Pelancaran laman web bagi memantau dan menyediakan data peruntukan dua pakej rangsangan adalah bukti ketelusan dalam penggunaan sumber kerajaan. Saya mengharapkan ia dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Dalam bidang dan profesion lain, rakyat bertanggungjawab ke atas tugas yang dilakukan setiap hari.
Pemandu teksi yang membawa kita ke destinasi
Pekerja restoran bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan yang baik dan makanan yang sedap
Tenaga kerja yang menghasilkan produk untuk dieksport ke serata dunia.
Beberapa hari lalu, saya melawat Kampung Kerinchi, Jalan Petaling dan Brickfields untuk menemui rakyat bagi menyelami kehidupan seharian mereka.
Mesej mereka kepada saya berhubung proses politik bukan berkisar kepada kemarahan atau kekecewaan, sebaliknya mereka ingin mengetahui yang kita bekerja kuat untuk mereka. Mereka juga mahukan perubahan dalam wacana awam. Untuk tempoh yang begitu lama, politik tuduh menuduh dan khabar angin membantutkan pembangunan dialog politik yang berasaskan kehormatan dan keadilan. Setiap kita mempunyai falsafah politik tersendiri terhadap polisi di mana kita berasa ia adalah terbaik untuk negara. Perbincangan mesti diteruskan, malah ia perlu lebih bersemangat dan bermaklumat.
Dalam tempoh masa percubaan untuk ekonomi dunia, pendapat perlu dipertimbangkan, dibincangkan dan dibahaskan kerana ia membabitkan banyak kepentingan. Dialog yang menggambarkan penghormatan antara satu sama lain walaupun ketika berlaku perselisihan faham. Di rumah atau di restoran, di kampung atau di bandar, di tempat kerja atau majlis pertemuan dan media tradisional dan media baru.
Ini adalah peranan pemimpin sebagai orang dewasa, mentor, ibu bapa dan guru. Kita perlu memimpin dan menjadi teladan supaya generasi akan datang dapat menilai kepelbagaian pandangan dalam masyarakat sebagai asas kukuh negara.
Bagi pihak saya, saya mengambil mesej daripada Satu Malaysia secara terus kepada rakyat (melalui laman web 1 Malaysia). Kebanyakan daripada anda menyertai dialog online dan menyatakan keprihatinan berhubung isu ini dan negara. Sebabnya adalah jelas.
Apabila berlaku terlalu banyak desas-desus dan kata-mengata dalam wacana politik, rakyat mula mengubah daripada media tradisi dan mengharapkan untuk berinteraksi secara terus antara satu sama lain dan dengan pemimpin. Ia bukan sesuatu yang rahsia dan saya percaya media baru memainkan peranan penting dalam sektor politik dan sivik negara. Tetapi saya mahu dan saya akan menggalakkan supaya perbahasan mengambil tempat di kalangan semua media, merentasi semua bahagian di negara kita.
Saya mahu satu dialog yang dapat membina tema yang kita bincangkan hari ini, seterusnya menjadi asas kepada kejayaan media baru, yang telus dan pertanggungjawaban di pihak kakitangan awam, dan ia terbuka kepada semua rakyat yang dibina atas dasar hormat dan keadilan, bukan atas serangan peribadi.
Saya begitu percaya bahawa ada ruang penting dalam dialog ke arah membentuk media yang lebih bersemangat, bebas dan berpengetahuan. Jika kita benar-benar mahu membentuk demokrasi yang bertanggungjawab terhadap keperluan rakyat, kita memerlukan media sama ada media baru atau lama yang akan memperkasakan laporan penuh bertanggungjawab terhadap apa yang mereka lihat tanpa ada rasa takut akan akibatnya dan untuk memastikan kerajaan dan penjawat awam bertanggungjawab terhadap apa yang mereka capai atau sebaliknya.
Sebab itu, tindakan rasmi pertama saya adalah menarik balik penggantungan permit dua akhbar milik pembangkang. Kita perlu laporan berdasarkan fakta bertaraf dunia di Malaysia. Media perlu adil dan bertanggungjawab ke atas laporan. Ia penting jika kita ingin berdebat secara membina mengenai masa depan negara. Saya percaya kita mampu bergerak melangkaui pihak yang menawarkan kewartawanan berasaskan konspirasi, teori dan khabar angin.
Apabila saya bercakap mengenai laporan bertanggungjawab, saya secara jelasnya tidak bermaksud hanya memihak kepada kerajaan, sebaliknya laporan bertanggungjawab membawa maksud laporan yang lebih kritis atas dakwaan daripada semua aspek dan khabar angin. Ini bukan saja berlaku di Malaysia tetapi laporan pemesongan fakta juga berlaku di negara maju di dunia.
Misalnya di Amerika Syarikat (AS), lebih 40 peratus rakyatnya pada 2007 menganggap Saddam Hussein bersubahat dalam serangan 11 September walaupun tiada bukti yang boleh mengaitkannya.
Tahun lalu, ketika pemilihan Presiden AS diadakan, radio dan media cetak menyebarkan dakwaan bahawa Barack Obama adalah seorang Muslim. Media dengan agenda tertentu cuba mewujudkan ketakutan di kalangan orang awam dengan menyebarkan imej Obama memakai pakaian tradisional suku kaum di Kenya, secara sengaja menggunakan nama Hussein dan merujuk dirinya sebagai Osama.
Kesannya dalam satu undian, 12 peratus rakyat AS menganggap Obama adalah Muslim dan di beberapa negeri seperti di Texas, seorang daripada empat rakyatnya menganggap presiden mereka sekarang adalah Muslim.
Kuasa media bukan semata-mata untuk membuat laporan berita, tetapi memastikan kredibiliti berita dan khabar angin yang bermula pada peringkat akar umbi dan internet. Media hanya memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat jika ia melampaui laporan cetek, mempersoalkan penyebar khabar angin, tidak menyokong berita palsu dan melaporkan yang benar dengan fakta, tidak kira sama ada yang membantu kerajaan atau tidak.
Serangan peribadi melemahkan keyakinan masyarakat terhadap proses politik dan tidak membantu kita mencapai matlamat yang ditetapkan untuk negara ini.
Saya sendiri sudah melaluinya, tetapi saya juga akan berpegang teguh dan bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang saya buat sebagai Perdana Menteri. Serangan peribadi dan kenyataan palsu terhadap kepemimpinan negara meruntuhkan pembangunan politik dan imej negara di peringkat dunia.
Menangani serangan peribadi seumpama ini bukan tanggungjawab seorang daripada satu pihak atau individu tertentu. Ia adalah tanggungjawab semua individu. Dengan itu, hari ini saya meminta semua pihak termasuk pemimpin politik dan rakyat yang ingin terbabit dalam perbincangan mengenai masa depan negara, termasuk media, melakukannya dengan menghormati pandangan dan pendapat serta tidak melabel pihak yang tidak setuju sebagai musuh, bahawa perbezaan pendapat bukan berniat jahat tetapi atas dasar prihatin terhadap masa depan negara.
Ketika kita memberi perhatian kepada keperluan negara yang mendesak, saya berharap laporan seumpama itu menjadi sebahagian daripada sejarah. Ini adalah tempoh percubaan untuk negara kita dan saya percaya kita mempunyai peluang dengan kepemimpinan baru untuk bagi membina Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan.
Malaysia memerlukan sebuah model ekonomi komprehensif yang akan mengukuhkan kita untuk tempoh jangka panjang. Tetapi yang penting kita juga memerlukan persetujuan bersama dan dasar yang perlu disertai.
Ketelusan dan keterbukaan
Dihormati dan adil
Untuk kepentingan setiap rakyat Malaysia
Politik yang berdaya maju dan dialog awam adalah jalan terbaik kepada negara kita, masa menuntut dan rakyat mengharapkannya. Jangan hampakan mereka.
Tuesday, April 7, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment