Monday, September 7, 2009

Alain Robert: Wira atau penceroboh?

Oleh Manja Ismail

Insiden KLCC dipanjat dedah kepincangan tahap keselamatan

APABILA warga Perancis, Alain Robert Philippe, 47, yang terkenal dengan jolokan 'Spiderman' kerana gemar memanjat bangunan pencakar langit, berjaya menawan puncak Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada pagi Selasa lalu, beliau menjadi antara tajuk berita utama media tempatan dan antarabangsa.

Ramai juga rakyat tempatan seperti dilihat menerusi sembang mereka di internet, meletakkan lelaki yang disahkan sebagai orang kurang upaya oleh Kerajaan Perancis itu sebagai wira. Malah ada yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menahan dan mendakwanya di mahkamah kerana menceroboh sedangkan menurut mereka, Robert memberi publisiti kepada Malaysia tanpa memerlukan Kementerian Pelancongan membelanjakan satu sen pun.



Robert, yang mula ketagih memanjat sejak berusia 12 tahun, sudah menawan 85 binaan tinggi di seluruh dunia, termasuk beberapa pencakar langit kebanyakannya hanya menggunakan tangan dan kasut mendaki. Antaranya ialah Empire State Building di New York setinggi 1,250 kaki, Sears Tower, Chicago (1,453 kaki), Taipei 101 di Taiwan (1,667 kaki) dan Bangunan Jin Mao di Shanghai (1,378 kaki).

Sementara pendakiannya di Taipei 101, bangunan paling tinggi di dunia sekarang, dilakukan sempena pembukaannya pada 2004, tindakannya memanjat Menara Jin Mao pada 2007 menyebabkan dia dipenjara lima hari dan diusir dari China. Kecuali di Taipei 101 dan Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Pelaburan Abu Dhabi pada 2007 yang dilakukan dengan kebenaran pihak berkuasa, tindakan Robert ke atas sebahagian besar bangunan tinggi dibuat tanpa izin dan dikenakan tindakan atas dakwaan menceroboh atau melakukan aksi berbahaya.

Ketika Menara Berkembar Petronas siap sepenuhnya pada akhir 1990-an, Robert mendapat perhatian dunia sama ada dia dapat menawannya, yang ketika itu memegang rekod bangunan tertinggi di dunia. Pada 1997, setahun sebelum bangunan itu dibuka secara rasmi, tanpa disedari pihak berkuasa, dia sempat memanjat sehingga ke tingkat 60 sebelum ditahan.

Sepuluh tahun selepas itu, pada 20 Mac 2007, Robert sekali lagi mencuba dan ketika tiba di tingkat 60 serta sempat mengibarkan Jalur Gemilang, dia ditahan pihak berkuasa. Bagaimanapun, ketika itu, dia mendapat tepukan orang ramai ketika melihatnya digari dan dibawa masuk ke kereta polis.

Pada pagi Selasa lalu, sehari selepas negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52, Robert, yang dilaporkan mula memanjat pada jam 6 pagi, dengan megahnya mengangkat kedua-dua tangan sebagai tanda kejayaannya menawan puncak Menara Dua KLCC. Robert yang ditahan selepas itu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret keesokannya atas tuduhan menceroboh bangunan milik KLCC Holdings.

Dia, yang didakwa mengikut mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, didenda RM2,000 atau lima hari penjara. Robert, seperti dilakukan dalam beberapa kes sama di negara lain sebelum ini dengan senyum membayar denda itu.

Walaupun tindakan Robert minggu lalu itu, kepada sesetengah orang, secara tidak langsung memberi publisiti positif dari sudut pelancongan, ia juga menimbulkan tanda tanya mengenai kemampuan kita melindungi kawasan atau bangunan strategik negara. Dalam senarai bangunan keutamaan keselamatan tertinggi, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Menara Berkembar Petronas diletakkan pada tahap dua.

Selain menempatkan Ibu Pejabat Petronas, sumber utama pendapatan negara, bangunan itu juga menjadi tumpuan utama orang ramai sama ada rakyat tempatan atau pelancong. Dalam kata lain, jika Malaysia seperti Amerika Syarikat yang dimusuhi banyak negara dan kumpulan pengganas, Menara Berkembar Petronas adalah antara sasaran utama mereka.

Kita bernasib baik kerana motif Robert menawan Menara Berkembar Petronas mungkin hanya kerana 'kegilaan' atau untuk memenuhi egonya saja. Yang pasti, cubaan ketiga Robert menawan Menara Berkembar Petronas minggu lalu dirancang dengan teliti kerana ia turut membabitkan penggunaan helikopter, yang difahamkan berlepas dari Pangkalan Udara Sungai Besi serta dirakam oleh stesen televisyen asing.

Yang menjadi persoalan, bagaimana Robert yang memang terkenal dengan 'pencerobohannya' begitu mudah melepasi kaunter imigresen tanpa disoal tujuan kedatangannya? Jika pun tiada alasan bagi imigresen menghalang kedatangannya sebagai pelancong, apakah jabatan itu tidak mempunyai rekod mengenai Robert supaya ia dapat memaklumkan kepada polis atau Jabatan Keselamatan Petronas?

Bagaimana pula dengan penggunaan helikopter yang terbang begitu rendah untuk merakam aksi Robert? Apakah kawasan bangunan tinggi di pusat bandar raya seperti sekitar KLCC bukan zon larangan terbang seperti di kebanyakan ibu kota lain? Jika ya, apakah tiada tindakan oleh Jabatan Penerbangan Awam?

Memang Robert, seperti kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, tidak menggugat keselamatan negara kerana dia memasuki negara ini sebagai pelancong. Tetapi bukankah ramai penjenayah atau pengganas yang memasuki sesebuah negara sering berselindung sebagai pelancong?

Bagaimana jika Robert pada pagi Selasa lalu hilang kewarasannya sebagai pemanjat atau pelancong dan bertukar menjadi pengebom berani mati? Kerana itu, walaupun ada yang melihat aksi lelaki Perancis itu sebagai hadiah ulang tahun kemerdekaan negara, ia turut mendedahkan betapa mudahnya kepentingan negara diceroboh orang asing, walaupun selepas 52 tahun merdeka.

No comments: