Oleh: DR. AZHARUDIN MOHAMED DALI
TANGGAL 27 Disember 2007 pastinya akan terpahat sebagai satu tarikh hitam dalam sejarah politik Pakistan. Pada hari itu Pakistan kehilangan anak watannya, srikandi yang bersuara lantang dan dihormati sama ada kawan mahupun lawan politiknya.
Kepulangan beliau dari buangan sekitar dua bulan lepas semata-mata untuk memastikan agar Pakistan kembali kepada demokrasi – menjadi kepulangan beliau yang terakhir.
Benazir Bhutto merupakan srikandi dan ‘wanita besi’ Pakistan. Dilahirkan pada 1953, perjuangan dan pembabitan Benazir Bhutto dalam politik negara itu penuh dengan onak dan duri-duri tajam. Pembabitan beliau dalam politik bermula sejak kematian bapanya, Zulfikar Ali Bhutto yang dijatuhi hukuman mati di tali gantung.
Merasakan bahawa bapanya tidak menerima keadilan sebagaimana sepatutnya, Benazir bertekad untuk meneruskan perjuangan Ali Bhutto. Pembabitan beliau dalam politik Pakistan merupakan kesan langsung dari peristiwa pembunuhan ayahnya. Malah pembabitan beliau dalam politik juga semata-mata untuk meneruskan tradisi keluarga Bhutto.
Selain ayahnya, terdapat juga ahli-ahli keluarga Bhutto yang sememangnya dikenali sebagai tokoh pemimpin. Datuknya, Sir Shah Nawaz Khan Bhutto merupakan perdana menteri negeri Junagadh yang telah diberikan penghormatan oleh pihak British dengan gelaran ‘Sir’ kerana jasa-jasanya dalam perkhidmatan kerajaan.
Bapa saudaranya, Sikandar Bhutto dan Imdad Ali Bhutto juga merupakan tokoh-tokoh masyarakat yang disegani. Malahan terdapat pandangan yang menyatakan bahawa kejayaan Benazir dalam politik di Pakistan kerana terdapat nama Bhutto di belakang namanya.
Kematian Ali Bhutto dilihat sebagai kegagalan demokrasi hingga menjadi alasan paling kuat untuk Benazir membabitkan dirinya dalam politik. Pendedahan beliau dalam pendidikan Barat dan sistem demokrasi telah menjadi asas penting dalam usaha politik Benazir.
Kegagalan beliau untuk membantu menyelamatkan ayahnya dari tali gantung terus tersemat kukuh dalam sanubari Benazir Bhutto dan merasakan bahawa sekiranya demokrasi diamalkan ketika itu, ayahnya tidak akan menerima hukuman gantung.
Bermula dari tarikh itu, Benazir tidak lagi menoleh ke belakang dan terus berjuang hingga kemudiannya, perjuangan beliau menyebabkan beliau dipenjara beberapa kali.
Tindakan-tindakan politik yang dilaksanakan oleh Presiden Zia Ul-Haq di Pakistan sejak referendum 1985 sedikit sebanyak memberi ruang kepada Benazir untuk mendapatkan sokongan.
Tindakan-tindakan inilah yang menyebabkan Benazir melihat bahawa rejim pemerintahan Zia sebagai pemerintahan yang tidak demokratik. Namun demikian, dengan pembatalan undang-undang darurat pada April 1986, Benazir yang berada dalam ‘buangan’ di London kembali menjejakkan kaki ke Pakistan.
Kepulangan Benazir telah memperlihatkan fasa kedua dalam perjuangan politiknya di Pakistan. Sebagai anak Ali Bhutto serta ditambah dengan kelebihannya yang pintar berpidato membolehkan Benazir secara pantas menerima sokongan masyarakat Pakistan.
Rakyat Pakistan yang rata-ratanya masih buta huruf secara mudah tertarik kepada ceramah Benazir dan secara langsung mendapatkan penyokong dari kalangan masyarakat luar bandar. Benazir kini dilihat sebagai tokoh yang paling sesuai dan layak untuk mengembalikan demokrasi ke Pakistan.
Bagaimanapun usaha Benazir untuk melihat pilihan raya lebih awal dijalankan tidak berlaku. Ini kerana pihak pemerintah telah berupaya untuk membendung kebangkitan dan demonstrasi yang terjadi hingga akhirnya penentangan terhadap pemerintah menjadi semakin kecil.
Benazir tidak putus asa, dan sewaktu memperingati lapan tahun kematian Ali Bhutto pada bulan Ogos 1987, beliau sekali lagi cuba menggerakkan rakyat Pakistan agar mendesak kerajaan mengadakan pilihan raya dan memulihkan demokrasi.
Kali ini pihak pemerintah melakukan tindakan yang lebih keras dan menyebabkan Benazir tidak mempunyai pilihan lain, sekali lagi terpaksa melarikan diri ke London. Beliau hanya kembali ke Pakistan pada Disember 1987 dan membentuk satu pakatan pembangkang yang kuat dan bersedia menghadapi Zia.
Perubahan politik Pakistan berlaku selepas kematian Zia yang terbunuh dalam letupan kapal terbang. Peristiwa sabotaj ini terus tidak diselesaikan hingga ke hari ini. Segala dasar yang diamalkan oleh Zia kini mula dilihat sebagai tidak lagi relevan dan kemuncaknya adalah pilihan raya 1988. Ia juga merupakan kesempatan terbaik untuk Benazir yang sememangnya sedang berada dalam kedudukan yang sangat berpengaruh bagi memenangi pilihan raya.
Dalam pilihan raya yang diadakan pada 16 November 1988, Benazir berjaya memenangi 93 dari 207 kerusi yang dipertandingkan dan parti yang diterajuinya Parti Rakyat Pakistan (PPP) mengetuai pakatan parti-parti politik bagi menubuhkan kerajaan di Pakistan. Benazir akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri Pakistan.
Bagaimanapun pembabitan Benazir dalam politik Pakistan masih terus menghadapi onak dan ranjau yang tajam. Beliau tewas dalam pilihan raya 1990 dan menyebabkan jawatannya sebagai Perdana Menteri dirampas oleh Nawaz Sharif. Namun beliau mengadakan come-back kemudiannya pada 1993 dan kekal sebagai Perdana Menteri Pakistan sehingga 1996.
Ini bermakna, Benazir Bhutto merupakan Perdana Menteri Pakistan yang memegang jawatan tersebut sebanyak dua kali. Ia sedikit sebanyak membuktikan ketokohan beliau sebagai seorang pemimpin politik yang unggul di Pakistan.
Pun begitu, suasana politik Pakistan terus tegang apabila tentangan daripada Nawaz terhadap kerajaan pimpinan Benazir semakin ketara hingga menimbulkan pergolakan politik. Kesan dari pergolakan politik itu, Presiden Ghulam Ishaq Khan membubarkan Dewan Kebangsaan dan Pentadbiran Wilayah dan selanjutnya menamatkan usia pemerintahan Benazir.
Satu pilihan raya baru diadakan. Kedudukan politik Benazir juga semakin sempit dengan penahanan suaminya dalam kes penculikan warganegara Britain kelahiran Pakistan, Murtaza Hussain Bukhari. Penangkapan Asif benar-benar mengecilkan peluang Benazir untuk tampil mempertahankan kedudukannya.
Selain itu, mahkamah tinggi Pakistan juga telah memanggil Benazir untuk tampil memberi keterangan terhadap beberapa pertuduhan rasuah terhadapnya. Dalam pilihan raya 1990, Benazir tewas dan Nawaz menjadi Perdana Menteri Pakistan yang baru.
Kejayaan Benazir dalam pilihan raya pada 1993 pula telah membolehkan beliau sekali lagi menguasai kerajaan. Namun demikian, politik Benazir terus bergolak kesan daripada peristiwa pembunuhan saudara lelakinya sendiri iaitu Murtaza.
Peristiwa pembunuhan ini dikaitkan dengan Benazir meskipun ia dinafikan oleh beliau. Benazir kemudiannya tewas dalam pilihan raya pada 1996 dan seterusnya menghadapi pelbagai kes mahkamah sehinggalah beliau terpaksa melarikan diri ke luar negara.
Jika disusuri secara mendalam, kepulangan beliau ke tanah air dalam usaha untuk memastikan demokrasi kembali ke Pakistan bukanlah yang pertama kali. Ini kerana Benazir pernah melalui zaman tersebut ketika Zia memerintah Pakistan.
Kepulangan beliau dari buangan di London ketika itu telah mencapai kejayaan apabila dilantik sebagai Perdana Menteri kemudiannya. Mungkin Benazir merasakan bahawa peristiwa kejayaan tersebut mampu diulanginya sekali lagi.
Bagaimanapun, kali ini Benazir dilihat salah perhitungan. Era 1988 tidak sama dengan 2007. Ketika itu, pembabitan pengganas dan pengeboman berani mati masih lagi asing di Pakistan.
Namun kepulangan beliau pada 2007 ketika era pengeboman berani mati menjadi satu perkara lumrah telah membawa kepada kematian beliau. Persoalan yang timbul kesan dari peristiwa ini, adakah kematian Benazir turut membawa bersamanya usaha-usaha memulihkan demokrasi ke Pakistan?
- DR. AZHARUDIN MOHAMED DALI, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.
Saturday, December 29, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment