Thursday, August 6, 2009

Kerajaan Selangor dilanda kesangsian

Oleh NOR SEDEK ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

SEWAKTU Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipilih menjadi Menteri Besar pada Mac tahun lalu, banyak gambaran positif yang diberikan terhadapnya.

Beliau diyakini mampu mengemudi Selangor - negeri terkaya di Malaysia, dengan baik.

Pengalaman beliau berpuluh tahun dalam dunia korporat khususnya ketika menerajui Guthrie dan menjadi 'orang penting' dalam Permodalan Nasional Berhad (PNB), menjadi kayu ukurnya.

Namun mentadbir negeri rupa-rupanya tidak semudah mengurus sebuah syarikat konglomerat.

Sejak akhir-akhir ini, ceritanya berubah apabila rakyat disajikan dengan pelbagai kepincangan dalam kepimpinan beliau.

Rakyat percaya ia bukan rekaan kerana yang mendesak dan mempertikaikan cara kepimpinan itu bukan Barisan Nasional (BN) yang menjadi pembangkang di negeri maju itu - sebaliknya anggota parti gabungan kerajaan campuran pimpinan Abdul Khalid sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali membuka gelanggang apabila mendesak secara terbuka Abdul Khalid merombak barisan Exco kerajaan negeri kerana gagal membangun dan memajukan Selangor setelah setahun tiga bulan memerintah.

Semua pihak tersentak. Tidak siapa menyangka cadangan itu akan dilontarkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Namun pekung telah pun terbuka! Ekoran itu, pemerhati mula melihat kegoyahan Kerajaan Negeri Selangor apabila Azmin sendiri seolah-olah tidak lagi dapat menyimpan rasa geram yang terbuku di hati.

Tidak cukup dengan itu, Pas Selangor turut mendesak Menteri Besar menggantikan Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu yang memantau kerajaan tempatan dengan orang lain kerana mencampuri hal ehwal pihak berkuasa tempatan (PBT) hingga menjejaskan urusan penguatkuasaan.

Tindakan Ronnie mengarahkan pihak penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan semula minuman keras yang dirampas daripada sebuah kedai serbaneka di Seksyen 8, jelas tidak mengambil kira sensitiviti penduduk bandar Anggerik itu yang majoritinya Melayu beragama Islam.

Jika desakan Azmin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap oleh Abdul Khalid tidak lebih daripada cadangan dan beliau enggan membubarkan barisan Exconya, bagaimana pula dengan desakan Pas - yang datang daripada pesuruhjaya negeri parti itu, Datuk Dr. Hassan Ali?

Adakah Abdul Khalid masih mahu mempertahankan Ronnie yang sejak kebelakangan ini tidak putus-putus dilingkari kontroversi?

Menteri Besar Selangor mungkin mempunyai alasannya sendiri tetapi wajarkah pendiriannya itu? Bagaimana dengan ancaman Pas negeri untuk berpiket jika tuntutan mereka tidak dilayan?

Selalunya apabila timbul isu-isu seperti itu, jawapan standard yang diberikan oleh Abdul Khalid kepada media: "... ia cuma salah faham" dan "gandingan Pas, DAP dan PKR di Selangor tetap kukuh".

Namun sampai bila beliau boleh berselindung di sebalik jawapan klise sedemikian?

Sejauh mana keikhlasan jawapan itu, hanya Menteri Besar yang tahu ketika rakyat mula melihat kepimpinan beliau semakin berkocak, bercelaru dan penuh kesangsian berbanding janji-janji semasa mula memerintah dahulu.

Lantaran itu selama mana beliau mampu bertahan? Sedangkan desakan-desakan tersebut semakin kuat.

Ketika kredibiliti kerajaan negeri diragui, Abdul Khalid sendiri menambah sangsi rakyat Selangor apabila mencadangkan agar dana Baitulmal digunakan bagi menampung kos pentadbiran negeri.

Cadangan itu dilihat sekali lagi membuka pekung kerajaan negeri. Abdul Khalid dan barisan Exconya dilihat gagal mengurus sumber kewangan negeri sehingga terpaksa 'mengendeng' dana Baitulmal.

Ramai tertanya-tanya, miskin sangatkah Selangor yang pernah diiktiraf negeri terkaya di Malaysia sehingga perlu menagih wang zakat yang disumbangkan umat Islam di negeri ini?

Ke mana perginya kutipan cukai daripada syarikat dan kilang yang bertaburan di negeri ini?

Sewaktu mula-mula mengambil alih kuasa, kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid mewujudkan satu portfolio Exco bagi 'menghalalkan kilang-kilang haram di Selangor' yang dikatakan mampu memberi hasil cukai yang gagal dikutip oleh kerajaan negeri BN sebelumnya.

Di manakah hasil kutipan cukai daripada kilang-kilang itu?

Kematian Setiausaha Politik seorang Exco kerajaan negeri, Teoh Beng Hock, di tengah-tengah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menambah kusut dalam kemelut pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid.

Selang beberapa hari kemudian, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) pula tampil mengemukakan laporan 17 muka surat kepada SPRM, juga berkaitan salah guna wang kerajaan negeri melibatkan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Kerajaan campuran pimpinan Abdul Khalid kini umpama 'korek lubang tutup lubang'.

Masalahnya terlalu banyak sangat lubang yang hendak ditutup, silap-silap mungkin menyebabkan tanah jerlus!

Penulis ialah Ketua Biro Utusan Malaysia Selangor.

No comments: