Tuesday, March 4, 2008

Dr. M nafi dipengaruhi Aziz pecat Anwar

SHAH ALAM 3 Mac - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan dakwaan pembangkang yang mengatakan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin mempengaruhinya untuk memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, kata Dr. Mahathir, keputusan untuk melucutkan jawatan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibuat setelah mengambil kira pandangan serta perbincangan di antara semua Menteri Besar dan seterusnya, dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

"Sekiranya saya dipengaruhi oleh Abdul Aziz, sudah tentu dia sudah menjadi Perdana Menteri ketika ini, bukannya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Sebenarnya, perkara ini saya bincang dahulu dengan semua pihak termasuk menteri besar, MT UMNO sebelum membuat keputusan.

"Bagaimanapun yang tangkap bukan saya tetapi pihak polis," katanya di sini hari ini.

Tun Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pembangkang yang masih mengaitkan beliau berhubung isu itu dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-12.

Sebelum itu, beliau merasmikan majlis perjumpaan bersama 500 orang jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Abdul Aziz yang juga calon BN Parlimen Shah Alam, Datuk Salamon Selamat serta Datuk Ahmad Nawawi Mohd. Zin yang masing-masing merupakan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dan Kota Anggerik.

Dalam pada itu, Mahathir turut menjelaskan bahawa dirinya juga tidak pernah menyokong atau memihak mana-mana parti pembangkang termasuk Pas, walaupun beliau sendiri kadang kala mengkritik kepimpinan UMNO.

"Saya sebagai ahli UMNO dan saya ada hak untuk mengkritik parti saya sekiranya ada di antara mereka buat salah.

"Kalau kita tidak kritik UMNO, mungkin akan wujud perkara-perkara yang salah sehingga menyebabkan parti ini hilang sokongan di kalangan rakyat," jelasnya.

Terdahulu, Mahathir dengan nada yang sinis ketika berucap pada majlis itu mengingatkan supaya setiap wakil rakyat supaya tidak menjadikan jawatan itu hak milik seumur hidup mereka.

Sebaliknya, setiap wakil rakyat perlu mempunyai niat untuk berkhidmat kepada rakyat bukannya memegang jawatan itu untuk 'bertongkat langit' .

"Saya nasihatkan supaya mana-mana wakil rakyat yang telah lama berkhidmat perlulah bagi peluang kepada orang lain," katanya.

Selain itu, Mahathir turut menjelaskan keyakinan beliau terhadap keupayaan calon-calon serta jentera BN Parlimen Shah Alam dalam pilihan raya umum kali ini.

Malah, beliau menjangkakan calon-calon UMNO itu mampu untuk memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat di kawasan itu.

No comments: