Tuesday, December 2, 2008

Fahami konsep 'tuan'

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
(WARTAWAN UTUSAN)

TANPA sebarang penjelasan yang konkrit, konsep ketuanan Melayu yang kabur boleh diinterpretasikan dengan maksud yang pelbagai oleh individu tertentu mengikut kepentingan peribadi masing-masing.

Hakikatnya, konsep ketuanan Melayu itu menjunjung apa yang dicapai dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan iaitu untuk melindungi kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan penduduk pribumi Sabah dan Sarawak dalam beberapa bidang.

Ia termasuk dalam hal-ehwal dan bidang seperti perkhidmatan awam, pendidikan, biasiswa, latihan, kemudahan dan perniagaan. Perlembagaan Perseketuan yang menjadi tiang seri negara ketika ini adalah hasil daripada kompromi dan persetujuan semua kaum di Malaysia sewaktu penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948. Ia juga merupakan semangat ke arah mendaulatkan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka seperti yang dicapai pada 31 Ogos 1957.

Sebagai salah seorang warganegara Malaysia yang berikrar dan bersumpah untuk taat setia kepada rukun negara, termasuk Keluhuran Perlembagaan, maka seharusnya perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan itu tidak dipertikaikan.

Seandainya isu ketuanan Melayu itu cuba dilihat di luar daripada konteks Perlembagaan sekali pun, tafsirannya tidak wajar hanya berlegar kepada aspek sumbangan sesuatu kaum 'bersama-sama membangunkan negara'.

Sebaliknya semangat ketuanan Melayu itu adalah untuk mengangkat kaum Melayu sebagai kaum bumiputera di negara ini bersama-sama dalam arus pembangunan itu. Bermaksud, ketuanan Melayu itu sendiri adalah satu konotasi untuk memperkasakan bangsa Melayu semata-mata, tanpa sedikit pun cuba menghalang, menjatuhkan, mencabar atau menafikan kaum lain di negara ini.

Hakikatnya dalam konteks pembangunan negara hari ini, apa yang dimiliki oleh orang Melayu tidak lebih daripada apa yang diperuntukkan kepada mereka di dalam Perlembagaan Persekutuan. Orang Melayu meskipun selepas 38 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan, masih jauh ketinggalan dalam pengagihan kekayaan negara termasuk penguasaan ekuiti.

Begitu juga dalam pelbagai lapangan sosio-ekonomi lain apabila kaum Melayu sangat terkebelakang berbanding kaum lain. Malah, kuasa politik orang Melayu juga hampir terlucut jika tidak kerana adanya kuasa raja-raja Melayu.

Orang Melayu juga seperti yang dijelaskan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk tidak mempunyai kuasa dalam mempengaruhi dasar-dasar awam kerajaan sehingga berkemampuan untuk mengetepikan kaum lain dalam arus pembangunan negara.

Sebaliknya, dasar-dasar awam itu banyak dibentuk oleh kaum bukan Melayu yang bersuara menerusi pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kebanyakannya dipimpin oleh kaum bukan Melayu. Apa yang ada pada orang Melayu terutamanya masyarakat di luar bandar hanyalah parti-parti politik seperti UMNO, Pas dan PKR untuk disandarkan harapan supaya dapat membela nasib mereka.

''Jika dalam keistimewaan seperti yang diberikan oleh Perlembagaan sekali pun tidak mampu digunakan oleh orang Melayu untuk mempengaruhi dasar-dasar awam, jadi di mana sebenarnya 'ketuanan Melayu' itu?," katanya.

Justeru adalah sesuatu yang jelas bahawa kebimbangan kaum bukan bumiputera terhadap konsep ketuanan Melayu sebenarnya langsung tidak mengancam mana-mana kepentingan mereka.

Konsep ketuanan Melayu menerusi apa-apa cara sekali pun tidak pernah menghalang kebebasan mereka untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik daripada mana-mana kaum di negara ini. Jauh sekali memberi ancaman kepada kelangsungan keturunan mereka pada masa depan di bumi Malaysia.

Lalu apakah sebenarnya yang menjadi kebimbangan kepada kaum bukan bumiputera terhadap konsep ketuanan Melayu itu? Di mana tuannya orang Melayu apabila hanya menjadi kuli kepada tauke-tauke yang kaya raya daripada kaum lain?

Sebagai pemimpin yang meneruskan semangat kerjasama asal antara UMNO dan MCA yang terjalin sejak Parti Perikatan lagi, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Datin Paduka Che Mei Fun seharusnya lebih memahami sejarah serta semangat yang membentuk kerjasama dan perpaduan antara kaum di negara ini.

Ancaman

Apatah lagi kedua-dua pemimpin itu juga mempunyai pengalaman yang luas dalam kerajaan, justeru seharusnya bijak menilai kesan sesuatu perkara sebelum memberi pandangan lebih-lebih lagi dalam konteks keharmonian kaum. Adalah sesuatu yang tidak logik untuk kedua-dua pemimpin tertinggi MCA itu menyalah tafsir maksud sebenar ketuanan Melayu melainkan kedua-duanya mempunyai agenda tersembunyi yang lain.

Lalu, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk menilai ancaman yang disuarakan terhadap konsep ketuanan Melayu itu tidak lebih daripada retorik politik untuk meraih populariti dan sokongan semata-mata. Soi Lek yang meskipun berjaya memenangi jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan MCA baru-baru ini hakikatnya berdepan dengan sokongan yang goyah dalam parti. Ditambah skandal video seksnya yang masih menjadi isu integriti di kalangan kebanyakan ahli, Soi Lek memerlukan satu keajaiban untuk mengangkat kembali maruahnya.

Begitu juga dengan Mei Fun yang tewas dalam pilihan raya umum ke-12 lalu kepada wakil DAP, Pua Kiam Wee bagi kerusi Parlimen kawasan Petaling Jaya Utara. Barangkali dalam percubaan untuk meningkatkan populariti seterusnya sokongan bagi survival politik mereka, pemimpin MCA ini mengambil jalan mudah memperjuangkan isu berbentuk perkauman.

Apakah sudah tidak ada perkara lain yang boleh diperjuangkan oleh pemimpin MCA dalam konteks perjuangan bangsa dan parti mereka? Barangkali pemimpin-pemimpin itu perlu menyemak kembali sumbangan mereka sebagai komponen parti BN dalam pilihan raya yang lalu.

MCA hakikatnya tidak banyak menyumbang kepada kemenangan BN apabila tewas di kebanyakan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Perkara ini yang seharusnya menjadi tumpuan pemimpin MCA, bukannya mengikut nada pembangkang mempersoalkan sesuatu perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan yang jelas boleh mengundang kekeruhan perpaduan kaum.

Konsep ketuanan rakyat seperti yang dicadangkan oleh Soi Lek itu sendiri bukanlah sesuatu yang baru sebaliknya ia mirip kepada perjuangan Malaysian Malaysia seperti yang diperjuangkan oleh pembangkang.

Hakikatnya dalam istilah demokrasi di negara ini, konsep ketuanan rakyat itu sudah dipraktikkan apabila setiap warganegara Malaysia diberikan hak masing-masing untuk mengundi. Malah istilah 'ketuanan' itu sendiri terlihat dalam perikatan BN ketika ini apabila setiap parti komponen memperjuangkan kepentingan kaum yang diwakili mereka.

Apakah sesuatu yang bakal menjadi kenyataan untuk melihat parti-parti berasaskan kaum dengan lantangnya memperjuangkan kaum yang lain pada masa depan?

Apa yang menghairankan serangan melangkaui sempadan perkauman itu agak kerap kedengaran selepas pilihan raya umum lalu, yang mana MCA sendiri mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah mereka. Sedangkan ketika BN berjaya mengekalkan majoriti 2/3 kerusi di Parlimen dalam pilihan raya sebelum ini, isu-isu sebegini tidak pernah kedengaran.

Barangkali kerana mahu membina kembali maruah yang tercalar, MCA cuba meraih sokongan dan populariti penyokong mereka dengan menggunakan kelemahan BN dan UMNO. Seharusnya sebagai parti yang sangat sedikit menyumbang kepada survival BN sebagai peneraju negara dalam pilihan raya lalu, pemimpin MCA ketika ini giat memperbaiki kelemahan parti.

No comments: