Oleh NORAINI ABD. RAZAK
pengarang@utusan.com.my
SEMEMANGNYA ada percambahan kepelikan dalam budaya masyarakat Malaysia. Kalau dulu tanpa mengira kaum dan agama ada segan silu dan rasa hormat, tetapi kini nilai-nilai itu semakin menyusut.
Penyusutan nilai itu boleh dilihat pada hari terakhir Perhimpunan Agung MIC Ke-63 kelmarin. Seorang perwakilan mencadangkan ''kalung selipar' pada gambar Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Kebiasaannya, tradisi masyarakat India adalah mengalungkan bunga malai sebagai penghormatan baik kepada orang perseorangan mahupun pada gambar.
Tetapi kali ini tradisi yang ditawarkan amat menyongsang dan umpama idea orang yang hilang akal.
Bagi 'menghormati' dan 'menghargai' jasa bekas Perdana Menteri, perwakilan itu mahu 'kalung selipar' diletak pada gambar beliau.
Semuanya itu gara-gara kenyataan Dr. Mahathir yang didakwa mencampuri urusan dalaman MIC.
Biar pun cadangan itu tidak mendapat sokongan tetapi cetusan idea perwakilan dari Ampang, M. Muniandy cukup untuk menggambarkan apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.
Betapa ada riak kekebalan dalam nada ucapan perwakilan itu. Ada juga unsur angkuh di situ.
Paling jelas ada suara biadab yang tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun.
Beliau tidak boleh menerima rumusan Dr. Mahathir yang Samy Vellu tidak pernah membuat apa-apa untuk kesejahteraan kaum India di negara ini.
Bagi Muniandy, Dr. Mahathir adalah orang luar yang tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusan MIC.
Bekas Perdana Menteri itu juga diselar kerana menegur pemimpin parti itu yang dikategorikan oleh perwakilan berkenaan sebagai seorang yang bijak untuk memimpin parti dengan cara yang baik.
Lebih menarik perhatian, perwakilan yang boleh saja dikatakan 'peminat setia' Samy Vellu memberikan satu perbandingan melampau.
Bekas Menteri Kerja Raya itu disamakan dengan 'pokok ara' dengan akar yang teguh dan tidak akan berganjak walaupun ditiup angin kencang.
Justeru gambar orang yang cuba menggoncang pokok ara itu selayaknya dikalungkan dengan kasut lantaran wujudnya dua darjat di situ - yang pertama sungguh mulia, manakala yang keduanya berada pada kasta yang amat rendah.
Manakala MIC pula seolah-olah parti yang sangat berjaya dan cemerlang pencapaiannya sehingga tidak boleh disentuh atau ditegur. Pemimpinnya juga disifatkan sebagai penyelamat dan pengawal masyarakat India di negara ini.
Sedangkan semua orang tahu di mana kedudukan parti itu sekarang terutama apabila memperkatakan tentang meningkatkan taraf hidup masyarakat India.
Semua orang tidak lupa apa puncanya pertubuhan haram Hindraf ditubuhkan. Ia dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati kaum itu terhadap prestasi Samy Vellu yang menyebabkan golongan kaya semakin kaya dan yang miskin terus merempat.
Terlekat di fikiran semua orang bagaimana penolakan pengundi-pengundi India terhadap kepimpinan sedia ada semasa pilihan raya umum Mac tahun lalu sehingga parti itu mencatatkan pencapaian terburuk dalam rekod pilihan rayanya.
Samy Vellu antara nama yang tewas.
Banyak orang India mendendangkan keluhan mereka - betapa bertahun-tahun dinaungi pemimpin yang seorang itu, tiada kemajuan atau peningkatan taraf hidup yang ketara boleh dilihat.
Sepatutnya acara terbesar yang menghimpunkan masyarakat India di negara ini dari sudut politik menjadi medan untuk muhasabah diri, mengingatkan setiap pemimpin parti itu bahawa jangka hayat mereka tidak lama.
Kini ada Parti Keadilan Rakyat yang menawarkan tempat untuk orang India, ada juga Hindraf yang sering menjadi rujukan masyarakat itu untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka.
Tidak mustahil jika kebiadaban seperti yang ditunjukkan Muniandy dibiarkan begitu sahaja, nama MIC akan luput dari kamus pilihan raya Malaysia.
Hasrat untuk merealisasikan harapan bahawa MIC adalah mengenai masa depan kaum India mungkin tinggal mimpi jika ahli-ahli lepas laku dan tiada rasa hormat kepada pemimpin dibiarkan menjadi api dalam sekam.
Hakikatnya cadangan perwakilan Ampang itu seharusnya dipandang serius oleh Presiden MIC itu sendiri.
Tindakan Samy Vellu mengulas teguran Dr. Mahathir juga merupakan satu kesilapan awal yang dilihat menjadi punca ahlinya mendapat keberanian untuk mengemukakan cadangan kurang ajar itu.
Sebab itu apa yang berlaku di hari terakhir perhimpunan mesti menjadi pengajaran. Sebagai pemimpin yang dipercayai sarat dengan pengalaman dalam bidang politik, percaturan bekas Menteri Kerja Raya dalam menangani kemelut politik dalaman MIC tidak mudah.
Beliau sepatutnya bijak mengatur strategi, memelihara kesopanan dan kesusilaan serta menjaga hubungan akrab sesama parti komponen BN dengan 'menenangkan' teguran Dr. Mahathir itu.
Bukankah pemimpin veteran MIC yang satu masa dahulu bersedia 'sehidup semati' dengan Dr. Mahathir sangat masak dengan ketelusan bekas Perdana Menteri ketika melontarkan kata-katanya.
Justeru sepatutnya isu teguran itu boleh diatasi umpama menarik benang dalam tepung, tepung jangan berselerak dan benang jangan putus.
Dan dalam kes teguran Dr. Mahathir biar pun dilihat sangat pedas tetapi sepatutnya diambil pengajaran daripadanya dan pada masa yang sama ahli-ahli parti diberi peringatan supaya tidak bertindak balas mengikut kata hati yang akhirnya boleh membawa 'mati'.
Hakikatnya Dr. Mahathir sangat arif dan mempunyai alasan terbaik untuk membuat kesimpulan seperti yang dilontarkan tempoh hari.
Bekas Perdana Menteri itu mengetahui siapa Samy Vellu yang bertahun-tahun berada dalam barisan Kabinetnya. Beliau semestinya tahu apa yang telah dibuat oleh pemimpin itu untuk masyarakat India sejak puluhan tahun lalu. Beliau juga tahu apa yang tidak dibuat oleh Samy Vellu sepanjang tempoh tersebut.
Paling penting masyarakat India tahu segala-galanya tentang progres kehidupan mereka di bawah naungan 'pokok ara' itu.
Dan pengetahuan itu tidak selayaknya disusuli dengan kenyataan sangat biadap yang berkumandang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin.
Biar pun Samy Vellu berjanji akan mengenakan tindakan terhadap Muniandy, namun ada tanggungjawab yang lebih besar mesti dilakukan.
Berkata benar kepada ahli-ahli parti, berkhidmat untuk parti dan jika terbukti tidak lagi mampu memimpin parti maka berundurlah. Masyarakat India mahu perubahan dan perubahan itu bukan lagi di bawah 'pokok ara'.
Tidakkah mereka sedar pokok ara itu hakikatnya semakin dimakan anai-anai lantaran tegaknya ia sejak berpuluh tahun lalu tidak lagi dapat memberi manfaat kepada sesiapa.
Tuesday, September 15, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment