Tuesday, May 25, 2010

Tiada ruang kesilapan urus loji jana kuasa elak malapetaka

2010/05/25
SETIAP kali hal tenaga nuklear dibangkitkan, yang terlintas di fikiran ialah kebimbangan berulangnya malapetaka nuklear di Chernobyl dan Three Mile Island. Namun adakah kebimbangan ini rasional? Dari sudut kemajuan, teknologi bertambah maju seiring perubahan zaman.

Manusia pula belajar melalui kesilapan, terutama jika ia membabitkan tenaga nuklear. Pada masa sama, tiada ruang untuk sebarang kesilapan menguruskan tenaga nuklear kerana risikonya terlalu tinggi. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi lampu hijau kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk merealisasikan matlamat Malaysia menggunakan tenaga nuklear menjelang 2021. Menterinya, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui menyokong pelaksanaan itu dengan mengatakan itulah satu-satunya pilihan yang tepat memandangkan keperluan tenaga negara yang makin meningkat. Tambahan pula, katanya, penggantungan Malaysia terhadap tenaga gas, arang dan hidro adalah ‘tidak sihat’

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), S Piarapakaran, berkata pelbagai aspek perlu ditelaah bagi mengukur kesediaan Malaysia dalam menggunakan tenaga nuklear.

“Kita perlu tahu berapa ramai pakar dari Malaysia yang bekerja dalam bidang ini dengan pengalaman sebenar,” katanya.

Memang benar Malaysia mempunyai sebuah loji nuklear yang beroperasi pada skala amat kecil dengan mengeluarkan tenaga satu MegaWatt (MW).
Namun, ia tidak sama seperti mengendalikan loji 200 MW atau 1000 MW yang memerlukan pengalaman berbeza sama sekali, terutama dari segi keselamatan dan pencegahan kebocoran.

“Kita juga perlu sedar, sungguhpun kerajaan pernah cuba memperkenalkan tenaga nuklear pada 1970-an, keputusan itu ditarik balik selepas penemuan beberapa lapangan minyak di Malaysia,” katanya.

Piarapakaran berkata, satu aspek yang perlu diberi perhatian serius ialah Malaysia tidak ada sumber tenaga kerja tempatan yang berkepakaran tinggi dalam mengawal dan menyelenggara sumber tenaga nuklear.

“Meminjam pakar dari luar negara bagi tujuan ini pula tidak dapat dipertimbangkan kerana risiko daripada aspek ‘keselamatan tenaga’,” kata Piarapakaran.

Selain itu, katanya, satu laporan Penilaian Impak Terperinci Alam Sekitar (DEIA) perlu dilaksanakan sebelum sebarang keputusan dibuat. Mana-mana negara berupaya membina loji tenaga nuklear, tetapi mengurus dan menyelenggaranya adalah tanggungjawab yang besar sekali,” katanya.

Kata Piarapakaran, ada tiga risiko utama yang perlu diteliti dan yang pertamanya, kebocoran sinar radioaktif.

“Sinaran ini boleh menyebabkan komplikasi kesihatan serius, bukan saja menerusi pendedahan langsung kepada manusia, malah juga secara tidak langsung menerusi air, flora dan fauna yang digunakan manusia,” katanya.

Namun mereka yang bakal mengalami akibat paling dahsyat daripada pendedahan sinaran radioaktif adalah pekerja reaktor nuklear kerana risiko pendedahan jarak dekat. Kebocoran sebegini kadangkala tidak dapat dikesan sehingga berdekad-dekad, seperti berlaku di loji nuklear Vermont Yankee di Amerika Syarikat, awal tahun ini.

“Risiko kedua mungkin paling banyak bermain di fikiran ramai, iaitu letupan. Ia disebabkan oleh ketidakstabilan dalam reaktor nuklear. Letupan akibat itu akan sentiasa membuatkan kita teringat tragedi Chernobyl,” kata Piarapakaran.

“Penelitian kami terhadap kemalangan nuklear menunjukkan kebanyakannya disebabkan oleh faktor kesilapan manusia. Ini memberikan tanggungjawab yang berat kepada pekerja reaktor,” katanya.

Ini bermaksud pekerja reaktor seharusnya mempunyai kepakaran tinggi, di samping mahir dan profesional dalam menjalankan tugas kerana tiada ruang untuk kesilapan. Kebolehan untuk mengawal keadaan juga harus diberi keutamaan.

Oleh kerana kejadian nuklear mempunyai kaitan langsung dengan kesilapan manusia, sesebuah negara juga harus memberi perhatian kepada langkah pencegahan. Jika tidak, kita akan berdepan dengan banyak isu kebocoran sinar radioaktif dan kemalangan nuklear.

Perkara ini bukanlah begitu mudah untuk ditangani. Negara seperti Perancis mengalami lebih 100 kebocoran kecil setahun, sedangkan negara itu berkepakaran dan berteknologi tinggi dalam mengendalikan tenaga nuklear.

Walaupun risiko pertama dan kedua itu jarang berlaku, kerajaan serta industri berkaitan perlu melihat langkah pencegahan sebagai satu aspek yang perlu dititikberatkan. Pengurusan sisa nuklear adalah risiko ketiga, namun ia tidak kurang serius seperti risiko yang lain.

“Kita hanya perlukan 15 kilogram sisa nuklear untuk menghasilkan senjata nuklear. Apabila kita hasilkan satu bahan mentah untuk penghasilan senjata, kita perlu memastikan negara mempunyai tahap keselamatan yang tinggi. Malaysia memerlukan lokasi selamat untuk penyimpanan dan pengendalian. Ini bermakna kita perlu tingkatkan tahap keselamatan negara,” katanya. – Bernama

No comments: