Thursday, March 27, 2008

Bertindak sebelum terlewat

Oleh Samsor Junet (WARTAWAN UTUSAN)

KITA wajar bersyukur apabila kerajaan akhirnya mengakui hakikat kenaikan harga minyak dan barangan sebagai isu terbesar yang menjejaskan prestasi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

Pengakuan itu sedikit sebanyak ‘mengubat’ hati rakyat yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini berasa sangat gelisah dengan peningkatan kos sara hidup yang tidak menyenangkan itu.

Sebenarnya hubungan antara rakyat dengan kerajaan, tidak ubah seperti hubungan antara anak dengan ibu bapa mereka.

Kita yakin sebahagian besar ‘anak- anak’ ini sayangkan ibu bapa yang membela mereka dari kecil sehingga menjadi muda remaja dan kemudiannya berkahwin dan berkeluarga.

Di kalangan mereka ini ada yang berjaya, ada yang tidak tetapi kesemuanya tetap berbangga dengan ibu bapa yang membesarkan mereka selama ini. Mereka yang sebahagiannya berjaya dalam kehidupan sebetulnya membesar dalam sebuah negara yang sudah 50 tahun merdeka.

Mereka berfikiran terbuka, kritis membuat perbandingan dan kemuncaknya mereka mahukan yang terbaik sahaja dalam kehidupan.

Mereka tidak peduli apa kerajaan mahu lakukan terhadap negara ini – kerana ia menjadi tanggungjawab kerajaan – yang penting mereka mampu menikmati kehidupan yang selesa.

Bagi yang tinggal di kawasan bandar besar, kehidupan terbaik tentulah apabila mereka dapat memiliki segala yang dimahukan dengan harga yang berpatutan.

Malangnya apa yang berlaku sekarang, mereka merasakan segala-galanya tidak berbaloi. Bukan sahaja terpaksa berhempas-pulas bekerja malah, nilai gaji mereka dari hari ke hari semakin mengecil. Bukan satu rahsia kepada umum apabila harga barangan di kebanyakan kedai termasuk harga ayam meningkat secara mendadak sehari menjelang Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.

Bagi mereka yang biasa berbelanja di kedai, mereka tahu sebahagian besar barangan terutama di kedai-kedai runcit naik mendadak.

Pada masa yang sama mereka mendapati kerajaan tidak berusaha untuk mengekangnya secara bersungguh-sungguh.

Justeru di tangan anggota barisan Kabinet sekarang terutama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad untuk menyelesaikan masalah yang menghantui rakyat ini.

Rakyat kini menanti apakah idea bernas beliau yang ‘di luar jangkauan pemikiran masyarakat marhaen’ untuk menangani masalah kos sara hidup ini secara menyeluruh. Yang penting usaha untuk menangani masalah kos sara hidup itu dapat dirasai segenap lapisan masyarakat – orang kaya, sederhana dan miskin.

Tidak dapat dibayangkan apa akan terjadi kepada negara ini jika masalah kos sara hidup yang tinggi tidak dapat diatasi sehingga menjelang satu lagi pilihan raya umum pada 2011 atau 2012 nanti.

No comments: