Sunday, March 16, 2008

Sejarah, falsafah, muzik Islami

Oleh: DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS


Pada umumnya muzik dilihat sebagai seni untuk hiburan, akan tetapi ia juga boleh dianggap suatu sains yang tersendiri, yang mempunyai mauduknya yang dibahaskan berpandukan kepada manhaj yang khusus baginya.

Terdapat nukilan yang terkenal dari Hikayat Seribu Satu Malam: “Bagi sebahagian orang, muzik umpama makanan; bagi yang lain ia seumpama ubat; dan bagi yang lain pula seumpama kipas.” Demikianlah kaum Muslimin menganggap muzik. Walaupun kaum Muslimin banyak meminjam dari teori muzik kaum Yunani purba, mereka juga telah menyumbang ke arah menyempurna dan seterusnya mengembangkan lagi sains ini sehingga membawa kepada perasaan sedemikian terhadap muzik. Sebab itulah Henry George Farmer mengatakan: “Anda boleh menelusuri keseluruhan kesusasteraan Yunani dan tidak akan menemui perasaan sedemikian.” Beliau menambah: “Para pengikut Pythagoras telah memberikan pernyataan awal berkenaan faham kerohanian muzik Islami, akan tetapi ianya masih kabur dan jauh tersorok di alam pemikiran Yunani.” Menurut faham muzik Islami, muzik bukan sahaja suatu sains tetapi juga seni; seni yang menghibur, menyuburkan hati, menenangkan jiwa, dan yang terpenting, dalam bahasa sufi ia menjadi wasilah bagi menyatakan keasyikan dan kerinduan terhadap Yang Maha Suci. Al-Ghazali menegaskan dalam Ihya‘nya bahawa muzik (sama’) mampu mendatang keasyikan rabbani, melaluinya tercapai hakikat. Beliau cuba menjelaskannya dengan kata-kata berikut:

“Hati dan pemikiran halus adalah seumpama lombong rahsia dan khazanah batu-batu berharga. Di dalamnya terdapat jawhar seumpama percikan api yang terdapat dalam besi… Tiada jalan lain mengeluarkan rahsianya melainkan dengan mendengar muzik, kerana tiada jalan yang menghubungkan hati selain dari telinga… kerana sebaik sahaja semangat muzik menyentuh jiwa, ia menzahirkan apa sahaja yang menguasainya.”


Suara merdu

Rasulullah dikhabarkan amat menyukai suara merdu Abu Musa al-Ash‘ari dan berkata: “Kamu telah dikurniakan salah satu dari seruling Nabi Daud.” Seperti yang diketahui umum, Nabi Daud memiliki suara yang amat merdu, yang menarik perhatian bukan sahaja manusia bahkan haiwan sekalipun apabila baginda menyanyi. Ini bermakna bahawa Rasulullah mengetahui nilai dan menghargai bunyi-bunyian yang indah, yang tidak lain dari muzik. Sebab itulah generasi awal kaum Muslimin amat menghargai keindahan suara manusia. Muhammad bin Abd Rabbihi (860-940) berkata:

“Suara yang indah menggerakkan tubuh dan mengalir ke dalam salur darah. Akibatnya darah menjadi murni, hati menjadi tenang, jiwa menjadi galak, anggota badan menjadi resah dan bergerak-gerak. Oleh sebab itu kanak-kanak tidak sepatutnya ditidurkan selepas menangis melainkan dengan muzik dan nyanyian.”

Ahmad ibn Abi Dawud (m.854) juga berkata: “Aku pernah mendengar nyanyian Mukhariq di istana Khalifah al-Mu‘tasim, dan hampir tidak tertahan tangisanku kerana binatang ganas sekalipun pasti akan jatuh cinta terhadap kemerduan suaranya dan menghargai kehebatannya.”

Berdasarkan kefahaman ini kaum Muslimin mula membina falsafah muzik sekitar kurun ketiga Hijrah. Ia tidak lain dari kesinambungan terhadap sejarah awal muzik yang bermula dengan kedatangan agama Islam itu sendiri. Bermula dengan nyanyian penunggang unta, seterusnya berkembang menjadi nyanyian yang diiringi alat-alat muzik bertali yang dinamakan muwattar, termasuklah alatan yang kelihatan seperti harp dipanggil mi'zafah, dan daff (sejenis tamborin). Pada zaman awal tamadun Islam, penyanyi dan pemuzik yang paling dikenali ialah Tuways (m. 705). Sejajar dengan penaklukan yang semakin berkembang alatan baru berserta dengan jenis-jenis muzik turut dikenali oleh dunia Islam. Ahli muzik kaum Muslimin mula mempelajari nyanyian dan alat-alat muzik yang baru termasuklah lute ciptaan (alat muzik bertali seumpama gitar). Masyarakat Mekah pada masa itu menggunakan sejenis alat muzik yang hampir sama berupa kotak yang ditutupi kulit kambing, walau bagaimanapun lute orang-orang Parsi mempunyai permukaan kayu, dan reka bentuk Parsi ini lama-kelamaan diterima pakai oleh orang-orang Mekah. Di antara ahli muzik terkenal pada zaman ini ialah 'Azzat al-Mayla (m. 705). Antara peminat beliau ialah Abdullah ibn Ja'far, sepupu Rasulullah.

Pada masa yang sama ahli muzik Muslimin juga terdedah kepada karya-karya faylasuf yang pada kurun ketiga Hijrah mula membawa masuk teori-teori muzik Euclid dan pemikir Yunani lain ke dalam alam tamadun Islam. Dengan cara ini, falsafah muzik yang ilmiah mula timbul. Pemikir Muslim, termasuk ahli muzik, mula mentakrifkan muzik sebagai sains berasaskan pengamatan sendiri, juga hasil pengaruh pemikiran Yunani. Al-Farabi (m. 950) adalah ahli muzik-falsafah Muslim yang pertama menulis karangan lengkap berkenaan falsafah dan teori muzik Islami. Henry George Farmer bahkan menobatkan beliau sebagai pengasas falsafah muzik. Falsafah dan teori muzik beliau diguna sehingga ke hari ini dengan bentuk yang pelbagai setelah melalui pengubahsuaian dan pembaikan.

- DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS ialah ketua pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

No comments: