Undi Melayu bukan untuk hapuskan DEB
SAYA tertarik dengan tulisan Ab. Jalil Becker dalam ruangan Forum 19 Mac tentang para pemimpin Melayu dalam Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini umpama ‘kaduk naik junjung’.
Apa yang beliau bangkitkan dalam tulisannya itu cukup tepat dan turut menjadi keresahan ramai orang Melayu masa kini.
Saya terasa orang Melayu sedang ditertawakan oleh kaum lain angkara sikap mahu berkuasa oleh beberapa pemimpin Melayu dalam pakatan pembangkang.
Kita tidak pernah belajar daripada sejarah bagaimana orang Melayu menjadi lemah dan tergadai kampung halaman disebabkan sanggup menjadi alat kepada ‘kuasa asing’.
Saya adalah salah seorang pengundi dalam pilihan raya baru-baru ini. Sememangnya saya mengakui buat pertama kalinya saya mengundi pembangkang. Tetapi ia dengan niat dan harapan agar para pemimpin Melayu dalam pakatan pembangkang akan tetap menjaga kepentingan Melayu.
Lagipun langkah melakukan eksperimen dengan mengundi pembangkang kerana rasa tidak puas hati terhadap beberapa isu nasional dan sekadar mahu memberi mesej kepada BN.
Tetapi ia tidak bererti saya memusuhi UMNO yang menjadi akar umbi orang Melayu dan banyak berjasa mempertahankan kepentingan Melayu.
Tetapi yang menyedihkan saya, undi yang diberi kepada parti Melayu dalam pakatan pembangkang, telah memakan diri masyarakat Melayu. Lihatlah apa yang terjadi di Pulau Pinang. DAP yang tegar dengan gagasan Malaysian Malaysia dan pernah memberi amaran akan menentang habis-habisan Pas yang mahu menegakkan negara Islam, akhirnya berjaya menawan negeri itu dengan bantuan PKR dan Pas.
Alasan
Baru sehari memerintah, DAP bertindak mahu memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan mencari apa sahaja alasan bagi mewajarkan tindakan mereka.
Pendirian yang sama diambil oleh PKR yang cuba memecahkan DEB yang sinonim dengan sumbangan UMNO. Anehnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Khaled Ibrahim ketika mereka dalam kerajaan, mempertahankan dasar itu.
Malah Anwar kerap mengecam pembangkang yang mempersoalkan DEB.
Adalah memalukan kini para pemimpin PKR mengkhianati masyarakat Melayu sendiri yang memerlukan lebih pembelaan pada ketika golongan termiskin di negara ini adalah orang Melayu sebagaimana laporan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Bagaimana kontraktor kecil Melayu yang tidak mempunyai sokongan modal yang cukup dapat bersaing dengan para kontraktor Cina yang sudah hebat, banyak modal dan mempunyai rangkaian perniagaan dan pembekalan yang menyeluruh?
Bagaimana anak-anak Melayu yang miskin dan agak berjaya dalam pelajaran dapat diperkasakan menerusi bantuan biasiswa dan program ke asrama penuh, kalau tanpa DEB?
Banyak lagi contoh yang boleh diberikan termasuk bagaimana Melayu dapat membuka kedai jika rumah kedai semua dimonopoli oleh Cina? Untuk membuka kedai tayar pun, Melayu masih belum berjaya kerana rangkaiannya dikuasai oleh satu kaum yang telah lama mempunyai tradisi perniagaan.
Lagipun DEB selama ini tidak pernah memiskinkan kaum lain tetapi dengan dapat menyusun semula masyarakat dan mengelak mana-mana kaum mendominasi ekonomi tertentu.
Seperkara yang penting, undi yang orang Melayu beri kepada Pas dan PKR dan juga kepada DAP (atas semangat menyokong pakatan), bukan mandat untuk menghapuskan DEB atau Dasar Pembangunan Nasional (DPN). Jika hal itu (pemansuhan DEB) dinyatakan lebih awal, saya percaya ramai orang Melayu akan menolak Pas dan PKR.
Jangan menipu dan memanipulasi orang Melayu dengan sikap tamak haloba politik.
Kini saya menyesal kerana memberi undi kepada pakatan pembangkang kerana mengakibatkan DEB dimansuhkan. Begitu juga dengan Pulau Pinang yang jatuh ke tangan DAP hasil gerakan undi Cina untuk Cina. Bukankah itu lebih perkauman? Tetapi mengapa PKR dan Pas berdiam?
Saya berjanji akan menebus kembali kesilapan saya itu pada pilihan raya umum depan. Saya sudah berpesan kepada keluarga dan sanak-saudara supaya mempertahankan DEB.
Saya rasa cukup berdosa kerana mengkhianati bangsa dan agama saya sendiri. Saya tidak mahu lagi bersekongkol dengan para pemimpin Melayu yang umpama si kitul mahu menjual bangsa dan tanah air mereka. Lima tahun lagi tidak lama.
– RASA BERDOSA,
Shah Alam.
Wednesday, March 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment